Bilik Pengantin Idaman

13 Apr

Fabrik langsir sepadan dengan hiasan katil boleh tambahkan seri

Oleh
Amilia Gani

ANTARA soalan yang pernah saya terima sebagai pereka hias profesional ialah daripada seorang bakal pengantin.

Beliau memberitahu bahawa teman-temannya ingin menghiaskan bilik pengantin pada hari majlis perkawinannya kelak.

Walaupun teman-temannya tidak berpengalaman menghias, beliau bersetuju untuk menerima saranan mereka kerana dengan cara demikian beliau mungkin juga dapat berjimat.

Lantas, beliau meminta nasihat saya tentang bagaimana menghias bilik pengantin.

Bilik pengantin adalah ruangan yang paling popular pada hari majlis perkawinan.

Hadirin yang datang, terutama tamu perempuan akan menjengah ke bilik pengantin dan melihat-lihat pengantin serta perhiasan yang ada di dalam bilik tersebut.

Memilih bilik pengantin adalah langkah pertama sebelum menentukan apakah pengantin memerlukan seorang penata hias ataupun hanya memerlukan teman untuk menghias bilik pengantin tersebut.

BILIK PENGANTIN DI RUMAH PENGANTIN SENDIRI

Sekiranya bilik pengantin adalah di rumah pengantin sendiri dan di bilik tidur utama, maka pengantin mungkin memerlukan hiasan dalaman serta aksesori yang lebih kekal.

Maka itu, seorang penata hias amat sesuai diberi tugas untuk menghias bilik itu supaya ia tidak sahaja sesuai dengan majlis, bahkan akan membuatnya lebih berfungsi selepas majlis perkahwinan.

Seperti juga mengubah suai sebuah rumah, penata hias akan berbincang dengan pengantin tentang konsep keseluruhan majlis pengantinnya.

Adakah majlis itu berkonsep tradisional, moden atau kontemporari dan apakah warna yang akan digunakan untuk pelamin?

Contohnya, dinding bilik tersebut berwarna biru dan penghuni telah memilih konsep putih merah.

Penata hias mungkin dapat mengubah suai perabot-perabot di bilik itu serta memilih jenis bahan, warna, reka bentuk dan ruang yang ada untuk menimbulkan suasana yang di idamkan oleh pengantin.

Pentas pelamin, baju, bunga, tempat majlis makan dan sebagainya semuanya harus berhubungan.

BILIK PENGANTIN DI RUMAH IBU BAPA

Ada kala bilik pengantin terletak di rumah ibu bapa dan bilik itu hanya digunakan untuk sementara sahaja. Tentu sekali peruntukan bagi menghias bilik pengantin itu tidak perlu keterlaluan.

Menghias bilik pengantin tidak sahaja melibatkan pembelian aksesori yang baru, menukar kain langsir serta membersihkan bilik. Dekorasi sebegini hanya mencantikkan bilik, tetapi tidak semestinya menyerikan suasana majlis perkahwinan itu.

Dalam mendapatkan teman-teman untuk membantu menghiaskan bilik atau menggunakan khidmat penata hias, ada beberapa perkara yang perlu yang diberikan perhatian:

Ruang bilik serta susunan perabot-perabot perlu diteliti. Tentukan bagaimana bilik itu akan memenuhi kegiatan majlis akad nikah dan sebagainya. Contohnya, tentukan tempat duduk pengantin, arah kiblat, berapa kerusi diperlukan dan bagaimana bilik akan didinginkan.

Warna dinding juga amat penting dan bagaimana ia boleh memberikan suasana yang lega dan lapang, lebih-lebih lagi bilik itu akan penuh sesak.

Bentuk katil serta warna cadar dan bantal harus sesuai dengan konsep yang dipilih. Warna dan fabrik langsir yang sepadan dengan hiasan katil juga boleh tambahkan seri.

Meja konsol dan meja mekap juga perlu dihiaskan dan pemilihan warna juga amat penting. Ia boleh di hiaskan dengan pasu bunga, lilin wangi atau aksesori yang menunjukkan karakter pengantin. Penggunaan cermin penuh yang tinggi juga amat berkesan.

Jangan hadkan tempat gambar berbingkai di dinding di atas kepala katil sahaja. Anda boleh kreatif dalam menentukan pilihan gambar dan tempat untuk meletakkan gambar berbingkai itu.

Pencahayaan bilik bukan semata-mata untuk menerangi ruangan. Penggunaan lampu siling, lampu meja, lampu tumpu atau lilin boleh membekalkan kesan dan fokus yang diperlukan.

Bilik pengantin akan kelihatan lebih indah dengan hamparan permaidani atau karpet. Banyak karpet yang mempunyai keunggulan tersendiri. Karpet dapat mengubah suasana ruangan menjadi romantis dalam sekelip mata.

Karpet juga dapat menutup jubin atau lantai yang sudah retak tanpa kita harus bersusah payah membongkar lantai.

Penggunaan kipas atau alat pendingin udara serta aroma harum juga boleh membawa keselesaan serta kesan yang tenang kepada semua yang berada di dalam bilik pengantin.

Membeli barang-barang untuk menghiasi bilik pengantin seperti bunga, cadar dan kain langsir, memakan masa dan perbelanjaan boleh mencapai $500 hingga $800.

Ada kala pengantin lebih selesa menggunakan khidmat penata hias dan harga khidmat mereka juga berpatutan.

Khidmat yang ringkas sekitar $400 hingga $900 dan khidmat penuh iaitu termasuk membina perabot dan katil boleh mencapai ribuan dolar.

Nota: Penulis ialah konsultan tata hias dari Facelift Design & Interiors Laman web beliau ialah http://www.faceliftdesign.biz

Cyberita

About these ads

Leave a Reply

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

Follow

Get every new post delivered to your Inbox.

%d bloggers like this: