Anugerah Stail EH! Milik Aznil

13 Aug

Oleh Zaidi Mohamad


KAMI MENANG: Dari kiri; Faizal Tahir, Andy Estranged, Aznil Nawawi, Fahrin, Elly Suriati dan Dynas.

Majlis menghimpunkan beberapa selebriti yang terkenal dengan gaya tersendiri

MEMINJAM terjemahan kata-kata aktres lagenda, Joan Crawford berbunyi sesiapa yang menjejakkan kaki keluar dari rumah tanpa solekan, mereka diibaratkan menggali kubur sendiri. Mungkin ada benar juga katanya kerana perumpamaan itu amat sinonim dengan dunia selebriti yang bertunjangkan gaya dan stail.

Lalu, majalah EH! tidak mahu ketinggalan memartabatkan golongan selebriti dalam acara penganugerahan Anugerah Stail EH! 2008 yang buat julung kalinya diadakan dengan kerjasama produk Lancome pada 6 Ogos lalu.

Ia berlangsung dalam suasana penuh gaya di Golden Screen Cinema (GSC) Signature, The Gardens Mid Valley. Acara ini dipenuhi dengan himpunan pelbagai gaya daripada selebriti tanah air yang hadir dan sosialit.

Acara yang sepatutnya bermula sekitar 8 malam akhirnya hanya dapat dimulakan pada jam 9.15 malam. Biarpun pertama kali dianjurkan dan kelihatan agak kelam-kabut susunan programnya, anugerah seperti ini harus diberi pujian kerana masih lagi memartabatkan entiti peminat yang cukup dekat di hati selebriti sebagai pengundi yang menentukan pemenang.

Ada juga yang beranggapan anugerah yang dipertandingkan ini bersifat syok sendiri atau anugerah murahan tetapi mungkin perlu merenung seketika kepada konsep dan gaya sebenar majalah EH!


AZNIL, pemenang Anugerah Stail EH!

Menurut Pengarang Majalah EH!, Asiah Mion, stail ialah satu batu loncatan bagi selebriti untuk terus diingati.

“Jika selebriti bijak menggunakan bakat diiringi stail dan persona diri, Insya-Allah ia adalah satu kombinasi terbaik yang mampu menguatkan pacuan kerjaya mereka. Tidak semua selebriti boleh menjadi bintang kerana stail seseorang selebriti adalah aset yang tidak boleh dijual beli.

“Sebagai artis, tiada salahnya untuk bergaya tapi harus memastikan padanan gaya yang ingin ditonjolkan perlu tepat dan jika silap percaturan, mereka akan dikritik hebat. Sebagai contoh, Madonna masih dikenang sehingga kini dengan gaya dan stailnya biarpun bakat nyanyiannya pada kadar sederhana,” ungkap Asiah sewaktu memberikan ucapan.

Pernah jadi mangsa fesyen


TIDAK KETINGGALAN: Jehan Miskin, Cheryl Samad, Ezlynn dan Fara Fauzana hadir memberikan sokongan.

ACARA pada malam itu juga menyaksikan bintang hebat dan tersohor, Aznil Nawawi menggondol dua anugerah, Artis Mesra Peminat dan anugerah kemuncak, Anugerah Stail EH! 2008. Ternyata agak terharu dengan pengiktirafan yang diberi, Aznil mengakui dia pernah menjadi mangsa fesyen rentetan gaya berani mati dan ‘tidak peduli apa orang nak cakap’ sewaktu mula mengacarakan program Pop Kuiz.

“Itulah fasa fesyen ngeri yang pernah saya gayakan. Saya tampil dengan rambut kerinting, stokin panjang, baju berwarna warni persis fesyen Harajuku yang diadunkan secara carca marba. Tapi sesudah saya semakin matang dan menyedari setiap gerak geri saya termasuk cara pemakaian diperhatikan apatah lagi sejak mula mengacarakan program yang ditonton seisi keluarga seperti Akademi Fantasia dan Macam-Macam Aznil, saya nekad berubah.

“Bayangkan kerana terlalu ghairah saya mengenakan rambut palsu yang jarang digayakan lelaki sewaktu ke majlis anugerah dulu. Dipadankan pula dengan seluar batik ketat, saya akui saya terlampau mahu menjadi pelopor fesyen hinggakan sanggup bergaya pelik dan janggal semata-mata mahu menarik perhatian lensa sedangkan tiada langsung aktiviti seni saya yang boleh dihebahkan ketika itu. Saya ingat lagi pernah mengeluarkan kenyataan, saya akan rasa malu andai hanya bergaya normal macam orang lain.

“Anugerah ini mungkin sebagai isyarat dan petanda untuk saya terus berubah memberikan persembahan yang terbaik dalam apa juga yang saya sampaikan dan bergaya mengikut kesesuaian majlis dan usia. Ia juga menunjukkan rating rancangan TV saya menampakkan keseimbangan dengan kalangan penonton.

“Umur saya pun sudah 46 tahun, sejauh mana berfesyen akhirnya kita akan kembali kepada asal menjunjung pekerti orang Timur,” ungkap Aznil Nawawi yang bangga dapat merasai dua fasa kehidupan interaktif dan sebaliknya.

Majlis malam itu turut diserikan dengan persembahan Camelia, Atilia, Dina dan Ella. Gara-gara lambat bermula, persembahan Faizal Tahir yang dijadualkan membuat persembahan penutup berakhir dengan tiada persembahan.

Paling menggamit perhatian ialah kolaborasi penyampai anugerah terutama Abby Fana dan pereka fesyen, Rizalman Ibrahim yang mampu mengundang hilai tawa. Ada juga seorang penyampai anugerah yang nampaknya ‘tidak sedar diri’ sewaktu berada di pentas.

Sebanyak 14 kategori diumumkan, ada juga pemenang yang dilihat membuat kejutan kerana mampu menewaskan calon kegemaran. Ada juga di kalangan pemenang yang tidak dapat hadir memeriahkan majlis dan hanya diwakilkan orang lain seperti Anuar Zain, Nasha Aziz, Rozita Che Wan, Vanidah Imran dan Rashidi Ishak.

INFO: Anugerah Stail EH!

  • Menyenaraikan 13 kategori dan satu kategori khas, Anugerah Stail EH!2008.
  • Panel Majalah EH! yang berpaksikan gaya hidup yang berteraskan fesyen, hiburan dan kecantikan ini telah mencernakan idea untuk mempertandingkan 50 kategori dan akhirnya dikecilkan skop kepada 13 kategori.
  • Pencalonan artis (selebriti yang terbabit) bermula dengan 10 orang bagi setiap kategori dan kemudian menjadi tujuh orang hingga akhirnya hanya empat calon akhir yang tinggal.
  • Anugerah ini dilakukan bertujuan mendekatkan industri hiburan dengan fesyen dan kecantikan. Pada dasarnya ia mahu membuka mata dan mengajak jenama fesyen terkemuka antarabangsa mendekati dunia hiburan tempatan yang menyaksikan ramai golongan selebriti tempatan yang boleh diketengahkan sebagai model dan jurucakap.
  • Pemilihan pemenang dibuat melalui undian pembaca laman web majalah EH! dengan kerjasama akhbar Berita Harian bermula 1 Jun hingga 31 Julai lalu.
  • Dihoskan personaliti 8TV, Rina dan penyampai radio Hot FM, Tini. Stesen radio itu juga bertindak sebagai stesen rasmi majlis ini.

    Senarai Pemenang

  • Anugerah Stail EH! 2008: Aznil Nawawi
  • Selebriti Wanita Paling Bergaya: Camelia
  • Selebriti Lelaki Paling Bergaya: Anuar Zain
  • Selebriti Wanita Susuk Tubuh Cantik: Dynas
  • Selebriti Lelaki Susuk Tubuh Segak: Fahrin Ahmad
  • Selebriti Mesra Peminat: Aznil Nawawi
  • Selebriti Wanita Paling Seksi: Amber Chia
  • Selebriti Lelaki Paling Seksi: Andy (Estranged)
  • Selebriti Berbakat Unggul: Elly Suriati
  • Selebriti Paling Fotogenik: Rozita Che Wan
  • Selebriti Pencapaian Terbaik: Faizal Tahir
  • Selebriti Pilihan Kulit Majalah: Nasha Aziz
  • Selebriti Kulit Cantik: Zizie Ezette
  • Pasangan Selebriti Paling Diminati: Vanidah Imran dan Rashidi Ishak.

    Berita Harian

  • Leave a comment