Archive | Anuar Zain RSS feed for this section

Tiada Persembahan Menyerlah

10 Jan

Oleh Wan Asrudi Wan Hasan
wanasr@hmetro.com.my

Rap
BELUM ada persembahan yang boleh dikategorikan terbaik bagi lapan peserta yang masih meneruskan persaingan dalam program realiti nyanyian, My Starz LG musim kedua di Dewan Auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Ahad lalu.

Biarpun memasuki minggu ketujuh persembahan peserta ternyata belum menunjukkan keupayaan dan tahap kemampuan sebenar mereka. Daripada peserta yang masih bersaing semuanya masih mengulangi kesilapan sama pada setiap persembahan.

Makin ketara apabila pemilihan lagu yang kurang sesuai buat mereka. Hasilnya, persembahan mendapat kritikan ‘pedas’ juri profesional.

Bagi penyanyi dan juri tetap program itu, Liza Hanim kemampuan ditampilkan setiap peserta ternyata masih kurang konsisten dan dalam peringkat memperbaiki kelemahan dalam setiap persembahan mereka.

“Peningkatan mereka berbeza-beza bagi sesetengah peserta. Jika minggu terdahulu ada dalam kalangan peserta yang menunjukkan peningkatan dari segi persembahan.

“Sebaliknya pula bagi konsert kali ini apabila peserta menunjukkan persembahan baik pada minggu sebelumnya gagal beraksi lebih mantap.

“Begitupun, ada peserta yang memandang serius setiap teguran yang diberikan juri selain membaiki kelemahan yang mereka hadapi dari semasa ke semasa.

“Saya nampak ada beberapa perubahan pada persembahan mereka. Sebagai contoh, Azri yang menampilkan persembahan ringkas dan tenang ternyata membuatkan penonton terhibur.

“Apa yang saya perhatikan kebanyakan daripada mereka berdepan masalah dari segi pemilihan lagu yang tidak sesuai dengan vokal mereka. Ada yang kita tahu di antara peserta ini memiliki vokal mantap tetapi menyanyikan lagu tidak kena dengan suara mereka,” katanya.

Selain Liza, persembahan peserta dinilai penyanyi, Hattan dan komposer terkenal, Adnan Abu Hassan sebagai juri undangan. Pemarkahan peserta dinilai berdasarkan 70 peratus daripada juri manakala selebihnya ditentukan menerusi undian SMS penonton.

Bagi Hattan pula secara keseluruhannya persembahan peserta tiada yang menyerlah. Mungkin disebabkan penyampaian suara dan lagu tidak sesuai dengan mereka. Malah menganggap ia sebagai persembahan hiburan yang biasa.

Hampir sebahagian besar peserta mendapat respons negatif daripada juri yang menilai persembahan mereka. Paling ketara pemilik suara ala rocker, Mohd Hairi Kenneith atau Hairi yang menyampaikan lagu Arjuna, Mohd Farouk Jayfiena Ermand (Feroq/ Demi Waktu).

Manakala Noriezuana Syed Shafudin (Wana/ Rembulan) dan Cassandra Daniel Manja (Cassie/ Bisakah) bagi peserta wanita. Begitu juga nasib yang menimpa peserta dari Sarawak, Fiona John Nolly yang menyampaikan lagu Atas Nama Cinta manakala lagu Janji Kasih oleh Norshamimi Ahmad Haris (Mimie).

Segalanya seperti tidak kena buat pemenang persembahan terbaik minggu keenam yang berasal daripada Pulau Pinang, Wan Nashrinie Zafri (Nashrin) apabila lagu Ketulusan Hati yang dipopularkan Anuar Zain gagal menarik perhatian juri. Konsert berkenaan ternyata milik pemuda berasal daripada Selangor, Mohd Azri Abdullah (Azri) yang menyanyikan lagu Sempurna.

Azri turut muncul pemenang persembahan terbaik juri pada minggu itu sekali gus membawa pulang sistem Hi-Fi LG DVD mikro selain terselamat daripada episod penyingkiran akan datang.

Konsert berkenaan turut dihangatkan lagi dengan kemunculan istimewa finalis Anugerah Juara Lagu 2008, Elyana yang menyanyikan lagu Molek di penghujung rancangan.

Program yang diacarakan Nazruddin Habibur Rahman (Naz) dan Puteri Andreanna Syigim (Anne) disiarkan di TV3 setiap Ahad jam 9.30 malam.

Di samping konsert, peminat yang ingin mengikuti perkembangan dan aktiviti peserta dapat menonton menerusi program My Star LG Star Lives yang dikendalikan Khairul Ikhwan Rosli (Ikhwan) yang disiarkan menerusi saluran dan hari sama jam 5.30 petang.

Pemenang bakal membawa pulang hadiah wang tunai bernilai RM100,000, produk LG serta menandatangani kontrak rakaman bersama syarikat rakaman terkemuka, Warner Music Malaysia.

Harian Metro

Tini Pilih 22 Februari

8 Jan

Oleh Norhadiani Baharom
yanie@hmetro.com.my

Rap

SETAHUN berjauhan dengan buah hatinya dan tatkala itu dia pasrah andai si jejaka mula berubah hati atau sudah tidak mampu bertahan dengan keadaan yang memisahkan mereka.

Baginya, apa yang lebih penting dia perlu melengkapkan pengajiannya peringkat Sarjana Kewartawanan Televisyen di University of London sebaik mungkin kerana pelajaran adalah jaminan masa depan.

Namun, setahun yang cukup menguji tidak sedikit pun merubah hati si dia malah saban hari hubungan yang terjalin sebagai sahabat pada mulanya kian intim dan membuahkan rasa cinta mendalam.

“Kami sering berhubung menerusi telefon, e-mel dan chatting. Walaupun berjauhan dia tetap mengambil berat sama seperti sebelumnya, ketika saya masih berada di Kuala Lumpur,” kata penyampai Hot FM, Kartini Kamarul Ariffin (Tini), 30.

Kesetiaan, Nur Sulhi Jasmin (Sol), 28, itu menambat hatinya, lalu sekembali Tini ke tanah air sekitar Ogos 2007, mereka mula memikirkan secara serius ke mana akhirnya arah tujuan percintaan itu.

“Memandangkan ada keserasian dan saling memahami, kami mengambil keputusan berkahwin. Syukur, keluarga kedua-dua belah pihak merestui hubungan ini dan tidak menghalang niat baik kami.

“2009 adalah tahun yang paling sesuai memandangkan tahun lalu saya tidak sempat merancang apa-apa kerana fokus dan keutamaan adalah pada Hot FM,” katanya.

Penyampai Menu Muzik Hot FM yang ke udara Isnin hingga Jumaat dari jam 1 tengah hari hingga 4 petang ini memilih 22 Februari 2009 untuk mengakhiri zaman gadisnya.

Majlis pernikahan akan diadakan pada waktu pagi dan disusuli majlis persandingan (tengah hari) apabila kedua-dua upacara itu akan dilangsungkan di Dewan Perdana Felda. Manakala majlis resepsi sebelah lelaki pula diadakan 28 Februari di Kota Tinggi, Johor.

Tini mengimpikan sebuah majlis perkahwinan ringkas namun praktikal serta memberi keselesaan kepada semua tetamu. Tanpa melupakan adat budaya orang Melayu, harapan Tini agar majlis itu meninggalkan kenangan manis kepada setiap orang.

Menyingkap detik perkenalan, Tini mengenali jejaka itu sekitar 2006 ketika terbabit dalam satu tugasan sebuah program hiburan terbitan TV3. Mengenai usia pemuda itu yang dua tahun lebih muda daripadanya juga bukan masalah bagi Tini.

“Dia orang dalam industri juga dan terbabit dalam acara pengurusan pentas. Kami kenal sewaktu sedang bekerja. Mengenai perbezaan usia, saya tidak melihat ia sebagai satu isu, yang penting dia matang.

“Memanglah kalau boleh, sebagai perempuan mengharapkan pasangan kita itu lebih berusia daripada umur kita tapi kalau jodoh hendak buat macam mana? Walaupun dua tahun lebih muda, saya rasa dia lebih matang kerana seorang yang penyabar dan tenang sementara saya ini agak baran,” katanya.

Bercerita mengenai perancangan untuk 2009, selain berusaha memantapkan Hot FM dengan menyediakan wadah terbaik, Tini yang turut mengendalikan segmen English Chart Show (20 lagu terbaik antarabangsa) bersama Leya di Hot FM, dia akan kembali mengacara program 3R musim ke-14 yang tampil dengan pelbagai kelainan serta isu lebih hangat.

Mengembangkan lagi bakat mengacara, Tini mengintai peluang untuk mengendalikan bercorak travelogue yang lari daripada kebiasaan program kendaliannya.

Meminati program ‘Travel & Living’, Tini cukup tertarik dengan konsep program itu yang memaparkan pelbagai tempat menarik, keunikan budaya serta makanan tradisi sesebuah masyarakat.

“Tidak hanya mensasarkan program berbentuk dokumentari, untuk 2009 juga saya akan membabitkan diri secara serius dalam bidang penulisan skrip. Sebelum ini saya pernah menyumbang idea untuk program seperti 3R, bagaimanapun, kali ini saya menulis skrip untuk drama TV.

“Proses itu sudah dimulakan dan saya mengharapkan percubaan ini berjaya lantas membuka laluan untuk terus bergiat secara aktif. Insya-Allah, jika ada keizinan daripada-Nya saya juga merancang menerbitkan program sendiri,” katanya.

>Profil

Nama: Kartini Kamalul Ariffin

Panggilan: Tini

Tarikh lahir: 24 Oktober 1978

Asal: Petaling Jaya

Hobi: Bersukan, futsal dan termenung ingat nasib!

Siri TV / Drama / Filem: 3R (Respect, Relax, Response, Prelude Kemuncak AIM Ke 15, Gol & Gincu

Penyanyi pujaan: Mariah Carey, Dewa 19, Ning Baizura, Anuar Zain

Siri TV kegemaran: America’s Next Top Model & Travel & Living Channel

Filem kegemaran: Gol & Gincu dan Cinta

Harian Metro

Lagu Selesa Hampakan Juri

7 Jan

Oleh Zul Husni Abdul Hamid
zhusni@bharian.com.my

HATTAN tidak berpuas hati dengan persembahan peserta pada minggu ketujuh.

Liza Hanim dan Hattan mahu peserta MyStarz LG bawa lagu yang lebih mencabar

TUJUH minggu bersiaran, lapan peserta masih meneruskan perjuangan namun perjalanan panjang itu belum memadai untuk mengangkat prestasi mereka ke tahap yang diharapkan.

Itu yang berlaku pada persaingan minggu ketujuh Konsert My Starz LG yang berlangsung di Auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), malam Ahad lalu apabila kebanyakan peserta gagal memberikan persembahan meyakinkan serta memuaskan hati juri profesional.

Apa yang menghampakan dua juri tetap, Liza Hanim dan Hattan apabila kebanyakan peserta salah memilih lagu, bahkan masih bersandar kepada lagu selesa yang langsung tidak memberi cabaran dalam penyampaian mereka.

Di sebalik kelemahan itu, Liza mengakui, kebanyakan peserta semakin prihatin dengan teguran yang diberikan malah cuba memperbaiki kekurangan pada persaingan bertemakan Cinta itu.

“Perubahan memang jelas tetapi agak mengecewakan apabila persembahan peserta pada minggu ini kurang memberangsangkan. Mereka tahu di mana kemampuan sebenar tetapi entah kenapa masih enggan mencuba lagu yang lebih mencabar.


MIMIE bangkit
daripada kelemahan
dan tampil meyakinkan
dengan Janji Kekasih.

“Ramai memilih lagu yang selesa untuk dinyanyikan tanpa menyedari ini adalah pertandingan di mana mereka harus membuktikan segala kelebihan yang ada,” kata Liza.

Pandangan yang sama turut dikongsi Hattan yang menyelar peserta kerana enggan keluar daripada kepompong keselesaan mereka.

Beberapa peserta seperti Wana atau nama sebenarnya, Noriezuana Syed Shafudin umpamanya, kata Hattan, mempunyai julat suara yang besar malangnya enggan mencuba lagu yang menguji kemampuan sepenuhnya.

Lagu Rembulan nyanyian asal Krisdayanti yang menjadi pilihan peserta dari Skudai, Johor itu disifatkan Hattan tidak mempunyai sebarang keistimewaan walaupun Wana memiliki mutu vokal membanggakan.

“Kebanyakan peserta memilih lagu yang selamat menyebabkan persembahan pada malam ini hanya seperti sebuah showcase. Tidak nampak kesungguhan mereka untuk menonjolkan kekuatan vokal walaupun mempunyai peluang melakukannya,” kata Hattan.

Penyanyi berpengalaman itu turut menyelar kecenderungan peserta memilih lagu penyanyi dari Indonesia, sedangkan komposisi tempatan juga mempunyai pelbagai pilihan lagu yang mencabar kekuatan vokal.

Menyifatkan tiada peserta yang menawarkan persembahan mengujakan, Hattan berkata, peserta perlu bijak menggunakan kesempatan yang ada dan mempamerkan kelebihan bakat yang mereka miliki.

Pada malam persembahan yang menampilkan Elyana sebagai artis undangan, kelebihan berpihak kepada Mohd Azri Abdullah atau Azri yang membawakan lagu Sempurna daripada Andra & The Backbone apabila dipilih juri memenangi Persembahan Terbaik.

Kemenangan itu memberi ruang selesa kepada peserta berusia 21 tahun itu kerana terselamat daripada penyingkiran pada minggu akan datang.

Andai Azri berada pada kedudukan selesa, nasib tujuh peserta lain pula masih terumbang-ambing namun finalis seperti Mimie dan Wana dijangka akan terselamat berdasarkan kepada prestasi persembahan yang dipamerkan.

Liza sendiri menyifatkan Mimie atau nama sebenarnya, Norshamimi Ahmad Haris menunjukkan peningkatan memberangsangkan berbanding persembahan minggu lalu.

Biarpun tidak terlepas daripada melakukan kesilapan terutama dari segi pernafasan, Mimie yang memilih Janji Kekasih dipopularkan Datuk Siti Nurhaliza berjaya menyuntik penghayatan dan tenaga dalam persembahannya.

Agak malang bagi Fiona Anak John Nolly atau Fiona kerana Atas Nama Cinta nyanyian asal Rossa yang menjadi pilihannya kurang berkesan, membuatkan dia kemungkinan berada pada kedudukan bahaya.

Juga kurang berjaya memberi persembahan mengesankan ialah pemenang Persembahan Terbaik pada minggu lalu, Wan Nashrinie Zafri atau Nashrin yang memilih lagu Anuar Zain, Ketulusan Hati.

Juri jemputan, Adnan Abu Hassan menegur Nashrin supaya memilih nada lagu bersesuaian dengan kemampuan suaranya untuk menampilkan nyanyian selesa.

Hattan juga memberikan pandangan yang sama kerana setiap minggu katanya, Nashrin berdepan masalah terutama ketika melontarkan suara pada bahagian korus lagu.

Mohd Hairi Kenneith (Hairi), Mohd Faoruk Jayfiena Ermand (Feroq) dan Cassandra Daniel Manja atau Cassie turut berdepan masalah dalam persembahan mereka, namun apakah penonton akan terus memberikan peluang kepada mereka bertiga?

Selain juri yang mewakili 70 peratus pemarkahan, 30 peratus lagi diputuskan penonton menerusi Khidmat Pesanan Ringkas (SMS).

Berita Harian

Menaruh Harapan

6 Jan

Oleh Zaidi Mohamad
zaidim@bharian.com.my

Riz dan Alyah.

Pertama kali digandingkan, Riz dan Alya berharap semuanya itu memberi tuah dalam dunia muzik

KOMPOSER Ajai menyatukan mereka buat julung kalinya. Ia seperti medan paduan antara Alyah dan Naib Juara Akademi Fantasia musim keenam (AF6), Riz.

Lagu Ku Pinjam Satu Bintang menjadi pertaruhan Ajai buat mereka untuk dinyanyikan bersama dan klip videonya sudah dirakamkan di Jakarta pada Ogos lalu diarahkan Hedy Suryawan.

Sekali pandang, klip video itu persis gaya nyanyian Marcell dan Shanty dalam lagu Hanya Memuji.

Namun bukan hal itu yang mahu diperbesarkan sebaliknya keserasian Alyah dan Riz mengalunkan lagu itu wajar dipuji. Tidak salah percaturan Ajai menggabungkan mereka kerana komposer itu sendiri menyedari keserasian suara mereka.

Seperti Alyah, Riz juga menggunakan khidmat Ajai untuk menjadikan album sulungnya yang berkonsepkan pop berada di pasaran awal bulan ini. Menurut Riz, empat lagu sudah siap dirakamkan iaitu Bermula Semula, Harus Ku Yang Pergi, Hanya Sandiwara dan lagu duetnya dengan Alyah.

Di sebalik populariti dan tuah yang dikecapi menerusi program AF6, Riz masih gigih mengharungi kerjaya nyanyiannya.

“Saya ada menerima tawaran berlakon drama tapi belum bersedia lagi. Saya tidak mahu terkejar-kejar membuat dua perkara dalam satu masa. Biar saya fokus kepada nyanyian dulu dan apabila sudah betul-betul stabil barulah saya mencuba bidang lakonan,” kata Riz yang pernah menganggotai kumpulan Equal Star.

Mengenai Alyah, Riz mengakui tidak berapa biasa mendengar nama dan kelibat penyanyi yang mula melakar dunia seni sejak menjuarai pertandingan Bintang HMI 2000 ini.

“Apabila diberitahu Ajai berkenaan perancangan dengan Alyah, saya memang agak risau pada mulanya kerana belum pernah mendengar suaranya. Bimbang juga sama ada suara kami sesuai untuk digandingkan bersama.

“Banyak perkara berlegar-legar di fikiran saya, namun hasilnya kini ia sangat membanggakan. Dia (Alyah) memang sangat baik, peramah dan berbakat besar. Suaranya lantang, namun sebelum ini dia tidak mempunyai tuah untuk bersinar.

“Jujur memang saya takut juga berdepan dengan keadaannya yang belum berjaya untuk menyinar. Bayangkan dia yang sudah lama berada dalam bidang ini tetapi masih menghadapi kesukaran. Malahan dia sering dianggap seperti penyanyi baru pula. Tapi dia patut bersyukur kerana ketika berdepan dengan pelbagai masalah, abangnya pula sudi menerbitkan album untuknya,” kata Riz.

Tabah hadapi pelbagai dugaan

BAGI Alyah, dia berbangga kerana digandingkan dengan Riz. Menurutnya, ia satu peluang keemasan dan hanya menanti keajaiban untuk dirinya sendiri mengharapkan sinar baru dalam dunia yang diceburi ini.

Kata Alyah, album terbarunya yang menggunakan judul Alyah mengambil masa hampir setahun dan berkat bantuan serta inisiatif abangnya, Bob atau Muhammad Fazdil, dia kini merealisasikan impiannya yang sering terbantut.

Penyanyi berusia 27 tahun ini mengharungi perjalanan seni yang sangat berliku-liku. Pelbagai usaha dilakukan tetapi semuanya berakhir dengan kegagalan. Alya pernah menyertai pertandingan realiti One In A Milliom musim pertama, tetapi tersingkir pada minggu keempat program itu.

Dia kemudian hampir menyertai kumpulan One Nation Emcee untuk bertanding dalam program Gang Starz musim kedua. Namun, pelbagai masalah timbul sehingga Alya berdepan dengan keadaan yang sukar menyebabkan dia terpaksa menarik diri pada saat akhir.

Penyanyi ini juga pernah terbabit dengan Fabolous Cats untuk projek album sulung berjudul Fantastik tetapi sekali lagi terpaksa menarik diri kerana masalah kesihatan.

Selain kerjaya seninya, Alya juga menghadapi kisah peribadinya yang menyedihkan. Hubungannya dengan Irfan, jejaka Indonesia yang bekerja di Malaysia hanya bertahan selama tiga tahun. Jalinan cinta itu hampir mekar ke gerbang perkahwinan, namun entah apa silapnya beberapa hari sebelum kahwin, ia berakhir tanpa diduga.

“Hubungan Alyah dengan Irfan berjalan lancar tapi jodoh kami tak kuat untuk terus bersama. Tiba-tiba ia tak menjadi dan dia hanya mampu berkata kami sudah tidak serasi untuk meneruskan hubungan ke peringkat seterusnya. Ketika itu hanya tuhan saja yang tahu betapa pedih dan hancurnya hati Alyah.

“Selama ini apa yang Alyah lakukan tidak pernah berkesudahan dan Alyah sudah serik hingga tidak mampu digambarkan dengan kata-kata. Bukan terpalit dengan soal kerjaya dan perkahwinan yang tak menjadi, Alyah juga mengalami masalah kesihatan gara-gara memakan pil kurus,” katanya.

Berputus asa dengan pelbagai masalah yang dihadapinya, Alya memutuskan untuk berehat bersama keluarganya di Johor dan menguruskan kafe yang sudah beroperasi selama lapan bulan.

“Kafe itu berkonsepkan restoran dan karaoke yang kini diuruskan oleh kakak Alyah sebab Alyah kembali meneruskan kerjaya sebagai penyanyi,” katanya.

Menidakkan apa yang berlaku kepadanya umpama badi, Alyah berpendapat mungkin belum rezekinya untuk terus menyerlah. Dia menyedari ada banyak kesilapan yang sudah dibuat, lalu peluang dan kesempatan baru ini perlu diambil dan dipergunakan sebaik mungkin.

Menurut Alyah, dia bersyukur dan bangga kerana mempunyai abang yang memahami keinginannya untuk menjadi penyanyi berjaya lalu membantu sebaik mungkin sehinggalah terhasil album yang dimilikinya sekarang.

“Ini peluang kedua dan mungkin terakhir Alyah untuk terus menyinar. Alyah mahu membuktikan kepada semua orang bahawa diri ini memang bersungguh-sungguh. Tawaran abang ini wajar Alyah ambil demi memperbetulkan keadaan dan memperkenalkan diri semula. .

“Mungkin juga selama ini nasib dan rezeki tak pernah berpihak kepada Alyah dan Alyah lihat ada juga artis yang sudah meningkat umur seperti Rozita Che Wan masih mampu meledak. Ia bergantung kepada tuah dan Alyah akan terus mencuba dan mencuba,” katanya yang kini mendapat sokongan 100 peratus daripada abang dan keluarganya.

PROFIL: Alyah Nama penuh: Noor Hasliah Abu Hasan

Tarikh lahir: 3 Januari 1981

Asal: Gelang Patah, Johor

Hobi: berenang, memasak, menyanyi dan mengembara

Idola: Celine Dion, Aishah, Sheila Majid dan Anita Sarawak

Pencapaian muzik Juara wirawan EON (1994) Juara Bintang Pepsi (1996) Juara Suara Johor (1997) Naib Johan Asia Bagus (1998)

PROFIL: Riz AF6 Nama Penuh: Mohammed Idris Mohd Zaizizi

Tarikh lahir: 19 Disember 1986

Asal: Gerik, Perak

Pencapaian: Naib juara Akademi Fantasia musim keenam Pernah menganggotai kumpulan Equal Star dan pernah menyertai pertandingan Gang Starz musim pertama

Laman web: rizfc.forumotion.com

Ingin berduet dengan: Datuk Siti Nurhaliza, Jaclyn Victor dan Anuar Zain

Berita Harian

Deja Kena Rehat Setahun

5 Jan

Oleh Norhayati Nordin
yati@hmetro.com.my

Rap
SELEPAS empat bulan mendirikan rumah tangga, tiada apa yang lebih menggembirakan pasangan suami isteri melainkan soal anak. Namun, tidak semua bertuah apabila dugaan Tuhan sukar dijangka dan begitulah juga dialami penyanyi, Deja Moss.

Di kala dia mengimpikan bersanding ‘bertiga’ dengan anak dikandung, anugerah berharga itu ternyata tidak mampu menjadi miliknya dan suami, Azfendy Azzuddin. Tanggal 23 Disember lalu, Deja terpaksa menjalani pembedahan membuang kandungan.

Betapa sedihnya hati wanita berusia 35 tahun itu apabila doktor mengesahkan dirinya mengandung di luar rahim. Menurut Deja atau nama sebenarnya, Sharifah Hadijah Wan Moss, dia gembira mengetahui diri mengandung pada 21 Disember lalu.

“Namun, ia tidak berpanjangan apabila tiga hari selepas itu saya perlu menjalani pembedahan membuang kandungan. Ketika itu, usia kandungan baru mencecah enam minggu dan ia perlu dibuang supaya tidak jejaskan kesihatan diri.

“Tidak dinafikan, apabila dapat tahu mengandung saya sangat gembira. Lebih-lebih lagi, tidak sangka kehadiran kandungan itu. Apapun, saya sedar semuanya ketentuan Tuhan dan perlu reda menghadapinya. Begitu juga dengan suami saya.

“Bagaimanapun, jauh di sudut hati saya tahu suami sangat sedih. Cuma, keputusan ini perlu diambil demi keselamatan. Malam ini (Khamis lalu) pun, saya gagahkan diri untuk majlis persandingan yang sudah diatur keluarga mentua,” katanya.

Kata penyanyi kelahiran Sarawak yang popular dengan lagu Asmara Ini, dalam sejarah keluarganya memang tiada adik-beradik atau saudara mengandung di luar rahim. Justeru, apabila perkara itu menimpa diri, Deja tidak tahu apa puncanya.

Ditanya mengapa enggan menangguhkan majlis persandingan di sebelah lelaki di Dewan Perdana Felda, Jalan Semarak, Kuala Lumpur pada 1 Januari 2009, Deja berkata keluarga mentuanya sudah bersusah-payah membuat persiapan majlis sejak sebulan lalu.

“Lagipun, kira-kira 90 peratus persiapan sudah siap, lebih baik diteruskan saja dan saya boleh berehat panjang selepas majlis selesai. Apapun, memang ketika naik tangga ke pelamin saya terasa sakit sikit sebab itu berjalan perlahan.

“Maklumlah, baru tujuh hari keluar dari Hospital Gleneagles, Jalan Ampang. Tempoh berpantang pun seperti wanita bersalin. Jadi, saya kena banyak rehat dan tidak boleh melakukan kerja berat termasuk menyanyi. Oleh itu, saya akan berehat panjang,” katanya.

Menurut anak pasangan Wan Moss Wan Hamid dan Kasmah Reduan itu lagi, doktor juga menasihatkannya supaya berehat selama enam bulan hingga setahun sebelum kembali aktif menyanyi serta merancang keluarga. Jadi, Deja akan rehat dulu.

Sementara itu, Azfendy, 29, berkata pada mulanya dia risau juga melihat keadaan Deja. Namun, tidak mampu menangguhkan majlis kerana persiapan sudah dibuat. Apapun, katanya dia serta isteri mengambil langkah berbincang dengan doktor.

“Doktor tidak menghalang tetapi Deja disaran banyak berehat. Justeru, bagi majlis persandingan ini saya pastikan dia (Deja) tidak terbabit langsung dengan kerja persiapan. Tetapi, mengenali isterinya itu, baginya Deja memang seorang yang tidak boleh duduk diam.

“Alhamdulillah, saya tetap bersyukur kerana Deja kuat semangat. Sekalipun masih sakit, dia tahan juga. Itulah kekuatannya yang cukup saya kagum. Justeru, saya akan pastikan dia benar-benar sudah sembuh sebelum aktif semula,” katanya.

Menceritakan saat mengetahui isteri tercinta mengandung, Pengurus Besar DC Industries ini berkata, siapa yang tidak terlalu gembira. Tetapi, apabila bermasalah kena buat pilihan dan walaupun sedih, keselamatan Deja perlu diutamakan.

“Kami juga tidak pernah merancang bila akan mempunyai anak. Namun, sudah tiada rezeki. Bagi majlis persandingan ini, kami sudah merancang anjurkan secara ringkas tetapi meriah. Alhamdulillah, nampaknya semua lancar,” katanya.

Pada majlis persandingan merpati dua sejoli itu, pasangan pengantin tampil bergaya dengan busana putih krim yang menyerlahkan kejelitaan Deja dan wajah kacak Azfendy. Tepat jam 8.50 malam, Deja yang anggun dengan kebaya rekaan Cosry, dipimpin Azfendy masuk ke dalam dewan.

Memilih rekaan pelamin indah ala ‘persandingan dalam taman’ dan majlis berlangsung sangat pantas. Selepas sesi tepung tawar dilakukan tetamu kenamaan (VIP) dan keluarga, pengantin terus dibawa menjamu selera dan diakhri majlis memotong kek. Deja dan Azfendy memotong kek perkahwinan setinggi empat tingkat.

Antara tetamu VIP ialah Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin Abu Bakar manakala rakan artis, Anuar Zain, Bob (AF2) dan Rem, Ziela Jalil, Ahmad Idham Ahmad Nadzri bersama isteri, Jameah Abdul Aziz; Nazrudin Habibur Rahman dan Sheahnee Iman Lee yang melangungkan persandingan di tempat sama pada 8 Julai lalu.

Mereka disambut dengan ramah oleh ibu bapa Azfendy, Leftenan Jeneral (B), Datuk Azzuddin Ahmad dan Datin Dayang Hasiah Abang Abdul Samad.

Majlis diserikan dengan persembahan Misha Omar, Farhan (AF4) dan Sharifah Zarina. Misha memilih lagu popular Jim Brickman, Destiny manakala Sharifah Zarina dengan lagu Ruth Sahanaya, Kaulah Segalanya.

Deja dan Azfendy melangsungkan pernikahan di Masjid Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur pada 30 Ogos lalu yang juga sehari sebelum puasa. Mereka sudah saling mengenali sejak 13 tahun lalu, namun episod percintaan mereka bermula lebih setahun dalam satu pertemuan di kediaman keluarga Azfendy.

Majlis resepsi keluarga pengantin perempuan diadakan di Kuching pada 16 November tahun lalu manakala keluarga pengantin lelaki di Kuala Lumpur sepatutnya diadakan 30 November tetapi ditukar kepada 1 Januari lalu.

Harian Metro

Tahan Sakit Ketika Bersanding

5 Jan

Oleh Zul Husni Abdul Hamid
zhusni@bharian.com.my

Deja Moss tetap ceria bersama suami walaupun banyak dugaan dihadapi

MASIH terasa perit kesan pembedahan yang terpaksa dilalui Deja Moss seminggu sebelum majlis persandingannya diadakan.

Namun dikuatkan juga semangat untuk menempuh detik bersejarah itu biarpun hanya berlangsung empat bulan selepas mereka bersatu sebagai suami isteri.

Mengenangkan segala persiapan yang dibuat oleh keluarga mentuanya, penyanyi kelahiran Kuching, Sarawak itu mengetepikan segala kesakitan yang terpaksa dilaluinya.

Malah pemilik nama penuh, Sharifah Hadijah Wan Moss, 35, itu sentiasa tersenyum berkongsi kebahagiaan yang dikecapinya bersama tetamu yang hadir.

Pada malam 1 Januari lalu, Dewan Perdana Felda di Jalan Semarak, Kuala Lumpur, menjadi saksi kebahagiaan yang dinikmati Deja selama empat bulan bergelar isteri kepada Azfendy Azzuddin atau Andy.

Dalam enak melayari bahtera rumah tangga yang meraikan cinta antara dua jiwa ini, pasangan yang diijabkabulkan pada 30 Ogos lalu di Masjid Wilayah, Jalan Duta, juga tidak terlepas daripada diduga.

Beberapa minggu selepas disatukan, ketabahan Deja diuji apabila adik kesayangannya menghembuskan nafas terakhir dalam satu tragedi menyayat hati.

Kekuatan Deja sekali lagi diduga ketika dia dan suaminya membuat persiapan persandingan di Pustaka Negeri Sarawak, Kuching apabila pakaian yang dijanjikan tidak siap pada waktunya.

Dalam kekalutan, penyanyi yang cukup masyhur dengan lagu Di Matamu Aku Di Jiwamu Dia terpaksa mencari baju ganti pada saat akhir.

Mujur atas budi bicara pereka terkenal dari Cosry, Putra masalah itu dapat diatasi dan majlis persandingan di kampung kelahiran Deja di Kuching berjalan lancar.

Sekali lagi Deja berdepan cabaran besar sembilan hari sebelum majlis persandingan sebelah suami berlangsung. Dia terpaksa menjalani pembedahan apabila kandungannya yang berusia enam minggu terpaksa dibuang kerana mengandung luar rahim.

Atas nasihat doktor, Deja terpaksa memilih keputusan berat itu kerana jika berdegil, ia hanya akan membahayakan nyawanya.

“Kami tiada pilihan lain. Walaupun terlalu berat untuk dilakukan saya terpaksa berkorban kerana jika tidak nyawa saya dalam bahaya.

“Saya dan suami cukup gembira apabila dimaklumkan saya mengandung pada 21 Disember lalu. Agak terkejut juga kerana tiada tanda alahan atau masalah lain sepanjang tempoh itu, cuma sebelum ini selera makan saya bertambah.

“Bagaimanapun dua hari selepas mendapat berita gembira itu, saya mengalami pendarahan serius. Selepas mendapat nasihat teman, saya dan suami merujuk doktor pakar di Hospital Gleneagles, Ampang.

“Doktor mengesahkan saya mengandung luar rahim dan meminta supaya segera menjalani pembedahan untuk membuang saluran tiub fallopia sebelah kiri kerana kandungan saya melekat di saluran itu,” kata Deja dalam nada suara bergetar.

Cuba menyembunyikan kesedihan, malah sesekali riak kesakitan jelas tergaris di wajahnya, Deja yang anggun menggayakan rekaan Cosry malam itu tetap menggagahkan diri untuk meneruskan majlis yang dirancang.

Apatah lagi kata Deja, kad undangan sudah diedarkan malahan persiapan juga dibuat keluarga Andy sejak sebulan lalu membuatkan dia tidak sampai hati untuk menangguhkan majlis itu.

“Keluarga suami ada meminta supaya kami tangguhkan dulu majlis ini kerana saya baru seminggu menjalani pembedahan. Tetapi mengenangkan segala persiapan yang sudah dibuat, saya tidak sampai hati.

“Saya cuba kuatkan semangat dan terpaksa menahan sakit ketika naik tangga menuju ke pelamin. Selesai dibedah, saya begitu menjaga kesihatan dan makan ubat dengan teratur supaya dapat menjayakan majlis ini,” katanya.

Menempuh proses pembedahan selama dua jam 45 minit, Deja berkata, dia terpaksa berehat selama enam minggu sebelum kembali aktif mengadakan persembahan.

Tertangguh kerana masalah lokasi

DITANYA mengenai tarikh persandingan yang hanya dibuat selepas empat bulan sah sebagai suami isteri, Deja berkata, kesukaran mencari lokasi bersesuaian membuatkan mereka terpaksa menangguhkan sehingga 1 Januari lalu.

“Beberapa kali perancangan persandingan kami tertunda kerana mahu mendapatkan lokasi dan tarikh yang bersesuaian.

“Kebetulan dalam sibuk mencari, ada pihak yang membatalkan tempahan dan kami terus bersetuju untuk mengadakan persandingan di sebelah lelaki di sini,” katanya.

Disaksikan lebih 800 tetamu, majlis persandingan Deja dan Andy turut diserikan dengan persembahan artis seperti Misha Omar, Sharifah Zarina dan Farhan AF4 serta dihadiri Anuar Zain, Bob AF2 dan Saiful (Malaysian Idol).

Sementara itu, Andy berkata, pada mulanya dia agak risau memikirkan keadaan kesihatan Deja. Akur akan kesedihan dan kesakitan yang terpaksa dilaluinya, Andy cuma mampu menasihatkan Deja supaya banyak berehat dan menjaga keadaan dirinya.

“Banyak urusan saya ambil alih tetapi Deja tidak mahu duduk diam. Dia tetap mengambil tahu perjalanan majlis, membuatkan saya kagum dengan semangat yang dimilikinya.

“Ada kala dia kelihatan seperti menahan sakit tetapi dia cuba melindunginya kerana tidak mahu menghampakan mereka yang sudi memenuhi jemputan meraikan persandingan kami,” katanya.

Berita Harian

Artis Malaysia Cemerlang Di Luar Negara

27 Dec

Oleh Elrafaei Sapi
ahmadelrafaei@hmetro.com.my

Rap
MENYOROTI kejayaan sepanjang tahun ini, persada hiburan tempatan masih menunjukkan peningkatan pada pencapaian anugerah artis tempatan walaupun pasaran muzik belum menunjukkan perubahan positif pada jualan album. Berbeza dengan muzik, filem tempatan terus rancak ditayangkan di pawagam.

Tahun ini sebanyak 26 filem tempatan menemui penonton bermula dengan filem Jarum Halus arahan Mark Tan sekadar mencatat pulangan RM8,197 diikuti Kala Malam Bulan Mengambang (RM554,000), Cuci (RM2.04 juta), Dunia Baru The Movie (RM2.29 juta), Anak (RM1.2 juta) hingga terbaru Cicakman 2: Planet Hitam sebanyak RM2.7 juta. Bersama Cicakman 2: Planet Hitam yang masih ditayangkan, filem baru arahan James Lee, Histeria mula menemui penonton pada 18 Disember lalu manakala Brainscan: Aku & Topi Ajaib arahan Ahmad Idham pada 25 Disember lalu.

Melihat pencapaian bidang hiburan secara terperinci, tiga bidang dijadikan contoh terbaik untuk mengukur kecemerlangan iaitu pencapaian artis di peringkat antarabangsa, majlis anugerah dan pengiktirafan darjah kebesaran daripada kerajaan.

Naib juara program realiti One In A Million musim kedua, Nurshahila Amir Amzah atau Shila mencatat sejarah selepas memenangi anugerah emas pada Penang Shanghai World Star Quest (PSWSQ) yang diadakan di Pulau Pinang, hujung April lalu.

Shila, 18, yang menyampaikan lagu Memori Tercipta dinilai tujuh juri profesional.

Bermula dari situ, Shila menerima lamaran produksi antarabangsa, Disney Channel untuk merakam lagu dan video klip duet bersama pelakon popular Hannah Montana, Miley Cyrus.

Penyanyi Nur Nadia Fadila Abu Bakar atau Dia Fadila, 24, pula merakam kenangan manis menerusi penyertaan di Festival Melodi Emas Asean 2008 yang berlangsung di Bandaraya Ho Chin Minh, Vietnam selama lima hari bermula 16 Oktober lalu.

Menerusi pertandingan itu, Dia mengungguli juara kategori pop dengan membawakan lagu I’m Telling You yang pernah dipopularkan Jennifer Hudson dalam filem Dream Girls.

Dia juga berjaya mendapat tempat kedua kategori tradisional untuk Joget Kenangan Manis yang pernah dipopularkan Allahyarham Sudirman Arshad.

Penyertaan kali keempat pada Pertandingan Seni Persembahan Dunia (WCOPA) ke-12 yang berlangsung 17

hingga 29 Julai lalu di Los Angeles, Amerika, sekali lagi mencatatkan kenangan manis buat delegasi negara.

Dari penyertaan 39 kategori dan bersaing dengan 41 negara dari seluruh dunia, delegasi negara meraih 27 pingat emas, tujuh perak, dua gangsa dan 15 gelaran Champions Of The World.

Dua penyanyi tempatan, Norazmahwati Abd Aziz atau Noryn Aziz dan Ikhwal Hafiz Ismail (Iqwal) berjaya di peringkat antarabangsa.

Noryn meraih lima pingat emas, satu perak dan satu gelaran Champions Of The World manakala Iqwal mendapat empat emas dan satu perak.

Atas tiket kemenangan di WCOPA, Noryn dan Iqwal dijemput penganjur menyertai Pertandingan Anugerah Bakat Baru yang diadakan selama empat hari bermula 7 Ogos lalu. Namun, rezeki memihak pada Iqwal yag menang pada pertandingan kedua itu.

Iqwal berjaya mengalahkan lebih 2,000 penyanyi yang menyertai pertandingan itu sebelum enam penyanyi layak ke peringkat akhir.

Untuk majlis anugerah, Anugerah Juara Lagu ke-22 (AJL22) membuka tirai pada tahun ini sebaik diadakan pada 27 Januari lalu di Stadium Putra, Bukit Jalil, Kuala Lumpur.

Mempertandingkan tiga kategori iaitu pop rock, balada dan etnik kreatif, AJL 22 kali ini mengumumkan lagu Itu Kamu nyanyian kumpulan Estranged sebagai juara lagu. Sebelum itu, mereka menang kategori pop rock manakala balada dimenangi lagu Izinku Pergi yang disampaikan Sahri menggantikan penyanyi asal, Kaer Azami.

Kategori Etnik Kreatif memihak pada Nora yang menyanyikan lagu Samudera.

Penyanyi popular Asmawi Ani atau Mawi yang mempertaruhkan lagu Angan Dan Sedar tetap menang anugerah persembahan terbaik. Mawi juga mengulangi kejayaan di Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2007 (ABPBH 2007) yang diadakan dua bulan selepas itu.

Buat kali ketiga berturut-turut, Mawi mempertahankan gelaran Artis Paling Popular pilihan peminat yang mengundinya menerusi borang undian.

Mawi berjaya mengenepikan pemenang sebelum ini, Datuk Siti Nurhaliza. ABPBH 2007 yang diadakan di Arena of Stars, Genting Highlands, Pahang pada Mac lalu menjadi anugerah berprestij yang mengiktiraf artis tempatan berdasarkan keputusan undian peminat.

Mawi yang melangsungkan pernikahan dengan Norashikin Rahmat (Ekin) pada 20 Disember lalu mengalahkan Anuar Zain, Hazami, Adam dan Faizal Tahir untuk kategori Penyanyi Lelaki Popular.

Siti juga mempertahankan gelaran Penyanyi Wanita Popular yang dimenangi sejak 1996.

Kejutan pada malam itu memihak pada Dynaz yang meraih Anugerah Pelakon TV Wanita Popular manakala kategori lelaki menjadi milik Rosyam Nor.

Untuk ABPBH 2007 edisi ke-21 ini, tidak lupa mengiktiraf komposer M Nasir sebagai penerima Anugerah Khas Pencapaian Seumur Hidup.

Dua penyampai Hot FM iaitu Faizal Ismail dan Fara Fauzana digandingkan memenangi anugerah Penyampai Radio Popular.

Fara juga membawa pulang anugerah Pengacara TV Wanita Popular manakala kategori lelaki dimenangi Aznil Nawawi.

Majlis Anugerah Planet Muzik 2008 pada 20 April pula menyaksikan Malaysia selaku tuan rumah mencipta sejarah dengan kemenangan lapan anugerah dari 12 anugerah yang dipertandingkan.

Penyanyi popular, Siti Nurhaliza membuktikan kecemerlangan mempertahankan anugerah Penyanyi Wanita Paling Popular untuk kali kelapan berturut-turut meskipun tewas pada Krisdayanti untuk kategori Artis Wanita Terbaik.

Kejayaan manis artis tempatan turut dicatatkan menerusi KRU memenangi anugerah Cipta Planet Muzik, kumpulan Search (Anugerah Khas Planet Muzik), Anuar Zain (Artis Lelaki Terbaik), Farah Asyikin (Artis Wanita Baru Terbaik), Meet Uncle Hussain (Duo/Kumpulan Baru Terbaik) dan Estranged untuk Duo/Kumpulan Paling Popular dan Lagu Paling Popular menerusi Itu Kamu.

Penyanyi yang pernah mencipta kontroversi membuka baju dalam satu konsert, Faizal Tahir bangkit dari penggantungan tiga bulan apabila berjaya membawa pulang dua anugerah iaitu Artis Lelaki Baru Terbaik dan Artis Lelaki Paling Popular.

Faizal Tahir sekali lagi mencuri perhatian khalayak selepas menang besar pada Anugerah Industri Muzik ke-15 (AIM15) yang dipertandingkan pada 3 Mei lalu.

Faizal yang tercalon menerusi album Aku.Muzik.Kamu berjaya meraih empat anugerah iaitu Album Terbaik, Persembahan Vokal Terbaik Di Dalam Album Lelaki, Artis Baru Terbaik dan Album Rock Terbaik.

Siti Nurhaliza pula yang tampil dengan album Hadiah Daripada Hati memenangi dua anugerah untuk Album Pop Terbaik dan Susunan Muzik Terbaik kategori bahasa Malaysia.

Anugerah Lagu Terbaik untuk AIM15 menjadi milik Kaer Azami untuk lagu Izinku Pergi ciptaan Azlan Abu Hassan.

Pada 2 Ogos lalu, Malaysia diberi penghormatan sebagai tuan rumah Anugerah MTV Asia 2008 yang dilangsungkan dari Arena Of Stars, Genting Highlands, Pahang. Hanya satu anugerah dibawa pulang iaitu Artis Pilihan Malaysia yang dimenangi Nicholas Teo yang turut popular di Taiwan.

Nicholas berjaya mengenepi pemenang dulu iaitu Mawi yang pernah menang dua tahun lalu dan Siti Nurhaliza untuk empat tahun berturut-turut sejak 2002. Ternyata kemenangan Nicholas bukan hanya kejutan pada Mawi dan Siti tetapi calon lain seperti Faizal Tahir dan Pop Shuvit.

Bagi karyawan filem pula, Mamat Khalid mencipta sejarah pada Festival Filem Malaysia ke-21 (FFM21) yang berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) pada 9 Ogos lalu menerusi filem berkonsepkan hitam putih, Kala Malam Bulan Mengambang.

Filem arahan Mamat itu menang lima anugerah iaitu Pengarah Filem Terbaik, Filem Terbaik, Pelakon Lelaki Terbaik (Rosyam Nor), Penataan Seni Terbaik (Nazrul Ashraff) dan Pereka Kostum/Busana (Nasirah Ramlan).

Pengarah Yasmin Ahmad yang pernah mendapat pelbagai pengiktirafan antarabangsa diangkat sebagai penerima Anugerah Khas Juri pada Anugerah Skrin 2008 yang diadakan pada 7 November lalu.

Yasmin sebelum ini dikenali menerusi filem Sepet, Gubra, Mukhsin, Muallaf dan iklan Petronas di TV.

Anugerah Oskar 7 yang berlangsung pada 15 November lalu menyaksikan Shuhaimi Baba menguasai lima anugerah. Selain anugerah Direktor Filem 2008 Pilihan Juri yang dimenangi untuk tiga tahun berturut-turut, filem arahannya 1957: Hati Malaya berjaya meraih anugerah Aktor Filem 2008 Pilihan Juri menerusi Kamarulzaman Taib, Art Direktor Filem 2008, Sinematografi Filem 2008 dan Melodi Filem 2008 Pilihan Juri (lagu Hati

nyanyian Siti Nurhaliza).

Menutup tirai majlis anugerah tahun ini adalah Festival Filem Antarabangsa Kuala Lumpur 2008 (Kliff2008) yang adakan pada 29 November lalu. Ternyata penganjuran kali kedua ini terus meraih perhatian karyawan antarabangsa apabila Malaysia sebagai tuan rumah.

Sebanyak 191 penyertaan filem cereka diterima dari lima benua, tetapi hanya 22 filem bertanding untuk merebut 16 kategori anugerah.

Wakil tunggal negara, filem Wayang arahan Profesor Hatta Azad Khan hanya memenangi Anugerah Khas Juri manakala karya Saw Tiong Guan bertajuk, G16 G17 mengungguli kategori filem pendek mengatasi saingan enam peserta dari Iran, Australia dan Sepanyol.

Tahun ini, bidang hiburan juga berbangga dengan artis tempatan yang menerima darjah kebesaran daripada kerajaan.

Antara penerima tahun ini adalah Datuk Sheila Majid, Datuk Shuhaimi Baba dan David Arumugam.

Perjuangan seni ratu jazz, Sheila selama 23 tahun lalu dihargai apabila dikurniakan Darjah Kebesaran Indera Mahkota Pahang (DIMP) sempena ulang tahun Keputeraan Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah Ke-78 pada 24 Oktober lalu.

Sheila, 43, juga adalah isteri pada bekas pemain keyboard kumpulan Gersang, Hashridz Murshim Hassim atau Acis.

Dalam bercerita soal artis tempatan terima darjah kebesaran, bidang hiburan kecoh seketika selepas aktor Bollywood, Shah Rukh Khan menerima Darjah Mulia Seri Melaka (DMSM) yang membawa gelaran Datuk oleh Yang di-Pertua Negeri Melaka, Tun Khalil Yaakub pada penghujung bulan lalu.

Bagaimanapun, pengarah filem terkenal, Shuhaimi menerima Darjah Kebesaran Datuk Sultan Sharafuddin Idris Shah (DSIS) membawa gelaran Datin Paduka.

Shuhaimi, 58, yang pernah mengarah filem Pontianak Harum Sundal Malam antara 95 penerima darjah dan pingat kebesaran Selangor sempena Hari Keputeraa
n ke-63 Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah pada 10 Disember lalu.

Terbaru, pada 18 Disember lalu, anggota kumpulan Alleycats, David Arumugam atau nama sebenar Thiagarajan K R Arumugam menerima pingat Johan Setia Mahkota (JSM) dari Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin.

Harian Metro

Follow

Get every new post delivered to your Inbox.