Belasungkawa Hani Mohsin – Semuanya Demi Karmila

30 Jul

“Aku hidup untuk Karmila. Aku tak ada siapa-siapa. Nasib baik ada Karmila.” Itu antara yang diluahkan semasa saya dan Hani Mohsin menginap di bilik 214 Hotel Seri Malaysia Kuantan 30 Jun dan 1 Julai lalu. Hani Karmila adalah anak tunggal Mohsin dengan bekas isterinya, Datin Seri Tiara Jacquelina.

Rasa terleka tatkala dia melukiskan kemanjaan dan keletahnya Karmila yang berusia sembilan tahun itu. Ternyata Karmila sangat membahagiakan dan Karmila tidak pernah lekang dari ingatan. Demikian kasih sayang yang tidak terucapkan daripada seorang ayah kepada anak tunggalnya.

Mohsin adalah anak tunggal yang kematian kedua-dua orang tuanya. Sekalipun Mohsin seorang selebriti popular tetapi di sisi lain hidupnya penuh sepi. Kesepian itu cuma terusir apabila tiba giliran Karmila bermalam di rumahnya di Bukit Antarabangsa.

Saya mendengar dengan tekun tentang Karmila, tentang ibu, tentang ayah yang telah tiada dan tentang hidupnya yang kosong. Mohsin lelaki bersemangat kuat meneruskan hidup sekalipun orang-orang yang rapat dengannya telah tiada.

Pemergian ibu secara tiba-tiba menyentak sebahagian daripada jiwanya. Berbulan lamanya dia tidak berupaya melihat sofa yang sering diduduki ibunya kerana seakan-akan ibu masih di situ.

Karmila adalah satu-satunya zuriat yang menjadi permata hati. Saya cuba berada di tempatnya. Dan tidak bertanya apa-apa, cuma menjadi pendengar yang setia. Ada kata-kata yang tersekat di kerongkong apabila bercakap tentang ibu dan ayahnya. Pantas pula saya mengalih bicara.

Selasa lalu Mohsin juga telah tiada. Allahyarham pergi dihantar sendiri oleh permata hatinya di terminal terakhir sebuah kehidupan. Simboliknya keberangkatan untuk kembali ke kampung halaman di Perlis, tempat Allahyarham dilahirkan. Kita tentu dapat membayangkan kegembiraan Allahyarham apabila berpeluang untuk bercuti bersama Karmila di rumah ibu saudara sebelah ibunya di Perlis. Kemudian mereka merencana meneruskan perjalanan ke Langkawi. Tetapi semuanya tidak kesampaian apabila saat keberangkatan telah tiba.

Allahyarham Mohsin jatuh dan meninggal dunia di Terminal Penerbangan Tambang Murah (LCCT) di KLIA pada usia 41 tahun. Segera ingatan saya tercampak pada 30 Jun lalu, saya dan Allahyarham diundang memberi ceramah penulisan drama radio di Taman Budaya Negeri Pahang.

Turut sama ialah rakan-rakan dari Unit Drama Radio RTM; Zuraidah Mohd. Noh, Muhamad Ibrahim, Rahman Ismail, Fauziah Sidek, Bandung Lihya (pelajar UMS) dan Azizah Ariffin (pelajar UMS).

Penglibatan Allahyarham dalam bengkel itu secara percuma. Tidak ada bayaran apa-apa, cuma disediakan tempat penginapan sedangkan dua hari bagi selebriti seperti Mohsin adalah suatu yang bernilai.

“Semua ini amal jariah aku untuk orang ingat bila aku tak ada lagi,” demikian jawab Allahyarham apabila ditanya komitmen secara percuma dalam program itu.

Mungkin ada yang terkejut selebriti popular seperti Allahyarham juga tetap menerima undangan berlakon drama radio sekiranya tidak bertindih dengan jadual rakaman Roda Impian di Astro. Tentulah bukan bayaran yang menjadi faktornya.

“Kami di Unit Drama Radio RTM sangat senang bekerja dengan Allahyarham. Kalau dia lapang, mesti tak tolak berlakon drama radio sekalipun bayarannya kecil,” demikian kata Pemangku Pengawal Unit Drama Radio RTM, Zuraidah Mohd. Noh.

Zuraidah menambah, berita pilu pagi Selasa itu seolah-olah menandakan dia dan rakan-rakan kehilangan seorang rakan yang banyak memberikan kerjasama selama ini.

Semasa kami berbual hingga larut malam di Seri Malaysia, Kuantan, Allahyarham memuji dan sangat menghargai bekas isterinya, Tiara. Bagi Allahyarham, Tiara yang banyak membantu menjaga Karmila apabila Allahyarham sibuk dengan rakaman dan penggambaran di luar Kuala Lumpur.

“Karmila tak hilang ayah dan ibu. Aku baik dengan Tiara. Aku pun baik dengan Datuk (Datuk Seri Affendi Norwawi). Itulah kebahagiaan aku,” kata Allahyarham. Kami sudah kenal pada penghujung 80-an lagi tapi jarang berjumpa. Cuma bertanya khabar menerusi telefon saja.

