Archive | Nora Danish RSS feed for this section

Rayqal Ceriakan Hidup Nora Danish

24 Mar

Foto Ihsan Berita Harian/ Berita Minggu

KL, 24 MAC 2009:  “Timang tinggi-tinggi, sampai cucur atap, belum tumbuh gigi, dah pandai baca kitab…”

Terus Murai Batu teringat lagu Biduanita Datin Rafeah Buang apabila menatap gambar Nora Danish sedang menimang buah hati pengarang jantungnya, Putera Rayqal Ramli yang dah pun mencecah usia hampir 3 bulan. Amboi… comel betul!

Gambar yang Murai Batu terima daripada rakan wartawan di Berita Harian/ Berita Minggu ini sudah jelas menunjukkan betapa bahagianya Nora melayan hidupnya sebagai seorang ibu ketika ini. Lepas pantang saja, Nora bukan main cantik lagi dan kembali semula ke shape asalnya.

Akhirnya, Nora, 27, telah bersedia untuk berposing dengan anak sulungnya itu dan hujung minggu lalu dia menjemput wartawan untuk majlis cukur jambul Rayqal yang berlangsung di Kuala Lumpur.

Lebih bermakna, majlis itu diadakan di kediaman bekas mertuanya iaitu Tan Sri Ramli Ngah Talib serta isteri, Puan Sri Raja Noora Ashikin Raja Abdullah. Hadir sama ibu Nora, Puan Sally Talib dan paling sensasi, bekas suami Nora sendiri, Rizal Ashram (Jejai) yang segak pula berbaju Melayu. 

Dengan kehadiran itu, terbuktilah bahawa Nora tak pernah berdendam dengan Jejai apabila mereka bercerai malah enggan memutuskan ikatan silaturahim antara Rayqal dan ayah kandungnya. Apa yang Murai Batu dengar, Tan Sri Ramli dan Puan Sri pun tak boleh berenggang lama dengan cucu kesayangan mereka tu.

Murai Batu sempat tanya Nora, adakah semua itu tanda-tanda dia akan rujuk semula dengan Jejai. Pantas Nora  menjawab, dia belum terfikir tentang perkara itu kerana buat masa ini hanya mahu berikan sepenuh tumpuan kepada Rayqal.

“Apa yang dah berlaku biarlah jadi satu sejarah dan kenangan. Mungkin agaknya kami berdua lebih sesuai bersahabat daripada duduk sebumbung sebagai suami isteri. Nora tak mahu komen panjang-panjang tentang hal ini sebab Nora sendiri tak tahu apa yang akan berlaku pada masa depan. Semuanya kuasa Tuhan kan?

“Yang penting, Jejai cukup sayangkan Rayqal sebab itu darah dagingnya dan Nora sendiri mahu Rayqal kenal siapa ayah, datuk dan neneknya,” kata Nora dengan nada lembut.

Jadi Murai Batu nak pesan, bagi sesiapa yang teringin mendampingi atau rampas Jejai, bawa-bawa sedarlah bahawa si ayah dan si anak itu sangat rapat malah Jejai juga sangat menghormati serta sayangkan Nora sebagai wanita yang membesarkan zuriat mereka itu.  

Kata Nora lagi, hidupnya kembali bermakna dan tidak sunyi lagi sejak adanya Rayqal. Menariknya, Nora lahir pada 7 Mac dan Rayqal pula 7 Januari. Itulah antara keistimewaan Nora dan anaknya.

MURAI BATU: Berserabut kepala melihat konflik AC Mizal-Shafnie Zainuddin serta Nash-Sosilawati belum selesai.

 

Murai

Masih 'Menantu' Tan Sri

23 Mar

Oleh TENGKU SUZANA RAJA HAMAT
suzana.rajahamat@kosmo.com.my

KETIKA hati dan jiwanya parah, di dalam rahimnya berdetik degup jantung tanda ada insan kecil yang sedang bernafas. Kini, teman hatinya bukan lagi insan kecil yang hanya dilihat di skrin hitam putih semasa dalam bilik rawatan bersama doktor, bukan lagi janin yang bernafas dalam rahimnya, sebaliknya, di pangkuan Nora Danish kini ada seorang putera harapan yang lahir setelah sembilan bulan menemani hari-hari sepi ibunya tanpa suami.

Benar status Nora Danish itu ibu tunggal tapi hidupnya tidak sendirian bahkan disimbahi cahaya yang terang benderang, cahaya yang menerangi suram kamarnya dan cahaya penyuluh jalan hidupnya. Cahaya itu – Putera Rayqal Ramli yang hari ini sudah dua bulan 17 hari menjadi peneman hidup Nora. Inilah zuriat tanda cintanya yang pernah bersemi bersama Rizal seketika dahulu.

Ini juga kali pertama laman hati pelakon yang popular menerusi siri TV, Puteri itu terbentang seluas-luasnya untuk menjemput teman media sama-sama menyaksikan hari penting sang puteranya mengenal adat dunia, adat mencukur jambul dan naik buaian. Sekali gus menjadi setik pertama untuk Rayqal diperkenalkan kepada masyarakat di luar sana.

“Inilah Rayqal, permata hati saya. Usianya sudah dua bulan lebih dan sejak dilahirkan sampailah ke hari ini, dia senang dijaga yang tidak banyak kerenah.

“Saya bersyukur ke hadrat Ilahi kerana atas segala kesejahteraan, rezeki dan kesihatan yang dianugerahkan kepada saya dan anak ini,” luah Nora penuh syahdu ketika ditemui selepas majlis cukur jambul puteranya, Putera Rayqal Ramli di kediaman bekas mentuanya di Ampang, Selangor.

Sepanjang majlis berlangsung, suara tangis Rayqal langsung tidak kedengaran, ada masanya anak kecil itu lena di pangkuan bapanya, Rizal Ashram Ramli dan ada masa di pangku sang ibu muda, Nora sendiri.


SEMANGAT BARU. Kelahiran Rayqal memberi sinar buat Nora untuk meneruskan hayat.

Ketika acara cukur jambul juga, Rizal dan Nora bergilir-gilir mendukung Rayqal dan paling menyentuh perasaan, dua jiwa yang tidak lagi bersatu atas nama suami isteri itu berada di kiri dan kanan buaian mengulik anakanda yang sedang beradu.

Bersulam marhaban dan selawat bacaan Kumpulan Al-Firdaus yang diketuai Hajah Maimunah Ali, majlis meraikan Putera Rayqal ini meriah dalam suasana penuh kesederhanaan.

Senyuman di bibir bekas mentua Nora, Tan Sri Ramli Ngah Talib dan isteri Raja Puan Sri Datuk Noorasyikin Raja Abdullah dan ibunya sendiri, Puan Sally Talib tidak pernah lekang di bibir. Masing-masing bahagia dan gembira melihat cucu sulung, pewaris dua keluarga itu sihat tanpa cela.

Walaupun sewaktu Nora diceraikan suaminya Rizal, Rayqal masih lagi dalam kandungan, namun kehadiran Rayqal sebenarnya sebuah anugerah yang menjadi ‘penyambung’ menyatukan semula hubungan dua keluarga yang hampir terputus.


DUA keluarga yang hampir terputus ikatan akhirnya kembali bersatu dengan kelahiran Rayqal.

Menurut Tan Sri Ramli, biarpun anaknya Rizal sudah tiada jodoh dengan Nora, namun mereka sekeluarga masih melihat Nora sebagai menantu sama seperti ketika mula-mula menjejak kaki ke rumah mereka dahulu.

“Saya masih anggap dia (Nora) sebagai anak menantu saya, hubungan kami mesra bahkan lebih dekat lagi selepas Rayqal lahir kerana setiap hari kami berjumpa. Apa yang berlaku di antara mereka berdua (Nora dan Rizal) tidak akan mengubah kasih sayang saya terhadap cucu saya, Rayqal dan Nora,” ujar Ramli penuh makna.

Sambungnya lagi: “Bila dapat cucu pertama lain benar rasanya sama ketika kami mula-mula dikurniakan anak pertama (Rizal) dulu. Kalau dulu setiap hari minggu, saya dan Puan Sri boleh keluar atau bersantai tapi sekarang kebanyakan masa terluang mahu dihabiskan bersama dia (Rayqal).”

Isterinya, Raja Puan Sri Noorasyikin juga begitu, kasih sayang mereka kini tertumpu untuk Rayqal memandang anak yang lain sudah besar panjang. Walaupun jauh di sudut hatinya, dia mahu anak dan bekas menantunya itu bersatu kembali tetapi sebagai ibu dia hanya mampu berdoa.

“Semua pihak mengharapkan perkara yang baik tapi saya tak mahu komen apa-apa tentang hubungan mereka, saya tak mahu wakili sesiapa. Dah takdir hidup mereka begitu. Tinggal lagi kami sebagai orang tua tambahan sekarang sudah bergelar nenek dan datuk, kami mahu lihat Rayqal membesar dalam keadaan sempurna dan kami sendiri sudah tidak boleh berenggang dengannya walau sehari.

“Disebabkan saya bekerja, setiap malam kalau Rayqal tidak ada di sini saya akan jenguk dia di rumah ibunya. Biasanya setiap petang, Nora akan datang ke sini membawa Rayqal menemui datuknya,” beritahu bekas ibu mentua Nora penuh ramah.


NORA tetap disayangi, malah semakin mesra oleh pihak keluarga bekas mentuanya.

Berbalik kepada Nora, walaupun hubungannya dengan bekas suami masih berjalan baik terutama selepas kehadiran Rayqal, ibu muda ini masih bertahan dengan kata hatinya. Sampai ke saat ini, pegangannya masih teguh dan masih belum berubah. Cuma yang mampu Nora perjelaskan sekali lagi, hubungannya dengan bekas suami berjalan baik kerana anak.

Kesukaran pertama, sendirian mengandungkan anak tanpa suami di sisi sudah dilalui. Di depan Nora kini terbentang cabaran, gelora apakah lagi yang bakal menghempas dirinya.

Sebelum membuka bicara tentang kesukaran meneruskan perjalanan sebagai ibu tunggal, akui Nora, hidupnya kini semakin bahagia dan semakin bermakna. Putera yang lahir 7 Januari lalu sudah diberi nama seindah purnama.


HARAPAN Nora mahukan anaknya ini menjadi seorang tahfiz al-Quran.

Harapannya, biarlah pula anak itu membesar bijak dan menjadi anak yang soleh. Kata Nora, teringin di hatinya mahu Rayqal menjadi seorang tahfiz al-Quran.

“Orang kata, bila seseorang yang hafal al-Quran meninggal dunia, dia boleh tarik empat orang lain untuk masuk ke syurga bersama-sama dengannya.

“Kalau tak sampai ke tahap itupun, saya mahu Rayqal mendapat pendidikan yang sempurna, kalau boleh biarlah dia menjadi seorang yang berpendidikan dan bercita-cita tinggi. Dewasa nanti, kalau dia mahu pilih dunia seni saya tidak akan halang,” ujar Nora yang meminjam semangat ibunya, Sally Talib, juga seorang ibu tunggal.

“Saya sendiri kehilangan bapa ketika berusia 12 tahun, jadi ibu banyak memberi inspirasi kepada saya. Insya-Allah, semuanya nanti akan jadi mudah asalkan saya pandai menjaga diri dan bijak membahagi masa. Saya bersyukur ada keluarga bekas mentua banyak memberi sokongan,” katanya bersulam ceria.

Kosmo

ABPBH 2008: Gabungan Artis Lama, Baru Di Pentas ABPBH 2008

19 Mar


SEBAHAGIAN artis yang akan menjadi penyampai anugerah pada ABPBH 2008.

SESUATU acara penganugerahan belum tentu berjaya sepenuhnya jika ia tidak dikendalikan oleh hos berkaliber. Bukan saja pengacara perlu bijak mengawal perjalanan majlis, malah dengan suntikan jenaka spontan, acara pasti berlangsung dengan lebih sempurna.

Secara tradisi, Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) sentiasa mengetengahkan pengacara yang mampu menghidupkan keadaan. Tidak kira lelaki mahupun wanita, sering kali pengacara anugerah ini menyerlahkan kehebatan mereka di pentas tatkala memikul beban yang bukan kecil.

Nama seperti Fauziah Ahmad Daud, Raja Azura, Anita Sarawak, Salih Yaakob dan Sharifah Shahira sememangnya agak sinonim dengan penganjuran anugerah berprestij ini. Mereka pengacara yang cukup dikenali dengan kemampuan menghidupkan suasana dengan gaya penyampaian serta lawak menggeletek jiwa.

Pengacara itu juga sudah tentu berdebar-debar setiap kali berada di pentas utama. Maklum saja, bukan sekadar penonton di arena yang menyaksikan setiap kelakuan mereka, malah jutaan penonton di rumah turut memberikan perhatian. Lalu, profesional mana sekalipun seseorang pengacara, pasti ada sekelumit rasa gementar apabila mereka berdiri di depan khalayak.

Shahira yang terpilih mengendalikan acara kemuncak ABPBH 2008 di Arena of Stars Genting Highlands pada 12 April ini tidak terkecuali. Akui wanita cantik ini, walaupun sudah sekian lama bergelar pengacara, malah kali kedua mengendalikan ABPBH, dia masih lagi tidak dapat menghilangkan debaran di dada terutama apabila diberi kepercayaan mengacarakan anugerah sebesar anjuran Berita Harian ini.

Begitupun, pelakon ini tetap menyahut cabaran yang diberikan, dengan menganggapnya sebagai penghormatan cukup tinggi untuk dirinya.


TIGA penyanyi veteran yang akan menghiburkan penonton pada malam kemuncak, dari kiri; A Rahman Hassan, L Ramlee dan Jeffrydin.

