Archive | Anugerah Skrin RSS feed for this section

Akhbar Vernakular Kuasai Iklan 2007

3 Jun

Oleh Mohamad Md Yusoff

Media cetak berbahasa Melayu perlu anjakan paradigma untuk kekal bersaing

INDUSTRI pengiklanan kini semakin berkembang pesat jika dilihat dari sudut perbelanjaan iklan. Menurut Nielsen Media Research, perbelanjaan iklan (Adex) sehingga November 2007 mencecah RM4.9 bilion bagi pelbagai media.

Daripada jumlah itu, akhbar meraih 55 peratus atau RM2.7 bilion, manakala televisyen memperoleh RM1.5 bilion (33 peratus). Media lain ialah radio RM219 juta, majalah (RM146 juta), sinema (RM23.7 juta), iklan luar (RM98.9 juta) dan pasar raya (RM52.3 juta).

Adex 2008 bagi Januari pula memperlihatkan trend pendapatan iklan akhbar masih mendahului media lain dengan meraih RM250 juta berbanding televisyen sebanyak RM128 juta.

Keseluruhannya, pada Adex Januari 2008 wujud peningkatan perbelanjaan sekitar 19 peratus iaitu RM428 juta berbanding RM360 juta dalam tempoh sama tahun lalu dan 2008 keseluruhan Adex 2008 dijangka tumbuh sekitar lapan peratus.

Hal ini memang dijangkakan kerana sepanjang 2007, pertumbuhan ekonomi negara memang memberangsangkan berikutan acara Tahun Melawat Malaysia serta kegiatan promosi berterusan oleh gedung beli-belah serta syarikat pembuatan sama ada dari dalam atau luar negara.

Malah, iklim perniagaan kita seolah-olah semakin mendapat suntikan selepas Bajet 2007 dibentangkan di Parlimen oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan 2008 pula menjanjikan perbelanjaan besar dalam Misi Nasional, khususnya berikutan Pilihan Raya Umum ke-12 Mac lalu.

Bagaimanapun, senario pendapatan iklan jika diperhatikan pada keseluruhannya amat membimbangkan kerana seolah-olah berlaku ketempangan pengagihan iklan di kalangan akhbar dan secara tradisi, akhbar vernakular berbahasa Inggeris dan Cina menguasai pasaran iklan.

Hal ini berlaku walaupun media akhbar mencatatkan peningkatan lapan peratus dengan jumlah pendapatan RM250 juta berbanding TV setakat RM129 juta pada Adex Januari 2008.

Persoalannya kini kenapa iklan akhbar masih mendominasi senario media iklan sedangkan secara tradisi media televisyen dan radio mempunyai penonton dan peminat yang ramai? Selain itu, kenapa akhbar Melayu masih terpinggir dari segi pendapatan iklan berbanding akhbar berbahasa Inggeris dan Cina?

Satu lagi persoalan ialah kenapa iklan internet tidak memperlihatkan pendapatan memberangsangkan sedangkan kita menuju ke arah e-kerajaan, e-ekonomi dan sebagainya.

Sesungguhnya, penguasaan akhbar vernakular berpaksikan bukan saja kepada faktor daya tarikan editorial dan pengurusan pemasaran, malah penonjolan dan strategi penjenamaan yang konsisten.

Akhbar Inggeris nampaknya begitu konsisten dalam penonjolan identitinya sehingga kepuasan pembaca pelbagai kaum menjadi mercu tanda peningkatan iklan sepanjang tahun. Segmen pasaran mereka pelbagai dan ia mendokong serta memenuhi kehendak sasaran dengan pendekatan bersepadu.

Akhbar berbahasa Cina pula memperlihatkan permuafakatan kaum Cina menerajui dan saling membantu pasaran yang semakin mengecil dengan pembabitan total pengusaha Cina serta didukung oleh kegiatan pemasaran yang agresif.

Walaupun jumlah akhbar Cina semakin banyak dan pasaran yang semakin mengecil, permuafakatan mereka untuk bergabung sebagai satu entiti dan sekali gus menyebarluaskan ke pasaran antarabangsa, amat memberangsangkan sekali.

Tentunya ia satu langkah bijak lagi berpandangan jauh. Maka, tidak hairanlah jika bukan saja mereka mendahului edaran akhbar terbesar dalam negara, malah kuasa beli dan sokongan pengiklan dalam dan luar negara amat menggalakkan.

Kepentingan mengangkat martabat bangsa dan bahasa mereka amat besar sehinggakan kelestarian dan kelangsungan hidup organisasi akhbar mereka sentiasa terjamin. Daripada sekecil akhbar sehingga ke konglomerat, industri akhbar Cina akan senantiasa mapan dan terpelihara.

Ini berlaku ketika akhbar berbahasa Cina mengalami penurunan pembaca sekitar 17.6 peratus berbanding 18.9 peratus pada 2006. Bagi akhbar Melayu dan Inggeris masing-masing sebanyak 26.8 peratus dan 9.3 peratus berbanding 27.8 peratus pada 2007 dan 10.5 bagi bahasa Inggeris pada 2006.

Namun, rata-rata pola pembacaan akhbar bahasa Melayu tetap tinggi lagi konsisten mendahului akhbar lain hampir 26.8 peratus pembaca, manakala keseluruhannya pembaca setiap akhbar sekitar 52.9 peratus. Akhbar Cina dan Inggeris sekadar mencatat 17.6 dan 9.3 peratus saja.

Dalam pada itu, keseluruhannya Adex November 2007 memperlihatkan betapa TV3 mendominasi 10 program terbaik dalam genre drama, cerita seram, berita, sukan, sinema, hiburan, anugerah skrin dan mendahului program stesen televisyen lain.

Bahkan, TV3 dengan drama Lestary mencatat jumlah penonton paling ramai iaitu 3.4 juta mendahului program berbahasa Melayu/Inggeris dan Mandarin dari stesen TV lain seperti RTM2, TV9, 8TV and NTV7.

Malah, TV3 masih mengungguli bilangan penonton paling ramai menonton TV berbahasa Melayu, Inggeris dan Mandarin berbanding stesen TV lain. Dalam hal ini, TV3 dengan hampir 3.4 juta penonton mengekalkan prestasi program terbaik seperti genre seram, Buletin Utama, Aksi, My Team, Sinema, Cerekarama, 360 dan Anugerah Skrin, berbanding program bahasa Inggeris dan Mandarin seperti Pearl Orient (1.4 juta) dan Mega movie (1.8 juta).

Rata-rata, industri televisyen tanpa bayar masih didominasi TV3 dan ia menguasai hampir 33 peratus pasaran pendapatan iklan berbanding akhbar sebanyak 55 peratus. Nyata, Media Prima berjaya memastikan pendapatan iklan dan pasaran penonton Melayu, Cina dan India dimonopoli TV3 dan stesen lain di bawah naungannya.

Dalam hal ini, pengiklan terbesar terdiri daripada Digi, Maxis, Celcom, TM, Petronas, kerajaan, Tourism Malaysia, Sunsilk, Courts Mammoth, KFC dan lain-lain. Walaupun pengiklan terdiri daripada syarikat multinasional dan tempatan, trend iklan masih mendominasi akhbar tempatan dan TV3.

Rata-rata pengiklan tempatan menerajui penjana iklan terbesar untuk setiap media di negara kita tanpa mendiskriminasi akhbar dan stesen televisyen. Bahkan, pertimbangan mereka berpaksikan faktor pasaran, kuasa beli dan sekali gus kuasa pengurusan editorial yang bijaksana lagi mesra pelanggan.

Namun, hakikatnya pendapatan iklan industri akhbar masih dikuasai akhbar vernakular khususnya akhbar Inggeris dan Cina. Kita sedar bahawa akhbar Melayu hanya memperoleh 20 peratus daripada 55 peratus jumlah pendapatan iklan akhbar sebanyak RM4.9 bilion sepanjang 2007.

Kajian mendalam oleh pihak universiti memperlihatkan ketandusan iklan akhbar Melayu saban tahun menandakan betapa satu anjakan paradigma belum berlaku di kalangan penerbit akhbar atau pihak pengurusan editorial. Jika berlaku, maka senario pendapatan iklan sewajarnya memihak kepada kesaksamaan pengagihan iklan akhbar.

Justeru, usaha kerajaan mengimbangi ketidaksamaan ekonomi dalam industri akhbar perlu disegerakan dalam konteks Misi Nasional semoga menjelang 2020, akhbar Melayu dapat diperkasakan dengan peningkatan pendapatan iklan yang saksama.

Sama ada fenomena ini berlaku kerana ketempangan sendiri atau mainan kuasa luar masih diperdebatkan. Namun, yang nyata kita mesti berubah minda kepada sikap yang proaktif dan bekerja dalam satu nada serta semangat permuafakatan supaya berlaku kesepaduan, istiqamah berorientasikan pelanggan dalam konteks pemasaran bersepadu.

Kita mesti melihat pergolakan global bukan hanya mementingkan pasaran tempatan yang semakin menepu. Bahkan, pasaran akhbar Melayu berada di seantero nusantara bukan hanya di negara sendiri saja.

Untuk itu, Majlis Iklan Negara dan Dasar Pengiklanan Negara perlu direalisasikan penubuhan dan penggubalannya demi menangani dilema serta permasalahan akhbar Melayu. Bahkan, majlis ini dapat menentukan kaedah dan mekanisme pengagihan pendapatan iklan saksama, sesuai dengan semangat Misi Nasional kita sambil mencari jalan bagaimana akhbar Melayu dapat diperkasakan.

Mudahan-mudahan dengan jihad ekonomi, kita mampu mengubah senario akhbar kita sebagai duduk sama rendah dan berdiri sama tinggi dengan pesaing besar di dalam dan luar negara menjelang 2020. Apa yang penting dokongan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan pihak berwajib amat diperlukan jika warisan bangsa dan ketamadunan Melayu hendak diperkasakan.

Prof Madya Mohamad Md Yusoff ialah Pengerusi Bahagian Komunikasi Pemujukan, Pusat Pengajian Komunikasi USM, Pulau Pinang

Powered by Berita Harian

TV3 Selepas 24 Tahun

1 Jun

PADA usia mencecah 24 tahun hari ini (1 Jun), TV3 sebagai stesen televisyen swasta pertama kini meniti kematangan selepas bertatih sejak penubuhannya pada 1984. Adalah mustahil untuk menafikan pelbagai kejayaan yang dicapai dan dikecapi terutama mencatatkan kadar tontonan (rating) keberkesanan penjenamaan dan tarikan kepada pengiklan.

Selain memperkenalkan slot Cerekarama yang menggalakkan pembikinan drama oleh syarikat swasta, menyediakan program pertama carta lagu, Juara Lagu, TV3 juga tidak terkecuali dalam khidmat sosial kepada 20 juta penontonnya.

Tabung Bersamamu yang paling sinonim dengan usaha membantu warga yang dibelenggu kemiskinan selain dilihat sebagai penghubung kepada orang ramai untuk menderma.

TV3 juga juga memperkukuhkan usaha penjenamaan menerusi pelbagai acara gemilang antara Karnival Jom Heboh yang telah menjadi fenomena sejak diperkenalkan pada 2003. Meneruskan kesinambungan sebagai stesen televisyen induk Media Prima Berhad, TV3 dilihat berjaya mencapai matlamat menawan penonton yang semakin hari semakin sofistikated.

Justeru, dalam meraikan ulang tahunnya kali ini, tentu sahaja TV3 menjanjikan banyak program baru dalam usaha mengukuhkan jenamanya. Paling penting, sambutan kali ini tidak sahaja akan menyajikan rasa dan wajah baru, malah turut menyaksikan kehadiran orang baru sebagai peneraju utama.

Datuk Amrin Awaluddin, Ketua Pegawai Eksekutif TV3 yang menggantikan Datuk Seri Farid Ridzuan yang kini menjadi Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Rangkaian Televisyen Media Prima Berhad. Amrin yang memegang Ijazah Sarjana dalam Pentadbiran Peniagaan (Kewangan) dari University of Hull, England dan baru dua bulan di TV3 tentunya mempunyai perancangan dalam usaha memantap, mengukuh dan mengekalkan kedudukan stesen tersebut.

Pun begitu, kata Amrin yang sebelum ini menerajui stesen ntv7, beliau perlu sentiasa peka dengan kehendak khalayak di samping sentiasa melihat persaingan dalam industri penyiaran sebagai sesuatu yang positif terutama dalam mempertingkatkan lagi kredibiliti rangkaian televisyen itu di negara ini.

“Kita tidak boleh selesa sangat walaupun bergelar stesen nombor satu,” demikian tegas Amrin dalam pertemuan dengan Mingguan Malaysia Khamis lalu.

Apa yang penting, katanya, beliau mahu melihat stesen itu terus relevan dan mempunyai hubungan serta sentiasa peka dengan keperluan khalayak penonton. Mengakui bukan satu tugas mudah menggalas tanggungjawab pada ketika stesen itu berjaya pada kedudukan ini, namun Amrin optimis dengan beban kerjanya.

Sebagai stesen nombor satu yang menguasai 32 peratus penonton televisyen negara ini, Amrin menegaskan bahawa angka bukan lagi penanda aras utama kepada kejayaan sesebuah stesen televisyen memandangkan persaingan yang terlalu banyak ketika ini.

“Kita ada lebih 100 saluran televisyen sekarang selain persaingan dengan laman web di Internet. Apa yang utama, sebagai peneraju pasaran dan pencetus aliran (trend-setter) kita harus memastikan hala tuju kita dalam menghadapi cabaran untuk kekal pada kedudukan ini,” ujarnya.

Pendekatan dan konsep baru terhadap program sedia ada dan bakal diterbitkan menjadi antara resipi untuk memberi nafas baru yang lebih segar kepada khalayak, tidak sahaja kepada program hiburan tetapi juga drama dan dokumentari.

Di samping itu, Amrin juga akan berusaha menarik penonton baru khususnya generasi muda yang kini lebih senang mengakses Internet berbanding menonton televisyen.

program”Kita memerlukan ‘rasa’ dan ‘wajah’ baru yang lebih segar lagi menyenangkan khalayak sesuai dengan usia kematangan TV3 itu sendiri,” katanya sambil merujuk kepada beberapa program stesen itu yang banyak memberi ilmu, informasi dan bimbingan kepada kehidupan harian antaranya Buletin Utama, Malaysia Hari ini, Jejak Rasul, Nona dan Majalah Tiga.

Program-program itu, kata Amrin, telah bertakhta di hati penonton setianya dan akan dikekalkan dengan kandungan yang disesuaikan mengikut cita rasa semasa dengan konsep mengikut perkembangan terkini. Mengambil kira kehendak audiens juga, pihaknya memperkenalkan rancangan sebelah pagi khas untuk suri rumah seperti bual bicara Maria, program masakan Icip-Icip dan rancangan gaya hidup dan fesyen, W untuk kaum Hawa.

Tidak ketinggalan tentunya meneruskan kesinambungan drama-drama hebat dalam slot Akasia, Lestary, Seram dan Aksi yang terbukti berjaya menambat hati hampir empat juta penonton.

Selain itu, TV3 juga memperluaskan siaran melalui laman web rasmi http://www.tv3.com.my serta laman portal gaya hidup, Gua.com. memandangkan kemudahan komunikasi moden seperti itu lebih diminati golongan muda.

Malah meraikan ulang tahunnya, TV3 memilih Inspirasi Hidupku sebagai slogan baru menggantikan TV3 Di Sisimu, satu ilustrasi kepada penyertaan stesen itu yang sentiasa di sisi masyarakat tanpa mengira waktu.

“TV3 ingin menjadi stesen yang menerapkan unsur positif dan elemen berfaedah untuk mendidik, memberi maklumat dan hiburan kepada segala lapisan masyarakat yang secara tidak langsungnya diharap menjadi salah satu sumber inspirasi dalam kehidupan mereka,” jelasnya.

Malah berkongsi kegembiraan, kejayaan itu dan sambutan ulang tahunnya, TV3 mahu terus dekat dan mendampingi khalayaknya yang selama ini sentiasa memberi sokongan. Justeru tahun ini mereka terus ‘turun padang’ bertemu orang ramai di samping menyediakan pelbagai program menarik sepanjang sambutan ulang tahun kali ini.

pelancaranAntaranya termasuklah pelancaran istimewa meraikan ulang tahun ke-24 di Stadium Bukit Jalil sempena acara Karnival Jom Heboh yang berlangsung selama dua hari bermula semalam (31 Mei) dan hari ini (I Jun).

“Pada acara itu, kami akan melancarkan logo terbaru ulang tahun selain menyajikan hiburan daripada para artis popular tanah air seperti Mawi, Faizal Tahir, Estranged, Ella, Dayang Nurfaizah, Aizat, 6ixth Sense, Adam serta peserta Gang Starz, One Nation Emcee dan Paragon Child,” kata Amrin.

Sempena sambutan itu juga, TV3 dengan kerjasama Tune Money akan melancarkan MyTV3 Tune Money Prepaid Visa Card iaitu kad keahlian pelbagai guna sebagai caj bayaran serta memberikan akses istimewa kepada ahli-ahlinya untuk menyaksikan acara hebat TV3 seperti Anugerah Juara Lagu dan Anugerah Skrin.

Sementara program menarik yang disediakan sempena sambutan ulang tahun ini antaranya senarai filem hebat dalam slot Mega Movie seperti filem Hulk, Batman Begins, The Chronicles of Narnia: The Lion, Catwoman, Kung Fu Hustle, The Witch and The Wardrobe dan Once Upon A Mattress dalam slot Magical World of Disney.

Tidak ketinggalan EURO 2008 yang membawakan aksi-aksi perlawanan menarik bola sepak Eropah bermula 7 Jun ini. Malah sepanjang Jun ini, TV3 akan menjelajah ke bandar dan pekan kecil seperti ke Kuala Lipis, Pahang pada 7 Jun, Tumpat, Kelantan (13 Jun), Pulau Pinang (21 Jun) dan Pontian, Johor (29 Jun) untuk berinteraksi dengan orang ramai. Selain menyediakan aktiviti menarik termasuk wayang pacak, kerja gotong royong dan kebajikan juga akan diadakan.

“Ini adalah salah satu cara dan peluang terbaik kepada kami untuk bertemu orang ramai, mengucapkan terima kasih secara peribadi dan membuatkan mereka merasa lebih istimewa sesuai dengan slogan baru kami,” ujar Amrin.

Powered by Utusan Malaysia

Ibu Ratu Hatiku

9 May


GAMBAR (dari kiri): Diana Danielle, Syafie dan Liyana Jasmay bersama ibu masing-masing.

Tiga pelakon muda cerita cara mereka menghargai insan tersayang

EMAK, ibu, umi, bonda, mama atau mummy ialah panggilan yang cukup istimewa kepada wanita mulia ini. Tiada siapa menafikan ibu adalah ratu hati bagi semua anak di muka bumi ini. Sempena sambutan Hari Ibu pada 11 Mei, Hip menyingkap tiga kisah selebriti muda popular yang sedang hangat melakar nama dan mengharung onak berduri sebagai anak seni.

Mereka antara pelapis yang terus menyemarakkan persada seni dengan bakat masing-masing. Liyana Jasmay, Mohammad Syafie Naswip dan Diana Danielle menganggap doa dan restu serta sokongan daripada ibu memberi pengaruh besar dalam kerjaya yang seni mereka.

Bagi mereka, ibu bukan sekadar ibu saja, tetapi juga tempat untuk bermanja, mengadu masalah, mendapatkan nasihat. Benarlah syurga itu di telapak kaki ibu. Tiada hadiah yang dapat membalas jasa dan pengorbanan ibu, tetapi melakukan sesuatu sebagai tanda ingatan dan menyayangi mereka, sudah cukup menggembirakan hati mereka. Begitulah luahan ketiga-tiga artis muda ini apabila memperkatakan soal ibu. Selamat Hari Ibu. Inilah sebahagian daripada kata-kata mereka apabila memperkatakan ibu masing-masing. Wartawan Hip, Zaidi Mohamad turut mencungkil apa pandangan setiap ibu terhadap kerjaya seni anak-anak mereka.

Hati-hati bercakap dengan mama

BIARPUN lahir dalam keluarga berada, Liyana Jasmay, 20, seperti remaja lain tidak semua yang dihajatnya boleh diperoleh dengan mudah. Namun, begitu apa yang penting dia berasa bahagia dan selesa apabila ibunya, Habsah Simpon, 51, setia menemaninya ke mana-mana.

Bagi Liyana atau mesra disapa Nana, dia menghargai mamanya bukan sekadar memberi hadiah, sebaliknya dengan mendengar cakap dan mempercayai apa yang dituturkan mamanya. Sebagai anak bongsu, dia percaya apa jua yang difikirkan baik oleh mama untuk kebaikan dirinya.

Sebagai anak, katanya, dia sangat berhati-hati dan menjaga nada pertuturannya apabila bercakap untuk memastikan ia tidak menyinggung perasaan ibunya.

“Menjaga cara percakapan juga adalah cara Nana menghargai dan menghormati mama. Andai Nana tertinggi suara tanpa disengajakan, cepat-cepat Nana memohon maaf.

“Hampir setiap hari Nana lalui kehidupan ini bersama-sama mama, tetapi sedikit demi sedikit Nana berusaha untuk berdikari. Memang Nana jarang beri hadiah kepada mama. Nak beli barang mahal tapi tak mampu. Nana pernah hadiahkan mama beg alat solek mekap jenama Pucci dan 30 kuntum bunga mawar merah,” kata Liyana yang bakal menemui peminatnya di layar perak menerusi deretan empat filem iaitu Malaikat Maut, Kami The Movie (www.projekkami.com), Histeria dan Papadom.

Selain menjadi ibu, Habsah juga menjadi teman baik dan kakak di mata Liyana. Kata Habsah, sewaktu kecil Nana dipanggil Cinta dan kemudiannya bertukar menjadi adik sebelum panggilan sekarang.

Sebagai mama, katanya, dia menyedari gejolak perasaan ‘cinta’ yang sedang dihadapi anak kesayangannya itu.

“Biarpun sudah besar panjang, dia tetap anak bongsu di mata kita. Sewaktu kecil, dia sinonim dengan panggilan Cinta, kemudiannya bertukar menjadi adik dan Nana. Selain menjadi mama di matanya, kita sebagai kawan baik dan kakaknya. Dalam keluarga kami dididik untuk berkongsi apa juga perkara, termasuklah hal membabitkan cinta. Kita memahami proses pembesaran remaja seperti Nana, kerana kita juga pernah muda sepertinya,” katanya.

Sehelai baju dan bedak untuk emak

Pelakon muda berbakat besar, Mohammad Syafie Naswip, 15, berkata, walaupun tidak pernah memberikan hadiah istimewa tetapi ibunya, Norsiah Ahmad, 42, adalah segala-galanya.

Katanya, hasil duit lakonannya sedikit sebanyak menampung kehidupan keluarganya yang tidak seberapa. Bapanya, bekerja sebagai pemotong rumput dan emaknya seorang suri rumah. Motosikal Honda EX5 menjadi hadiah bermakna yang mampu dibeli untuk dirinya sendiri hasil pulangan duit berlakon.

Begitupun pernah diangkat sebagai Pelakon Lelaki Terbaik di Anugerah Skrin 2007 menerusi drama Ilham Suci, Syafie tidak pernah berasa kesal, jauh sekali untuk berasa malu disebabkan latar belakang keluarganya. Dia sudah lali dengan pandangan sinis daripada masyarakat mengenai keluarganya.

Bercakap mengenai ibunya, Syafie yang mesra disapa Pie saja berkata, sepanjang ingatannya dia pernah menghadiahkan sesuatu kepada emaknya.

“Tapi maaflah saya pun tak ingat bentuk barang yang diberi itu. Untuk sambutan Hari Ibu kali ini, saya belum terfikir nak hadiahkan apa untuk emak. Tapi saya tidak malu untuk mengaku datang daripada keluarga susah. Saya tetap bangga dengan emak dan bapa saya. Saya sudah biasa diejek kerana kekurangan ini.

“Bila saya dapat berlakon, sedikit sebanyak dapat juga meringankan bebanan kehidupan keluarga saya dan meringankan beban bapa. Tapi saya berlakon ini bukan kerana faktor itu saja. Saya juga dinasihatkan oleh mereka yang berpengalaman supaya turut mementingkan kualiti watak yang diberi,” kata Pelakon Kanak Kanak Terbaik menerusi filem Mukhsin di Festival Filem Malaysia ke-20.

“Dulu tak semua yang saya idamkan boleh dapat semudah memetik jari. Kini, kalau ada yang saya teringin bolehlah dimiliki. Duit yang saya dapat, pastinya saya takkan lupa untuk dikongsi bersama emak dan bapa,” kata Syafie yang bakal berlakon filem kedua berjudul Talent Time di bawah arahan Yasmin Ahmad, Ogos ini.

Syafie juga akan muncul dalam telefilem menyentuh hati dalam telefilem Demi Masa arahan Jinggo dalam slot Cerekarama TV3, jam 10 malam esok.

Sebagai ibu, Norsiah tidak menafikan timbul rasa kasihan dengan anak tunggalnya itu. Katanya, saat paling menyedihkan apabila Pie menghidap penyakit ganjil selepas menang di Anugerah Skrin TV3 yang lalu.

“Dia pernah demam berminggu-minggu selepas menang anugerah di Anugerah Skrin 2007. Makcik sampai tidak tidur malam, sedih mengenangkan nasib dan keadaannya ketika itu. Setelah menjalani rawatan perubatan secara tradisional barulah keadaannya dapat dipulihkan,” kata Norsiah yang pernah menerima hadiah baju dan bedak alas muka daripada anaknya.

Makan malam raikan mama

Diana Danielle, 17, merancang untuk mamanya, Norsiah Ramli, 45, dalam satu makan malam yang indah sekitar Kuala Lumpur. Sepanjang menjalani hidup sebagai anak seni, hatinya cukup terhiris apabila ada pihak cuba mempersendakan dirinya dengan mengatakan mamanya adalah ibu angkatnya.

“Insya-Allah, Diana akan meraikan mama dengan membawanya makan malam di sekitar Kuala Lumpur. Mama sajalah insan yang Diana sayangi dan rapat, dan cara Diana menghargai kasih sayangnya ialah dengan belajar dengan tekun. Dulu Mama pernah menjadi top student, maka mama pun nak Diana mengikuti jejaknya.

“Sepanjang meniti hidup sebagai anak seni, Diana tak terlepas dihimpit gosip. Yang paling menghiris hati apabila Diana dikatakan hanya anak angkat rentetan wajah kami yang tidak sama,” katanya.

Kini, hangat pula kisah Diana (mesra membahasakan dirinya sebagai D) sudah mempunyai dua pengawal peribadi yang merangkap juga sebagai pemandu dan pembantu peribadinya. Jelas Diana, mengambil pengawal peribadi bukan sebagai langkah ancaman untuk menghalangnya bertemu peminat, sebaliknya ia atas dasar keselamatan.

Sebelum ini ke mana-mana saja agenda seninya berlangsung, mamanya pasti setia menemani. Hakikatnya selain mengurus, mamanya juga terikat dengan komitmen kerja sebagai ejen hartanah dan memiliki syarikat audit.

“Adanya pengawal peribadi itu bukan atas alasan terancam dan menghalang Diana dikerumuni peminat, sebaliknya ia diambil sebagai langkah keselamatan dan berjaga-jaga. Dua pengawal peribadi itu, mama kenal daripada kawannya juga,” jelas Diana.

Manakala Norsiah pula berkata, hatinya cukup tersentuh kerana terkenang kisah sewaktu Diana berumur 11 tahun. Waktu itu, Diana menghadiahkan kad gergasi yang dibuatnya sendiri. Tanpa ragu juga Norsiah mengatakan anaknya sangat baik dan tidak gemar bersosial di kelab malam.

“Dalam kad itu dia lekatkan gambar kami berdua, dilengkapi sajak dan ‘glitter’. Kad itu membuatkan hati saya tersentuh dan terasa syahdu, kerana ia dibuatnya sendiri.

“Walaupun kami ada kalanya tidak berada di tempat yang sama atas komitmen kerja, Diana tak lekang menghubungi saya bertanyakan di manakah mamanya berada. Selalunya Diana pulang awal setengah jam ke rumah daripada masa yang ditetapkan kepadanya. Saya memang melarang keras Diana ke tempat yang tidak elok seperti bersosial di kelab malam, mujurlah Diana pun tidak gemar ke tempat sebegitu,” kata Norsiah.

Powered by Berita Harian

Durhaka Si Tanggang Moden

9 May

Oleh TENGKU SUZANA RAJA HAMAT suzana.rajahamat@kosmo.com.my


LAKONAN menyentuh hati Sheila dalam drama Demi Masa. RINGGO (kiri) bersama pelakon-pelakon drama Demi Masa iaitu Rozie, Sheila, Shafie dan Iqram.

SEJAK filem Si Tanggang pada tahun 1961, khalayak penonton tempatan sudah disogokkan dengan filem atau drama Melayu yang masih memaparkan kisah anak derhaka, anak yang malu mengakui ibunya yang miskin dan hina sesudah diri sendiri mencapai kejayaan.

Sebenarnya, kisah penderhakaan anak terhadap ibu-bapa ini sudah beratus kali disaksikan umum. Satu sifat klise dalam karya bercorak sebegini adalah luahan-luahan dialog yang meninggi suara, memaki-hamun, sepak-terajang serta pembalasan Tuhan yang tragik seperti panahan petir atau insiden jalan raya dahsyat terhadap anak yang derhaka.

Memang menyayat hati dan kena dengan situasi semasa apatah lagi kalau penyiaran drama sebegitu seiring dengan sambutan hari-hari kebesaran, hari raya atau sambutan Hari Ibu yang diraikan seluruh masyarakat dunia.

Cuba menghindari pandangan skeptikal terhadap kisah anak derhaka sempena Hari Ibu, Shiela Rusly bersama-sama suami, Jinggo menerusi J.S Picture hadir dengan Demi Masa, sebuah cerekarama khas yang akan berputar di TV3 pukul 10 malam esok.

“Saya guna pendekatan yang lembut, penderhakaan yang ‘lembut’ serta hukuman Tuhan yang lembut. Bayangkanlah kalau tahap penderhakaan yang sebegitu tersembunyi, tidak memaki-hamun ibu dengan kata-kata kesat atau sepak-terajang pun sudah diberikan hukuman yang tidak tertanggung oleh si anak, bagaimanakah hukumannya terhadap anak yang zalim terhadap ibu-bapanya?” Kata Jinggo pada sesi pratonton Demi Masa kepada media, baru-baru ini.

Dari syair Arab, Dia Ibuku yang diadaptasikan mengikut kesesuaian budaya Melayu, kata Sheila, Demi Masa secara peribadinya sebuah karya yang meruntun jiwa dan sangat dekat dengan dirinya, seorang anak bahkan ibu kepada dua cahaya mata.

Apatah lagi, idea penghasilan Demi Masa datang kepada pasangan suami-isteri ini ketika mereka mengerjakan haji di Tanah Suci Mekah, tahun lepas.

Sebagai pengarah, Jinggo bertekad menjadikan Demi Masa sebagai satu cara mereka berdakwah, berkongsi nilai hidup dan mentelaah diri ke arah kebaikan.

“Mesej drama ini kuat. Ia mahu mengingatkan kita manusia yang tidak sempurna dan tidak ada sesiapa yang tidak pernah lepas daripada melakukan kesilapan,” katanya.

RINGGO (kiri) bersama pelakon-pelakon drama Demi Masa iaitu Rozie, Sheila, Shafie dan Iqram.

Dalam Demi Masa, Sheila di depan sebagai aktres utama, diikuti pelakon muda berjiwa besar, Shafie Naswip yang pernah diangkat sebagai Pelakon Kanak-Kanak Terbaik pada Festival Filem Malaysia serta Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik pada Anugerah Skrin tahun lepas. Turut diketengah ialah Rozie Rashid, Radhi Khalid, Aida Radzwill, Iqram Dinzly, Fizz Fairuz dan Emilda Rosmila.

Sebelum Demi Masa, Jinggo sendiri pernah meraih anugerah Pengarah Terbaik Anugerah Skrin tahun lepas menerusi drama Sebuah Ijtihad.

Demi Masa mengisahkan konflik kehidupan seorang ibu tunggal, Maryam tidak kenal erti derita demi kebahagiaan dan kejayaan anaknya, Nazli. Namun, pengorbanan Maryam tidak dihargai Nazli sebaliknya jijik dan enggan menerima kewujudan ibunya yang buta sebelah mata akibat kemalangan jalan raya.

Ditakdirkan Tuhan, Nazli berjaya dalam pelajaran dan berjaya sebagai usahawan muda. Hidup mewah atas kekayaan keluarga mertua tetapi ibunya di kampung tidak pernah dipedulikan.

Tidak mahu mengganggu konsentrasi penonton malam ini, pinta Sheila: “Tolonglah jangan ceritakan semua gambaran dan kesudahan drama ini yang telah anda tonton, tinggalkan sedikit untuk dirasai dan disaksikan oleh penonton, saya benar-benar berdebar menantikan penerimaan masyarakat terhadap karya kami kali ini.”

Powered by Kosmo

Ceritera Cinta Zizie Ezette

23 Apr

Oleh SHAZRYN MOHD. FAIZAL shazryn.faizal@utusan.com.my

WAJAH putih gebu aktres berjiwa besar ini seperti sudah lama ‘menghilangkan’ diri dari dunia hiburan. Bahkan, nama yang pernah mekar dalam industri perfileman tanah air seakan-akan semakin dilupai lantaran wajahnya kini tidak dapat lagi ditatap di kaca televisyen.

Mustahil sekali jika ada yang berpendapat dia tidak berbakat kerana dalam genggamannya sudah ada dua trofi Pelakon Wanita Terbaik.

Kali pertama dia memenanginya adalah pada tahun 1994 pada Anugerah Sri Angkasa menerusi drama Alegori dan sembilan tahun berikutnya, pada Anugerah Skrin menerusi drama Aduhai Esah.

Itu tidak dikira dengan gelaran Bintang Harapan pada Festival Filem Malaysia Ke-11 pada tahun 1994 yang dimenanginya menerusi lakonan hebatnya dalam filem Kekasih Awal dan Akhir.

Kehilangannya terus-terusan menjadi tanda tanya sehinggakan ada yang mengatakan anak jati Batu Pahat, Johor ini sudah pun mendirikan rumah tangga dalam diam dan pernah terserempak dirinya bersama kanak-kanak perempuan.

Pada satu pertemuan dengannya baru-baru ini, Zizie Ezette A.Samad atau lebih dikenali dengan nama Zizie Ezette ditanya mengenai spekulasi perkahwinannya yang kononnya dibuat secara rahsia.

Bagaikan tahu apa yang terbuku di hati pihak media, dengan tenang dia memberikan jawapannya dengan penuh diplomasi.

“Saya memang ada mendengar cerita yang mengatakan saya telah pun bernikah sepanjang kehilangan saya dalam industri.

“Untuk pengetahuan semua, saya masih lagi single dan seandainya mereka yang pernah nampak saya dengan kanak-kanak perempuan yang dimaksudkan itu, ia mungkin anak saudara saya.

“Ingin saya jelaskan di sini, kehilangan saya dalam industri kebelakangan ini adalah kerana saya mahu bercuti dan mencari ketenangan. Saya sudah berlakon sejak berusia 13 tahun lagi. Jadi, saya mahu mengambil masa itu dengan menikmati hidup ini sebaik mungkin.

“Sudah pasti, seandainya saya mahu mendirikan rumah tangga kelak, saya pasti akan beritahu anda semua. Tiada guna untuk menyorokkan perkara yang baik seperti itu,” kata wanita berusia 29 tahun ini panjang lebar.

Malah, dengan jujurnya, Zizie memberitahu, kekasihnya masih lagi orang yang sama yang dikenalinya sejak enam tahun yang lalu iaitu seorang ahli perniagaan berusia 41 tahun yang berasal dari Kedah.

Selepas enam tahun berkenalan, apakah tempoh itu belum cukup untuk dia dan kekasihnya mengambil kata sepakat menamatkan hubungan solo?

Zizie yang murah dengan senyuman menjelaskan, dia dan kekasihnya enggan terburu-buru membuat keputusan untuk berkahwin sementelah pengalaman hidup banyak mengajarnya erti kehidupan.

“Perceraian ibu bapa saya berlaku di depan mata dan sudah tentu, impaknya terkena juga kepada saya.

“Perkataan cerai itu sendiri sudah cukup menakutkan saya dan sudah pasti, saya tidak mahu sesuatu yang buruk berlaku kepada saya. Disebabkan itu juga, saya sering menangguhkan perkahwinan saya walaupun kekasih saya sudah berulang kali melamar saya,” luah Zizie tanpa berselindung.

Matang

Sebagai wanita yang cukup matang, Zizie tidak menafikan, sesekali jiwanya tertekan setiap kali ditanya mengenai perkahwinan lebih-lebih lagi apabila ibunya turut tidak ketinggalan bertanyakan isu yang serupa.

“Saya tidak nafikan, saya terasa juga tekanannya apabila ibu saya sering bertanyakan kepada saya tentang soal perkahwinan sehingga pening kepala saya dibuatnya (ketawa),” katanya menyambung perbualan.

Bagaimanapun, andai sampai masanya sudah sampai kelak, Zizie berkata, dia lebih selesa mengadakan majlis pernikahan kecil-kecilan sahaja.

“Tetapi, kekasih saya ada menyuarakan hasratnya mahu majlis kami nanti diadakan mengikut adat.

“Kalau boleh, saya juga mahu sebuah perkahwinan yang ringkas dan dalam masa yang sama memberi makna tetapi kekasih saya pula mahu sebaliknya,” cerita Zizie ramah dengan disulami ketawa manja.

Mengakui dia sudah bersedia untuk kembali aktif di persada seni tanah air, Zizie turut meluahkan pada usianya kini, sudah sampai masanya dia memberikan keutamaan pada watak-watak lakonan yang boleh mencabar kewibawaannya.

“Saya akui tawaran yang saya terima ada naik dan turunnya. Saya mahu dikenali sebagai seorang pelakon yang berkarakter dan watak-watak gadis gedik serta penggoda, zaman itu semuanya sudah berlalu.

“Saya mahukan watak-watak yang matang seiring dengan usia saya. Dek kerana itu juga, saya selesa dan suka berlakon di bawah produksi sendiri kerana saya dapat apa yang saya mahukan sebagaimana yang pernah saya hasilkan dalam drama Aduhai Esah.

“Tetapi apakan daya, masih lagi tiada skrip yang sesuai untuk saya hasilkan drama seterusnya. Malah, ibu saya pun sudah lama tidak menghasilkan skrip,” kata puteri yang menjadi kebanggaan aktres dan pengarah drama, Khaty Fauziah ini lagi.

Mungkin ramai yang terlupa bahawa drama Aduhai Esah, selain mengangkat Zizie Ezette sebagai Pelakon Wanita Terbaik, drama tersebut juga pernah dinobatkan sebagai Drama Terbaik dan Skrip Terbaik yang diterbitkan bersama oleh Zizie dan ibunya bersama pelakon terkenal, Shaharuddin Thamby.

Mengulas mengenai lakonannya dalam drama bersiri Bicara Cinta yang akan menemui penonton saluran Prima (saluran 105, Astro) bermula 7 Mei depan, Zizie mengakui, dia sentiasa tergoda dengan pelawaan pengarah drama tersebut, Rashid Sibir yang tidak pernah gagal memberikan skrip yang berkualiti kepadanya.

“Disebabkan itu, saya menerima tawarannya berlakon dalam drama ini tanpa melihat skripnya kerana saya percaya dengan kredibilitnya sebagai seorang pengarah dan juga penerbit.

“Bukan itu sahaja, saya juga selesa dan serasi bekerja dengan Rashid kerana dia tahu apa yang dimahukan oleh setiap pelakonnya,” kata Zizie yang sebelum ini pernah membintangi drama Kau Yang Ku Sayang dan Cinta Semalam arahan Rashid Sibir.

Percaya atau tidak, sepanjang 15 tahun menjadi anak seni, Zizie Ezette hanya membintangi tiga filem sahaja iaitu Kekasih Awal dan Akhir (1993), Sama Tak Serupa (1995) dan Black Maria (2003).

“Saya memandang perkara itu sebagai satu yang positif dan langsung tidak menyedihkan saya. Sudah tertulis, rezeki saya lebih kepada drama bersiri dan telemovie.

“Pada saya, jika berlakon filem dalam kuantiti yang banyak tetapi tidak memberikan kualiti lakonan yang terbaik, tidak bermakna juga,” katanya yang mengakui kini sudah menerima skrip untuk sebuah filem yang akan diumumkan tidak lama lagi.

Powered by Utusan Malaysia

Dunia Kanak-Kanak Zoey

21 Apr

Oleh Norhadiani Baharom
yanie@hmetro.com.my

Rap

MENATAP raut wajahnya, bagaikan budak belasan tahun yang masih bersekolah menengah.

Namun, siapa sangka Mohd Hairey Azhar atau mesra disapa abang Zoey di kalangan peminat cilik sebenarnya sudah berusia 23 tahun selain pemegang diploma dalam Rekaan Hiasan Dalaman.

Barangkali kerana tuah berwajah comel, memudahkan laluan Zoey membina karier sebagai pengacara program kanak-kanak, Gerak Geri Gasing (GGG) yang disiarkan menerusi saluran Astro Ceria, meskipun itulah pengalaman pertama beraksi di depan kamera.

Melaluinya, Zoey mendaki populariti dalam sekelip mata dan menjadi pengacara kesayangan penonton cilik. Bayangkan, dek kerana kerana terlalu teruja melihatnya ada peminat bertindak agresif sehingga menyebabkan Zoey jatuh longkang.

“Mereka berasak-asak mahu bergambar dan mengambil autograf saya sehingga makin lama semakin ke belakang sehingga jatuh ke longkang. Kelakar betul waktu itu namun ia pengalaman cukup manis yang tidak mungkin saya lupakan.

“Sebenarnya saya tidak pernah merancang menjadi pengacara sebaliknya sekadar mencuba nasib pada sesi uji bakat GGG. Itupun atas desakan abang yang berkali-kali mahu saya mencuba.

“Bagi orang yang tiada pengalaman langsung, memang mengejutkan apabila dimaklumkan terpilih walhal pada hari uji bakat ramai artis remaja dan bintang Akademi Fantasia yang datang.

“Namun entah apa agaknya yang produser nampak pada saya sehingga berani memberi kepercayaan ini untuk saya galas. Alhamdulillah, diam tak diam sudah masuk musim ketiga saya mengendalikan program itu,” katanya.

Tidak ingin selama-lamanya dikenali sebagai pengacara program kanak-kanak, duta Astro Ceria selama dua tahun ini juga memasang impian mengendalikan program hiburan yang mensasarkan kelompok remaja dan dewasa. Atau erti kata lain menjadi pengacara versatil.

Bagaimanapun, dalam merancang perjalanan seninya pemuda kelahiran Besut, Terengganu yang menjadikan Aznil Nawawi sebagai idola tidak pula berasa bosan dikelilingi kanak-kanak.

“Sememangnya saya selesa mendampingi kanak-kanak kerana saya sendiri sukakan budak-budak. Malah, setiap musim saya bertambah yakin dan selesa mengemudi GGG.

“Barangkali orang ramai mempunyai persepsi mengacarakan program kanak-kanak tidak mencabar atau tugas mudah tetapi tidak semua pengacara mampu mengendalikan program sedemikian.

“Kanak-kanak adalah manusia paling jujur. Mereka akan melakukan apa saja yang diinginkan dan tidak pandai menyembunyikan perasaan.

“Contohnya dalam GGG, ada peserta yang terlalu emosi apabila kumpulan mereka tewas. Segelintirnya pula terlalu aktif, tidak kurang yang pemalu sedangkan kamera mahu merakam ‘mood’ dalam keadaan terkawal dan ceria.

“Justeru, sebagai pengacara saya perlu memainkan peranan bukan saja dalam memastikan program berjalan lancar malah untuk membuatkan mereka selesa berhadapan dengan kamera,” katanya.

Sempena musim cuti sekolah Mei nanti, Zoey akan kembali ke rakaman GGG musim ketiga yang tampil dengan beberapa kelainan. Hadiah yang disediakan lebih lumayan berbanding tahun lalu.

Beberapa perubahan turut dilakukan, jika dulu warna kuning, merah, biru dan hijau diguna sebagai nama kumpulan, untuk musim terbaru ini ia diubah kepada nama produk keluaran Steadtler selaku penaja musim kali ini.

“Bukan itu saja, peserta juga akan digandingkan dengan selebriti cilik Astro seperti pelakon Hikayat Putera Shazlan dan Geng Bas Sekolah sebagai satu pasukan.

“Lebih menarik, hadiah yang disediakan juga lumayan kerana peserta berpeluang memenangi komputer riba dan telefon bimbit,” katanya.

Pernah berjinak-jinak dalam dunia komersial sebagai model iklan sebelum bergelar pengacara, anak keempat daripada lima beradik yang semuanya lelaki ini turut mengasah bakat dalam bidang lakonan.

Bermula dengan Impian Ilyana, Zoey kemudian dilamar membintangi siri terbitan Ace Motion Pictures, Bong, yang memenangi Drama Komedi Terbaik di Anugerah Skrin 2007 diikuti Fara.

Terbaru, Zoey sedang menjalani penggambaran drama Putera Asmara yang turut dibintangi artis popular antaranya, Watie Elite, Intan Sarafina dan Zamarul Hisham.

Tidak lama lagi dia juga bakal menjalani penggambaran drama Impian Ilyana musim keempat dan difahamkan peranannya kali ini lebih besar berbanding musim pertama.

“Saya tidak pasti bagaimanakah jalan cerita atau konflik yang berlaku pada musim keempat ini namun saya difahamkan watak yang dibawakan dikembangkan lagi.

“Berlakon tidak semudah disangka. Sampai sekarang saya masih ingat peristiwa dimarahi pengarah Aziz M Osman ketika menjayakan penggambaran Fara. Abang Aziz mengarahkan saya naik, turun tangga sebanyak tiga kali gara-gara ‘mood’ lakonan tidak sampai.

“Namun saya percaya setiap teguran dan kritikan itu adalah terapi paling berkesan untuk menjadikan kita lebih baik pada masa akan datang. Sejak kejadian itu juga saya lebih peka dan komited terhadap tugas saya.

“Kalau diberi kesempatan saya teringin sekali berlakon di samping pelakon hebat, Fauziah Nawi,” katanya

Biarpun setiap tawaran perlu ‘ditapis’ terlebih dulu oleh Astro Ceria, Zoey tidak pernah berasa terkongkong kerana dia juga bukan jenis orang yang terburu-buru untuk merebut semua peluang.

“Buat masa sekarang, saya lebih selesa mengambil watak ringan kerana belum begitu yakin dengan kemampuan. Dari segi pengacaraan pula, sebagai selebriti Astro, kami mempunyai perjanjian apabila tidak boleh terbabit dengan sebarang program terbitan stesen lain.

“Bukan setakat itu saja, sebagai duta Astro Ceria saya juga terikat dengan beberapa syarat iaitu tidak boleh mengunjungi kelab malam termasuk merokok,” katanya.

Jika tidak terbabit dengan sebarang urusan seni, pemuda berbintang Capricon ini akan membantu abangnya menguruskan syarikat milik keluarga iaitu Calista Design.

“Calista Design sebuah syarikat menyediakan perkhidmatan rekaan hiasan dalaman untuk pejabat serta pelbagai kemudahan berkaitan bidang seni bina kerana abang saya seorang arkitek.

“Jika ada pihak berminat untuk mengetahui lebih lanjut fokus syarikat ini dan kemudahan yang disediakan boleh mendapatkan maklumat dengan melayari laman web http://www.calistadesign.t35.com. Mereka juga boleh berhubung dengan kami menerusi nombor yang tentera,” katanya.

PROFIL

NAMA: Mohd Hairey Azhar

PANGGILAN: Zoey

TARIKH LAHIR: 3 Januari 1985

UMUR: 23 tahun

BINTANG: Capricon

ASAL: Besut, Terengganu

KARIER: Model, pelakon, pengacara

Powered by Harian Metro

Impak Watak Bong

8 Apr

Oleh Elrafaei Sapi

Rap

PADA awal pembabitannya dalam bidang seni, Khairul Ikhwan Rosli, 25, hanya dikenali sebagai penyampai radio Hot FM. Namun, sebaik menjejak kaki dalam bidang lakonan, namanya semakin dikenali ramai.

Tidak lagi dengan panggilan Ikhwan, kini lebih mesra disapa dengan nama glamor Bong.

Semuanya gara-gara drama bersiri Bong yang secara tidak sengaja mempromosikan Ikhwan secara meluas di khalayak hingga dianggap ikon baru dalam drama berkonsepkan keluarga.

Ikhwan mengakui berasa cukup bertuah kerana peluang berlakon Bong hadir tanpa dirancang.

Dia menganggap kesempatan menimba pengalaman di bawah bimbingan pengarah terkenal, Aziz M Osman sebagai peluang keemasan.

Malah kejayaan drama itu dalam dua musim sebelumnya menandakan Ikhwan adalah faktor utama yang berjaya menarik minat penonton.

ΐSaya tidak fikir kejayaan Bong disebabkan saya seorang. Ini semua berkat pengorbanan semua pelakon termasuk pengarah dan kru yang terbabit dalam menjayakan drama ini.

ΐDalam Bong, kami semua bekerja dalam satu kumpulan dan hubungan kami semakin rapat dari hari ke hari hingga disifatkan seperti keluarga.

ΐKeakraban antara kami juga tidak hanya berlaku sewaktu penggambaran tetapi di luar lokasi kami masih rapat.

ΐTidak dinafikan sejak saya berlakon dalam drama ini, orang ramai lebih senang memanggil saya dengan nama Bong berbanding Ikhwan.

ΐSaya akui nama Bong beri impak yang kuat dalam diri saya dan peminat. Cuma di konti saya dipanggil Ikhwan.

ΐWalaupun pada mulanya, saya perlu mengambil masa memahami watak Bong ini dengan baik, namun sepanjang berlakon dalam drama ini, saya begitu seronok dengan pengalaman baru yang ditempuh,῔ katanya.

Drama Bong yang bersiaran selama dua musim mencatat kejayaan membanggakan apabila dianugerahkan Drama Komedi Terbaik di Anugerah Skrin 2007 serta menjadi drama nombor satu pilihan penonton di TV9 dengan rating 1.5 juta penonton.

Berikutan kejayaan itu, Bong disambung untuk musim ketiga dan masih mengekalkan Ikhwan sebagai teraju utama bersama Mustapha Kamal, Mohd Hairey Azhar, Nurul Aqilah Faiqah, Maisaraa Syahfiedzrien dan Shafimie Saedon. Musim baru mula disiarkan sejak 4 April lalu.

Ikhwan yang mula berlakon drama Kawan kemudian bersama Raja Azura dalam program masakan Destinasi Shell Gas berkata, setiap kali berada di lokasi, dia sentiasa terbuka dalam belajar dan menerima teguran orang lain.

Ikhwan juga membawa watak antagonis dalam filem My Indie Rock Darling. Kali ini wataknya sebagai gengster bernama Karim.

Selain berhadapan cabaran memikul watak utama, Ikhwan juga perlu bertanggungjawab menjaga mood pelakon kanak-kanak yang terbabit supaya tidak menjejaskan sesi penggambaran.

ΐBerbanding pelakon dewasa, pelakon kanak-kanak perlu diberi perhatian lebih. Emosi mereka tidak stabil dan jika mood mereka tidak baik, ia mampu mengganggu mood pelakon lain ketika penggambaran bermula,῔ katanya.

Melihat komitmen Ikhwan sebagai DJ dan lakonan, Ikhwan mengakui dirinya penat dan kurang masa tidur yang cukup. Katanya, setiap hari bermula 9 pagi sehingga lewat petang, dia perlu berada di lokasi penggambaran Bong.

Kemudian jam 8 malam hingga 12 tengah malam bertugas di konti radio pula.

ΐSelepas terbabit dalam lakonan, masa rehat saya semakin terhad. Kadangkala saya hanya curi masa tidur di lokasi penggambaran sewaktu adegan pelakon lain berlangsung.

ΐMemang badan terasa penat tetapi saya tetap mahu bekerja keras pada usia muda ini.

ΐSebenarnya minat berlakon diwarisi daripada ibu saya, Hasnah Ibrahim yang juga seorang pelakon veteran.

ΐMasa saya kecil dulu, saya sering ikut ibu ke lokasi dan dari situ minat saya terhadap lakonan mula timbul,῔ katanya. Bagaimanapun, antara saya dan Bong, kami sebenarnya memiliki karakter yang berbeza,῔ katanya.

Untuk musim terbaru Bong, memfokuskan penceritaan dalam tiga fasa berbeza.

Pengarah Bong, Muhammad Hafiez Othman berkata, musim baru Bong lebih menarik kerana kali ini Zura (tunang Bong) mengajak Bong berkahwin dan keluarga abangnya mula memikirkan mereka tidak mahu menyusahkan Bong lagi dalam menjaga anak buahnya memandangkan dia mempunyai diploma.

Pertama, kehidupan Bong bersama keluarga abangnya semakin serasi dan Aisya memulakan persekolahan, Aiman belajar dalam darjah tiga, Johan pula berhasrat menyambung pelajaran sambil Maria mengambil keputusan bekerja di restoran.

Fasa kedua menumpukan Bong berkongsi pengalaman dengan anak buahnya menerusi pendidikan agama dan fasa ketiga, Bong berhadapan dengan masalah hubungan bersama tunangnya, Zura selepas kehadiran Maira.

ΐKonsep keluarga dalam drama ini masih dikekalkan dan kemunculan Bong bukanlah masalah ibu bapa keluarga ini cuai dalam menjalankan tanggungjawab menjaga anak-anak.

ΐBong masih meneruskan cara permikiran Melayu yang berpegang kuat pada agama dan kali ini, Bong semakin cekap dalam membuat kerja rumah dan tahu menguruskan anak buahnya dengan lebih baik.

ΐDaripada respons penonton yang diterima, watak Bong adalah realiti yang pernah berlaku dalam kehidupan masyarakat kita,῔ katanya.

Powered by Harian Metro

Sentuhan Mazlin Sentiasa Menjadi

24 Mar

Oleh MERAN ABU BAKAR

Mazlin Nordin berada di pejabatnya yang dipenuhi dengan cenderahati daripada keluarga yang pernah ditemuinya.

SELAMA ini wajah dan tingkahnya yang lincah hanya dapat dilihat melalui kaca televisyen. Bagi peminat setia TV3, siapa yang tidak mengenali Mazlin Nordin, wanita berkarakter tomboy yang berani, lasak dan petah bertutur.

Peredaran masa dan usia membawa perubahan pada wanita ini. Sejak tahun lepas, Mazlin dilihat sudah mengenakan tudung namun fesyen yang dipakainya setiap hari tetap sama, kemeja dan seluar serta kasut lelaki.

Bagi Mazlin, dia lebih selesa begini apatah lagi dengan tugasnya yang memerlukan dia aktif dan lasak meredah kampung untuk mencari bahan bagi rancangan yang dikendalikannya.

Katanya, dia memang berpakaian seperti itu sejak kecil lebih-lebih lagi dibesarkan dalam sebuah keluarga besar lapan adik-beradik, enam lelaki dan dua perempuan. Dia pula anak yang bongsu dan sudah tentu banyak terikut-ikut dengan gaya abang-abangnya.

Bagaimanapun, perwatakan seperti itulah yang memang diperlukan bagi tugas-tugas yang pernah diserahkan oleh majikannya. Justeru, tidak perlu baginya mengubah personaliti.

Kepercayaan demi kepercayaan yang diberikan bagi menerbitkan rancangan seperti Nona, Majalah 3, Malaysia Hari Ini, Wanita Hari Ini, Remaja, Misteri Nusantara, Potret Terbilang, Potret Kejayaan dan Medik TV , semuanya dapat dilaksanakan dengan baik.

Malah, setiap rancangan sentuhannya semuanya menjadi dan mendapat rating yang tinggi di kalangan penonton.

Kini Mazlin diserahkan pula satu tugas yang menuntut ketabahannya apabila perlu berhadapan dengan kemiskinan insan lain yang mungkin sebelum ini tidak pernah ditemuinya.

“Dengan Bersamamu, saya perlu menyelami perasaan mereka yang hidup dalam kemiskinan dan kekurangan,’’ katanya ketika ditemui di Sri Pentas.

Mungkin sebelum ini Mazlin hanya mendengar tentang kemiskinan dan kesengsaraan hidup mereka yang tidak berupaya kerana dia sendiri berasal daripada keluarga ‘senang’, namun setelah melihat sendiri, hatinya begitu bersyukur dengan apa yang dimilikinya.

Katanya, mungkin ada keberkatan dan hatinya didorongkan Allah bagi membuat kebajikan dan membantu sesama manusia setelah dia pulang daripada menunaikan haji pada tahun lalu.

Lagipun ujarnya, dia hanya mengikut arahan ketua. Jika ketuanya telah menyerahkan sesuatu tugasan, biasanya dia akan cuba sedaya upaya untuk melaksanakan sebaik mungkin.

“Sebenarnya idea menerbitkan Bersamamu lahir selepas selesai Karnival Sure Heboh.

“Wang sumbangan yang diterima banyak dan setelah dipersetujui, wang tersebut akan didermakan kepada golongan susah, tidak berkemampuan dan kurang upaya,’’ jelasnya yang memiliki Ijazah Penyiaran daripada Universiti Teknologi Mara (UITM) pada tahun 1990.

Mazlin berkata, Bersamamu adalah perkataan keramat yang merupakan doa dan membuka jalan kepadanya agar dapat bersama dengan golongan tersebut.

Jelasnya, segala-gala yang dilihat penonton dalam rancangan tersebut adalah benar dan bukan lakonan.

“Saya pegang, belai, menatap mata mereka dengan hati yang ikhlas. Saya sama-sama dapat merasakan kesedihan dan kepedihan mereka sehingga tidak sedar air mata turut mengalir dan kami sama-sama menangis,’’ ujar Mazlin telus.

Tanggapan

Katanya, jika ada tanggapan yang mengatakan bahawa mereka yang ditemui itu disuruh menangis sehingga teresak-esak, itu adalah tidak benar.

“Bagaimana boleh kita menyuruh budak kecil menangis tersedu-sedu sehingga bengkak mata atau si bapa yang tenggelam suaranya dek menahan sebak atau si ibu yang tidak malu menangis menceritakan kemiskinan yang ditanggung selama ini.

“Paling menyentuh perasaan saya ialah semasa musim pertama Bersamamu di Sabah, di mana keluarga tersebut setiap hari hanya makan nasi dengan air garam semata-mata. Anak-anak mereka menghirup air garam tersebut seperti semangkuk sup yang amat lazat. Saya menangis di situ juga mengenangkan penderitaan mereka.

“Peristiwa lain ialah semasa menemu ramah keluarga miskin di Setapak. Setiap malam kira-kira pukul satu atau dua pagi, dua orang anak mereka, lelaki dan perempuan akan masuk ke dalam tong sampah besar mencari barang-barang yang boleh dijual. Selesai ‘tugas’ itu, mereka pulang ke rumah. Sebelum tidur, saya dengar sendiri mereka berdoa agar Allah mengampunkan dosa mak dan ayah mereka,’’ katanya dengan nada yang sebak.

Mazlin berkata, untuk bersama golongan miskin ini, dia perlu membuang perasaan geli dan jijik. Peluk dan cium yang diberikan kepada kanak-kanak terbabit walaupun berhingus adalah ikhlas.

Dia menambah, hubungannya dengan mereka bukan setakat habis begitu saja. Dia akan sentiasa membuat susulan, bertanya khabar dan jika berkesempatan akan meluangkan masa melawat mereka.

“Saya ajar mereka bertatih dan apabila mereka dapat berlari, saya rasa amat berpuas hati. Anak-anak mereka macam anak-anak saya sendiri. Allah sahaja yang tahu macam mana gembiranya saya bila mereka menelefon dan memberitahu kejayaan mereka dalam peperiksaan dan sebagainya.

“Macam-macam mereka panggil saya, mak cik, kakak dan Cik In. Mereka sengaja nak merapatkan diri dengan saya. Ada dua bayi yang dinamakan dengan nama saya dan ibu mereka bangga menelefon saya,’’ ceritanya.

Mazlin berkata, segala yang dilakukan adalah bekalan ke akhirat. Orang lain juga boleh beramal dengan memberikan sumbangan kepada golongan yang memerlukan dan miskin ini.

Walaupun sumbangan yang diberikan hanya RM1 atau RM2 namun harapan yang diberikan kepada mereka tiada ternilai dengan wang ringgit.

Kenali Dia
Mengenai Mazlin Nordin

- Memegang jawatan Penerbit Eksekutif dan wartawan di lokasi.

- Sudah 17 tahun bertugas di TV3.

- Penghormatan buatnya apabila membuat program Misteri Nusantara.

- Dilahirkan di Klang, Selangor.

- Keluarga terdiri daripada ahli perniagaan, namun dia ingin berdikari.

- Bertekad mahu berjaya dalam dunia penyiaran kerana terlalu kurang wanita yang berjaya dalam bidang ini hingga ke peringkat paling atas.

- Pernah menerima anugerah Tokoh Pekerja Wanita Kebangsaan 2003 daripada Tun Mahathir Mohamad, Tokoh Pekerja TV3, Anugerah Wartawan dan Anugerah Skrin.

- Jika diberi peluang, ingin membuat rancangan dokumentari bertaraf antarabangsa seperti Discovery Channel.

- Hobi bermain boling dan melancong.

- Telah menemu ramah kira-kira 150 keluarga bersama program Bersamamu.

Powered by Utusan Malaysia

Juhara Ayob – Antara Drama Dan Teater

31 Jan

Oleh SHAZRYN MOHD. FAIZAL

JUHARA AYOB.

AGAK lama juga tidak kedengaran sebarang berita mengenai pelakon dan aktivis teater terkenal, Juhara Ayob.

Malah, wajahnya kini juga agak kurang muncul di kaca televisyen menerusi drama tempatan yang sebelum ini begitu sinonim dengan dirinya.

Salah satu drama lakonannya, Cinta Si Penggali Kubur pernah memberikannya pengiktirafan apabila dinobatkan sebagai Aktres Pembantu Drama Terbaik pada Anugerah Skrin 2004.

Ketika bertemu dengan Juhara Ayob pada sidang media teater Nyonya di Istana Budaya baru-baru ini, Juhara menjelaskan, keadaan yang tidak begitu mengizinkan serta waktu yang terhad membuatkan dirinya ‘menjauhkan diri’ seketika dari dunia lakonan drama.

“Saya tidak pernah merajuk dengan dunia lakonan tetapi kerana masa ini, saya sedang melanjutkan pelajaran saya di peringkat ijazah dalam bidang seni persembahan drama di Universiti Malaya.

“Bukan itu sahaja, saya juga merupakan salah seorang tenaga pengajar Mak Yong di Aswara. Disebabkan itu, saya terpaksa mengurangkan aktiviti lakonan drama saya,” jelas isteri kepada pengarah drama terkenal, Fairuz Loy ini lagi.

Menjadi isteri, ibu, pelajar, tenaga pengajar dan pelakon dalam masa yang sama menuntut dirinya melakukan pengorbanan yang besar dalam hidupnya.

“Saya kena pandai menguruskan waktu dan disebabkan itu, saya mempunyai jadual waktu agar saya tidak tersasar dan dapat melakukan perkara dengan teratur.

“Menyambung pelajaran saya pun kerana memikirkan anak-anak saya sudah semakin besar dan saya juga mempunyai pembantu yang boleh diharapkan untuk menjaga anak-anak saya,” katanya yang pernah menerima Anugerah Seni Negara bagi kategori Bakat Muda (Pelakon) pada tahun 2006 ini lagi.

Tambahnya, dia mengambil keputusan untuk menyambung pelajarannya juga adalah kerana sebelum ini, dia begitu sibuk dengan dunia lakonan dan kehidupannya sebagai isteri serta ibu menyebabkan cita-cita murninya itu terpaksa ditangguhkan seketika.

Teater lebih puas

Dengan jujurnya, wanita berusia 37 tahun ini memberitahu, pentas teater lebih memberikan kepuasan buat dirinya berbanding drama kerana teater menuntut disiplin menerusi latihan yang berpanjangan.

“Bukan berlakon drama itu tidak memberikan kepuasan kepada saya, tetapi selepas kita menghafal skrip dan bersedia untuk memberikan lakonan yang baik, ada kalanya kita diganggu oleh keadaan sekeliling yang tidak mampu dielakkan.

“Dengan itu, ia sedikit sebanyak menjejaskan mood seseorang pelakon itu. Berbanding teater, apabila latihan dilakukan untuk satu tempoh yang agak lama, ia menjadi sebati dengan diri kita dan seterusnya, kita mampu memberikan yang terbaik,” kata ibu kepada Nurul Imanina, tiga tahun dan Mohd. Fawwaz, sembilan bulan.

Tidak sabar beraksi dalam Nyonya

Teater Nyonya yang bakal dipentaskan di Lambang Sari, Istana Budaya bermula 20 Februari depan menyaksikan kali ketiga Juhara Ayob beraksi dalam pementasan berkenaan.

Kali pertama, sewaktu dipentaskan di Pusat Pelancongan Malaysia (MTC) pada tahun 2004, dia memegang watak sebagai Keponakan B manakala Tania Zainal memegang watak utama iaitu Nyonya. Namun, pada pementasan Nyonya kali keempat di Taman Budaya Pumpong, Alor Setar pada tahun lalu, watak utama itu diberikan kepada Juhara.

Juhara turut menjelaskan setakat ini, dia tiada masalah untuk membawakan watak itu kerana tiada jurang perbezaan yang besar untuk watak Nyonya dalam naskhah karya Wisran Hadi itu berbanding sebelumnya.

“Setelah latihan dijalankan, saya serasi dengan watak itu dan tiada masalah untuk saya bawakan watak Nyonya ini. Keserasian antara saya dengan pelakon lain seperti Khatijah Tan, Melissa Saila dan Tania Zainal memang sudah lama wujud memandangkan kami sering berlakon teater bersama.

“Bukan itu sahaja, kami juga akan memberikan tunjuk ajar dan memberikan pandangan bagi memantapkan lagi lakonan masing-masing,” katanya.

Selain itu, Nyonya turut menampilkan satu-satunya pelakon lelaki iaitu Zaifri Husin yang memegang watak Tuan di samping pelakon dari Indonesia Yanie Mae yang akan membawakan watak Isteri.

Teater Nyonya yang diarahkan oleh Rosminah Mohd. Tahir ini akan berlangsung selama empat hari berturut-turut bermula 20 Februari ini. Tiket-tiket berharga RM20, RM30 dan RM50 kini sudah pun mula dijual.

Untuk keterangan lanjut, sila hubungi talian 03-40265558 ataupun layari laman web http://www.istanabudaya.gov.my.

Powered by Utusan Malaysia

Sinema Melayu 'Tidak Hargai' Janet

8 Jan

Oleh JESSABELL SOO

Jika hendak dibilang, tidak ada ramai artis Cina yang berjaya bertapak dalam industri perfileman Melayu. Maka bagi Janet Khoo yang agak popular di kalangan pembikin dan industri perfileman Melayu, dia patut berbangga dengan statusnya.

Memang pada asalnya Janet menceburi industri ini untuk memburu populariti. Namun, semakin dia mendekati impiannya, Janet mula sedar lakonan kini bukan sekadar untuk dikenali sahaja tetapi adalah minat dan “nyawanya”.

JANET akui kecewa

Cuma apa yang dirisaukan oleh aktres ini adalah progres bidang perfileman yang dilihat lebih mengorak ke arah negatif. Malah pada masa ini Janet sedang merajuk dan berkecil hati kerana berasa telah diabaikan oleh pembikin filem dan industri itu sendiri.

ΐSaya tidak faham dengan pergolakan industri hiburan tempatan. Saya telah bekerja keras dan yakin dengan setiap projek serta orang yang saya bekerjasama. Saya menaruh harapan bahawa mereka akan membawa saya ke satu tahap lebih tinggi.

ΐNamun, selepas Mat Dom Teksi memenangi Anugerah Skrin 2006, saya mula merajuk dan kecil hati. Bagi saya Mat Dom Teksi adalah satu drama komedi berkualiti tetapi mengapa tidak diteruskan dan diperjuangkan? Kenapa produksi ini perlu dihentikan?,῔ luah Janet ketika ditemui pada sidang media pelancaran drama Lepaskan Kembali Aku Ke Laut di RTM, baru-baru ini.

Pengiktirafan tidak dihargai

Malah menerusi sitkom tersebut, Janet telah memenangi anugerah aktres terbaik dalam komedi pada majlis Asian TV Awards di Singapura pada tahun 2006.

SAAT merangkul trofi pada 2006 Asian TV Awards.

ΐPada malam itu, saya merupakan satu-satunya artis Malaysia yang memenangi anugerah. Tetapi pengiktirafan itu tidak dihargai oleh industri tempatan. Saya berasa kecewa dan terkejut mengapa sesebuah karya yang memenangi pelbagai anugerah tidak dapat diteruskan,῔ tambahnya lagi.

Membuat keputusan untuk kekal “senyap” dalam industri selagi tidak dihargai, filem terakhir yang dibintangi oleh Janet adalah Paloh (2003).

ΐBukan saya tidak mahu berlakon dalam filem tetapi hakikatnya muka saya tiada nilai komersial. Mungkin ada yang menyatakan muka saya cantik tetapi realitinya muka saya tidak boleh mencapai kutipan box-office. Saya menerima realiti ini dan bekerja keras untuk mencapai kedudukan dalam industri,῔ keluh Janet lagi.

Mungkin disebabkan dirinya pernah memenangi anugerah di negara luar, ramai pihak yang berpendapat Janet kini lebih “mahal” dan hanya akan memilih projek tertentu untuk dipikul.

ΐSaya tidak meletak harga mahal. “Harga” saya masih berada di bawah RM10,000. Apa yang diutamakan adalah watak dan pengarah yang terlibat. Namun, kebanyakan projek yang dilaksanakan masa kini lebih sambil lewa tanpa memikirkan kualiti.

ΐSaya pula bukan seorang pelakon yang akan menerima sebarangan kerja. Jadi ini juga menjadi faktor yang menyebabkan saya jarang dilihat di kaca televisyen kebelakangan ini. Tetapi saya bukan seorang yang demanding,῔ katanya lagi.

Beralih ke layar Cina

Sungguhpun tidak begitu “hangat” dalam dunia perfileman Melayu, Janet baru-baru ini sedang menjalankan penggambaran drama Cina, Age Of Glory terbitan Double Vision.

ΐDrama ini merangkumi 40 episod. Saya sebenarnya tidak tahu membaca bahasa Cina dan perlu menghafal dan menterjemah skripnya. Walaupun selalunya saya tidak suka menghafal skrip tetapi saya mengambil cabaran untuk mencuba.

ΐOrang tidak menghargai saya dalam industri jadi saya ingin mencuba pula pasaran Cina. Bayangkan dari Paloh (watak serius) ke Mat Dom Teksi, saya mencabar diri sendiri tetapi saya tidak dihargai di Malaysia. Saya berlakon bukan untuk mengagumkan orang tetapi bagi kepuasan diri,῔ akhiri bicara Janet.

Powered by Kosmo

Follow

Get every new post delivered to your Inbox.