Galeri: Sentuhan Fotografi Soraya

12 Dec

Oleh Irdawati Hamzah

Soraya merakam tokoh seni negara dalam paparan hitam putih fotografi seninya.

Tokoh besar dalam pelbagai bidang seni dapat perhatian daripada jurufoto ini

PAMERAN Seni Fotografi Imaging Self oleh Soraya Yusof Talismail memaparkan hasil fotografi seni lewat potret hitam putih yang menyorot 80 penggiat seni tanah air yang mencipta nama dalam bidang seni tampak, fotografi, perfileman, seni reka, muzik, teater, kesusasteraan, tarian dan koreografi.

Pengunjung pameran di Galeri Petronas, Suria KLCC, Kuala Lumpur, dapat menyaksikan perspektif Soraya yang cuba menterjemahkan kehidupan seni subjek fotografinya ke atas beberapa tokoh seperti Sasterawan Negara (SN), Datuk (Dr) A Samad Said yang memahat namanya dalam dunia sastera dan Ahmad Fuad Osman dalam bidang seni lukis.

Tidak ketinggalan, Yeoh Jin Leong dalam bidang seni ukir mendapat perhatian daripada Soraya di samping Eric Peris (seni fotografi); Azean Irdawaty (seni lakon); Datuk Siti Nurhaliza Taruddin dan Datuk Sheila Majid (seni muzik) serta Yasmin Ahmad (seni filem).

Pameran dengan sentuhan sejarawan seni Asia Tenggara, TK Sabapathy, selaku kurator memperlihatkan keunikan yang disorot daripada lensa kamera Soraya berhubung subjek dan ikon yang dikenali ramai, sekali gus melahirkan interaksi dan minat khalayak untuk mendalami fragmen kehidupan seni tokoh pilihannya.

“Soraya pada pameran ini diberi peluang untuk kembali ke dunia seninya dengan himpunan karya yang dihasilkan kerana nilai persahabatan dengan beberapa individu dalam pelbagai bidang seni dan ketokohan individu pilihannya,” katanya.


Yasm in Ahmad.

Soraya tidak hanya menyorot susuk tubuh tokoh itu, bahkan memuatkan latar belakang, proses kreatif dan ruang kerja kreatif mereka yang mencerminkan kehidupan seni tanpa meninggalkan paparan emosi sehingga menimbulkan hubungan bersifat peribadi antara objek dengan latarnya.

Hasil fotografi seni ini tampil dalam bentuk cetakan menggunakan kertas berasaskan serat atau silver gelatin dan percetakan digital Lambda, teknologi digital seni yang terkini, sekali gus berupaya menghasilkan gambar fotografi berkualiti tinggi.

Bagaimanapun, ini tidak bermakna Soraya bergantung sepenuhnya kepada percetakan digital, sebaliknya rakaman hasil seninya berjaya menampilkan aksi bersahaja penggiat seni terbabit yang khusyuk dalam proses kreatif mereka yang disorot daripada pelbagai perspektif dan komposisi, selain pencahayaan.

Antara karya yang dipamerkan ialah Ilse Noor Watering Plants yang memaparkan visual pelukis dan pengarca, Ilse Noor berdiri di halaman rumah menyiram air, menimbulkan keunikan kesan percikan air sehingga terpancar emosi gembira di wajahnya dan pencahayaan berjaya menyerlahkan nilai seni karya itu.

Where Is Chin Kon Yit pula menampilkan tiga panel gambar fotografi yang seolah-olah menyembunyikan pelukis, Chin Kon Yit, di sebalik susunan dan timbunan hasil serta objek seni di studionya, manakala karya Sek San memaparkan dua panel potret arkitek landskap, Ng Sek San di lokasi pembinaan dalam perspektif mengagumkan.

Seni tradisional tidak ketinggalan daripada menjadi objek seni Soraya apabila beliau turut merakam Pak Dollah Baju Merah yang menjadi tokoh tok dalang dalam seni wayang kulit bagi mencetuskan kesan nostalgia syahdu di sebalik sorotan lensa kameranya.

Pameran yang dirasmikan oleh Mantan Pengerusi Lembaga Amanah Balai Seni Lukis Negara (BSLN), Tan Sri Kamal Ariffin Mohamed Yassin itu, turut menyediakan buku berkulit mewah, Imaging Self-Soraya Yusof Talismail, Potraits of Artist yang mengandungi hasil seni dan esei tulisannya.

INFO: Pameran Seni Fotografi Imaging Self Jurufoto: Soraya Yusof Talismail Tempat: Galeri Petronas, Suria KLCC, Kuala Lumpur Tarikh: 4 November hingga 18 Januari tahun depan

Berita Harian

About these ads

Leave a Reply

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

Follow

Get every new post delivered to your Inbox.

%d bloggers like this: