Archive | Nora Danish RSS feed for this section

‘‘Kami Tak Bergaduh”

16 Mar

Bersama:NIEZAM
Dunia hiburan kembali panas melibatkan isu pelakon Nora Danish dan bintang yang semakin popular Fasha Sandha. Isunya tidak besar mana pun. Cuma Nora dikatakan tidak mahu bersalam dan sanggup menepis tangan Fasha apabila pelakon itu menghulurkan tangan kepadanya.

Peristiwa itu berlaku semasa mereka menghadiri majlis tahlil Allahyarham Rahmad Ali, bapa pengarah filem Erma Fatima di Taman Melawati, Kuala Lumpur pada 3 Mac lalu.

Kemarahan itu kononnya berpunca daripada Fasha yang dikatakan cuba mengganggu rumah tangga yang dibina Nora dengan suaminya Rizal Ashram, anak Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Ramli Ngah Talib. Bagi Nora dia menafikan bersikap sedemikian sebaliknya menganggap dakwaan tidak mahu bersalaman dengan Fasha itu adalah satu tuduhan yang cuba mencemarkan imejnya sebagai umat Islam.

Tengah hari Selasa lalu saya cuba menghubungi Nora yang ketika itu baru selesai memasak. Dalam nada yang ringkas tapi tegas Nora menafikan dia telah menepis tangan Fasha itu.

“Sebagai orang Islam, berdosa kalau saya tidak mahu bersalam dengannya. Ia satu tuduhan,” kata Nora.

Kira-kira pukul 11.30 malam hari yang sama saya menerima balasan menerusi SMS yang dikirimkan daripada Fasha. Dia bersedia untuk memberi komen terhadap apa sebenarnya berlaku di antara beliau dengan Nora itu.

Cuma dia menganggap perkara itu sebagai satu benda remeh yang sengaja digembar-gemburkan oleh pihak tertentu semata-mata memburukkan imejnya di mata masyarakat.

“Biarlah orang nak kata apa-apa pun tentang saya,” jawab Fasha yang mencari jalan selamat untuk tidak mahu komen panjang perkara itu.

Agar berlaku adil saya meminta kedua-dua mereka untuk tolong jawab permasalahan yang berlaku itu.

NORA DANISH

Benarkah Nora tak mahu bersalaman dengan Fasha ketika menghadiri majlis tahlil di rumah Erma Fatima?

Cerita yang digembar-gemburkan itu adalah satu penipuan. Takkan sebagai orang Islam, kalau orang salam dengan kita, kita nak tepis. Saya tak buat perkara yang macam itu. Saya pun boleh berfikir yang mana baik atau yang mana buruk. Secara logiknya takkan saya nak malukan Fasha pada majlis yang baik seperti itu? Takkan kita tak hormat majlis orang?

Ada kesan atau tidak selepas keluar cerita seperti itu?

Kesannya keluarga kita tertanya-tanya apa sebenarnya berlaku. Malah keluarga mentua juga tidak gemar cerita buruk seperti ini. Alhamdulillah apabila saya jelaskan, mereka sudah faham. Selama ini saya mendiamkan diri. Tak bagi apa-apa pun komen tetapi apabila timbul pula cerita ini, saya terpaksa memperjelaskan kerana ia berkait rapat dengan budaya dan agama.

Macam manakan situasinya pada hari itu?

Semasa majlis tahlil itu Fasha datang menghampiri saya. Dia menghulurkan tangan dan saya membalasnya dengan baik. Itu saja. Malangnya lepas kejadian itu timbul pula kes yang saya tak bersalam dengan Fasha. Itu yang saya hairan. Ia boleh menjejaskan imej saya. Lebih buruk ada dakwaan saya menepis pula tangannya beberapa kali.

Sebelum ini bagaimana hubungan Nora dengan Fasha? Adakah kamu berdua pernah berselisih faham?

Saya dengan dia tak ada apa-apa permusuhan. Takkan sampai saya nak tak tepis tangan dia kalau dia hulur untuk bersalam. Takkan kita sampai nak langgar kereta dia atau nak ugut dia. Benda ni dah tak betul.

Apa tindakan Nora?

Saya senang saja. Serahkan perkara ini kepada Allah. Kita ni siapa nak hukum orang? Saya pun ada buat salah juga. Biarlah Allah saja yang tunjuk kebenarannya. Cuma saya berharap orang akan berhenti mengata benda-benda yang macam ini. Terus terang saya katakan yang saya dengan Fasha tidak bergaduh. Walaupun begitu selepas ini saya minta orang ramai tidak kaitkan apa-apa perkara di antara saya dengan dia. Cukuplah. Saya tak mahu lagi. Jangan suka memfitnah atau bercakap tanpa ada sebarang buktinya.

Ada dakwaan rumah tangga Nora diganggu oleh seseorang menyebabkan Nora bersikap kurang selesa terhadap Fasha?

Itu kisah lama. Saya tak mahu komen perkara itu. Saya anggap peristiwa itu sudah berkubur. Yang penting saya dan suami bahagia. Saya tak mahu perkara-perkara remeh seperti ini akan memburukkan lagi keadaan. Selama ini saya banyak berdiam diri. Cuma kali ini saya bersuara kerana ia ada kaitan dengan agama atau tuduhan yang saya berlaku kurang sopan dengan orang lain.

Fasha pernah membuat laporan polis mendakwa menerima SMS ugutan daripada seseorang. Khabar angin mengatakan SMS itu daripada Nora. Benarkah begitu?

Fasha kata kes itu dalam siasatan polis. Tapi sampai hari ini tiada polis yang datang mencari saya. Jadi siapakah yang terlibat mengirimkan SMS itu? Saya pun tak tahu siapa. Saya minta ia tidak dikaitkan lagi. Saya anggap isu saya dengan Fasha ini sudah selesai.

FASHA SANDHA

Apa perkembangan Fasha sekarang?

Saya agak sibuk. Ni pun baru balik (pukul 11.30 malam) dari dubbing (memasukkan suara) filem Cicak Man 2. Sebab itu saya baru dapat balas SMS abang yang saya terima siang tadi. Memang sekarang ini banyak kerja yang saya nak buat. Alhamdulillah itu semua rezeki. Lepas ni nak kena promosi filem Evolusi KL Driff dan kemudian saya berlakon drama terbaru terbitan Metrowealth Movie pula.

Apa sebenarnya yang berlaku antara Fasha dengan Nora?

Semasa saya sampai pada majlis itu, saya menghulurkan tangan untuk bersalaman dengan semua orang yang ada di situ termasuklah kepada Nora. Saya terkejut apabila tidak lama kemudian timbul cerita yang bukan-bukan yang dicipta untuk membuatkan suasana menjadi kecoh.

Apa komen Fasha apabila sekali lagi diheret ke satu kemelut baru selepas beberapa kisah tidak elok Fasha sebelum ini?

Saya anggap isu yang berlaku ini terlalu kecil. Saya tak nak fikir panjang tentang perkara ini. Ia sesuatu benda yang saya anggap remeh sangat. Bagi saya, kejadian yang berlalu itu saya sudah lupakan. Itu yang lebih penting kerana saya mahu berfikiran positif.

Adakah peristiwa ini membawa satu gambaran buruk terhadap Fasha dan Nora?

Kepada saya ia tidak mengganggu apa-apa. Ini semua adalah asam garam dalam dunia hiburan. Saya tetap Fasha Sandha yang macam dulu. Saya kurang bercakap hal-hal yang remeh-temeh. Ia tidak mengganggu apa-apa. Yang penting apabila saya membuat keputusan untuk menjadi artis, saya bersedia menempuh macam-macam cabaran dan ujian. Apabila kita memilih jalan ini, kita kena bersedia tidak semua perkara itu manis. Yang tak manis pun ada.

Benarkan Fasha menerima SMS ugutan daripada seseorang?

Memang saya ada buat laporan polis selepas menerima satu SMS yang membimbangkan saya. Apakah kandungan SMS itu saya tak boleh cakap kerana ia sudah menjadi kes polis. Saya menyerahkan kepada pihak polis untuk menyiasat perkara itu.

Fasha kenal siapa yang kirim SMS itu?

Saya tak tahu kerana saya tak kenal nombor orang yang hantar SMS itu. Biarlah pihak berkuasa menjalankan tugas mereka. Saya tak mahu nak tuduh sesiapa kerana ia kurang baik menuduh orang tak tentu pasal. Saya bukan jenis yang macam itu.

Sekarang ini orang bercerita Fasha mengganggu rumah tangga orang lain. Apa pendapat Fasha terhadap persoalan tersebut?

Zaman sekarang ni bang orang boleh buat macam-macam cerita tanpa bertanya sebabnya. Kepada Fasha senang saja, kita tak perlu bercakap kalau tak ada bukti. Saya minta selepas ni kalau ada sesiapa yang nak menuduh saya macam-macam, tampillah dengan buktinya sekali. Jangan suka bercakap dan mencanang berita yang bukan-bukan tanpa boleh disahkan. Kerana saya kalau bercakap sesuatu perkara saya suka menunjukkan bukti dan bukannya bercakap kosong.

Powered by Utusan Malaysia

Saya Masih Waras – Nora

12 Mar

Oleh Norliza Mohamad Zakaria (liza.zakaria@utusan.com.my)

Watak Nora Danish dalam sitkom Puteri menonjolkan bakat lakonannya.

KALAU kaki sudah melangkah ke dunia seni, itulah permulaan kepada seseorang artis itu membenarkan seluruh kehidupannya dikongsi oleh masyarakat.

Apa lagi bagi artis wanita. Segenap inci kehidupannya kalau mahu diintai oleh peminat dan media. Semuanya kerana dia orang popular.

Lalu, apabila pelakon muda Nora Danish dihambat gosip liar khususnya yang berkaitan dengan cerita peribadi, mahu atau tidak dia harus berhadapan dengan situasi itu.

Tidak mampu melarikan diri, jauh sekali memberi 1001 alasan untuk tidak menjawab segala persoalan yang diajukan oleh media kepadanya.

Dan kerana itu, apabila Nora dikaitkan dalam insiden menepis tangan aktres Fasha Sandha dalam satu majlis seperti yang dilaporkan baru-baru ini, pelakon sitkom popular, Puteri itu sekali lagi tidak mampu berdiam diri.

Nora kami hubungi dan pertemuan dengannya diatur Isnin lalu. Bagai sudah menjangka, topik perbualan kami, Nora bersedia ditemu bual.

Naif dan sentiasa merendah diri. Itu kesimpulan yang dapat dibuat mengenai aktres berusia 26 tahun itu.

“Saya tidak tahu kenapa saya terus diuji sebegini. Belum reda isu yang pernah dicetuskan sebelum ini, sekali lagi nama saya dikaitkan dalam insiden ini. Apa salah saya?” sayu nada suara Nora memulakan perbualan.

Barangkali, ada kebenarannya kerana sebelum ini, Nora pernah dilaporkan berhadapan dengan masalah rumah tangga sedangkan dia dan suaminya, Toh Muda Rizal Ashram cukup bahagia.

Ketika ini, ujar Nora, dia dan suami mahu meraikan sepenuhnya kebahagiaan perkahwinan mereka yang bakal genap dua tahun pada Jun depan.

Apabila kebahagiaan sudah berada dalam dakapan, Nora tidak mahu membebankan diri dengan masalah-masalah kecil yang boleh menjejaskan nama baiknya.

Paling penting, sebagai seorang anak dan menantu dalam sebuah keluarga yang dihormati, Nora sentiasa berusaha untuk tidak mencemar reputasi orang-orang yang sentiasa menyayanginya.

Kalau begitu, bagaimana dia masih dikaitkan dalam gosip-gosip yang tidak manis untuk didengar terutamanya mengenai insiden dia menepis tangan Fasha.

“Saya tidak tepis tangan dia. Apa yang ditulis dalam akhbar itu tidak benar sama sekali. Ia seperti memberi tanggapan buruk terhadap saya.

“Saya ada saksi, masa itu saya bersama beberapa rakan saya. Memang kami ada bersalaman, tapi saya tidak menepis tangan dia (Fasha),” tegas Nora dalam nada kecewa.

Mengakui terkilan dengan tersiarnya laporan tersebut tanpa mengambil sebarang penjelasan daripadanya, Nora tidak menafikan gosip itu benar-benar melukakannya.

Insiden ‘menepis’ tangan itu dikatakan berlaku apabila Fasha yang hadir lewat 10 minit daripada Nora ke majlis tahlil Allahyarham bapa Erma Fatima di Taman Melawati, Selangor, minggu lalu.

“Selama ini saya ambil sikap mendiamkan diri kerana tidak mahu dianggap sebagai mudah melenting.

“Sebaliknya, kini saya dianggap seperti tidak profesional kerana mengenepikan agama dan tidak menghormati majlis.

“Saya ini orang Islam, saya tetap tahu bezakan antara yang baik dengan yang buruk,” Nora meluahkan kesedihan yang sukar dibendung di sanubarinya.

Selama empat tahun menjadi artis, Nora dilihat sebagai antara artis yang ‘bersih’ daripada sebarang gosip dan cerita-cerita panas melainkan kisah rumah tangga dan sengketanya dengan pelakon tersebut.

Walaupun berasa malu dengan tohmahan yang dilemparkan ke atasnya, kata Nora, dia akan tetap bertahan selagi masih terdaya.

“Terus terang saya katakan saya langsung tidak rasa tercabar dengan dakwaan tersebut sebab saya tahu apa yang saya lakukan. Lagipun, Tuhan lebih tahu apa yang berlaku sebenarnya,” luahnya lagi.

Pada masa yang sama, aktres yang berdarah kacukan Arab-Myanmar itu memohon agar dia tidak lagi dikaitkan dengan Fasha selepas ini.

Menurut Nora, dia mahu memulakan hidup barunya dengan lebih matang lebih-lebih lagi selepas menginjak ke usia 26 tahun pada 7 Mac lalu.

Biarpun begitu, Nora mengakui, dia sedia bekerjasama dengan Fasha andai ada tawaran yang mahu menggandingkan mereka berdua dalam mana-mana filem dan drama.

“Secara profesional, saya tak kisah berlakon bersama dengannya. Kalau ada tawaran sebegitu Insya-Allah saya akan terima. Lagipun saya bukannya seorang yang suka berdendam,” jelasnya.

Ke lokasi Puteri The Movie bulan depan

Seperti yang sering disebut, setiap ujian menjanjikan hikmah buat setiap insan dan Nora tidak perlu menunggu lama untuk memperoleh ganjaran itu.

Rezekinya dalam bidang lakonan terus mencurah apabila dia baru sahaja selesai membintangi telefilem Gadis Cuci yang menyaksikan dia memegang karakter Nasha, seorang gadis pekak.

Projek terbitan Pilot Nasreen Pictures Sdn. Bhd., di bawah arahan Zek Zukry itu turut menggandingkan Darling Ngasri, Fara Fauzana dan Anne Ngasri dan bakal bersiaran Jumaat ini di Astro.

Bulan depan pula, Nora dan rakan-rakan sitkom Puteri bakal ke lokasi bagi memulakan penggambaran filem Puteri The Movie arahan sutradara tersohor, Aziz M. Osman.

Sebelum ini, Nora turut membintangi beberapa filem lain termasuk Senario, Pemburu Emas Yamashita dengan membawa watak sebagai Doktor Lisa dan Gila-gila Pengantin Popular menerusi watak Mala.

Powered by Utusan Malaysia

Fenomena Puteri

31 Jan

SKRIN
FENOMENA PUTERI

Daripada hanya pelakon ‘hijau’
kini ramai pengikut setia

By Haryani Ismail

DARIPADA pelakon yang tidak dikenali, mereka kini ada daya tarikan semberani.

Bahkan, sitkom Puteri yang sudah masuk siri ke-10 di seberang tambak, menarik penonton daripada pelbagai lapisan usia khususnya remaja untuk ‘melekat’ di depan layar televisyen.

Kalau minggu lalu anda seakan-akan terserempak bintang sitkom tersebut – Nora Danish, Kenchana Dewi, Beego dan Intan Ladyana – berjalan-jalan di sekitar Arab Street atau Sentosa, anda memang tidak tersalah orang.

Sememangnya mereka berada di sini untuk penggambaran di beberapa lokasi hasil tajaan dan kerjasama Lembaga Pelancongan Singapura (STB).

Pakaian beberapa pelakonnya pula ditaja butik Fatimah Mohsin The Wedding Gallery yang turut menjadi lokasi penggambaran.

‘Dulu, Nora Danish hanya pelakon iklan dan jadi pelakon pembantu Gila-Gila Pengantin.

‘Tujuan saya menampilkannya dalam sitkom Puteri bukan kerana wajah cantik semata. Saya nak lihat bagaimana keghairahan pelakon-pelakon muda ini dapat membawa mereka ke tengah, dikenali ramai dan mencetuskan fenomena.

‘Nora dahulu dengan sekarang memang jauh bezanya. Kalau dahulu dia macam boneka bertali… kita nak kena gerakkan satu-persatu – daripada step satu sampai 10, semua nak diajar, sekarang dia pula yang terlebih pandai! Kita minta dia buat satu, dia buat 10. Cuma saya selalu berpesan, jangan over,’ ujar pengarah Puteri, Aziz M.Osman, dengan nada berseloroh.

Aziz, yang pada zaman belianya dikenali kerana watak Burn (cucu Opah) dalam drama bersiri popular, Opah, memang dikenali sebagai karyawan filem yang tegas dan tidak akan teragak-agak menegur pelakonnya terus-terang.

Keempat-empat pelakon Puteri yang ditemui akur mereka banyak belajar daripada Aziz dan harus spontan berlakon serta melipatgandakan usaha ketika bertugas dengannya.

‘Akak tahulah… kerja dengan Abang Aziz. Fokus tu penting,’ ujar Nora kepada penulis, dipersetujui Kenchana, pelakon India yang bakat berlakonnya terserlah dibantu penguasaan bahasa Melayunya yang lancar.

Sama ada pelakon baru atau mapan, Aziz menangani mereka dengan cara yang sama. Mereka juga tidak sepi daripada dimarahi.

‘Kenchana memang dah banyak berlakon drama. Macam-macam watak dia dah cuba. Tetapi Puteri merupakan projek pertama dia bekerja dengan saya.

‘Jadi, dia kadang-kadang tu macam nampaknya nak gunakan perisai tambahan. Takut nak buat silap. Terlalu berjaga-jaga.

‘Jadi, saya berpesan kepadanya, dalam dunia ni… siapa tak buat silap? Relaks. Semakin kita terlalu berjaga-jaga, semakin banyak silapnya,’ ceritanya.

Bagaimanapun, Aziz yakin pelakon yang bersungguh-sungguh dan berdisiplin akan melangkah jauh.

Beliau memberi contoh Beego Phyne Ballerz ataupun nama sebenarnya, Mohd Aszerul Nizam Abdullah, yang baru menamatkan zaman bujangnya lewat tahun lalu.

‘Beego ‘sehijau-hijau’-nya tatkala berlakon dalam filem Gila-Gila Pengantin. Saya minta Vee (bekas isteri Aziz) carikan wajah baru – seorang penyanyi tampan daripada boyband.

‘Puas Beego saya ‘hamput’ pada awalnya. Namun lama-kelamaan, saya melihat dia tonjolkan karismanya. Dia ada inisiatif dan serba boleh.

‘Dalam drama Pendekar 5, anda lihat Beego lain daripada watak Roslan yang dimainkannya dalam Puteri. Dia bersenam, rajin ke gym dan kuruskan badannya.

‘Itulah yang kita mahu lihat ada pada pelakon muda iaitu perkembangan yang positif,’ tambah Aziz.

Apakah yang boleh penonton raih daripada Puteri berbanding sitkom-sitkom lain.

‘Puteri suka beri nasihat. Dia berfikiran positif. Orang akan jadikannya teladan yang baik.

‘Ia berbeza sedikit daripada watak saya sebab saya ada kalanya berfikiran negatif,’ ujar Nora.

Bagi yang belum pernah menontonnya, anda boleh jangkakan sitkom yang memberi huraian dan jawapan kepada setiap permasalahan yang dihadapi wataknya.

Ia sesuai dengan mereka yang gemar menonton siri remaja seperti That’s So Raven.

Powered by Cyberita

Tidak Cantikkah Wajah Melayu Tulen?

30 Dec

Oleh: WANDA IDRIS

JIKALAU menonton drama-drama Indonesia atau lebih dikenali dengan nama sinetron hari ini, tidak dinafikan begitu ramai wajah-wajah indah pria dan gadisnya. Semakin jarang pula dapat melihat wajah-wajah aslinya kecuali kepada mereka yang memegang watak-watak sampingan umpamanya orang gaji atau sebagai tukang kebun.

Hero dan heroin dalam kebanyakan sinetron yang disiarkan adalah terdiri daripada wajah-wajah kacukan yang pastinya kacak, cantik lagi bergaya. Nama-nama seperti Tamara Bleszynski, Cinta Laura Kiehl, Nicholas Saputra dan Laudya Cynthia Bella umpamanya bukan sahaja menghiasi kebanyakan layar. Malah mereka juga gah sebagai model dan jurucakap produk kecantikan bertaraf antarabangsa.

Ke mana perginya wajah-wajah tulen Indonesia seperti Widyawati atau Rima Melati yang gah pada tahun-tahun 70-an? Tidak dinafikan ramai menganggap wajah pan-Asian satu kelebihan untuk menempatkan diri dalam bidang seni. Sementelah wajah-wajah mereka tidak sahaja cantik tetapi juga unik.

Tidak terkecuali di negara ini. Bukan tidak ada wajah pan-Asian yang hadir ke persada seni tanah air suatu ketika dahulu malah mereka punya pengaruh besar dalam industri.

Lihat sahaja kejayaan nama-nama seperti Sofia Jane, Julia Rais, Deanna Yusuf mahupun Ramona Rahman. Mereka hadir dengan pakej – bakat dan kecantikan.

Hari ini beberapa nama menarik perhatian masyarakat khususnya penggemar drama dan filem tempatan. Angkatan muda generasi pan- Asian yang terjun ke dunia lakonan tempatan termasuklah Maya Karin, Nora Danish, Natasha Hudson, Diana Danielle, Ahsraff Sinclair dan Catriona Ross.

Nyata mereka berjaya mencipta nama apabila drama-drama lakonan mereka mendapat sambutan dan pujian penonton. Lihat sahaja drama bersiri Puteri lakonan Nora Danish yang diminati tidak sahaja golongan muda tetapi juga dewasa.

Malah Catriona Ross pernah menjulang namanya menerusi drama Sephia yang popular suatu ketika dahulu di TV3. Begitu juga dengan penampilan Diana Danielle dalam drama-drama Sembilu, Janji Diana dan Airmata Maria yang kini semakin mendapat perhatian penonton.

Namun tidak dinafikan ada juga yang hadir dengan lakonan ‘kayu’, tidak berkesan dengan sebutan bahasa Melayu yang janggal bunyinya.

Bagi Diana Danielle, tidak kira apa juga wajahnya, untuk terjun ke dalam industri perlulah seiring dengan bakat.

“Dan hari ini semakin ramai penerbit dan pengarah yang memberi peluang kepada anak-anak pan- Asian menunjukkan bakat mereka,” katanya. Namun bagi anak kacukan Melayu-Amerika ini, memiliki wajah pan Asian sepertinya menyekat peluang melakonkan pelbagai watak.

“Bukan tidak boleh berlakon tapi adakalanya tidak sesuai untuk menjadi gadis kampung berbeza dengan mereka berwajah Melayu yang boleh membawakan apa jua watak sedangkan pan-Asian agak stereotaip ,” katanya yang mengakui kehadiran artis berwajah pan Asian dapat menyerikan lagi industri.

Sememangnya melihat kemunculan golongan berdarah kacukan ini yang semakin hari semakin ramai ini tidak mustahil satu hari nanti industri kita juga mengalami senario yang sama dengan Indonesia.

Namun persoalannya apakah wajah Melayu tulen sudah tidak cantik lagi di mata para penggemar dan pembuat drama? Atau apakah nilai komersil wajah pan-Asian ini lebih tinggi berbanding wajah Melayu jati?

Sudah tidak boleh jualkah wajah tulen Melayu, India dan Cina di negara kita? Kita punya wajah Melayu yang berbakat besar dalam dunia lakonan. Umie Aida, Vanidah Imran, Haliza Misbun dan Erra Fazira adalah sebahagian daripadanya.

Mereka pernah mengungguli layar televisyen dan layar perak namun tanpa tidak mustahil suatu hari nanti wajah-wajah seperti mereka tidak lagi menjadi taruhan malah mungkin semakin kurang menghiasi layar sebagai pemegang watak utama.

Nasib wajah tulen baik Melayu, India dan Cina mungkin akan terpinggir atau hanya diberi watak sampingan. Sekarang ini pun, di Malaysia semakin banyak menonjolkan wajah-wajah kacukan dan Inggeris tulen sebagai pelaris untuk dunia pengiklanan.

Bukan tidak ada wajah tulen Melayu yang dipilih malah Fasha Sandha antara artis bertuah menjadi pilihan banyak jenama untuk menjadi duta bertaraf antarabangsa.

Tetapi persoalannya berapa kerat wajah Melayu yang diserlahkan dalam dunia pengiklanan itu sendiri hari ini dan pada masa hadapan?

Dalam dunia lakonan pula, cukupkah kita sekadar mengukur wajah yang cantik tanpa menghiraukan bakat yang ada? Kerana rasanya semakin ramai khalayak yang sudah bijak menilai bakat.

“Kita umpama kebanjiran artis,” demikian kata pelakon Haliza Misbun ketika ditanya mengenai senario ini. Kebanyakan kemunculan mereka kata Haliza, sekadar memeriahkan bukan benar-benar kerana menyintai seni.

“Seni ini satu perjuangan. Jatuh bangun orang seni adalah kerana seninya. Tapi ada kalangan mereka yang hadir dalam industri sekadar dua tiga tahun. Kemudian menghilang. Ada yang kahwin selepas bertemu jodoh dengan golongan berada. Itu jiwa seni yang tak sejati,” ujar Haliza.

Bagaimanapun tegasnya, dia tidak pernah mempersoalkan kredibiliti artis-artis pan-Asian dahulu seperti Sofia Jane, Ramona Rahman dan Julia Rais kerana bagi aktres ini, mereka memang berbakat besar dalam lakonan.

“Malah sehingga kini saya mengagumi Julia Rais,” akuinya. Namun ketaksuban industri itu sendiri terhadap wajah-wajah kacukan sebenarnya menyumbang kepada kebanjiran artis berwajah pan-Asian.

“Tapi kalau orang menghargai muka Melayu maka orang berwajah Melayu juga boleh berjaya. Lihatlah wajah-wajah asli seperti Erra dan Camelia,” katanya. Tanpa memperlecehkan bakat dan pakej yang ada pada seorang pan-Asian namun harapan Haliza, pihak di belakang tabir seperti pengarah dan penerbit haruslah adil memberi peluang sama rata tidak kira kepada orang melayu, Cina, India mahupun pan-Asian.

Malah seeloknya janganlah sampai ada larangan atau peraturan yang menyekat ‘periuk nasi’ mereka berwajah pan-Asian seperti yang pernah berlaku ketika suatu ketika dulu.

Namun jika benar satu hari nanti senario kebanjiran wajah pan-Asian berlaku sehingga mengabaikan pemilih wajah Melayu tulen dan menidakkan bakat dan kecantikan asli yang dimiliki, pasti sahaja kita perlu menilai semula kewajarannya.

Powered by Utusan Malaysia

Nora Danish Daripada Watak Gedik Kini Pendekar

18 Oct

Oleh NOR FADZILAH BAHARUDIN

NORA DANISH.

Bagi peminat, Nora Danish ini pastinya sudah sinonim melihatkan telatah manjanya dalam sitcom Puteri yang pernah disiarkan di TV3.

Mengakui selesa dengan watak tersebut, kata Nora, watak Puteri dan dirinya hampir serupa. Lantas membawakan watak itu sedikit pun tidak memberikan masalah kepadanya.

Malah selama dua tahun membawakan watak tersebut tidak pernah terdetik pun di mindanya untuk mengakhiri watak itu.

Biarpun ramai yang mengatakan watak Puteri merupakan watak seorang gadis gedik dan mengada-ngada bagi Nora ia sedikit pun tidak memberi kudis kepada dirinya.

“Memang ada yang cakap sitcom Puteri ini cerita yang tak bermanfaat, cerita yang tak berfaedah dan macam-macam lagi. Tapi bagi saya, cerita tersebut sebuah cerita tentang remaja yang belum berkahwin dan itulah kehidupan para remaja.

“Bagi saya cakap-cakap yang mengatakan drama itu tidak berfaedah adalah satu perkara yang tidak berasas. Saya sendiri tak malu untuk melakonkan watak sebaliknya berbangga kerana sitcom tersebut telah pun memasuki musim ke-10,” kata isteri kepada Rizal Ashram, 31.

Tambahnya, biarpun terpaksa menolak beberapa tawaran drama lain kerana terikat dengan penggambaran Puteri, namun segala yang dilakukannya berbaloi.

Malah kata Nora, antara sebab dia mampu bertahan membawakan watak tersebut tentunya kerana pengarahnya iaitu Aziz M. Osman.

Sikap dan kredibiliti Aziz membuatkan Nora, selesa untuk sentiasa bekerja dengannya.

“Saya mengagumi Aziz kerana dia suka mencabar kami sebagai pelakon dengan memberikan skrip secara spontan. Jadi kita perlu cepat menghayati skrip tersebut untuk mendapatkan feel,” kata Nora Danish.

Belajar silat

Menyentuh tentang perkembangan terbarunya, kata Nora, dia baru sahaja habis menjalani penggambaran drama 26 episod Pendekar 5 arahan Aziz M.Osman.

Membawakan watak sebagai Tun Fatimah dalam drama tersebut kata Nora;

“Untuk menjayakan watak Tun Fatimah bukanlah mudah. Saya terpaksa belajar silat dalam tempoh masa yang singkat. Malah dalam drama itu saya juga perlu bermain pedang dan melakonkan watak seperti ninja.

“Memang penat dan sakit-sakit badan saya kerana drama tersebut tetapi saya rasa puas dapat melakukan babak-babak itu sendiri tanpa stunt-in dan ia merupakan satu pengalaman berharga buat diri saya.”

Jarang berjumpa suami

Memandangkan jadual seninya sentiasa padat, lantas ruang waktu bertemu dengan suami tercinta agak terbatas.

Namun sama seperti isteri-isteri yang lain, apabila berkesempatan bersama pasti waktu tersebut dinikmati seadanya.

“Memang kami jarang berjumpa. Sebab masing-masing sibuk. Tapi bila tak ada scene, saya akan pastikan saya ada di rumah dan mengajaknya untuk makan malam bersama. Nasib saya baik sikit sebab dia suka makan di luar jadi tak perlulah saya memasak,” ujarnya.

Berbicara tentang anak pula kata Nora: “Kami tidak merancang apa-apa. Kami bersedia untuk menerima anak pada bila-bila masa sahaja. Cuma masih belum ada rezeki lagi.”

Powered by Utusan Malaysia

Redup Suram Dan Tawa Ria 2006

31 Dec

Oleh: NIEZAM ABDULLAH

Tahun 2006 menoktahkan lebarannya hari ini dan esok kita semua akan menyambut tahun baru 2007 dengan keazaman baru. 2006 yang berlalu meninggalkan seribu satu macam kenangan indah, pahit dan manis. Dunia hiburan tentunya tidak pernah sunyi dengan segala macam kisah sensasi yang terjadi.

Tahun ini dunia artis dibuka dan ditutup dengan penuh meriah dan warna-warni. Daripada soal perkahwinan sehinggalah kisah-kisah sedih melibatkan perceraian dan kematian.

Kita imbas kembali peristiwa-peristiwa utama yang menarik sepanjang tahun 2006.

Perkahwinan

* 29 Mac

* Syura

Penyanyi Syura atau Zuraidah Badron, 20, mendirikan rumah tangga dengan sepupunya, Mohd. Fadhly Md. Yassin pada 29 Mac di Johor Bahru, Johor. Syura bagaimanapun mengalami keguguran selepas beberapa bulan perkahwinan itu.

* 28 April

* Siti Nordiana dan Mohd. Faizal Yusop

Penyanyi Siti Nordiana Alias, 22, dan pelakon Mohd. Faizal Yusop, 28, berkahwin pada 28 April di Felda Sendayan, Negeri Sembilan. Mereka kemudian mendirikan persandingan untuk penduduk kampung dan peminat di Dewan Felda Sendayan pada 29 April berkonsepkan persandingan dalam taman.

* 29 April

* Nurfarahin Jamsari

Personaliti TV3 – Nurfarahin Jamsari selamat mendirikan rumah tangga keduanya dengan Noor Eddie Putera Noordin, 36, di Keramat, Kuala Lumpur.

Sebelum itu pada 16 Januari, Nurfarahin berpisah dengan suaminya Sheikh Omar Sheikh Anuar dengan talak satu. Hasil perkahwinan pertamanya, Nurfarahin dikurniakan empat orang anak.

* 26 Mei

* Anne Ngasri

Anak kepada pelakon Ngasri Sain – Anne Ngasri, 22, berkahwin dengan Abdul Wafi Hassan di Taman Permai Batu, Jalan Ipoh, Kuala Lumpur.

* 24 Jun

* Fendi (X-Factor)

Bekas penyanyi kumpulan X-Factor, Fendi mendirikan rumah tangga dengan Wan Intan Nadia Noraman di Keramat, Kuala Lumpur. Sebelum itu Fendi pernah bertunang dengan seorang peguam tetapi hubungan mereka tidak kekal lama.

* 20 Jun

* Nora Danish

Pelakon siri Puteri, Nora Danish, 24, berkahwin dengan Rizal Ashram iaitu anak Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Ramli Ngah Talib di Masjid Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur. Majlis pernikahan mereka diadakan secara eksklusif.

* 15 Julai

* Aleeza Kasim

Pelakon dan model Aleeza Kassim, 35, mendirikan rumah tangga dengan ahli perniagaan terkenal Mohd. Fauzi Che Ros, 42. Pernikahan mereka dilakukan di Masjid Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur.

* 1 Julai

* Ezany

Mohd. Ezany Nizariff, 33, yang popular menerusi drama bersiri Natasha berkahwin dengan gadis dari tawau Sabah – Lidza Nuryanti Abidin, 23. Majlis persandingan mereka diadakan serba sederhana.

* 21 Ogos

* Siti Nurhaliza

Akhirnya desas-desus perkahwinan Siti Nurhaliza Taruddin, 27, terjawab apabila gadis itu berkahwin dengan Datuk Khalid Mohamad Jiwa, 47, di Masjid Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur. Perkahwinan itu merupakan satu sejarah di dalam dunia hiburan tanah air kerana ia disiarkan secara langsung oleh TV3.

Wang Hantaran yang diterima Siti ialah RM30,000 dan mas kahwin pula RM22,222.22. Persandingan mereka diadakan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur pada 28 Ogos dan seminggu selepas itu di Dataran Lipis, Pahang. Pada bulan Oktober lalu Siti dikurniakan Darjah Indera Mahkota Pahang (DIMP) oleh Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah yang membawa gelaran Datuk.

* 8 September

* Fiza

Bekas anggota kumpulan Elite yang juga seorang pelakon – Siti Zaidatul Fiza Abdul Halim atau Fiza, 25, berkahwin dengan Ahmed Farriq Zainul Abidin, 26, di Masjid Al-Syarif, Gombak, Selangor. Mereka berkawan selama lima tahun sebelum memilih untuk menjadi suami isteri.

* 4 November

* Ieda (Moin)

Penyanyi Ieda Moin, atau Siti Haidah Abdul Moin, 27, memilih Pengurus Produksi, Mohd. Naquib Idris, 27, sebagai suaminya. Mereka berkahwin di Masjid Al-Rahimah, Kampung Pandan pada 4 November dengan hantaran RM10,000.

* 12 November

* Noorkhairiah

Pelakon Noorkhairiah Ahmad Shapie, 30, mendirikan mahligai bahagia dengan seorang jurutera Azfaizul Ahtan, 29. Mereka selamat bernikah di taman Muhibah, Raub Pahang. Selepas berumahtangga, Noorkhairiah tetap mahu aktif berlakon.

* 18 November

*Bob Azrai

Pelakon Bob Azrai, 38, bernikah dengan Siti Khalifah Alihan, 18, di Masjid Bukit Indah, Ampang. Perkahwinan tersebut merupakan perkahwinan kedua Bob selepas keruntuhan rumah tangganya dengan pelakon Aida Aris.

* 2 Disember

* Linda Rafar dan Syed Aiman

Pasangan duda dan janda Linda Rafar, 28, dan Syed Aiman, 31, selamat diijabkabulkan di masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam, Selangor. Kedua-dua pelakon itu turut mengadakan majlis resepsi di rumah keluarga Linda di Shah Alam dan di hotel Concorde seminggu kemudian.

* 16 Disember

* Aziz Sattar

Pelakon veteran, Aziz Sattar mendirikan rumah tangga ketika berusia 81 tahun dengan peminatnya, Hashimah Delan, 48. Pernikahan mereka dilakukan di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam.

* 19 Disember

* Erema dan Seri Bayu

Tahun 2006 ditutup dengan perkahwinan penulis lirik Seri Bayu dengan penyanyi Erema Awang Mohdad, 23, di Masjid danau Desa, Taman Desa Kuala Lumpur. Biarpun Seri bayu menghidap penyakit saraf namun Erema sanggup menerimanya sebagai suami.

Pertunangan

* 11 Mac

* Haiza

Penyanyi dangdut – Haiza melangsungkan pertunangan dengan pemain hoki sebuah bank – Hanafi Omar di rumah kakak penyanyi itu di Kuala Lumpur.

Kedua mereka berusia 26 tahun dan masih memikirkan tarikh yang sesuai untuk mengadakan majlis pernikahan. Mereka cuba menyembunyikan pertunangan itu atas atasan ia tidak perlu diheboh-hebohkan. “Takut apa-apa jadi nanti malu…’’ kata Haiza.

* 4 Jun

* Nasha Aziz

Pelakon popular Nasha Aziz atau Noraishah Abdul Aziz, mengikat tali pertunangan dengan pengarah fotografi, Mohd. Helmi Mohd. Yusof di Keramat, Kuala Lumpur. Nasha juga mahu merahsiakan pertunangannya tetapi dapat dihidu juga oleh wartawan.

Pada majlis itu Nasha menerima sebentuk cincin Chopard yang disarungkan oleh bakal ibu mentuanya, Hasnah Hassan.

* 28 Oktober

* Lisdawati dan Fauzi Nawawi

Pelakon Wanita Terbaik Anugerah Skrin 2005, Lisdawati mengikat tali pertunangan dengan pelakon Fauzi Nawawi di rumah keluarga Lisdawati di Kualam Lumpur. Mereka merancang mengadakan majlis perkahwinan pada tahun hadapan. Hantaran perkahwinan ditetapkan sebanyak RM21,111.11 dan mas kahwin RM999. Fauzi merupakan seorang duda

Perpisahan

* 7 April

* Noraniza Idris dan Fareez

Pasangan penyanyi dan pelakon ini berpisah selepas 20 tahun berkahwin. Lafaz cerai dilakukan oleh Fareez atau nama sebenarnya Mohd. Fauzi Tajuddin terhadap Noraniza di Mahkamah Rendah Syariah, Kuala Lumpur pada 7 April.

* 26 April

* Erra Fazira dan Yusri

Erra Fazira dan Yusry Abd. Halim yang cuba mengelak memperkatakan mengenai rumah tangga mereka akhirnya mengambil keputusan berpisah selepas tiga tahun berkahwin.

Lafaz cerai dilakukan pada 26 April di kediaman Erra di Damansara dan pengesahan cerai tersebut dilakukan pada 16 Jun di Mahkamah Rendah Syariah, Petaling Jaya, Selangor.

* 5 Mei

* Norman Hakim dan Abby

Sesuatu yang mengejutkan apabila pasangan pelakon Norman hakim, 30, dan Abby Abadi, 28, berpisah. Norman melafazkan cerai terhadap Abby pada 5 Mei dan mereka rujuk semula beberapa hari selepas itu. Penyanyi Farahdiaya dikatakan menjadi punca penceraian itu. Abby dan Norman mempunyai dua orang anak hasil perkahwinan mereka.

* 16 Oktober

* Awie dan Arni Nazira

Penyanyi kumpulan Wings, Awie atau Ahmad Azhar Othman, 38, melafazkan cerai talak satu terhadap penyanyi Arni Nazira, 28, di Mahkamah Rendah Syariah, Kuantan, Pahang. Penceraian itu dikatakan berpunca daripada penyebaran gambar perkahwinan Awie dengan Rozana Misbun di Internet.

Akibat penceraian itu, Awie mendapat hak penjagaan terhadap dua anaknya dengan Arni iaitu Puteri Aleeya Antasha, 6, dan Puteri Aleefa Antasha, 4.

* 20 Oktober

* Ajai dan Nurul

Pasangan yang popular dengan lagu Serasi Bersama rupa-rupanya tidak serasi apabila Nurul atau namanya Noorul Huda Abdul Wahab, 29, memfailkan permohonan pengesahan cerai dengan Mohd. Faizal Maas, 31, atau Ajai di Mahkamah Rendah Syariah Petaling Jaya, Selangor.

Nurul mendakwa Ajai melafazkan cerai terhadapnya sebanyak tiga kali pada 2001 dan dua kali pada 2006.

Kembali ke rahmatullah

* 20 Jan

* Rosiah Chik

Penyanyi veteran, Rosiah Chik meninggal dunia di Hospital Kuala Lumpur pada usia 74 tahun akibat serangan penyakit jantung.

Allahyarham menjadi penyanyi ketika berusia 16 tahun dan merakamkan lebih 200 buah lagu ketika hayatnya. Hasrat beliau untuk mendengar lagu duetnya iaitu Hantaran Hati bersama Bob (Akademi Fantasia 2) tidak kesampaian.

* 7 Februari

* S. Jibeng

Penyanyi popular tahun 60-an S. Jibeng meninggal dunia di Hospital Sultanah Aminah, Johor Bahru kerana sakit jantung dan kencing manis.

Jenazah Allahyarham selamat dikebumikan selepas zuhur di Tanah Perkuburan Islam, Kebun Teh.

* 25 Julai

* Hani Mohsin

Pelakon filem dan drama terkenal Hani Mohsin Hanafi, 41, meninggal dunia akibat serangan jantung. Allahyarham pengsan di Terminal Penerbangan Tambang Murah (LCCT), Sepang, ketika sedang menunggu penerbangan ke Alor Star bersama anaknya Hani Karmila, 9.

Beliau juga adalah bekas suami Datin Seri Tiara Jacquelina. Pelakon itu merancang untuk bercuti ke Langkawi semasa kejadian.

Jenazahnya disembahyangkan di Masjid Al-Ridzuan, Hulu Klang selepas solat isya sebelum dikebumikan di sebelah pusara ibunya, Hasni Bakar di Tanah Perkuburan Islam Al-Ridzuan, Hulu Klang.

* 10 Oktober

* Seha

Bekas penyanyi kumpulan Freedom, Norsehah Abu Bakar atau Seha (44 tahun) meninggal dunia di Hospital Kuala Lumpur kerana penyakit barah paru-paru.

Beliau meninggal dunia kira-kria pukul 8 pagi di sisi suaminya Azmi Thambi Chik. Hajatnya untuk menemui anak sulungnya Misha Kyrie Lind, 15, yang tinggal bersama bekas suaminya di London tidak kesampaian. Sebaliknya mereka sempat berhubung menerusi e-mel selepas penderitaan Seha disiarkan di akhbar. Seha juga mempunyai seorang anak perempuan berusia 11 tahun iaitu Karissa Iris Lund.

Kejayaan

* 5 Ogos

* Mohd. Faizal Ramly

Jejaka dari Marang, Terengganu – Mohd. Faizal Ramly, 22, menjadi Juara Akademi Fantasia Keempat (AF4) dan sekali gus membolehkan beliau membawa pulang hadiah bernilai RM370,000 termasuk sebuah kereta Toyota Vios serta wang tunai RM20,000.

* 22 September

* Suki

Low Sook Yee atau lebih dikenali dengan nama Suki menjadi juara pertandingan One In A Million anjuran 8TV dan sekali gus melayakkan gadis berusia 17 tahun itu menerima wang tunai RM1 juta.

* 19 November

* Datuk Ahmad Nawab

Komposer terkenal Datuk Ahmad Nawab menerima Anugerah Seniman Negara oleh Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Syed Sirajuddin Syed Putra Jamalulail. Beliau turut mendapat hadiah wang tunai RM60,000.

* 3 Disember

* Fiq

Pertandingan Mentor anjuran TV3 memperlihatkan jejaka dari Sabah, Fiq atau nama sebenarnya Mohd. Firdauz Abdul Halim, 24, menjadi juara pertandingan itu dan menggondol hadiah wang tunai sebanyak RM50,000, tawaran menjadi artis rakaman EMI Music Sdn. Bhd., dan trofi. Fiq juga berjaya mengalahkan Ima dari Indonesia dalam pertandingan Juara Antara Juara pada 24 Disember lalu. Dalam pertandingan itu Fiq berjaya membawa pulang wang tunai bernilai RM18,500.

Sensasi

* 1 Julai

* Mawi

Penyanyi Asmawi Ani atau Mawi memutuskan pertunangannya dengan Nordiana Md. Naim. Mawi mendakwa hubungan itu terputus akibat masalah peribadi yang berlaku. Akibat kejadian itu, Nordiana mengambil kesempatan meluahkan rasa hatinya dengan menghasilkan sebuah buku Catatan Duka Diana Naim yang menceritakan kisahnya bersama Mawi sebelum penyanyi itu menyertai Akademi Fantasia.

Mawi turut mencipta kontroversi apabila membuat kenyataan tidak mahu berpegangan tangan sekiranya ditawarkan berlakon sehingga mencetuskan kemarahan beberapa orang pelakon termasuk Rosyam Nor.

* 13 Ogos

* Sharifah Amani

Pelakon Sharifah Amani yang dinobatkan sebagai

Pelakon Wanita Terbaik Festival Filem Malaysia Ke-19 (FFM19), mencetus kontroversi apabila berucap di dalam bahasa Inggeris dengan berkata, ‘‘I sound like stupid if I speak in Malay.’’ (Saya rasa seperti orang bodoh kalau saya bercakap dalam bahasa Melayu).

Ucapannya itu menimbulkan rasa tidak senang sebilangan besar penonton termasuk tetamu kehormat majlis itu iaitu Menteri Kebudayaan, Kesenian dan Warisan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim.

Pelakon itu bagaimanapun tidak bermaksud untuk menghina bahasa Melayu sebaliknya menganggap ucapannya telah disalah tafsir.

* 15 Ogos

* Rita Rudaini dan Lisdawati

Pelakon Rita Rudaini dan Lisdawati dikatakan bercakaran di dalam sebuah kolam renang ketika penggambaran drama Kau Yang Ku Sayang di Pulau Pinang.

Lisdawati mendakwa Rita cuba mencederakannya di dalam penggambaran itu sehingga memaksa Lisda membuat laporan polis. Bagaimanapun pihak polis telah menutup kes tersebut dan menganggap ia selesai.

Powered by Utusan Malaysia

Anugerah Skrin Ke-8 Tidak Segah Temanya

25 Dec

Oleh: MOHAMMAD ARIF NIZAM ABDULLAH dan SHAZRYN MOHD. FAIZAL

EIZLAN Yusof sebagai Penerbit Eksekutif Pena Creative Pictures Sdn. Bhd. yang membolot empat anugerah bagi kategori drama.

ANUGERAH Skrin Ke-8 (AS8) yang berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) melabuhkan tirainya Jumaat lalu. Semua nama pemenang sudah pun diketahui. Jangan merungut jika segala ramalan anda tidak tepat dengan keputusan juri.

Telah menjadi adat dalam majlis anugerah, kerana juri yang bijaksana sahaja tahu siapa yang layak menjadi pemenang.

Pengarah dan pelakon Afdlin Shauki jelas menguasai AS8 apabila berjaya mengekalkan rekodnya sebagai Pengarah Filem Terbaik dan Lakon Layar Terbaik untuk dua tahun berturut-turut.

Jika tahun lalu Afdlin cemerlang menerusi filem sulungnya, Buli, tahun ini sekali lagi Afdlin membuktikan kehebatannya menerusi filem sekuel Buli iaitu Buli Balik.

Begitu juga dengan Pena Creative Pictures Sdn. Bhd. yang membolot empat anugerah melalui drama Lebih Bisa dari Jelatang.

Bercerita pula tentang majlis yang mengangkat tema glamor dan elegan, mereka yang hadir di PWTC berpendapat majlis itu tidak segah dengan temanya, malah ia juga tidak semeriah acara anugerah lain.

Namun sekadar berkongsi pengalaman, Mega menampilkan sebahagian daripada kisah-kisah menarik yang terjadi sepanjang malam AS8 berlangsung.

Corat-Coret

* Walaupun acara sudah bermula 15 minit, tempat duduk di sebelah kanan dewan masih banyak yang kosong. Malah tetamu masuk bertali arus apabila tiba waktu iklan TV yang pertama. Ramai juga yang sampai lewat.

* Larangan berpakaian seksi oleh penganjur tidak diendahkan oleh para tetamu dan selebriti wanita. Fesyen berkemban dan bertali halus tetap menjadi pilihan untuk diperagakan. Kain penari wanita yang mengiringi persembahan pembukaan Datuk Siti Nurhaliza dan Erra Fazira turut menjolok mata apabila sering terselak sampai ke peha.

* Tiada artis yang membuat persembahan solo (one man show) ketika waktu iklan. Penonton dalam dewan dipertontonkan dengan komen para pemenang. Namun apa yang kelakar, pergerakan bibir pemenang tidak selari dengan apa yang dipertuturkan di skrin. Macam tengok drama Korea yang dialihkan ke bahasa Melayu.

* Perjalanan majlis agak membosankan walaupun sudah memasuki tempoh satu jam. Walaupun persembahan pembukaan oleh dua diva jelita, Siti dan Erra menghiburkan, majlis kembali sendu dan kemeriahan mendatar sahaja.

* Gandingan pengacara Naz dan Nur Fazura memang kurang menyerlah dan tidak serasi. Pada awal majlis, jelas mereka berdua terikat dengan skrip sebelum secara perlahan menjadi diri sendiri di penghujung majlis. Apa pun pujian harus diberikan kepada mereka jika dinilai sebagai pengacara yang pertama kali mengacara majlis besar secara langsung di kaca TV.

* Naz nampak tidak selesa apabila bercakap bahasa Melayu. Beberapa kali dia tersasul menyebut perkataan slanga Inggeris seperti pelakon menjadi ‘pelangkon’ dan menerusi menjadi ‘melerusi’. Malah tidak wajar bagi Naz mengeluarkan dialog berunsur lucah apabila menggeleng kepala ketika berjalan di belakang Fazura. Ini kerana acara disiarkan secara langsung dan turut dihadiri tetamu kenamaan tanah air.

* Ketika waktu iklan, Fazura beberapa kali mengusik Fasha Sandha. Tak tahu apa sebabnya? Sering dia bertanya kepada Fasha tentang pengacara TV3, Ally Iskandar. Masih bercinta lagi ke Fasha dan Ally?

* Cerita Fasha lagi tapi kali ini mengenai dirinya yang tidak kelihatan pada jamuan ringkas selepas acara berakhir. Apakah dia merajuk kerana drama popular lakonannya, Natasha gagal tercalon dalam Top 5 kategori Drama Bersiri Terbaik?

* Hanya Afdlin Shauki yang berpeluang membuat ucapan di atas pentas. Pemenang yang lain semuanya dibawa ke sebuah bilik khas media untuk ditemuramah. Sebenarnya penyampai anugerah pertama Awal Ashaari dan Farah Fauzana yang membenarkan Afdlin membuat ucapan walaupun bercanggah dengan prosuder majlis. Tak datang latihan ke Awal dan Farah?

* Gandingan Faizal One In A Million (OIAM) dan juara Mentor musim ini, Fiq kembali menghangatkan majlis. Namun persembahan Faizal lebih kurang sama dengan persembahan akhir OIAM September lalu. Aksi rebah di atas pentas sudah biasa Faizal. Tapi yang penting, persembahan Fiq agak tenggelam.

* Sedap mendengar gaya suara pembaca berita RTM, Norashikin Abdul Rahman sebelum menyampaikan anugerah. Jelas dan terang. Tak perlu skrip yang merepek seperti yang diutarakan oleh Nora Danish. Perlu ke skrip macam itu? Akhirnya diri sendiri yang menanggung malu.

* Ramai tetamu dan selebriti terutamanya wanita mengalirkan airmata ketika dipersembahkan klip video penghargaan buat pelakon terkenal Allahyarham Hani Mohsein. Al-fatihah…

* Sungguh fasih anak dara seniwati Azean Irdawaty, Elza Irdalynna berbahasa Inggeris ketika wartawan menemuramahnya. Terus teringat pada kontroversi yang menimpa Sharifah Amani pada Festival Filem Malaysia Ke-19 lalu.

* Rita Rudaini nampak gelabah apabila mengetahui nama Lisdawati tercalon dalam lima senarai akhir kategori Pelakon Pembantu Wanita Drama Terbaik. Jelas pelakon jelita itu menghelakan nafasnya apabila mengumumkan pemenangnya bukan Lisdawati.

* Persembahan Nikki dan Shazzy menerusi lagu Caramu kurang menjadi. Rata-rata tetamu berpendapat mereka lebih menyukai gandingan asalnya Zahid. Namun khabarnya Zahid ada show malam tersebut.

* Ratu rock Ella pula menarik diri di saat akhir dengan alasan tidak perasaan sudah ada show pada malam yang sama. Penggantinya adalah Kat yang vokalnya tidak kedengaran ketika berduet dengan kumpulan Ruffedge menerusi lagu Permata Biru. Malah lagu tersebut kedengaran agak janggal hingga hilang melodi asalnya. Lain kali jangan buat perubahan yang drastik.

* Ada pemenang wanita yang naik ke atas pentas sambil mengunyah gula-gula getah. Malah tabiat buruk wanita itu diteruskan ketika memberi ucapan di skrin. Memang kurang sopan hingga berbunyi mulutnya ketika bercakap. Tahun depan penganjur tolong beri penerangan tentang etika majlis kepada calon yang bertanding. Bukan setakat larangan berpakaian seksi!

* Ada yang suka adegan tak sengaja Erra mengenakan Umie Aida. Ada juga yang tidak suka. Biarlah. Janji keikhlasan dalam persahabatan itu lebih penting. Apa yang menarik Erra, Umie dan Raja Endon Mastura memang melaram habis malam itu. Maklumlah ketiga-tiganya masih solo dan cantik. Opss.. solo ke?

* Khabar angin yang mengatakan artis muda yang baru berkahwin telah memfailkan cerainya adalah tidak benar sama sekali apabila dia dan suaminya kelihatan cukup romantis pada majlis jamuan. Tak baik siapa yang buat fitnah tu.

* Perlu ke skrip mempromosikan gosip cinta diri sendiri? Bila ditanya tidak mengaku bercinta. Tetapi gaya dua selebriti mengalah pasangan remaja yang bercinta. Datang sedondon warna merah lagi. Mengaku sahajalah. Orang dah muak dengan sikap awak berdua. Kalau tak tulis nama mereka pun ramai sudah yang tahu kan?

* Ada pelakon drama popular Impian Illyana yang hitam manis tiba-tiba menjadi terlampau mesra dengan seorang peminat lelaki yang sudah berumur selepas mereka mengambil gambar kenangan bersama di majlis jamuan ringkas. Amboi sekejap sahaja mereka menjadi serasi bersama!

* Satu perkara yang mengganggu perjalanan majlis apabila ramai pemenang yang tidak hadir. Mengapa agaknya ya? Adakah kerana pada malam yang sama, berlangsung dua lagi acara anugerah besar di ibu negara?

Senarai Pemenang Anugerah Skrin Ke-8

Kategori Drama Drama Terbaik

* Lebih Bisa Dari Jelatang (Pena Creative Pictures Sdn. Bhd.)

Pengarah Terbaik

* Kabir Bhatia (Lebih Bisa Dari Jelatang)

Lakon TV Terbaik

* Mazlan Abdul Manan (Lebih Bisa Dari Jelatang)

Pelakon Lelaki Terbaik

* Jalil Hamid (Nur Di Pintu Syurga)

Pelakon Wanita Terbaik

* Safura Yaacob (Hari-Hari Terakhir Seorang Perempuan)

Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik

* Tamam Idris (Rintihan Dosa)

Pelakon Pembantu Wanita Terbaik

* Elza Irdalynna (Lebih Bisa Dari Jelatang)

Drama Bersiri Terbaik

* Rafflesia (Asia Media Content)

Drama Komedi Terbaik

* Mat Dom Teksi (Jabatan Drama RTM)

Kategori Filem

Filem Terbaik

* Buli Balik (Grand Brilliance Sdn. Bhd.)

Pelakon Lelaki Terbaik

* Afdlin Shauki (Buli Balik)

Pelakon Wanita Terbaik

* Rozie Rashid (Gubra)

Pengarah Terbaik

* Afdlin Shauki (Buli Balik)

Lakon Layar Terbaik

* Afdlin Shauki (Buli Balik)

Sinema Alternatif Filem

* Ciplak (Khairil M. Bahar)

Kategori Penerbitan Dalaman Dokumentari atau Majalah Terbaik

* Ilmuwan Islam-Al-Idrisi (Pakar Geografi) (TV3)

Bual Bicara Terbaik

* Macam-Macam Aznil (Episod 2-Kaki) (Astro)

Rancangan Muzik Terbaik

* Anugerah Juara Lagu Ke-20 (TV3)

Rancangan Hiburan (Bukan Muzik) Terbaik

* Anugerah Bintang Popular 2005 (TV3)

Realiti Terbaik

* Celebrity Explorace (TV3)

Laporan Khas Berita Terbaik

* Laporan Khas Edisi 7: Konflik Kashmir dan Pakistan (ntv7)

Anugerah Khas Juri

* Puteri Gunung Ledang The Musical

Powered by Utusan Malaysia

Follow

Get every new post delivered to your Inbox.