Archive | Fauzi Nawawi RSS feed for this section

Lisdawati, Fauzi Juara Sehati Berdansa

28 Dec


LISDAWATI dan Fauzi menunjukkan replika cek untuk Rumah Nur Salam selepas dinobatkan juara Sehati Berdansa, malam tadi.

PUTRAJAYA: Pasangan pilihan ramai sejak awal program realiti TV, Sehati Berdansa musim kedua, Lisdawati Nazaruddin dan suaminya, Fauzi Nawawi seperti dijangka muncul juara dalam program realiti tari, Malam Kemuncak Sehati Berdansa di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini, malam tadi.

Pasangan yang mewakili Rumah Nur Salam, membawa pulang kereta Kia Optima, pakej percutian ke Eropah serta hamper dan trofi Sehati Berdansa. Koreografer mereka, Ray Redzuan Awang pula menerima pakej percutian ke Jepun, hamper dan trofi Sehati Berdansa.

Rumah Nur Salam yang mereka wakili menerima wang tunai RM15,000. Hadiah diterima wakil Rumah Nur Salam, Raja Azizan Suhaimi Raja Abdul Latif. Hadiah disampaikan Pengurus Saluran Astro Ria, Khairul Mizan Shagul.

Naib juara, Amyza Aznan (Amyza) dan suaminya, Khairil Izhar Mohd Nadzir yang diselia koreografer, Nizam Zakaria, menerima hamper dan trofi Sehati Berdansa, manakala Yayasan Penyakit Alzheimer Malaysia yang mereka wakili menerima wang sebanyak RM10,000.

Berita Harian

Siapa Lebih Lincah

27 Dec

Oleh Zul Husni Abdul Hamid
zhusni@bharian.com.my

DUA pasangan yang beraksi pada kemuncak Sehati Berdansa, malam ini.

Berentap merebut hati penonton Sehati Berdansa

SEMBILAN minggu yang penuh menguji, segala usaha serta keringat yang tercurah sepanjang program realiti tarian, Sehati Berdansa akan terbayar dengan pengiktirafan pada kemuncak pertandingan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), jam 9 malam ini.

Ganjaran lumayan yang ditawarkan barangkali cuma menjadi pemangkin kepada 10 pasangan bertanding untuk melipatgandakan usaha.

Apa yang lebih utama bagi mereka adalah berusaha keras membuktikan kemampuan serta melunaskan tanggungjawab yang diserahkan dengan berkesan tanpa terlalu memikirkan soal pertandingan.

Milik siapa gelaran juara musim kedua Sehati Berdansa selepas musim lalu, pasangan Rashidi Ishak dan Vanidah Imran pulang bergaya dengan pelbagai ganjaran lumayan?

Antara Lisdawati Nazaruddin dan Fauzi Nawawi serta Amyza Aznan dan Khairil Izhar Mohd Nadzir, satu pasangan ini akan menjadi pilihan penonton untuk dinobatkan sebagai juara kedua Sehati Berdansa.


LISDA dan Fauzi mempunyai peluang cerah bergelar juara Sehati Berdansa.

Setiap pasangan mempunyai kekuatan serta kekurangan tersendiri dan detik getir ketika ini adalah untuk menggoda hati penonton supaya menghantar undian kerana penentuan juara bergantung sepenuhnya kepada Khidmat Pesanan Ringkas (SMS) penonton.

Menilai dari sudut prestasi, pasangan Lisdawati dan Fauzi mempunyai kelebihan kerana sering mempamerkan persembahan yang konsisten sepanjang pertandingan.

Pengalaman Lisdawati atau Lisda dan Fauzi sebagai pelakon banyak membantu mereka dalam menzahirkan ekspresi yang diperlukan ketika mempersembahkan gerak tari. Kelebihan itu banyak membantu, malah sekali pun melakukan kesilapan ia berjaya ditutup dengan ekspresi wajah yang dipamerkan lalu membuat khalayak lupa kepada kesilapan ketika persembahan.

Lisda bertuah kerana tenaga Fauzi yang berkobar sentiasa menyalurkan tenaga untuk dia memberikan persembahan yang maksimum sepanjang pertandingan.


UNDIAN penonton yang sentiasa berpihak kepada Amyza dan Khairil mampu membawa kemenangan.

Fauzi banyak membantu Lisda dalam menghidupkan pergerakan tarian terutama pada beberapa minggu pertama di mana Lisda kelihatan agak kaku dan kurang bermaya.

Pujian wajar diberikan kepada jurulatih tarian bagi pasangan ini, Ray Redzuan yang sentiasa kreatif mengilhamkan gerak tari mencabar dan menguji kemampuan sebenar mereka.

Mungkin ada yang mempertikai kekurangan jumlah undian diterima mereka daripada peminat, namun sebenarnya mereka juga mendapat undian besar terutama dua minggu kebelakangan ini.

Minggu lalu, Lisda dan Fauzi meraih undian tertinggi mengatasi Amyza dan Khairil dibantu markah besar daripada juri profesional membantu mereka untuk melangkah selesa ke final.

Amyza boleh menyerlah pada saat akhir

Tidak seperti Lisda dan Fauzi yang konsisten sepanjang pertandingan, pasangan Amyza dan Khairil yang mewakili Yayasan Penyakit Alzheimer Malaysia pula sentiasa melalui pergerakan naik dan turun dalam Sehati Berdansa.

Amyza dan Khairil bermula sederhana pada minggu pertama, bagaimanapun peningkatan prestasi mereka mula menyerlah pada minggu kedua dan seterusnya.

Ketika persaingan semakin sengit, Amyza dan Khairil dilanda ketegangan malah perselisihan dengan koreografer, Nizam Zakaria pada minggu P Ramlee turut memberi sedikit kesan kepada persembahan mereka.

Kedua-duanya sekali lagi dilanda ujian terutama pada saingan minggu kelapan di mana setiap peserta diwajibkan menarikan dua rutin tarian.

Disebabkan beberapa masalah, pasangan ini hampir berputih mata apabila gerak langkah untuk tarian kedua hanya lengkap beberapa jam sebelum persaingan bermula.

Beberapa minggu kebelakangan ini, pasangan yang mendirikan rumah tangga pada 12 September 2004 itu sering menerima mata tercorot daripada juri profesional.

Pasangan ini disayangi penonton kerana walaupun markah juri profesional kurang memberangsangkan kedudukan mereka sentiasa diselamatkan oleh undian penonton.

Biarpun kebelakangan ini undian diterima mereka agak merosot, malah pernah meletakkan Amyza dan suaminya pada kedudukan yang agak goyah namun semangat kental yang mereka miliki membuatkan khalayak masih mahu menyokong.

Berbanding Amyza yang sentiasa mempamerkan keyakinan ketika persembahan, Khairil pula dilihat masih berusaha keras mencari rentak untuk menjiwai rutin yang diamanahkan.

Itu antara faktor yang memberi kelebihan kepada Amyza dan Khairil, bahkan bukan satu kejutan jika pasangan ini akan meraih kejuaraan pada malam penentuan.

Kemuncak Sehati Berdansa disiarkan di Astro Ria, jam 9 malam menyaksikan kedua-dua pasangan akan melakukan dua persembahan mengikut tema yang ditetapkan iaitu Melayu Kontemporari dan Latin.

Juara Sehati Berdansa mengumpul dana bernilai RM15,000 untuk badan kebajikan terpilih, selain menerima kereta Kia Optima, pakej percutian ke Eropah Tengah untuk dua orang, hamper dan trofi. Juara koreografer pula menerima pakej percutian ke Jepun untuk dua orang, selain hamper dan trofi.

Info:

Amyza Aznan dan Khairil Izhar

Suami: Khairil Izhar Mohd Nadzir

Kerjaya: Juruteknik, Dewan Filharmonik Petronas

Hobi: Menyanyi

Isteri: Amyza Aznan

Kerjaya: Pelakon/pengacara

Hobi: Menyanyi, menari dan memasak

Tarikh perkahwinan: 12 September 2004

Anak: Andre Mikhail, 2 tahun dan Adrian Adam, 6 bulan

Lisdawati dan Fauzi:

Suami: Mohd Fauzi Nawawi

Kerjaya: Pelakon dan pengarah

Hobi: Menonton wayang dan bola sepak

Isteri: Nisdawati Nazaruddin

Nama Komersial: Lisdawati

Kerjaya: Pelakon dan model

Hobi: Berenang dan menari

Tarikh Perkahwinan: 9 September 2007

Anak: Nur Aini Farhana, 3 bulan

Berita Harian

Semakin Ghairah Terbit Drama

16 Dec

Oleh Zaidi Mohamad
zaidim@bharian.com.my

Laila Majnun terbitan Pena Creative temui penonton pada 22 Disember

LALUAN seninya bermula sebagai pelakon, namun sejak tahun 1991 hinggalah sekarang aktres yang kini bergelar penerbit drama bersama syarikatnya, Pena Creative Sdn Bhd, Ziela Jalil sedang berusaha memantapkan profil produk keluaran syarikatnya.

Kejayaan demi kejayaan yang diiktiraf dan diterima membakar semangat ibu kepada dua anak – Puteri Julia Nabilah, 16, dan Megat Jufri Nasrullah, 14.

Menurut isteri kepada Allahyarham Tan Sri Megat Junid Megat Ayob, sepanjang tempoh pembabitan di dalam bidang penerbitan, selama tiga tahun, sekitar 1998 hingga 2001, syarikat miliknya tidak menerbitkan drama ketika zaman kegawatan ekonomi.

Kejayaan drama Lebih Bisa Dari Jelatang menerusi Anugerah Skrin (ASK) 2006 dan Suara Solehah (ASK 2008), membuktikan drama terbitannya bukan saja berkesan pada mata juri sebaliknya mampu memikat penonton.

Satu majlis kesyukuran meraikan kemenangan drama Suara Solehah sekali gus melancarkan drama Laila Majnun terbitan produksi yang sama diadakan pada 12 Disember lalu di Restoran Seri Melayu. Turut sama berkongsi kesenangan dan keberkatan ialah anak yatim daripada Persatuan Ehsan Wanita Dan Anak-Anak Wilayah Persekutuan (Perwanida).


ZIELA, Fauziah Ahmad Daud dan Megat Jufri Nasrullah bersalaman dengan anak yatim daripada Persatuan ehsan Wanita Dan Anak-Anak Wilayah Persekutuan.

Drama Laila Majnun arahan sutradara Emi Suffian yang mengisi slot Lagenda TV3 & TV9 mulai 22 Disember ini menjadi penerbitan kedua Pena Creative selepas drama Akukah Tanggang yang pernah disiarkan sebelum ini menerusi slot yang sama.

Masih mengenakan pendekatan cerita yang memberi iktibar, Laila Majnun mengetengahkan mesej darah daging sendiri tergadai gara-gara hutang. Olahan skrip dilaksanakan oleh Jumal Yunus dan menampilkan gandingan sulung Nabila Huda dan Zizan Nin.

“Penggambaran drama ini sejak Oktober lalu, dua minggu selepas musim Aidilfitri. Baki penggambaran drama 20 episod ini masih dijalankan di sekitar Kuala Lumpur dan Hulu Langat. Laila Majnun juga menampilkan budaya pelbagai kaum di antara masyarakat Melayu, Cina dan India. Pemilihan Nabila dan Zizan sebagai pelakon utama adalah sebagai pilihan pertama.

“Saya dan pengarah drama Suara Solehah (Murali Abdullah) memang sudah lama berhasrat untuk mengadakan majlis doa selamat untuk anak yatim apabila kemenangan berpihak kepada kami. Terlanjur ada majlis pelancaran drama Laila Majnun, kita buat majlis ini. Lagipun, Murali dan saya masing-masing sibuk dengan komitmen lain,” kata Ziela yang kini sedang merangka drama Puteri Gunung Ledang dan Puteri Mayang Murai untuk mengisi slot Lagenda.


BARISAN pelakon yang terbabit memeriahkan drama Laila Majnun.

Januari depan juga, Ziela akan menerbitkan drama telenovela berjudul Matahari bagi mengisi slot Akasia TV3 bermula Mac nanti (sejurus selepas tamat Spa Q 2). Mengambil ilham sebuah drama Thailand yang pernah disiarkan di Astro ia mengisahkan seorang wanita bernama E Pring yang berkahwin ramai suami. Jika tiada aral melintang drama ini akan menjalani penggambaran di Terengganu.

Tidak sesekali pernah meninggalkan dunia lakonan, Ziela kini sedang menjalani penggambaran filem arahan Prof A Razak Mohaideen berjudul Dua Hati Satu Jiwa. Kali terakhir, Ziela berlakon filem ialah menerusi Kayangan yang ditayangkan 2007 lalu.

Dua Hati Satu Jiwa menjadikan subjek kembar Siam lakonan Fouziah Gous dan Yasmin Hani sebagai fokus utama dan Ziela menjadi ibu kepada mereka. Fahrin dipertanggungjawabkan sebagai hero dan turut menampilkan Mustapha Kamal memegang watak suami kepada Ziela.

Peluang berlakon buat julung kalinya di bawah arahan Razak Mohaideen, menjadi landasan terbaik untuk Ziela mengutip pengalaman yang boleh dijadikan amalan sebelum berjinak-jinak ke arah penerbitan filem. Ziela memuji corak kerja syarikat Line Clear milik Razak Mohaideen ini hingga membuatkan hatinya tersentuh. Filem ini adalah filem ke-16 lakonannya.

“Inilah pertama kali saya bekerja dengan produksi yang sebelum memulakan penggambaran dimulakan dengan bacaan doa dan Al- Fatihah. Begitu juga sesudah tamat penggambaran diakhiri dengan bacaan Alhamdulillah. Ia satu contoh yang baik, membawa berkat dan dapat mengutip pahala.

“Seronok juga dapat berlakon kembali dan pelakon lain sudah menjadi macam ahli keluarga apatah lagi saya tidak mempunyai adik beradik kandung. Cuma apabila kembali berlakon dengan produksi lain, soal masa memang amat mencemburui ruang waktu saya dengan anak-anak. Kadang-kadang saya tidak dapat menghantar anak ke sekolah disebabkan terikat dengan jadual penggambaran.

“Hakikatnya, saya memang selektif memilih untuk berlakon terutama hal yang membabitkan skrip. Jika berlakon dengan produksi sendiri, agak mudah bagi saya mengatur jadual di samping menunaikan ibadat yang wajib. Sekarang ini pun, saya sedang dalam proses perbincangan dengan seorang usahawan untuk bekerjasama menghasilkan filem,” ungkap Ziela yang sudah bertudung sejak hujung 2006 lalu.

Ditanya mengenai anak-anaknya andai mereka berminat untuk mengikuti jejaknya sebagai anak seni, Ziela mempunyai alasannya yang tersendiri.

“Saya memang tidak galak anak membabitkan diri dalam dunia lakonan. Biarlah mereka belajar sampai habis dulu dan kejar cita-cita. Kalau dapat segulung ijazah dan ingin menjadikan lakonan sebagai kerjaya sampingan, mungkin juga saya akan pertimbangkan ketika itu. Saya takut mereka akan lalai apabila sudah seronok berlakon,” katanya ringkas.

INFO: Laila Majnun

Disiarkan setiap hari Isnin hingga Khamis jam 4.30 petang di TV3 mulai 22 Disember ini.

Gandingan Nabila Huda dan Zizan Nin adalah yang pertama dilakukan.

Turut berlakon ialah Fauzi Nawawi, Balkish Semundur Khan, Maisarra, Kenchana Dewi, Aida Radzwill, Wan Hanafi Su dan Wan Maimunah.

Berita Harian

Ziela Jalil Puas Garap Drama Berkualiti

15 Dec

Oleh Elrafaei Sapi
ahmadelrafaei@hmetro.com.my

Rap

KEJAYAAN drama Suara Solehah pada Anugerah Skrin 2008 yang berlangsung 8 November lalu membuktikan kesungguhan produser Ziela Jalil menerusi produksinya, Pena Creative Pictures Sdn Bhd untuk menghasilkan karya terbaik.

Drama arahan Murali Abdullah itu bukan saja menang drama terbaik, malah pengarah terbaik manakala pelakon utamanya, Fauziah Ahmad Daud diangkat pelakon wanita terbaik.

Ini juga bukan kali pertama drama terbitannya menang drama terbaik di Anugerah Skrin anjuran TV3, malah pada Anugerah Skrin 2006, drama Lebih Bisa Dari Jelatang menang empat daripada tujuh anugerah dipertandingkan iaitu drama terbaik, skrip terbaik (Mazlan Abdul Manan), pengarah terbaik (Kabir Bhatia) dan pelakon pembantu wanita terbaik (Elza Erdalynna).

Drama Anak Angkat dan Kembali juga berjaya mendapat pengiktirafan di Anugerah Skrin TV3.

Pastinya, kejayaan ini sungguh bermakna bagi Ziela.

Jumaat lalu, Ziela mengadakan majlis kesyukuran sempena meraikan kejayaan itu serentak dengan pelancaran drama terbarunya.

Katanya, dia ingin berkongsi kejayaan itu dengan semua pihak yang membantu menjayakan Suara Solehah.

“Kejayaan ini juga memberi semangat kepada saya untuk terus menghasilkan drama berkualiti untuk kepuasan diri. Alhamdulillah, juri turut mengakui kualiti drama terbitan saya apabila menang drama terbaik di Anugerah Skrin,” katanya.

Balu bekas Menteri Perdagangan Dalam Negeri & Hal Ehwal Pengguna, Tan Sri Megat Junid Megat Ayub yang meninggal dunia pada 24 Januari lalu terus berusaha mempertingkatkan kualiti drama yang dihasilkan.

Menjelang 22 Disember ini menerusi slot Lagenda di TV3, setiap Khamis jam 4.30 petang, Ziela akan tampil dengan drama baru terbitannya, Laila Majnun.

Lebih sekadar hiburan, drama ini turut menyelitkan mesej dan pengajaran kepada penonton.

Menggandingkan Nabila Huda dan Zizan Nin sebagai pendukung utama, drama ini menyelami kehidupan watak utama iaitu Laila lakonan Nabila yang hidup miskin, tetapi berusaha untuk berjaya dalam hidup.

Laila terpaksa berhenti sekolah pada usia 12 tahun dan bekerja selepas kematian ibu bapa.

Mempunyai rakan karib iaitu Majnun, Laila pernah melalui satu peristiwa hitam dirogol.

Akibat peristiwa itu, Laila berhijrah ke bandar untuk memulakan kehidupan baru.

“Cerita sebegini bukan hanya menyampaikan nasihat kepada penonton, tetapi pada diri saya sendiri untuk memahami nasib remaja seperti dirogol mahupun hilang dari rumah. “Sebolehnya, saya mahu paparkan realiti dalam masyarakat dan ia bergantung pada penonton untuk terima secara positif atau negatif.

“Walaupun ini kali pertama Nabila dan Zizan bekerja dalam drama saya, saya yakin dengan kemampuan dua pelakon muda ini berdasarkan lakonan mereka dalam drama lain sebelum ini,” katanya.

Drama sebanyak 20 episod ini diarah Emi Suffian dan dijayakan pelakon berpengalaman seperti Fauzi Nawawi, Wan Hanafi Su, Wan Maimunah, Aida Radzwill, Mahmud Ali Bashah, Liza Othman dan Kanchana Dewi.

Pada majlis doa selamat drama itu yang diadakan di Restoran Sri Melayu, Kuala Lumpur baru-baru ini turut meraikan 40 anak yatim dari Persatuan Ehsan Wanita & Anak-AnakWilayah Persekutuan (Perwanida).

Ziela sebelum ini dikenali sebagai pelakon menerusi beberapa filem antaranya Mr Os pada 1987, Perawan Malam, Kembar Siam, Ujang, Rentak Desa, Driving School, Harry Boy, Konstabel Mamat (1992) dan Kayangan pada tahun lalu. Meskipun aktif kerja produksi, minat terhadap lakonan masih kuat.

Ibu dua anak, Puteri Julia Nabilah, 16, dan Megat Jufri Nasrullah, 13, hasil perkahwinan dengan Tan Sri Megat Junid Megat Ayob berkata, dia juga kini terbabit dengan penggambaran filem baru arahan Prof Madya A Razak Mohaideen, Dua Hati Satu Jiwa.

Katanya, dalam filem lakonan ke-16 ini, Ziela bergandingan bersama Fouziah Ghous, Yasmin Hani dan Fahrin Ahmad sebagai pelakon utama.

“Memang seronok apabila kembali berlakon filem semula, tetapi keseronokan sekarang berbeza dengan dulu apabila kini saya lebih memikirkan anak. Bekerja dengan Razak, ada kelainan kerana doa dibacakan sebelum penggambaran bermula agar mendapat berkat.

“Sebenarnya, saya lebih berminat untuk berlakon dengan produksi sendiri atas faktor keselesaan pada saya sendiri. Jika difikirkan saya juga mempunyai perancangan untuk menghasilkan filem sendiri, tetapi buat masa ini saya ingin kutip pengalaman daripada pengarah lain dulu.

“Saya mempunyai keberanian untuk buat filem, tetapi mungkin saya akan bekerjasama dengan penerbit lain untuk filem pertama saya nanti.

“Dalam pada itu, saya mempunyai beberapa drama baru lain yang akan diterbitkan selepas ini antaranya Matahari, Puteri Gunung Ledang, Puteri Mayang Mengurai dan Dendam Pontianak,” katanya.

Harian Metro

Dance With Celebs

19 Oct

(From left) Awal, Linda and Fahrin as hosts.

Couples take to the dance floor in Season Two of the local adaptation of a popular foreign reality show. HIZREEN KAMAL writes on the new contestants of Sehati Berdansa.

WHEN local television actress Amyza Aznan celebrated her fifth wedding anniversary recently with her technician husband Khairil Izhar Mohd Nazir, she did not ask for a present.

Instead, her only wish was that Khairil agree to participate in Astro Ria’s highly rated reality show Sehati Berdansa (Season 2).

Adapted from an international TV programme, it features celebrity couples competing against one another on the dance floor.

“I told him (Khairil) that since I was not asking any gift from him, he should just agree to any other request I made. And he said ‘yes’.

“That’s when I dropped the bombshell – that we were participating in the show,” she said, giggling.

The couple is one of 10 husband-and-wife teams who will be taking part in Sehati Berdansa, which crowned actress Vanida Imran and actor husband Rashidi Ishak as champions of the inaugural show held last year.

The show has been adapted to suit Malaysian culture and society.

Celebrity couples will compete against each other to help fund a local charitable organisation that they are representing.

Among the 10 charities are The Heart Foundation of Malaysia, Malaysian Mental Health Organisation, Pusat Jagaan Nur Salam, Malaysian Federation of the Deaf, Malaysian National Animal Welfare Foundation and The National Autism Society of Malaysia.

The other celebrity couples who will be joining Amyza and Khairil are actors Fauzi Nawawi and Lisdawati, Sabrina Ali and Mohamad Shahrin, dangdut singer Ani Mayuni and Zairi Azmi, Def-Gab-C vocalist Ashed and Sharifah Noor Shima, popular model/actor Mazin Ameen Siraj and Ida Chairunisa, and former national footballer Shahril Arsat and former actress Noraini Morat.

Their courage and willingness to be involved in this programme is commendable seeing that they do not have any dancing experience.

Nonetheless, the dance floor is sure to heat up when radio presenter Jamal Jamaludin and Noor Faridah, newly-wed Akademi Fantasia 1 stars Khai and Rosma, as well as former member of the all-girl group Elite, Sasha, and Salyo compete, as these couples have some dancing experience.

They each have the responsibility to perform their best for their respective charity homes.

Each week, the eliminated couple will present cash to their selected charity organisation. The amount of cash collected will increase every week until the night of the finale on Dec 27.

Like last year, performances based on technical aspects will be judged by a jury (which will constitute 50 per cent of the votes), while the remainder will be from audience’ votes via Short Message Service (SMS) and fixed line.

The couple with the least votes for the week will be eliminated.

Sehati Berdansa aired on Saturday and yesterday over Astro Ria (Channel 104) with two introductory episodes – Kenali Sehati Berdansa at 9pm, hosted by Awal Ashaari.

Debaran Sehati Berdansa, the weekly live show to announce the result, will only begin from Oct 26.

Other complementary shows are Detik Sehati Berdansa, which will feature five-minute clips of the celebrity couples, from Monday to Thursday at 9pm, and Di Sebalik Sehati Berdansa, aired every Friday at 9pm, for the behind-the-scenes snippets of their training and recording sessions.

After the finale on Dec 27, there’s Memori Sehati Berdansa, slated for Jan 3 and 4. These will look back at the winning couple’s journey.

During the launch of the show recently, Astro Ria channel manager Khairul Mizan said the first season of Sehati Berdansa received overwhelming response from Astro viewers.

“We have discovered that the content variety in this programme appeals to our customers and at the same time, is able to be a catalyst for charity.”

Each couple will be assigned to 10 professional choreographers. This will allow each choreographer to provide his full attention to the couple, choreographing suitable dance movements based on weekly dance themes such as ethnic, disco and even Bollywood.

Dance consultant Ahmad Kasan has been appointed to advise each couple and choreograph their dance performance weekly.

Popular Era radio presenter Linda Onn and actor Fahrin Ahmad return as the show’s hosts.

Promotional activities include a roadshow at Aeon Jaya Jusco, Bukit Tinggi, Klang on Sunday.

A line-up of activities has been arranged from 10am to 6pm, including a meet-the-fans session with this season and last season’s Sehati Berdansa finalists.

New Straits Times

TV3 Saji Program Terbaik, Berkualiti

1 Oct

Oleh Rozdan Mazalan
rozdan@bharian.com.my

Tujuh filem terbaik, selain beraneka program muzikal jadi menu istimewa penonton

BUKAN saja menghiburkan tetapi semua program yang disiarkan di TV3 berkualiti untuk disajikan kepada penontonnya sepanjang Aidilfitri tahun ini. Ini termasuklah menyiarkan tujuh filem berturut-turut selama tujuh hari. Pengurus Besar Kumpulan Pengurusan Penjenamaan TV3, Nurul Aini Abu Bakar berkata, segala program yang disiarkan sempena Aidilfitri ini dipilih daripada yang terbaik.

“Kebanyakan program yang disediakan adalah kali pertama disiarkan kecuali filem. Setiap tahun memang TV3 sedia program yang terbaru untuk memberi kelainan agar penonton berasa suatu pembaharuan yang dilakukan pada tahun ini,” katanya pada majlis berbuka puasa yang diadakan stesen itu baru-baru ini,

Berikut adalah antara program yang disediakan TV3 untuk penontonnya sepanjang Aidilfitri.

Filem Raya

Nana Tanjung 2

Tarikh Siaran: 1 Oktober

Masa: 9 malam

Nana Tanjung 2 menyingkap kesinambungan Nana Tanjung dengan kehidupan anak-anak Nana Kassim yang berubah apabila pelbagai cerita timbul sehingga terkena tempias kepadanya. Nana yang mendengar tohmahan jiran memutuskan untuk mengenakan pelbagai syarat kepada bakal menantunya. Filem ini dibintangi Saiful Apek, Fasha Sandha, Waheeda, Jehan Miskin, Azean Irdawaty dan Saffi Jaafar.

Otai

Tarikh Siaran: 2 Oktober

Masa: 9 malam

Walaupun sudah tiga tahun berkahwin mereka tidak dikurniakan zuriat. Aiman dan Azura mendapat tekanan dengan ayah Aiman iaitu Tan Sri Mansur sekiranya masih gagal mendapatkan zuriat dalam masa setahun, seluruh harta peninggalan akan diwariskan kepada anak yatim. Azura kemudian disahkan tidak boleh mengandung. Maka terpaksalah Azura merelakan Aiman berkahwin lagi. Antara pelakon filem ini ialah Saiful Apek, Nasha Aziz, Saleh Yaakob, Ainul Aishah dan Faezah Elai.

Dunia Baru The Movie

Tarikh Siaran: 3 Oktober

Masa: 9 malam

Opie menerima surat yang ditulis Anizah menyatakan hasratnya untuk ke Thailand dan berkahwin lari dengan Fazley. Anizah begitu nekad sehingga sanggup melepaskan tawaran melanjutkan pelajaran ke United Kingdom. Ini merisaukan kawannya iaitu Opie, Madihah, Suzanna, Adif dan Tajol. Mereka berpakat mengikut jejak Anizah dan memujuknya agar mengubah fikirannya. Filem ini membariskan Elyana, Pierre Andre, Iqram, Anne Ngasri, Anita Baharom, Baizura Kahar dan Almy Nadia.

Cinta

Tarikh Siaran: 5 Oktober

Masa: 9 malam

Jalinan lima cerita yang meraikan keajaiban cinta. Harris ada segala-galanya, isteri yang cantik, anak dan karier namun isterinya mengakui mempunyai teman lelaki baru. Dyan mengubati hatinya yang sepi dengan mengubah cara hidup adiknya Dhani seorang pelukis jalanan. Ariel menjejaki cintanya yang dibantu oleh Taufiq seorang wartawan muda. Elyas pesara guru yang menghabiskan sisa hidupnya setelah menghidap Alzheimer. Elyas sering menghabiskan masanya di restoran milik janda Rubiah. Antara pelakon filem ini ialah Datuk Rahim Razali, Fatimah Abu Bakar, Rita Rudaini, Nanu Baharuddin, Sharifah Amani, Fatimah Abu Bakar, Pierre Andre, Eizlan Yusoff dan Rashidi Ishak.

Rempit vs Impak Maksima

Tarikh Siaran: 7 Oktober

Masa: 9 malam

Shariman dan Bani mempunyai minat yang sama iaitu berlumba motosikal. Mereka menghabiskan masa dengan berlumba haram. Satu hari Shariman ditawarkan untuk menjadi pelumba kereta secara profesional dan Bani masih meneruskan kerja merempit secara haram. Filem aksi ini dilakonkan oleh Awal Ashaari, Zulhuzaimy, Fauzi Nawawi, Jue Aziz, Hafiz, Maimon Mutalib, Jalaluddin Hassan, Watie Elite dan Suraya.

Waris Jari Hantu

Tarikh Siaran: 8 Oktober

Masa: 9 malam

Tina dan Ari berkawan baik dan bersaudara dengan Tok Wan Rimau, penjaga harimau saka. Keluarga Tina kini sedang mencari waris perempuan untuk menurunkan ilmu sakanya. Tok Wan dan harimau saka melindungi keluarganya dan Pekan Mendekar dari bahaya. Ari sering diejek oleh penduduk kampung dengan gelaran ‘Mat Kepit’, atau ‘Mat Patah’. Walaupun begitu, Tina setia berada di sisi Ari, malah menyimpan perasaan cinta yang mendalam terhadap Ari. Filem ini dilakonkan oleh Maya Karin, Rusdi Ramli, Azean Irdawaty, Nanu Baharuddin, Liza Othman, Kavita Sindhu, Zahim Albakri, Riezman Khuzaimie, Rashid Salleh, Zaidi Omar dan Jit Murad.

Qabil Khushry Qabil Igam

Tarikh: 9 Oktober

Masa: 9 malam

Qabil Khushry dan Qabil Igam, anak kepada Ismail dan Tijah. Qabil Khushry amat sayangkan adiknya. Ketika dewasa, Rani jatuh hati kepada Khushry manakala adiknya, Karisma memuja Igam. Bagaimanapun, kerana satu kesilapan, mereka sekeluarga bagaikan tersepit, lalu satu keputusan terpaksa dibuat yang membabitkan satu pengorbanan besar. Antara pelakon filem ini membabitkan Hans Issac, Rusdi Ramli, Erra Fazira, Ziana Zain dan Khatijah Tan.

Ayat-Ayat Cinta

Tarikh Siaran: 10 Oktober

Masa: 9 malam

Fahri Abdillah adalah seorang pelajar pintar dari keluarga miskin yang mendapat biasiswa untuk melanjutkan pelajaran di Universiti Al-Azhar di Mesir. Dia yang juga seorang berdisiplin dan berdedikasi memulakan kehidupan di Mesir melanjutkan pelajaran dan menterjemah buku-buku agama dengan penuh bersemangat. Hanya satu saja matlamat yang belum tercapai iaitu perkahwinan. Fahri yang adalah seorang yang lurus dan suci tidak percaya pada konsep perhubungan sebelum berkahwin. Filem Indonesia ini dilakonkan oleh Fedi Nuril, Carissa Putri, Melanie Putria, Zaskia Adya Mecca dan Rianti Cartwright.

Program Muzikal Raya

Teratak Siti Nurhaliza

Tarikh Siaran: 1 Oktober

Masa: 10 pagi

Datuk Siti Nurhaliza bakal mendendangkan lagu popular tradisional dan terkini dengan diiringi oleh pemuzik profesional pimpinan Faizal Uzir. Program muzikal ini berkonsepkan fusion tradisional dan moden di mana kedua elemen ini digabungkan untuk mendapatkan konsep irama tersendiri. Turut dijemput adik-beradiknya iaitu Siti Saida dan Siti Saerah.

GhazalRock

Tarikh siaran: 2 Oktober

Masa: 10 pagi

Ghazal Rock adalah satu program muzikal lain dari yang lain. Barisan penyanyi terbabit dalam program istimewa ini ialah Ning Baizura, Faizal Tahir, Anuar Zain, Ella dan kumpulan rock, Jinbara dipertemukan dalam program khas Raya ini. Ia akan disiarkan selama 60 minit di mana menyaksikan artis jemputan mendendangkan lagu tradisional termasuklah lagu kontemporari yang kekal popular dan diminati ramai.

Komedi Raya

Al-Kisah Kembali

Tarikh Siaran: 2 Oktober

Masa: 5.30 petang

JAKA dan Dhuri sedang mencari anak, Junior mereka yang diculik. Mereka terjumpa dengan kawan lama, Jinbai, Momsteem dan Long Sifu semasa dalam perjalanan mencari anak mereka. Pelbagai rintangan yang melucukan dapat disaksikan sepanjang pencarian menyelamatkan Junior. Drama komedi ini lakonan Apek, Zarina Zainuddin, Shamsul Ghau Ghau, Mommsteem, Aziz Kota, Bob Kuman, DJ Sumo, Redza

Senario Gamatnya Raya

Tarikh: 2 Oktober

Masa: 11 malam

Kisah dua kumpulan anak muda yang ingin merasai suasana baru di hari raya. Anak muda kampung ingin merasai beraya di bandar, sementara anak muda di bandar pula ingin beraya di kampung. Saksikan lakonan Azlee, Aby Yus, Opie Zami dan Bob Kuman.

Simpang Tiga Raya Special

Tarikh: 3 Oktober

Masa: 11 malam

Salman, Saleh dan Mawi menaruh hati kepada Wati. Mereka masing-masing cuba sedaya upaya menambat hati Wati. Dalam diam hati Wati terpaut kepada Salman, Che Pah ibu kepada Wati menyuruh mereka mencarikan lemang tetapi ada saja alasan mereka berikan. Hinggalah Wati sendiri menyuruh mereka, maka pelbagai usaha dan gelagat mereka untuk mendapatkan lemang yang terbaik dan paling sedap untuk Wati sempena persiapan Hari Raya.

Saksikan telatah Abon, Ifa Radziah, Acong Sweetchild, Scha, Buzen, Ropi Cecupak, Ebby Yus dan Sathiya.

Variasi Raya

Ewah-Ewah Raya 1 dan 2

Tarikh: 1 dan 2 Oktober

Masa: 4.30 petang

Program berkonsepkan muzikal & game show ini menampilkan gabungan empat pengacara hebat iaitu Raja Azura, Nabil, Shamsul Ghau Ghau dan Amyza Adnan yang pastinya bakal mencuit hati anda. Turut serta dalam program ini ialah Fabulous Cats, Mas Idayu, M. Daud Kilau, Faradiya, Danny X-Factor dan Mila.

Bagus Sangat Ke?

Tarikh Siaran: 2 Oktober

Masa: 9 pagi

Menampilkan gandingan Didie Alias dan Sheila Rusly sebagai pengacara manakala selebriti yang menjayakan program ini ialah Adibah Noor, Sahri, Dina, Enot, Bob AF2 dan Sumo Fabulous Cat. Peserta akan dibahagikan kepada dua kumpulan dengan setiap kumpulan mempunyai tiga peserta. Mereka diwajibkan membuat tiga tugasan yang dibahagikan kepada tiga segmen iaitu Ketupat Oh Ketupat, Aduh..Panjut Pulak!! dan Mmmm Sedapnya!!!.

Raya Bersama Fara

Tarikh Siaran: 5 Oktober

Masa: 5 petang

Raya Bersama Fara memfokuskan kepada pengacara wanita popular 2006/2007 Anugerah Bintang Popular Fara Fauzana sebagai pengendali program yang berbentuk bual-bicara hiburan. Antara artis yang terbabit menjayakan program ini termasuklah Jinbara, Afdlin Shauki, Misha Omar, Datuk Aziz Satar, Azwan Ali dan Darling Ngasri.

Berita Harian

Lisdawati Lakar Memori Bersama Keluarga

21 Sep

Oleh RABIATUL ADAWIYAH
KOH ABDULLAH

LISDAWATI Nazaruddin, 29, atau lebih mesra dengan panggilan Lis bukanlah satu nama asing dalam industri hiburan tanah air. Aktres yang jelita ini tetap meneruskan kariernya walaupun digamit kesibukan melayan kerenah puteri sulungnya.

Mendirikan perkahwinan dengan seorang duda beranak empat, Fauzi Nawawi, 35 pada 9 September tahun lalu, Lisdawati kini bahagia melayari bahtera rumah tangga.

Bersama putri kesayangan, Nur Aini Farhana, Lisdawati dan Fauzi merakam kenangan terindah sebagai keluarga bahagia.

Seperti keluarga lain. Lisdawati juga sibuk membuat persiapan hari raya yang bakal disambut oleh umat Islam lebih kurang seminggu lagi.

Lisdawati yang sudah dua kali menyambut hari raya bersama Fauzi akan balik ke Perak pada tahun ini.

Kesempatan balik ke kampung, tidak pernah dilepaskan oleh Lisdawati untuk berkumpul bersama sanak-saudara.

“Tahun ini, saya balik ke Perak sebelah suami saya. Bezanya tahun ini, saya akan balik ke sana bersama emak dan adik-adik. Biasanya, kami akan balik dengan kereta,” katanya.

Kebetulan hari raya disambut sekali setahun, ia memberi peluang Lisdawati berkumpul sekeluarga dan saling bertukar-tukar cerita.

“Kalau boleh tahun ini, kami nak berjalan-jalan ke tempat baru. Sambil beraya, boleh juga kami bercuti. Antara destinasi yang mungkin dikunjungi kami sekeluarga ialah Pangkor, Perak. Saat inilah, Lisdawati gunakan masa untuk merakam kenangan sama ada menggunakan kamera video dan sebagainya,” jelasnya.

Tambah Lisdawati, kebetulan sekarang ini, sudah ada kemudahan teknologi rakaman seperti kamera video yang boleh dibawa ke mana sahaja.

Malah, ketika majlis perkahwinannya dahulu, Lisdawati tidak ketinggalan merakam saat terindah tersebut dalam bentuk video.

“Apabila ada rakaman video, seronok kerana dapat mengimbas kenangan lama,” jelasnya.

Cerita Lisdawati tentang kerjaya, aktiviti seninya sekarang ini masih juga seperti dahulu dan dia masih menerima tawaran berlakon

Namun, Lisdawati tidak menafikan hidup berkeluarga perlu diutamakan terutama apabila sudah mempunyai anak.

“Apabila ada anak, kesibukan agak lain sedikit kerana selalu fikirkan anak. Macam saya sedikit sibuk kerana menyusu badan untuk anak,” ujarnya.

Kegembiraan Lisdawati tidak terkata apabila melihat anaknya sudah boleh bermain-main.

“Ini merupakan anak sulung saya, jadi banyak gambar dan rakaman video yang diambil terutamanya saat-saat yang menggembirakan apabila dia sudah mula pandai membuat sesuatu. Ketika inilah, saya menghabiskan masa bersama anak sambil melayan dia bermain ,” katanya.

Utusan Malaysia

Follow

Get every new post delivered to your Inbox.