Pada acara gilang-gemilang bertemakan Sentuhan Tenun itu nanti, Shahira akan berpasangan dengan pelakon Adlin Aman Ramlie. Gandingan mereka pastinya membuatkan peminat ternanti-nanti acara kemuncak, apatah lagi ABPBH 2008 menjadi acara pertama kedua-dua insan popular ini disatukan sebagai pengacaranya.

Apakah nanti Shahira mampu menangkis ‘serangan’ Adlin menerusi jenakanya? Apakah juga dia berjaya memintas lawak spontan si lelaki yang baru saja menjadi tunangan pelakon Emelda Rosmila? Sama-sama kita tunggu acara kemuncak ABPBH 2008 yang akan berlangsung beberapa minggu dari sekarang.

Selain pengacara, tentu sekali artis yang bakal mengadakan persembahan pada malam gemilang itu juga menjadi tumpuan. Jika barisan artisnya kurang memberangsangkan, tentulah peminat berfikir dua kali sama ada untuk terus menonton rancangan berkenaan atau berpindah ke saluran lain.

Justeru, ABPBH sentiasa menampilkan penyanyi atau penghibur terbaik untuk memastikan peminat sentiasa melekat di saluran sama setiap kali ABPBH berlangsung. Formula yang dilihat cukup mengesankan kerana setiap kali berlangsungnya anugerah ini, setiap kali itulah rekod rating tontonan diperbaharui.


KUMPULAN Kristal antara artis yang bakal menggegarkan Arena of Stars, 12 April ini.

Kali ini, sekumpulan penyanyi popular, gandingan baru dan lama, disenaraikan penganjur untuk menghangatkan lagi majlis anugerah.

Penyanyi hebat seperti Datuk Siti Nurhaliza, Anita Sarawak, Jamal Abdillah, Siti Sarah dan kumpulan Kristal sudah semestinya menjanjikan persembahan yang tidak akan dilupakan peminat. Tidak cukup dengan nama besar itu, diundang sama ialah angkatan baru seperti Faizal Tahir, Hujan, Stacy, Aizat, Diddy, Farah Asyikin dan Ayu OIAM.

Lebih menarik, ABPBH 2008 tidak melupakan penyanyi yang terlebih dulu memeriahkan industri muzik tanah air. Lalu, peminat akan bergoyang sama dengan irama merdu dendangan Datuk A Rahman Hassan, Jeffrydin dan L Ramlee. Tentu sekali gabungan persembahan yang amat menarik bakal berlaku pada acara kemuncak nanti.

Tidak lengkap majlis anugerah tanpa kemunculan penyampai yang menghiasi pentas. Pada edisi ke-22 ini, sekali lagi senarai selebriti yang panjang disediakan penganjur untuk menyerikan lagi acara. Mereka mewakili pelbagai bidang seni seperti lakonan, nyanyian, pengacaraan dan penyampaian radio.

Penyampai anugerah kali ini terdiri daripada AG Hot FM, Amy Mastura, Ayu Raudhah, Eizlan Yusoff, Farid Kamil, Fizo Omar, Kieran, Lisa Surihani, Lisdawati, Fauzi Nawawi, Mawi, Ekin, Maya Karin, Nora Danish, Norish Karman, Que Haidar, Linda Jasmine, Rozita Che Wan, Saida, Saerah, Umie Aida dan Zizie Ezette.

Info:

MAJLIS pengumuman tema, pengacara, penyampai dan artis persembahan ABPBH 2008 berlangsung dalam suasana cukup meriah di Palace of the Golden Horses, Seri Kembangan, 17 Mac lalu.

PENGACARA majlis, Faizal Ismail dan Anne Hot FM, memperkenalkan barisan pengacara, penyampai dan artis diperkenalkan kepada wakil media. Sebelum itu, dua selebriti jelita, Nurul Alis (Kiki) dan Diana Danielle memperagakan rekaan songket oleh Zack Ismail dan Calvin Thoo.

DIPERKENALKAN juga ialah barisan pereka fesyen yang akan bersaing sesama sendiri dalam Anugerah Pereka Fesyen Popular ABPBH 2008. Pereka terbabit bertanggungjawab menyerlahkan penampilan selebriti lelaki dan wanita pada acara kemuncak di Genting Highlands nanti.

TURUT menjadi perhatian hadirin ialah patung dengan pakaian songket dari Kraftangan Malaysia, yang menghiasi beberapa sudut lokasi majlis.

Berita Harian

Setengah Juta Tonton Kelab Pop

16 Mar

Oleh Wan Asrudi Wan Hasan
wanasr@hmetro.com.my

Rap
SEJAK disiarkan, program game show, Kelab Pop berjaya menarik perhatian ramai.

Selain mencatat jumlah penonton yang meningkat, program yang dikendalikan Reza Mohamed turut mencuri perhatian setiap selebriti tempatan untuk mengambil bahagian.

Program yang diadakan dengan tujuan hiburan bermaklumat itu hanya disertai golongan selebriti dan dijalankan secara berkumpulan.

Musim kedua program disiarkan setiap Rabu jam 9 malam menerusi Astro Ria (Saluran 104) bermula 20 Mei ini.

Bagi mengekalkan reputasi program berkenaan beberapa pembaharuan dilakukan seperti perubahan set dan beberapa jenis permainan baru.

Antara yang menjadi tarikan ialah lagak seorang gadis Inggeris yang menyanyi lagu Melayu dengan cara tersendiri mengikut apa yang didengar daripada alat pendengar.

Pengurus Saluran Astro Ria, Khairul Mizan Shagul berkata pihaknya menerima maklum balas positif daripada selebriti yang ingin mengambil bahagian dalam program berkenaan begitupun kesibukan memenuhi aktiviti seni sedikit sebanyak menghalang pembabitan mereka.

“Sebenarnya kami buka penyertaan ini kepada semua selebriti. Bukan hanya pelakon dan penyanyi, malah kami turut mempelawa jurumekap artis dan pihak media juga turut terbabit dalam program ini.

“Program ini sekadar hiburan untuk peserta dan penonton yang menyaksikannya.

“Walaupun program ini diilhamkan mengikut format dari Jerman, Pop Club namun kami sudah melakukan beberapa perubahan selain mementingkan pengisian hiburan dan kandungan yang sesuai dengan penonton tempatan,” katanya.

 

 

Program berkenaan adalah antara himpunan program game show menarik yang diterbitkan Astro bermula Bolos, seterusnya Jangan Lupa Lirik.

Musim pertama siaran program berkenaan mencatat lebih 513,000 jumlah penonton setiap kali disiarkan.

Jumlah berkenaan tersenarai antara tertinggi bagi program game show.

Menurut Khairul, pihaknya tidak bercadang untuk menawarkan hadiah wang tunai atau trofi khas sebagai ganjaran kepada pemenang untuk musim baru ini.

“Kami masih mengekalkan hadiah trofi kepada pemenang. Setiap peserta hanya perlu melalui satu episod permainan. Tanpa perlu menyertai peringkat saringan atau membabitkan peringkat akhir.

“Kami juga tidak menolak kemungkinan akan mengadakan program berkenaan di pusat beli-belah jika sambutan mendapat sambutan lebih memberangsangkan,” katanya.

rogram game show hiburan diketuai Penerbitnya, Sazilatul Ahamad menampilkan pelbagai segmen antaranya soal & jawapan, pop berantai, CD Rosak, runut bunyi, budak baru belajar, goreng kaw kaw, versi versus, sekalijehit!, biar betul dan suara buluh kasap yang dijalankan secara kumpulan yang membabitkan tiga individu.

Selain itu, permainan baru membabitkan buskers, tiru macam saya dan Mr Saxophone. Artis yang terbabit dalam program musim ini antaranya Accapan, Mr Os, Ebby Yus, Louisa Chong, Kenchana Devi, Nora Danish, Sherry Ibrahim, Nana, Nila Kurnia, Fara Fauzana, Intan Ladyana, Ezlynn, Ilyaka, Ifa Raziah, Roslan Shah, Lana Nordin, Fazura, Nabila, Liyana Jasmay, Raja Farah, Fauziah Gous, Nubhan, Aizat dan Ayu (One In A Million).

Turut serta Ahmad Karsan, Amyza Adnan, Yasmin Hani, Azwan Ali, Ropi Cecupak, Enot, Ferhad, LnJ RL, Talam RL, Sasha, Andy Flop Poppy, Lan Meet Uncle Hussein, Zahida Rafik, Zizie Izette, Abby Abadi, Linda Onn, Amy Mastura, Norish Karman, Sazzy Falak, Farouk Hussein, Mawi, Ekin, Khai, Rosma, Fazli Zainal dan Anita Baharom.

Harian Metro

Persona Linda

11 Mar

Oleh Zaidi Mohamad
zaidim@bharian.com.my

SAHUT CABARAN…Antara pereka fesyen yang memeriahkan Anugerah Pereka Popular ABPBH 2008 di sisi Linda Onn, finalis bagi kategori Penyampai Radio Wanita Popular.

Penyampai radio popular yang juga seorang usahawan gigih ini tidak lagi mempermudahkan kehadiran insan bernama pereka fesyen

TAHUN kedua berlangsung, Anugerah Pereka Popular beriringan kerlipan majlis Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) 2008 terus menjadi aspirasi dan inspirasi menaikkan nama pereka fesyen tempatan yang masih hijau.

Idea menghasilkannya tahun lalu serentak dengan ABPBH 2007 dilihat mampu menjana serta menyerlahkan potensi insan kreatif ini. Buktinya, tahun ini lebih 25 orang pereka fesyen akan mengambil bahagian dan ini sekali gus menunjukkan graf peningkatan mendadak berbanding tahun lalu 18 orang.

Anugerah yang diwujud serta dicerna publisis popular, Bill Bora bersama sekretariat ABPBH ini bertujuan memberi penghargaan kepada pereka yang baru bertapak atau dianggap baru. Kerjasama pereka fesyen dan selebriti pantas terjalin, malahan peluang yang dibuka ini membuktikan dua entiti ini sebenarnya saling memerlukan.

“Acara permaidani merah dan apa sekali yang digayakan selebriti pasti dinanti-nantikan penggemar fesyen dan peminat yang sering menjadikan golongan ini sebagai perintis gaya. Melalui landasan ini juga membuktikan, dunia glamor yang menerjah ruang seni ini menggambarkan betapa kerjasama erat antara pereka fesyen dan selebriti begitu diperlukan,” kata Bill Bora lewat pertemuan dengannya selepas menjadi orang penting kepada projek ini.

Lalu, istimewa kehadiran penyampai radio Sinar FM tinggi lampai persis peragawati tersohor, Linda Onn dengan gaun labuh rona merah menjerit rekaan Bill Keith dipadankan dengan kain songket dijadikan aksesori tali pinggang seakan meraikan pereka fesyen yang terbabit untuk Pereka Fesyen Popular. Menyerlah personanya ditambah dengan pemakaian cincin, anting-anting dan gelang tangan tajaan Rafflesia The Pearl Centre, koleksi mutiara South Sea Pearls.


BILL Bora (kanan), orang penting di sebalik projek ini tekun memberi penerangan kepada pereka fesyen.

Mereka yang dimaksudkan dan hadir ketika sesi fotografi ini berlangsung ialah Hatta Dolmat, Razman Din, Azura Mazarudin, Rizman Ruzaini, Calvin Thoo, Faizal Azraf, Kent Khalil, Nurita Harith, Nik Erwan Roseli, Erwan Arsbo, Michael Shu, Hazwani, Nazreen Idris, Zery Zamry, Zack Ismail, Sya Shaharani, Khairy Sufi termasuk penyertaan pasangan kembar Puteri Azalea dan Puteri Yasmin yang memiliki butik PU3 di The Curve, Damansara.

Lagak dan pose mereka semua diibaratkan seperti model baru di dalam pencarian program American Next Top Model. Posisi Linda pula seperti Tyra Banks yang menjadi perintis program ikutan ramai itu. Bertema merah dan hitam, terserlah semangat membara mewakili warna merah dan hitam itu pula perlambangan menawan.

Ungkap Linda yang pernah mencipta kontroversi beberapa tahun dulu kerana gagal muncul di hamparan

permaidani merah di Anugerah Academy ke 79 pada 26 Februari 2007, perkataan ‘pereka fesyen’ itu cukup sinonim dengan dirinya.


Linda Onn

“Sebelum melandanya kes Linda di Los Angeles pada tahun itu, Linda sendiri tak sedar dan perasan sangat kepentingan pereka fesyen. Lagipun, Linda bukan seperti penyanyi yang perlu menukar busana setiap kali membuat persembahan. Kini persepsi Linda sudah berubah dan peranan pereka fesyen membuka mata ramai pihak.

“Linda puji usaha Berita Harian mengadakan pertandingan ini dan boleh dikatakan kehadiran pereka fesyen baru seperti cendawan tumbuh waktu pagi. Cuma, apabila persaingan semakin sengit, setiap pereka fesyen pula tampil kreatif dan tak dinafikan kerjasama mereka dengan selebriti sekali gus menaikkan nama mereka,” kata Linda yang ketika artikel ini ditulis sedang berbincang untuk menggunakan khidmat Nazreen Idris pada malam kemuncak ABPBH 2008 12 April depan.

‘Sebati dengan dunia radio’

NAMA Linda masih utuh lagi dan buktinya usahawan premis makanan My Moms Chicken Rice (MMCR) dan My Asam Pedas ini dicalonkan lagi dalam kategori Penyampai Radio Wanita Popular ABPBH 2008. Ironinya, dia yang kini sedang merencana untuk membuka francais MMCR ke seluruh negeri bahkan ke luar negara, sudah lapan kali dicalonkan dalam kategori itu sejak 2001.

Enam kali mengekalkan kejuaraan untuk kategori itu sebelum dipintas pesaing terdekatnya, Fara Fauzana selama dua tahun, Linda melihat saingannya baik Fara, Nana, Leya dan Abby Fana hebat-hebat belaka. Linda yang sudah tiga bulan berhijrah ke Sinar FM ini turut memberikan contoh situasi sokongan yang diterima Fara daripada majikannya begitu jitu berbanding dirinya.

“Tidak bagi saya yang harus balik kepada asas iaitu harus bekerja keras untuk mengukuhkan label nama Linda Onn itu sendiri,” katanya ringkas sambil meninggalkan tanda tanya.

Tambahnya lagi, apa terjadi, biar ribut taufan datang melanda sekalipun, kecintaannya terhadap dunia radio masih belum terhakis.

“Dunia radio sudah cukup sebati sejak saya di bangku sekolah lagi. Ia sukar dipisahkan, malah saya tak boleh katakan, yang saya mungkin akan tinggalkan dunia ini biarpun sudah mempunyai jaminan kerja sebagai ahli perniagaan,” katanya tulus.

Mengintai kisah peribadinya, wanita kelahiran Johor Bahru ini dapat ditafsir sedang melalui fasa yang cukup membahagiakan. Selepas berakhirnya episod ‘teman tapi mesra’ bersama Fahrin Ahmad, dia dikatakan belum bertemu pengganti.

Namun, sehingga Januari lalu sewaktu dia membawa teman, seorang lelaki mat salih ketika menghadiri majlis resepsi Mawi dan Ekin di Hotel Palace Of The Golden Horses, mulalah anda yang memberi andaian lelaki itulah yang dicintainya sekarang.

“Namanya James Gibbs dan dia kawan lama yang Linda kenali sejak 10 tahun dulu. Kami berkenalan di Kuala Lumpur dan dia pernah mempunyai restoran suatu ketika dulu di sini. Dia seorang ahli perniagaan dan apa yang saya boleh katakan hubungan kami di peringkat serius sejak dua bulan lalu.

“Mengenalinya, Linda dapati, dia seorang yang lemah-lembut. Dia juga menghormati golongan wanita, setia dan benak fikirannya selalu pandang ke depan. Linda tahu ada pihak yang mempersoalkan motif tiba-tiba Linda membawanya ke majlis resepsi itu.

“Apa yang boleh Linda katakan, diri ini juga macam perempuan lain yang ada hati nak berkawan. Lagipun, tiada benda yang Linda nak selindungkan. Ada jodoh Linda dengan sesiapa sekalipun, biarlah lelaki itu baik. Insya-Allah, Linda minta jodoh dengan sesiapapun nanti berpanjangan,” katanya yang pernah merencana untuk menamatkan zaman bujang sekitar hujung tahun lalu atau awal tahun ini.

Lalu, persoalan di sini, siapa pula Hans Isaac di dalam hidup Linda. Kesempatan ini diambil Linda untuk merungkaikan gosip yang pernah timbul mengandaikan ada hubungan istimewa di antaranya dengan aktor kacak itu.

“Dia seorang kawan yang baik, malah tak keterlaluan Linda katakan dia seorang pendengar yang baik. Sewaktu berdepan dengan masalah dan perlukan teman untuk meluahkan perasaan, Linda akan bercerita dengannya.

“Kami boleh rapat dan serasi sebab bergelumang dalam bidang seni yang sama. Jika Linda menangis, dialah yang menggembirakan hati. Jangan risau, hubungan kami tak lebih daripada kawan. Linda akui pernah keluar dengannya bersama rakan-rakan lain. Tapi biasalah apabila Linda dan dia saja yang dikenali, maka diandaikan orang kami keluar berdua,” katanya yang mungkin akan mengikuti siri jelajah ABPBH 2008 di Klang. Blog Linda boleh dilayari di http://www.linda-onn.blogspot.com.

Info menarik Anugerah Pereka Popular ABPBH 2008

Puteri Azalea dan Puteri Yasmin adalah bekas adik ipar pelakon Nora Danish. Malah kembar ini akan mereka busana untuk Nora Danish bagi malam kemuncak ABPBH 2008 di Arena Of Star, Genting Highlands.

Anizam Yusof dan Shamsu Yusof turut akan menyertai pertandingan ini. Anizam akan mereka pakaian untuk Scha manakala Syamsu Yusof, Vanidah Imran.

Pereka fesyen Bill Keith, Jovian Mandagie dan Albert King turut mereka pakaian untuk beberapa orang selebriti terkemuka.

Setakat ini Calvin Thoo masih belum mempunyai senarai selebriti yang bakal melaram koleksi rekaannya.

Zack Ismail akan mereka pakaian untuk Nurul Alis atau Kiki, Razman Din (Abby Abadi dan Zul), Azura Mazarudin (Lisa Surihani, Alyah, Ainul Aishah), Rizman Ruzaini (Sariyanti dan Saerah), Faizal Azraf (Nana Era, Ayu OIAM), Kent Khalil (Abby Fana dan Ezlynn), Norita Harith (Juliana Evans), Nik Erwan Roseli (Dynas dan Mila), Erwan Arsbo (Diana Danielle dan Kenchana Dewi), Michael Shu (Adlin Aman Ramli, Nabil, Irma Hasmie, Diddy, Sharifah Shahira dan Faizal Ismail), Hazwani (Aleya dan suami), Nazreen Idris (Linda Onn, Saida dan Intan Ladyana), Zery Zamry (Elyana), Sya Shaharani (Zizie Ezette), Khairy Sufi (Amyza Adnan dan Hatta Dolmat (Siti Sarah dan Nurul Abdul Wahab).

Anugerah Pereka Popular ABPBH tahun lalu, kemenangan berpihak kepada Hatta Dolmat dan Michael Shu dibantu Lord’s Tailor masing-masing menjuarai kategori selebriti wanita dan lelaki.

Penghargaan

Solekan Linda Onn: Najeeb (012-2116962)

Lokasi: Hotel Istana

Busana Linda Onn: Bill Keith

Tiga aksesori mutiara South Sea White yang digayakan Linda Onn bernilai RM516,000.

Berita Harian

Fesyen Tanpa Tema, Peralihan Musim

8 Mar

Oleh Siti Nur Almizan Aripin
snur@nstp.com.my

Azalea (kiri) dan Yasmin menggayakan rekaan
baju dan aksesori yang ada di PU3 Design.

Pakaian PU3 Design mudah disuai padan, menyerlahkan keperibadian pemakai

MEMPERTARUHKAN rekaan sendiri memberi kelebihan kepada pasangan kembar, Putri Azalea Ashram Ramli dan Putri Yasmin Ashram Ramli mencatur perjalanan butik PU3 Design milik mereka yang terletak di The Curve, Kota Damansara.

Melihat kepada latar belakang gadis genit yang juga anak kesayangan bekas Menteri Besar Perak, Tan Sri Ramli Ngah Talib, pasti ramai beranggapan mereka hanya menumpang tuah keluarga.

Bagaimanapun, sesiapa mengenali pasangan kembar yang memiliki pesona seperti si kembar Hollywood, Mary-Kate dan Ashley Olsen pasti akan berbisik kagum dengan komitmen mereka mengangkat label tempatan setanding jenama pakai siap terkenal dari luar negara.

Dalam usia menginjak 27 tahun, rangkaian label pakai siap dikendali yang dulunya hanya beroperasi di sebuah kiosk kecil di The Curve, kini memiliki ruang niaga sendiri dihias indah bertemakan warna hitam dan merah jambu.

Azalea berkata, inspirasi untuk membuka perniagaan berasaskan pakaian wanita bermula selepas menamatkan pengajian di London. Oleh kerana Yasmin sendiri memiliki segulung ijazah dalam rekaan fesyen, idea menubuhkan butik pakaian dan aksesori wanita disampaikan kepada bonda tersayang, Puan Sri Raja Noora Ashikin Raja Abdullah yang sememangnya memiliki kepakaran mereka dan menghasilkan aksesori perhiasan wanita.

“Ibu menjadi pendorong utama kejayaan kami. Sehingga hari ini, ibu setia memantau dan memberi tunjuk ajar kepada kami malah rekaan aksesori PU3 juga sebilangan besar adalah hasil idea dan kerja tangan ibu bersama kami berdua.

“Saya masih ingat, lima bulan sebelum PU3 Design dibuka, hampir setiap hari kami bertiga bersengkang mata menghasilkan aksesori untuk stok jualan. Apabila semua tersedia, kami sendiri bagai tidak percaya melihat deretan aksesori yang dihasilkan,” katanya.

PU3 Design mengetengahkan koleksi pakaian siap tanpa berpegang kepada tema atau peralihan musim tertentu. Konsep dipilih adalah moden dan kasual malah kebanyakan rekaan dihasilkan lebih cenderung kepada aliran fesyen yang menjadi ikutan mereka berdua.

“Pasaran fesyen di negara ini tidak seperti negara empat musim. Bagaimanapun, sedikit sebanyak kami juga perlu seiring dengan arus fesyen antarabangsa dan penambahan serta pengubahsuaian perlu dilakukan supaya sesuai selera peminat fesyen tempatan.

“Antara rekaan yang menjadi ikutan ramai ketika ini adalah seluar sendat. Justeru, kami membuat perubahan dengan mengetengahkan rekaan seluar sendat yang diperincikan zip serta lipatan pada sisi seluar untuk kelainan,” katanya.

Koleksi PU3 Design mempunyai identiti sendiri yang boleh dibezakan daripada pakaian pakai siap lain. Menurut Azalea dan Yasmin, mereka selesa menghasilkan pakaian menggunakan fabrik polos dari warna terang kerana ia mampu menarik pandangan.

Sesuai dengan sasaran pasaran mereka iaitu wanita muda yang ceria serta mencintai fesyen, pakaian PU3 Design juga mudah disuai padan malah mampu menyerlahkan keperibadian pemakai supaya kelihatan seksi dan periang.

Turut ditawarkan butik PU3 adalah rangkaian aksesori perhiasan wanita seperti rantai, gelang dempak, aksesori kepala (headband), anting-anting dan cincin hasil kerja tangan Azalea, Yasmin dan ibunya.

“Keistimewaan aksesori PU3 ialah semuanya dihasilkan satu untuk setiap rekaan. Tapi kami tetap menerima tempahan pelanggan yang mahukan rekaan sama daripada koleksi terdahulu,” katanya.

Butik PU3 dedikasi Ramli untuk tiga wanita kesayangannya iaitu isteri dan dua puteri kembar melalui tahun pertama yang memeritkan dan Yasmin sendiri mengakui mereka terpaksa bekerja keras untuk berada pada tahap sekarang.

“Untuk itu, kami mengambil pelbagai langkah untuk mempromosikan pakaian PU3 dan kebetulan bekas kakak ipar, Nora Danish sentiasa muncul memperaga pakaian kami. Saat itu orang mulai sedar kewujudan PU3.

“Selain Nora, Sazzy Falak dan Yasmin Hani juga selalu berkunjung ke butik setiap kali ada koleksi baru dikeluarkan,” kata Yasmin yang turut membuka sebuah kiosk menjual coklat import, Me Luv Candy bersama rakan kongsi, Alfi Alizar.

Berita Harian

'Sabar Saya Ada Batas'

21 Feb

Oleh Muhd Izawan Baharin

KUALA LUMPUR: “Saya tak pernah kata nak kahwin dengan bekas suaminya (Rizal Ashram Ramli). Kami hanya berkawan.

“Bagaimanapun, Nora keluarkan kenyataan kononnya saya tertekan kerana keluarga Rizal tidak menerima saya sebagai menantu. Kenapa dia perlu beri kenyataan begitu?” kata pelakon popular, Fasha Sandha mengulas kenyataan pelakon siri Puteri, Nora Danish yang disiarkan sisipan Bintang Popular, Berita Minggu, Ahad lalu.

Fasha berkata, dia sedikit pun tidak sedih dan kecewa dengan dakwaan itu kerana bukan sesuatu yang pelik masyarakat tidak menerima artis sebagai menantu.

“Namun, apa yang saya pertikaikan, kenapa Nora yang memberi kenyataan bagi pihak keluarga Rizal? Saya tak pernah merancang untuk berkahwin dengan bekas suaminya,” katanya ketika ditemui selepas pengumuman finalis Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2008 (ABPBH) di Palace Of The Golden Horses Seri Kembangan, kelmarin.

Fasha mendakwa Rizal juga menghubunginya pada jam 9.45 malam Ahad lalu memberitahu ibunya tidak pernah memberi kenyataan itu.

“Rizal memohon maaf kepada saya dan keluarga jika artikel itu menyinggung perasaan saya. Sekarang saya keliru. Yang mana satu perlu percaya…kenyataan Rizal atau Nora?”

“Apapun, saya mengharapkan isu ini dihentikan di sini. Saya hendak letak titik noktah mengenai kontroversi saya, Nora atau Rizal,” katanya.

Bintang Popular Ahad lalu melaporkan Nora Danish atau nama sebenar Nora Mohd Danish Hanif, 26, menyangkal dakwaan Fasha dia tertekan kerana dia dan Rizal sudah tidak ada apa-apa hubungan lagi.

Nora dilaporkan turut mempersoalkan kenapa selepas bercerai dan masing-masing membawa haluan sendiri, baru Fasha bercakap mengenai gosip itu.

Nora mendakwa keluarga Rizal pernah memberitahunya mereka tidak akan terima Fasha sebagai menantu.

Fasha atau nama sebenarnya Nur Fasha Sandha Hassan, 24, berkata apa yang dimintanya sebelum ini ialah masyarakat memberi ruang kepadanya dan menghormati perasaan Nora kerana khuatir gosip itu akan memberi tekanan kepadanya.

“Kenapa dia perlu memalukan dan menuduh saya mengaitkan namanya serta saya mencari publisiti murahan. Saya juga menyimpan semua SMS Nora termasuk ugutan yang diterima pada 17 November 2007.

“Semua bukti saya masih simpan dan tidak akan menunjukkan kepada sesiapa kerana setakat ini saya masih boleh bersabar kerana menghormati perasaan wanita yang baru melahirkan anak, tapi dia perlu tahu kesabaran saya ada batasnya,” katanya.

Menurutnya, apa yang dimintanya ialah spekulasi hubungannya dengan Rizal dihentikan, malah mendoakan Nora, bekas suami dan bayi mereka sihat sejahtera.

Sementara itu, Fasha turut menafikan khabar angin dia akan berkahwin dalam masa terdekat kerana belum ada calon suami.

“Saya tidak nafikan ada menyatakan sudah bersedia bergelar isteri, tapi bukan bererti saya membuat persiapan. Saya berjanji apabila tiba masa sesuai, saya akan berkongsi dengan semua, jadi saya berharap spekulasi ini dihentikan,” katanya.

Fasha turut bersyukur kerana terpilih dalam Top 5 bagi kategori Pelakon TV Wanita Popular ABPBH 2008.

“Alhamdulillah, saya bersyukur sangat kerana tidak sangka dipilih lagi dan terima kasih kepada peminat yang menyokong dan berada di sisi saya dalam keadaan susah dan senang,” katanya.

Mengenai perkembangan lakonannya, Fasha berkata, dia kini bersiap untuk penggambaran drama Suram Seri Pengantin untuk slot Cerekarama TV3 arahan Fairuz Loy.

“Bulan depan, saya akan memulakan penggambaran drama bersiri Cuci The Series sebanyak 13 episod terbitan Tall Order Production arahan Harun Salim Bachik,” katanya.

Harian Metro

Saya Tak Akan Rujuk!

14 Feb

Oleh HARYATI KARIM
haryati.karim@kosmo.com.my

Apa yang berlaku antara dia dan Rizal bukan masalah saya. Saya tidak mahu terlibat langsung. Kenapa mesti kaitkan saya? – Nora

SUNGGUHPUN artis comel, Nora Danish, 27, telah sah bercerai dengan suaminya Rizal Ashram Ramli setelah Nora selamat melahirkan bayi sulungnya, Putera Rayqal pada 7 Januari lalu, kisah mereka nampaknya tidak tamat di situ saja.

Sebaliknya, bekas suami isteri ini tetap menjadi buruan pihak media apabila ada ura-ura kononnya mereka bakal rujuk semula setelah kelahiran Putera Rayqal.

Kemudian, bekas suami Nora pula menarik perhatian media apabila dikatakan mempunyai hubungan rapat dengan seorang artis sensasi dan dikatakan pernah bercuti bersama. Kononnya juga hubungan bekas suami Nora dan artis berkenaan bukan lagi satu ‘gosip’ yang kurang berasas memandangkan mereka dikatakan bakal ke jinjang pelamin tidak lama lagi.

Sejauh mana kebenaran cerita tersebut, hanya waktu yang boleh tentukan. Mungkin pada pandangan orang ramai, Nora merupakan mangsa yang paling hebat menerima kesan daripada kontroversi tersebut. Apatah lagi dalam tempoh berpantang, dia masih lagi dikaitkan dengan kisah cinta bekas suaminya dan juga artis panas itu. Peritnya dugaan, hanya boleh dikongsikan bersama Yang Maha Esa.

Bagaimanapun telahan orang ramai silap, Nora tidak minta dikasihani atau simpati orang ramai akan nasibnya. Ternyata jiwa wanitanya tabah dan masih kental meskipun dihimpit dengan seribu satu dugaan yang tidak pernah dijangka.

Malah, ketika Kosmo! menemubual dengannya baru-baru ini, Nora tidak sedikit pun menunjukkan tanda-tanda tertekan atau sengsara dengan semua kejadian serta kontroversi tersebut.

Dia masih lagi Nora yang dulu, ceria dan bersahaja, serta mampu menjawab soalan demi soalan dengan cukup tenang.

Walaupun begitu, maafkan kami kerana tidak berjaya ‘memujuk’ Nora untuk memotret gambarnya bersama putera tersayang. Ini kerana Nora memberitahu dia belum bersedia untuk muncul dalam keadaan diri masih dalam proses berpantang.

“Saya janji, selepas kesihatan sudah okey, kita akan ambil gambar baru,” katanya dalam bahasa paling sopan menandakan ketinggian darjatnya sebagai seorang

wanita berketurunan baik-baik.

Ikuti perbualan antara Nora dan Kosmo!


NORA tidak pernah berdendam dengan sesiapa termasuk yang dianggap sebagai ‘perosak’ rumah tangganya.


WAJAH manis Nora ketika Putera Rayqal masih dalam kandungan.


KETABAHAN Nora mendepani masalah rumah tangga membuatkan banyak orang jatuh kasih kepadanya.

Bagaimana dengan keadaan Nora dan anak sekarang?

Alhamdulillah, semuanya dalam keadaan baik, dapat melihat anak di depan mata, saya rasa seronok sangat. Memang penat sedikit sebab terpaksa berjaga malam, tetapi saya bertuah kerana dibantu ibu dan kakak-kakak yang sentiasa menemani. Mereka ada di sisi saat saya memerlukan.

Rasa sepi?

Tidaklah, saya tidak berseorangan, saya ada kakak-kakak dan emak serta kawan-kawan yang sentiasa memberi sokongan dan dorongan. Jadi saya tidak pernah sepi, tambahan sekarang hidup saya lebih terisi dengan adanya anak yang sentiasa buat saya tersenyum.

Bagaimana hubungan Nora dengan keluarga bekas mertua?

Kami masih baik seperti biasa. Malah semasa saya bersalin, ibu dan ibu mertua ada sekali dalam bilik bersalin, mereka juga sering melawat Nora. Adik ipar dan keluarga lainpun semua baik.

Ada desas-desus yang mengatakan Nora dan bekas suami, mahu berbaik semula kerana anak. Betul ke?

Mana ada, saya tidak akan rujuk balik! Itu hanya spekulasi yang timbul kerana cerita daripada sebuah akhbar. Orang mungkin salah faham kerana tajuknya Nora bakal rujuk? Sebenarnya tak ada apa-apa. Saya tidak akan rujuk balik. Saya bahagia dengan kehidupan sekarang.

Baru-baru ini, heboh tentang cerita hubungan intim bekas suami Nora dengan seorang artis, malah dikatakan siap pergi bercuti bersama. Betul ke mereka akan berkahwin?

Kalau boleh saya tidak mahu sebut atau sentuh langsung pasal dia. Kami sudah tiada apa-apa hubungan, kami baik hanya kerana anak, itu saja. Selepas ini dia hendak kahwin atau apa saja yang dia buat, tiada kaitan dengan saya lagi. Saya harap semua pihak akan faham.

Apa perasaan Nora, walaupun telah bercerai masih lagi dikaitkan dengan kisah cinta bekas suami, malah artis itu sendiri turut mengheret nama Nora?

Saya nak cakap, jangan sesekali dia (artis) kaitkan atau sebut nama saya lagi. Apa yang berlaku antara dia dan Rizal bukan masalah saya lagi. Saya tidak mahu terlibat langsung. Kenapa mesti kaitkan saya? Di antara saya dan Rizal, kami sudah tidak ada apa-apa hubungan. Jadi tolong berhenti kaitkan saya dengan kisah mereka berdua.

Dalam keadaan masih berpantang, timbul pula isu-isu merimaskan seperti ini, adakah Nora tertekan?

Tertekan? Saya pelik kenapa saya mesti tertekan? Sebenarnya saya langsung tidak tertekan. Menerima kehadiran seorang anak, adalah sesuatu yang membahagiakan. Saya bahagia dengan anak dan hidup saya sekarang ini. Sedikit pun tidak tertekan. Sekarang ini semua sudah terjawab, jadi orang boleh fikir sendirilah apa sebenarnya yang berlaku sebelum ini.

Selepas ini, bagaimana dengan kehidupan Nora?

Saya jalani kehidupan macam biasa. Bercerai bukanlah pengakhiran hidup, banyak lagi benda yang hendak saya lakukan. Lagi pun saya sudah mempunyai anak, dan dia telah membakar semangat saya untuk menjadi lebih kuat. Selepas habis pantang, saya akan kembali bekerja dan berlakon seperti biasa.

Bila mula bekerja?

Mungkin dalam bulan April baru saya mula kerja. Saya ada tempoh lagi dua minggu untuk berpantang dan selepas itu berusaha untuk mengurangkan berat badan. Saya tidak mahu tinggalkan anak yang masih kecil, tunggulah dia berusia tiga atau empat bulan, baru saya rasa lega untuk bekerja. Tambahan sekarang ini berat badan saya bertambah dari 45 kilogram ke 49 kilogram, jadi ada beberapa kilogram lagi saya nak turunkan sebelum benar-benar bersedia bekerja semula.

Buat sebarang senaman untuk dapatkan berat badan yang ideal?

Buat masa ini saya masih lagi dalam pantang dan tidak boleh buat apa-apa termasuklah sebarang senaman. Mungkin penat sebab tidak cukup tidur membuatkan badan saya turun dengan sendirinya. Kalau tidak saya akan memikirkan jalan lain untuk dapatkan semula berat badan ideal saya.

Kosmo

Mulia Sungguh Hati Fasha Sandha…

13 Feb

KL, 13 FEB 2009:  Mulia sungguh hati Fasha Sandha apabila sudi memikirkan nasib yang menimpa Nora Danish.

Murai Batu ‘terasa sebak’ apabila membaca keprihatinan Fasha apabila dia bersimpati dengan tekanan yang diterima oleh Nora apabila Melodi menyiarkan footage kantoi dia dan bekas suami Nora, Jejai, pulang daripada bercuti di Thailand dan gosip lain berkaitan hubungan mereka.

Murai Batu dan kawan-kawan dapat tahu hal percutian Fasha dan Jejai itu pun dari Melodi yang hebat dalam hal menerjah orang. Kalau Melodi reka cerita, maka kena tipulah kita, bukan?

Bagi Murai Batu, Fasha memang bidadari atau angel yang ada magik. Jika tidak, masakan dia boleh keluar statement bagi pihak orang lain yang dia sendiri tidak tahu macam mana hal sebenarnya.

Kata Fasha, Nora mungkin tertekan apabila membaca gosip dia dan Jejai. Walhal keadaan sebenar, Nora tengah enjoy sakan dengan status barunya sebagai ibu kepada seorang anak lelaki yang comel.

Bukan itu saja, Nora sebenarnya masih disayangi lagi oleh Jejai (rujuk merujuk, soal kedua) kerana Nora telah melahirkan seorang anak ketika mereka hidup bersama dulu.

Tambah pula, bekas ibu mertua Nora makin sayang kepada Nora dan cucunya. Hai, mana nak dapat bekas mak mertua baik macam tu yang jauh panggang dari api daripada Mak Dara dalam filem Ibu Mertuaku! Memang rezeki Noralah sebab hatinya putih.

Murai Batu agak Fasha cuba alihkan tumpuan wartawan dan peminat daripada cerita footage kantoi Melodi itu kepada isu tiba-tiba cuba bersimpati dan berbaik sangka pula kepada Nora sebab Nora sendiri tak pernah ambik potpasal isu itu dan dengan siapa Jejai hendak kahwin kelak.

Nasihat Murai Batu, biarlah Nora sendirian saja dan menghabiskan tempoh pantangnya dengan aman.

MURAI BATU: Semalam dengar cerita, Fasha pula yang stress sampai kena jumpa doktor. Nora? Tengah happy tukar lampin dan menyusukan bayinya!

Murai

'Nora Usah Cuba Bohong Diri Sendiri'

12 Feb

KUALA LUMPUR: “Kalau dia terasa lebih gembira dan tidak tertekan dengan gosip itu, saya bersyukur,” kata pelakon popular, Fasha Sandha membalas kenyataan Nora Danish, semalam.

Nora Danish dilaporkan berkata dia tidak terasa apa-apa berhubung gosip Fasha menjalinkan hubungan dengan bekas suami pelakon sitkom Puteri itu.

Menurut Fasha, kenyataannya menerusi Harian Metro, Selasa lalu, menggambarkan harapannya supaya spekulasi mengaitkan dirinya dengan bekas suami Nora, Rizal Ashram Ramli dihentikan hingga dia bersedia berkongsi siapa jejaka di hatinya.

“Tujuan saya meminta gosip itu dihentikan kerana khuatir dia tertekan, tapi saya kecewa apabila Nora menyangkal dan bengang dengan kenyataan saya dengan menyatakan dia tidak tertekan.

“Dia tidak perlu berbohong mengenai perasaannya kerana saya ada beberapa bukti termasuk SMS yang dihantar kepada saya menunjukkan sebaliknya,” katanya.

Fasha atau nama sebenarnya Nur Fasha Sandha Hassan, 24, mendakwa SMS itu menunjukkan perasaan Nora terhadapnya.

“Saya tidak akan mendedahkan kandungan SMS itu dan berharap isu tertekan terbabit dihentikan segera. Jika dia hendak memanjangkannya, saya akan melampirkan kandungan SMS berkenaan sebagai bukti,” katanya.

Menurutnya, apa yang dimintanya sekarang adalah supaya isu itu tidak berpanjangan.

“Saya juga berdoa supaya Nora dan bayinya sihat,” katanya.

Harian Metro semalam melaporkan Nora atau nama sebenar Nora Mohd Danish Hanif, 26, berkata Fasha tidak sepatut mengaitkan dia dengan gosip itu.

Menurutnya, dia langsung tidak tertekan, malah lebih gembira daripada dulu.

Harian Metro

Follow

Get every new post delivered to your Inbox.