Saya pula tidak pernah bertanya tentang hal-hal peribadinya, bimbang Allahyarham berasa terpaksa menjawab benda yang tak perlu dijawab. Kisah Allahyarham dengan Serina yang akhirnya putus di tengah jalan apabila mendapat tentangan di sebelah Serina heboh diperkatakan. Tetapi tidak sampai hati untuk bertanya.

Allahyarham seorang yang sangat terbuka dan pintar menguruskan kerjaya. Malah Allahyarham menerima dengan senang hati sekalipun saya berkata, “Lakonan kau dalam drama itu buruk sangatlah.”

Azamnya besar dan hidup dalam lingkaran gemerlapan sama sekali tidak pernah melekakan. Allahyarham mahu lebih dikenali sebagai usahawan daripada artis popular menerusi syarikatnya Imagine Pictures.

Selain menerima tawaran menjadi pengacara program Roda Impian di Astro, Allahyarham mencuri masa untuk membangunkan syarikat penerbitannya. Terbaru sekali Imagine Pictures selesai membuat penggambaran program dokumentari memperkenalkan tempat-tempat menarik dan unik untuk RTM.

“Mohsin hebat sekarang kerana gigih. Kami pernah berkongsi mi segera masa di UiTM. Selepas masing-masing keluar UiTM, berjumpa pula dalam busines buat drama,” beritahu ahli perniagaan Datuk Meswan Dol ketika ditemui semasa menziarahi jenazah Allahyarham Selasa lalu.

Beratus-ratus orang yang terdiri daripada pelakon dan mereka yang terlibat dalam bidang produksi membanjiri rumah Allahyarham. Boleh dikatakan hampir semua pelakon bermula yang paling veteran seperti Datuk Jins Shamsudin dan Datuk Mustapha Maarof hinggalah pelakon-pelakon baru yang mengenali Allahyarham.

Allahyarham telah menyambut hari lahir terakhirnya pada 18 Jun lalu dalam suasana yang sangat membahagiakan. Kata Allahyarham; “Karmila buat suprise party, disuruhnya aku berkurung di bilik atas. Bila aku turun aku hampir menitis air mata tengok Karmila dengan kek hari lahir. Tiara dengan Datuk pun ada juga.”

Nama Hani Mohsin yang sedikit unik itu mulai bertebaran popularnya selepas berlakon filem period Jimi Asmara (1988) arahan Erma Fatima. Dalam filem bersandarkan zaman 50-an itu, Allahyarham mendukungi watak Jimi Asmara penyanyi yang dimangsai transisi muzik pop yeh-yeh.

Watak Jimi Asmara benar-benar melonjakkan nama Allahyarham malah kelihatan begitu karismatik untuk seorang pelakon baru sepertinya. Erma bijak menyusuri kewibawaan pelakon baru ini untuk menggalas watak yang seberat itu.

Allahyarham tidak hanya di layar perak atau di kaca televisyen. Potensi menguji dan mempertajamkan lakonan di pentas teater juga tidak dipersia-siakan. Lakonannya dalam Perempuan Seorang Leftenan Inggeris arahan Zakaria Ariffin juga memancarkan kecemerlangan.

Allahyarham tidak pernah kontroversi kecuali cerita percintaannya dengan Serina. Yang lain tidak ada malah perceraian dengan Tiara juga berlangsung dalam suasana yang sangat harmoni. Tidak pernah berdesir cerita-cerita belakang tabir tentang sikap-sikapnya yang kurang enak.

Pada malam 2 Julai lalu tatkala menghantar Allahyarham pulang ke rumahnya, beria-ia menyuruh masuk ke rumahnya. Terasa hening dan sepi, ruang tamu terpamer gambar-gambar ibu, ayah dan Karmila.

Ketika menghantar ke pintu pagar, Allahyarham secara bergurau tapi kelihatan sungguh-sungguh meminta saya menulis tentangnya. Selama ini saya sekalipun tidak pernah menulis tentang kerjayanya.

“Kau tulislah. Sekalipun cukuplah,” saya diam tatkala mata kami bertemu di samar senja Bukit Antarabangsa. Dalam hati memang berjanji akan menulis tentang kegigihan Allahyarham; sebagai pelakon dan produser program televisyen.

Pandangan Allahyarham menghantar saya dan rakan-rakan RTM hingga kami hilang di sebalik simpang. Selasa lalu suasananya berbeza, ruang tamu dibasahi dengan ayat-ayat suci dan wajah-wajah suram menandakan ini satu kehilangan.

Kepada Karmila; biarpun jasad telah jauh dibatasi bumi namun kasih sayang Allahyarham kepada anda tidak pernah terkuburkan.

Tanpa disangka belasungkawa ini telah menjadi tulisan saya yang pertama tentang Allahyarham. Janji ditunaikan tetapi tetap rasa terhutang.

ῖ KU SEMAN

Powered by Utusan Malaysia

About these ads

Leave a Reply

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

Follow

Get every new post delivered to your Inbox.

%d bloggers like this: