Program Pemutihan

13 Dec

KUALA LUMPUR: Pertubuhan Kebajikan dan Dakwah Islamiah Malaysia (Pekida) akan melaksanakan program pemutihan terhadap lebih 15,000 ahli songsang, termasuk pemimpin berpangkat Abang Long dan Ayahanda yang dikenal pasti terpesong daripada matlamat serta perjuangan asal pertubuhan itu.

Pemutihan secara berperingkat dalam tempoh terdekat itu turut membabitkan Awie yang kini dikatakan menyimpang daripada asas perjuangan Pekida.

Presiden Pekida, Jamaludin Yusof, berkata program pemutihan itu bertujuan membersihkan Pekida daripada ahli yang terbabit kegiatan negatif membabitkan lebih 15,000 ahli itu, dengan sebahagian besarnya di Selangor dan Kuala Lumpur.

“Pemutihan yang dilakukan bukan bermaksud terus membuang ahli yang songsang, tetapi kita cuba pulihkan mereka terlebih dulu. Jika tidak berjaya, kita lucutkan keahlian mereka,” katanya dalam pertemuan dengan Metro Ahad yang turut dihadiri dua lagi Ahli Majlis Tertinggi iaitu Setiausaha Agung, Mohd Zain Ghazali dan Pengerusi Badan Bertindak Hal Ehwal Khas dan Semasa, Mohd Syahrir Abdul Aziz, di sini, baru-baru ini.

Jamaludin mendedahkan, antara ahli yang menyimpang ialah Awie yang bergerak sebagai ahli seumur hidup Pekida serta mempunyai kumpulannya sendiri.

“Awie itu kumpulan Naga. Follower (pengikut) dia, kalau nak bai’ah (angkat sumpah), kena bayar RM3,600.

“Kita ambil dia jadi ahli, dia daftar sebagai ahli seumur hidup. Kita bukan menidakkan dia, tapi kita tengok amalan dia (tidak betul),” katanya.

Menurut Jamaludin, Awie bagai diagung-agungkan pengikutnya, sedangkan mengagungkan pemimpin bukan amalan dalam Pekida.

Jamaludin berkata, Awie juga seperti diagungkan ahlinya apabila maklumat diperoleh mendapati ketika kumpulannya bermesyuarat, Awie akan duduk di kerusi khas, manakala yang lain perlu berdiri.

“Pernah juga dalam satu majlis, dia hadir dengan memakai baju lambang naga, diikuti ahlinya yang turut memakai pakaian sama, berjalan di permaidani merah,” katanya.

Jamaludin berkata, Awie juga pernah membuat permintaan untuk hadir sebagai ayahanda di Perhimpunan Agung Pekida ke-15 di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), 28 Jun lalu, tetapi permintaannya tidak dilayan, menyebabkan dia tidak hadir ke perhimpunan itu.

Menurut Jamaludin, sebagai ahli Pekida, mereka terikat dengan perlembagaan dan keahlian mereka boleh dilucutkan jika melanggar perlembagaan.

“Majlis tertinggi ada hak melucutkan keahlian, sebab ahli ada membuat pengisytiharan (patuh pada perlembagaan). Kalau kita terima ahli yang terbabit kegiatan negatif seperti kaki minum, kaki ‘pau’ (peras ugut), kutip wang keahlian ahli baru, kaki gaduh, kita boleh lucut (keahlian).

“Cuma kita tak mahu buat dengan cara provokatif. Kita tidak terus tolak, sebaliknya pulihkan terlebih dulu,” katanya.

Jamaludin berkata, pihaknya mengakui ada ahli Pekida terbabit dengan kegiatan negatif, tetapi ada juga yang bukan ahli tetapi menggunakan nama Pekida.

“Ada ahli yang hanya pakai nama Pekida, walhal bukan ahli. Mereka gunakan nama Pekida sebagai tiket untuk buat perkara tak elok, sekali gus memburukkan Pekida.

“Ramai juga yang lakukan jenayah menggunakan nama Pekida sebagai perlindungan dengan harapan mereka boleh terlindung,” katanya.

Menurut Jamaludin, ada ‘ahli songsang’ menggunakan pelbagai lambang yang digunakan sebagai pengenalan dan identiti kumpulan masing-masing.

Sebagai contoh, katanya, ada yang guna lambang harimau, pedang, kapal dan simbol nombor bagi pengenalan kumpulan mereka seperti Geng 36 dan Geng 77.

“Pekida cuma ada satu lambang. Selain (lambang Pekida) itu, ia logo songsang. Kami anggap logo ini sebagai haram.

“Sebab itu kami hendak beritahu masyarakat, apa Pekida dan siapa yang perguna nama Pekida. Amalan songsang yang bercanggah dengan perlembagaan Pekida banyak berlaku di Kuala Lumpur dan Selangor. Ia sampai tahap kritikal,” katanya.

Jamaludin berkata, Pekida yang kini mempunyai keahlian mencecah 100,000 orang adalah pertubuhan yang memperjuangkan ketuanan Melayu, mementingkan ikatan persaudaraan sesama Islam dan berdakwah.

“Pekida bukan tiket untuk bergaduh, memeras ugut, berlagak samseng dan mengamalkan gengsterisme. Tanggapan begini yang hendak kita buang dalam fikiran masyarakat,” katanya.

Jamaludin memberi contoh Pekida Putrajaya antara kumpulan yang tidak diiktiraf pihaknya dan laman webnya yang mendapat sambutan hangat di Internet bukan laman rasmi Pekida.

“Ada yang gunakan gelaran Yang Mulia dan sebagainya dalam laman web berkenaan. Kita (ahli Pekida) tidak mengamalkan mengagungkan pemimpin, apa lagi dengan cara melampau dan berlebihan.

“Bukan setakat itu, ada ahli majlis tertinggi yang kami pecat, satu ketika dulu dalam majlis tertentu berlagak seperti raja, memakai tengkolok dan pakaian kuning. Kita cuba mengelak kumpulan begini wujud dalam Pekida,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Pekida Putrajaya, Datuk Seri Jaafar Shaari dan Pengerusi Pekida Wangsa Maju, Datuk Malek Ranting yang sebelum ini dipecat daripada Ahli Majlis Tertinggi Pekida berlainan pendapat dan pandangan mengenai soal pemutihan yang kini dilaksanakan.

Jaafar berkata, dia bersetuju dengan program pemutihan yang dicadangkan, tetapi mempersoalkan kaedah dan pelaksanaan polisi yang bakal dilaksanakan jika cuba menyisihkan ahli sedia ada, sekalipun ahli itu didapati terbabit dengan gejala negatif dalam pertubuhan itu.

“Adakah cara yang bakal digunakan kena dengan mereka yang hendak diputihkan? Kenalah tahu sempadan dan gunakan cara halus. Jika mereka salah sekalipun, jangan sisih mereka.

“Tidak kena batang hidung sendiri tidak mengapa, tapi kalau anak sendiri terbabit misalnya, takkan hendak campak begitu saja. Kena ambil balik juga, bukan sisihkan mereka daripada pertubuhan ini. Ini tugas yang perlu digalas Pekida,” katanya.

Menurut Jaafar, pihaknya menyedari persepsi negatif masyarakat terhadap Pekida yang lebih terkenal di kalangan masyarakat sebagai pertubuhan samseng.

Bagaimanapun, katanya, walaupun sudah dipecat, dia dan ahli yang setia kepadanya akan terus berusaha memulihkan ahli Pekida yang terpesong daripada matlamat.

“Kita guna cara kita. Kita dekati golongan yang dikatakan songsang dan cuba memberi kesedaran, tetapi secara psikologi songsang dan perlahan-perlahan.

“Jika ada ahli terbabit dengan jenayah pula, kita akan laksanakan tanggungjawab dengan menyerahkannya pada polis. Pekida bukan pertubuhan untuk simpan penjenayah,” katanya.

Berkenaan logo Pekida Putrajaya yang menggunakan lambang harimau menggigit keris, Jaafar mempersoalkan tindakan ahli majlis tertinggi Pekida itu kerana ia hanya imej dan tidak mempunyai unsur negatif.

“Negara kita pun pakai lambang harimau. Mengenai cogan kata yang digunakan, itu identiti dan kami hayati. Kalau itu salah, susahlah. Begitu juga penggunaan laman web, apa yang tidak kena dengan itu. Sekurang-kurangnya kami (Pekida Putrajaya) ada sediakan (laman web) sendiri.

“Kami masih pakai lambang Pekida sebagai keutamaan. Logo (harimau) itu cuma lambang kerana ia tiada kaitan dengan Pekida. Ia hanya pengenalan, bukan untuk tujuan lain,” katanya.

Dalam pada itu, Malik berkata, dia mempersoalkan ketelusan ahli majlis tertinggi sedia ada mengenai pemutihan ahli dalam Pekida.

“Saya dan Jaafar (Ayah Pa) dikategorikan mereka (ahli majlis tertinggi) sebagai kumpulan songsang. Sebabnya, kami tidak mengikut telunjuk mereka.

“Ini yang kami kata sebagai penyisihan dalam Pekida. Ini tidak patut,” katanya.

Malik turut menyanggah tindakan majlis tertinggi yang melucutkan jawatan ahli majlis tertinggi sebelum ini kerana ia tidak mendapat persetujuan ahli Pekida lain.

“Mereka tidak boleh melucutkan ahli majlis sesuka hati, kecuali ada persetujuan dua pertiga daripada ahli tetapi ia tidak dilakukan.

“Bahkan, sejak Presiden sebelum ini (Allahyarham Senator Datuk Mohd Fuad Ahmad) meninggal dunia, sudah tiga tahun mesyuarat agung tidak dijalankan ibarat layang-layang putus tali.

“Sampai Pendaftar Pertubuhan (ROS) mahu membatalkan pendaftaran pertubuhan ini. Sehingga hari ini, kita tak tahu apa status Pekida,” katanya.

Harian Metro

About these ads

Leave a Reply

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

Follow

Get every new post delivered to your Inbox.

%d bloggers like this: