Archive | Rozita Che Wan RSS feed for this section

Soseh Soseh: Harap Rozita Tak Main Sorok-Sorok

6 Jan

Rap
MELANGKAH ke tahun baru 2009, meriah dengan majlis perkahwinan selebriti tempatan. Pada 1 Januari lalu, Deja Moss serta penyampai Suria FM, Zafrina (Zaff), ambil kesempatan melangsungkan persandingan mereka.

Hari Kekasih yang jatuh pada tarikh 14 Februari pula, menjadi pilihan pasangan sama cantik sama padan, Que Haidar dan Linda Jasmine termasuk Adlin Aman Ramlie bersama Emelda Rosmila untuk bersatu sebagai suami isteri.

Selain mereka, SS dimaklumkan sumber boleh dipercayai, pelakon cantik jelita, Rozita Che Wan, juga akan bernikah dalam masa terdekat ini.

Cuma, tarikhnya saja tidak pasti bila kerana SS difahamkan majlis itu akan dijalankan secara senyap atau erti kata lain, media tidak dijemput.

SS bertanyakan sumber, siapakah bakal suami Rozita dan kenapa dia mahu merahsiakan perkahwinannya, sumber itu menjawab, mungkin dia mahukan ‘privacy’ lagipun status bakal suaminya yang dikenali ramai.

Mengukuhkan kenyataannya pada SS lagi, Rozita sudah membuat tempahan baju pengantin yang direka khas seorang pereka fesyen terkenal.

Kalau benarlah bagai dikata, SS berharap Rozita tidak main sorok-sorok dengan pihak media maklumlah, sebelum ini bukannya tidak pernah rakan seangkatan SS menemubualnya berhubung hal berkenaan, namun seperti biasa dia menafikannya.

Jika enggan mengundang pihak media sekalipun, rasanya tidak salah Rozita membuat pengakuan jujur yang dia mahu mengakhiri zaman solo dan dalam masa sama menjelaskan mengapa majlis itu tidak boleh didedahkan.

SS yakin, rakan wartawan faham dan menghormati keputusannya. Kalau berdolak-dalik hanya mengeruhkan keadaan kerana media tidak suka ditipu, lambat laun artis akan menghadap media juga.

Harian Metro

Dengarnya… Rozita Che Wan Nak Kahwin Tak Lama Lagi!

31 Dec

Oleh Normah Becok

Rozita Che Wan

KALAU sudah popular macam Cik Normah, cantik jelita pula, memang senang gosip datang singgah dalam hidup Cik Normah. Jangan cemburu yer. Selepas Mawi dan Ekin menamatkan zaman bujang, Cik Normah dapat tahu, tahun depan, nampaknya ramai lagi selebriti jelita dan meletup bakal menamatkan solo masing-masing. Tak kiralah yang bujang, janda atau duda, masing-masing sudah bertemu dengan pasangan yang dirasakan sehati dan sejiwa.

Dimulakan dengan Januari dengan perkahwinan pelakon Kisah Kaisara, Sariyanti dengan bakal suaminya, Eddy Casmady. Februari pula, umum sudah tahu dengan pengakuan Linda Jasmine dan Que Haidar yang merancang untuk bernikah pada Hari Kekasih.

Dan terbaru, Donna Marcella yang cukup terkenal sebab menjadi penyumbang kolum popular kelolaan Cik Normah ini ingin menyampaikan sebuah cerita. Tapi Cik Normah awal-awal lagi pesan pada Donna, jangan ada hati untuk ‘caras’ populariti Cik Normah.

Oh ya, pelakon cantik kelahiran Alor Setar, Rozita Che Wan dikhabarkan akan kahwin tidak lama lagi. Tapi Cik Normah tak nak sebut siapakah gerangan lelaki yang berjaya menawan hati wanita berbadan menggiurkan ini.

Apa yang pasti, Rozita sendiri tidak menafikan hatinya sudah dimiliki. Dia juga tidak pula menolak kemungkinan untuk bernikah lagi. Tak apalah Rozita. Perkara yang baik, buat apa nak ditangguh-tangguhkan. Satu lagi, kalau pasti hendak berumah tangga lagi, janganlah nak main sorok-sorok. Iyerlah, lagi disorok, lagi ramailah yang orang nak korek rahsia. Akhirnya cerita yang tak elok pula selalu keluar. Rozita juga yang susah nanti.

Cik Normah rasa Rozita berterus-terang saja, jangan takut, Cik Normah tak makan orang. Cik Normah dapat tahu, adik Rozita juga bakal bertunang Februari nanti, tapi jangan salah sangka, yang dimaksudkan itu bukan Ayu Raudah. Rozita tak teringin ke nak buat fotografi baju kahwin dengan kawan sepejabat Cik Normah?

Berita Harian

Karnival Jomheboh Menutup Tirai

31 Dec

Oleh Nurulhisham Abdul Latiff
nurul@bharian.com.my

ACARA sambutan hari jadi membabitkan kanak-kanak dari Pusat Penjagaan Lambaian Kasih Sungai
Penchala diadakan di gerai Kids & Teen.

KARNIVAL Jomheboh anjuran TV3 menutup tirai penganjurannya pada 2008 dengan berlangsungnya karnival terakhir di Bukit Jalil, Kuala Lumpur pada 20 dan 21 Disember lalu.

Sebelum ini, karnival itu ke Melaka pada 5 dan 6 April, Perlis (3 dan 4 Mei), Bukit Jalil (31 Mei dan 1 Jun), Johor (5 dan 6 Julai), Pahang (2 dan 3 Ogos), Sarawak (25 dan 26 Oktober) dan Pulau Pinang (22 dan 23 November).

Karnival yang memasuki tahun keenam tetap mendapat sambutan hangat orang ramai dan sebagai penutup tirai, Bukit Jalil sekali lagi dipilih sebagai lokasi terakhir.

Berkonsepkan rekreasi dan riadah, karnival berkenaan mendapat perhatian semua lapisan masyarakat, daripada kanak-kanak sehinggalah golongan warga emas. Selain menyertai aktiviti yang dijalankan di karnival, pengunjung turut berpeluang mengenali stesen TV3 dan stesen lain di bawah Media Prima dengan lebih dekat.

Antara aktiviti yang diadakan sepanjang karnival di Bukit Jalil ialah peraduan mewarna dan sambutan hari jadi di gerai Kids & Teen, sesi ramah-mesra bersama pelakon Akasia & Lagenda, sesi ramah-mesra bersama pengacara Wanita Hari Ini dan Nona di gerai Women@TV3 serta sesi ramah-mesra bersama pelakon slot Aksi, Seram dan Lestary.

Antara artis yang terbabit ialah Danny X-Factor, Fizow Omar, Fezrul Khan, Zed Zaidi, Faizal Yusop, Ifa Raziah, Norish Karman, Anita Baharom, Zul Yahya, Eira Syazira, Noorkhiriah, Zarina, Wahid dan ramai lagi. Grand Brilliance Sdn Bhd pula tidak ketinggalan mempromosikan filem terbaru mereka, Sifu dan Tongga, yang dibintangi Nabil, Saiful Apek, Erra Fazira, Pie dan Rozita Che Wan.


KETUA Pegawai Eksekutif NSTP, Datuk Anthony Firdaus Bujang
beramah mesra bersama peserta Metro Idol.

Selain itu, mereka turut berpeluang mendekati personaliti TV3 seperti Zakiah Anas, Azizah Ariffin, Ally Iskandar, Nurul Syuhada Nurul Ain, Siti Hasfizza Aswaty, Tanah Syazwan, Hairuddin Mohd Noh, Sasha Bashir, Fara Fauzana, Fedtri Yahya dan lain-lain.

Di samping kemeriahan yang boleh dirasai sepanjang karnival berlangsung, TV3 tidak pernah melupakan golongan kurang bernasib baik. Justeru, majlis penyerahan sumbangan daripada Tabung TV3 Bersamamu berjumlah RM10,000 hasil sumbangan orang ramai diadakan.

Sumbangan kali ini diberikan kepada Pusat Penjagaan Lambaian Kasih, Sungai Penchala. Pusat penjagaan anak yatim berkenaan terbabit dalam insiden kebakaran yang mengorbankan dua penghuninya, baru-baru ini. Sumbangan disampaikan pihak pengurusan TV3 kepada pengurus pusat terbabit, Ridwan Abu Bakar.

Kumpulan New Straits Times Press (NSTP) turut mempunyai gerai sendiri pada karnival kali ini. Gerai akhbar berbahasa Melayu nombor satu, Harian Metro, umpamanya menjadi perhatian ramai berikutan beberapa aktiviti mereka jalankan, termasuk penganjuran Metro Idol.


PENGURUS Besar Kumpulan Pengurusan Jenama TV3, Nurul Aini Abu Bakar (kiri) dan Pengurus Besar
Pemasaran Segmentasi Maxis Communications Berhad, Rozalila Abdul Rahman, menyampaikan
replika cek kepada Ridwan (tengah).

Acara kemuncak penutup karnival kali ialah Konsert Jomheboh yang menampilkan ramai artis terkenal tanah air termasuk Elyana, Ziana Zain, Farah Asyikin, Nikki, Rahim Maarof, Nabil, Saiful Apek, Estranged, Bunkface, Nitrus dan Colabr8.

Berita Harian

Penyatuan Cinta 2008

31 Dec

BERMULA Januari 2008, kalendar dunia hiburan sudah mula diserikan dengan berita gembira perkahwinan artis tempatan. Sehingga bulan Disember, perkahwinan penyanyi popular Mawi dengan kekasih hati, Ekin menutup tirai tahun 2008 dengan penuh indah.

Mawi atau Asmawi Ani, 27, telah memilih tarikh 20 Disember untuk bernikah dengan Ekin atau Nor’Ashikin Rahmat, 29, di Masjid Sultan Abu Bakar, Johor Bahru. Mereka dinikahkan oleh imam masjid tersebut, Datuk Mahat Mohd. Said dengan disaksikan oleh Kadi Daerah Johor Bahru, Syeikh Husni Tamrin Md. Sharif dan Imam Mahadi Yahya.

Tepat pada pukul 11.40 pagi, dengan hanya sekali lafaz dan mas kahwin sebanyak RM22.50, Ekin sah menjadi isteri penyanyi kelahiran program realiti Akademi Fantasi 3 (AF), Mawi.

Dilabelkan sebagai perkahwinan tahunan, bukan sahaja Mawi dan Ekin menamatkan zaman bujang mereka tahun ini. Selain perkahwinan gemilang Mawi-Ekin, berikut kronologi perkahwinan artis Malaysia sepanjang 2008.

Zila Bakarin dan Azri Izhar (11 Januari)
Ingin merahsiakan perkahwinan mereka pada mulanya, Zila Bakarin, 33, selamat diijabkabulkan kepada jurukamera syarikat produksi, Azri Izhar, 34, pada 11 Januari lalu di Masjid Azzubair Ibnul Awwam, Cheras.

Pasangan itu dinikahkan oleh Penolong Pendaftar Nikah masjid berkenaan, Bashri Abd. Majid dengan mas kahwin RM1,000. Mereka berkenalan sejak tujuh tahun lalu di lokasi penggambaran.

Ning Baizura dan Omar Sharif (31 Januari)
Mengenakan persalinan putih dan bertudung rekaan Jovian Mandagie, Ning Baizura berkahwin dengan Omar Sharif Christopher Layton Dalton, 34, yang juga duda beranak dua kelahiran England.

Omar telah memeluk Islam pada Julai 2007 setelah lebih setahun berkenalan dengan Ning. Majlis akad nikah mereka berlangsung di Masjid

Saidina Abu Bakar As-Siddiq, Bangsar dan Ning menerima mas kahwin sebanyak RM80 selain tujuh dulang hantaran termasuk wang hantaran perkahwinan berjumlah RM66,666.66.

Khai dan Rosma (26 April)
Berkenalan dalam program realiti televisyen AF1, Rosmayati Sidik (Rosma), 23, dan Khairul Nizam Mohamad (Khai), 29, selamat dinikahkan di Masjid Putra pada 26 April lalu.

Dengan mas kahwin RM100 dan hantaran RM16,161.61, Khai sah menjadi suami Rosma selepas satu lafaz akad nikah. Terbaru Rosma juga dilaporkan sedang mengandungkan anak pertama mereka.

Maya Karin dan Muhammad Ali (14 Ogos)
Mereka telah melangsungkan majlis pernikahan di daerah kaki pergunungan di Lake Como, Itali pada 14 Ogos lalu. Dan bagi berkongsi memori indah ini bersama keluarga dan rakan rapat di Malaysia, Maya Karin dan suami, Steven Shorthose atau nama Islamnya, Muhammad Ali telah mengadakan majlis persandingan di padang bola sepak Institut Penyelidikan Hutan Malaysia (FRIM) di Kepong.

Maya berpakaian pengantin moden rekaan Radzuan Radziwill berwarna putih di samping suami tercintanya mengenakan baju Melayu berwarna hitam telah memilih lokasi ini kerana merupakan duta Taman Laut Malaysia dan seorang pencinta alam.

Lan Pet Pet dan Ruby (20 Ogos)
Pelawak yang popular menerusi Senario, Lan Pet Pet telah bercinta selama 14 tahun bersama Rubytah Abu Bakar @ Che Wan yang juga adik kepada pelakon popular Rozita Che Wan.

Dan pada 20 Ogos lalu, mereka telah memilih tarikh istimewa 20.08.2008 sebagai tarikh perkahwinan mereka. Pasangan ini bernikah di Masjid Al-Bukhary, Alor Setar, Kedah dengan mas kahwin RM888 serta wang hantaran RM8,000.

Deja Moss dan Azfendy Azzudin (30 Ogos)
Selepas dua tahun membuatkan orang ramai berteka-teki mengenai hubungan mereka, Deja Moss atau nama sebenarnya Sharifah Khadijah Wan Moss, 35, selamat diijabkabulkan dengan pasangannya Azfendy Azzudin, 29, di Masjid Wilayah Persekutuan, Jalan Duta pada 30 Ogos lalu.

Dinikahkan dengan mas kahwin RM1,111 oleh Penolong Pendaftar Nikah masjid tersebut, Mohd. Nazarudi Mohd. Nadzir, pasangan ini berbulan madu di Chile.

Ashraf Sinclair dan Bunga Citra Lestari (8 November)
Pasangan Ashraf Sinclair dan Bunga Cinta Lestari bernikah di Masjid Al Bina, Jakarta pada 8 November. Majlis resepsi bahagian pengantin perempuan berlangsung di Hotel Sultan, Jakarta pada keesokannya.

Sementara itu, majlis resepsi pengantin lelaki diadakan di The Saujana Kuala Lumpur, khas untuk rakan-rakan di Malaysia. Dan majlis untuk keluarga dan sanak saudara pula berlangsung di Kelab Golf Perkhidmatan Awam, Bukit Kiara (KGPA).

Rusdi Ramli dan Sharon Paul (16 November)
Setelah menduda selama 15 tahun, Rusdi Ramli, 38, yang bertemu dengan Sharon Anne Paul Abdullah, 32, tahun lalu semasa terlibat dalam pembikinan runut bunyi filem Waris Jari Hantu sah menjadi suami isteri pada 16 November lalu.

Majlis akad nikah mereka berlangsung di banglo galeri Creative Element, Shah Alam dengan dihadiri hampir 300 orang yang terdiri daripada ahli keluarga terdekat dan rakan. Pengantin lelaki menyerahkan mas kahwin RM800, senaskhah al-Quran, sirih junjung berserta sebentuk cincin.

Corrie Lee dan Fazima Mohamed Fuad (21 November)
Walaupun hanya mengenali dalam jangkamasa pendek, Corrie Lee atau nama Islamnya, Adam Corrie Lee, 40, telah memilih gadis pilihannya Fazima Mohamed Fuad, 30, sebagai isterinya.

Bernikah di Masjid Zahir, Kedah, isterinya yang berasal dari Lorong Terang menerima mas kahwin RM80 daripada Corrie dan wang hantaran sebanyak RM7,000.

Nabila Huda dan Zaidy Zailani (2 Disember)
Setelah tujuh tahun bercinta, Nabila Huda Suhaimi, 24, selamat diijabkabulkan dengan pasangannya, Zaidy Zailani, 27, di Masjid Wilayah Persekutuan, Jalan Duta dengan dihadiri hampir 300 tetamu.

Mereka dinikahkan oleh bapa pengantin perempuan sendiri, Amy Search atau nama sebenarnya, Suhaimi A. Rahman. Zaidy menyampaikan mas kahwin RM80 berserta wang hantaran berjumlah RM22,222.22.

Dapatkan artikel Imbasan 2008 sepenuhnya di Kosmo! hari ini.

Kosmo

'Empat Kali Perang Besar'

25 Dec

Oleh Elrafaei Sapi
ahmadelrafaei@hmetro.com.my

Rap

BERKONGSI minat sama, pasangan adik-beradik, Rozita Che Wan dan Ayu Raudah kian mendapat perhatian.

Akui dua pelakon baru berbakat besar ini, tawaran yang diterima juga mencurah-curah. Dalam Cerekarama di TV3 pada Sabtu lalu, dua beradik ini digandingkan menerusi drama Sebelum Sejadah Terbentang. Namun, dalam cerita itu, mereka bukanlah pasangan adik-beradik mahupun bertemu dalam adegan yang sama.

Biarpun mereka melakonkan watak berbeza dalam drama itu, hakikatnya mereka saling menyokong karier seni antara satu sama lain.

Kata Rozita, drama itu kali kedua mereka bersama selepas drama Berakhirnya Satu Penantian. Selepas dua drama, terbaru mereka dipertemukan sekali lagi menerusi drama Dewi Di Sebalik Cermin arahan Mohd Azhar Mohd Khalid (Apache) yang selesai menjalani penggambaran di sekitar Lembah Klang pada hujung minggu lalu.

“Memang seronok apabila kami berlakon sekali dalam satu drama. Lagipun bukan selalu kami dapat tawaran sebegini. Walaupun kami bukan adik-beradik tetapi dalam drama ini, watak kami berhubung antara satu sama lain.

“Pada mulanya rasa seronok untuk berlakon sama tetapi apabila teliti skrip, lain pula ceritanya. Dalam drama baru ini, kami dikehendaki melakonkan adegan gaduh hingga berlaku tolak-menolak, tarik rambut dan berguling atas lantai.

“Sebelum penggambaran dijalankan, kami juga terfikir bagaimana mahu melakonkan adegan itu sebaik mungkin kerana kami tidak pernah bergaduh teruk macam itu. Memang sukar untuk melakonkan adegan itu jika tiada latihan dan persefahaman yang baik antara kami.

“Di luar lokasi, kami berlatih sama menghafal skrip dan ada ketika kami cuba berlakon berdua. Dalam drama ini, saya berhadapan dengan karakter psiko yang tertekan dengan perceraian hingga membayangkan saya adalah Ayu yang menjadi orang gaji.

“Menariknya, gambaran saya ini dijelmakan menerusi cermin dalam sebuah rumah yang baru disewa. Menghayati watak mendalam, saya perlu menjadi garang dan tegas. Namun, ia bukan mudah untuk saya melakonkannya kerana personaliti sebenar saya di luar bukanlah sebegitu,” katanya.

Antara watak baik dan antagonis, Rozita menyatakan peminat gemar melihat aksinya dalam watak baik. Katanya, sebelum ini dia pernah membawakan watak antagonis dalam drama seperti Susuk dan Ai Di Beijing tetapi respons peminat yang diterima sebaliknya. Peminat seolah-olah tidak menyukai Rozita menjadi jahat tetapi mahu wataknya terus positif dalam lakonan.

Meskipun peminat menolak lakonan antagonis, Rozita tetap bersikap selektif dalam memilih tawaran lakon yang diterima. Baginya, dia tidak mahu peminat hanya menonton karakter sama setiap kali dia berlakon. Kesesuaian watak dengan jiwa penting untuk menterjemahkan lakonan dengan berkesan.

“Senario pelakon di sini berbanding Hollywood berbeza. Pelakon kita perlu mempelbagaikan lakonan dengan mencuba watak baru manakala di Hollywood, seseorang pelakon lebih terkenal dengan karakter sama.

“Lalu, tidak hairan kita melihat artis Barat jika sinonim dengan karakter antagonis, ia akan terus kekal dalam lakonan akan datang. Realitinya mereka terus popular di kalangan peminat.

“Mengimbas kembali karier seni saya sepanjang tahun ini, boleh dikatakan 99 peratus impian saya tercapai. Selain berlakon, saya juga gembira kerana dilantik sebagai duta produk antarabangsa seperti Loreal.

“Bukan mudah untuk menjadi duta produk antarabangsa kerana seperti Loreal, mereka lakukan temu bual dengan saya selama enam bulan. Dalam tempoh itu, mereka juga menilai peribadi saya dari pelbagai aspek sama ada gosip atau berita yang dilaporkan di akhbar dan majalah. Penting bagi mereka walaupun ia hanyalah gosip.

“Saya bersyukur dengan apa yang dikecapi sepanjang tahun ini. Selain drama, saya juga berpeluang mendapat tawaran berlakon filem.

“Tahun depan, saya mahu bekerja keras dan terus mengumpul harta sendiri tanpa mengharapkan simpati orang lain. Semoga banyak kejayaan dicapai kelak dan membawa erti pada kehidupan saya,” katanya.

Bagi Ayu pula, berlakon bersama kakak sendiri bukan saingan. Katanya, masing-masing mempunyai kelebihan dan kelemahan. Sebagai pelakon, dia mahu produser dan peminat menilai bakatnya berbanding faktor menumpang populariti kakak.

“Saya sebenarnya tidak kisah dengan persepsi peminat yang mengatakan saya menumpang populariti kakak. Pada saya, itu tidak menjadi masalah kerana kami adik-beradik. Ke mana saya pergi, hakikatnya saya tetap adik Rozita.

“Sebelum ini, peminat tidak mengenali saya tetapi apabila mereka tahu saya adik Rozita dan turut berlakon, saya makin dikenali ramai. Namun, walaupun peminat tahu nama saya tetapi jika mereka tidak menonton lakonan saya, mereka juga tidak kenali saya dengan tepat. Sebolehnya saya mahu peminat menilai lakonan saya.

“Bekerjasama dalam satu drama memberikan keseronokan pada kami. Selain mengambil peluang berlatih berlakon sama, kami juga mudah ke lokasi sekali. Untuk drama Dewi Di Sebalik Cermin, saya akui memang sukar untuk kami melakonkan adegan gaduh.

“Sebanyak empat kali adegan itu dilakonkan. Kami berharap lakonan kami itu diterima dan lebih banyak peluang untuk kami berlakon sama pada masa akan datang,” katanya.

Mengenai pencapaian seni, Ayu, 24, sudah membintangi 15 drama dalam tempoh dua tahun berkecimpung dalam bidang lakonan. Katanya, dia bersyukur kerana lakonan selama ini diterima sama ada produser mahupun peminat. Malah, dia berasa bertuah dengan peluang berlakon yang diterima hingga menerima tawaran tidak putus-putus.

“Lakonan menjadi karier sepenuh masa saya. Saya bersyukur kerana lakonan saya diterima dengan cepat. Tidak semua berpeluang menjadi seperti saya. Berbanding pelakon baru lain, ada yang terpaksa berlakon hingga beberapa tahun untuk dikenali.

“Sebelum ini, saya juga banyak terima tawaran berlakon filem tetapi terpaksa ditolak kerana saya terbabit dengan drama bersiri yang mengambil masa penggambaran panjang hingga empat bulan. Untuk filem, saya harus teliti tawaran yang diberikan. Saya tidak mahu berlakon sekadar tangkap muat hingga peminat berasa rugi membayar duit tiket apabila menonton di pawagam.

“Saya sedih melihat sambutan filem Melayu di pawagam yang suram. Produser filem kita sebenarnya mempunyai keupayaan untuk menghasilkan filem yang bagus tetapi mungkin kekangan tertentu menyebabkan filem kita gagal apabila ditayangkan.

“Buat masa ini, saya hanya memberi fokus pada lakonan. Kesibukan di lokasi penggambaran membuatkan saya tidak mempunyai masa untuk bercinta. Dulu masa saya berusia 21 tahun, saya pernah menyimpan impian untuk berkahwin tetapi tiada jodoh ketika itu.

“Bukan saya tidak memikirkan soal jodoh tetapi kalau boleh, bakal suami saya itu biar faham dengan kehidupan saya, dapat terima baik dan buruk. Saya elak bertemu jodoh dengan suami orang. Tahun depan, saya berazam untuk berlakon filem dan mungkin membuka perniagaan sendiri. Malah, kalau boleh saya juga mahu mempunyai kereta BMW seperti kakak dan membeli rumah sendiri,” katanya.

PROFIL ROZITA CHE WAN

NAMA: Rozita Che Wan
UMUR: 35 tahun
FILEM: Dunia Baru The Movie, Sepi, Jangan Tegur, Kantoi dan Sifu & Tongga
DRAMA: Susuk, Ai Di Beijing, Diari Ramadan Raffique, Ayyad, Baraku
Genggam, Sebelum Sejadah Terbentang dan Dewi Di Sebalik Cermin

PROFIL AYU RAUDAH

NAMA: Ayu Raudah
UMUR: 24 tahun
DRAMA: Hidayah 2, Dari Mata Arisa, Sutra Maya, Sebelum Sejadah Terbentang, Dewi Di Sebalik Cermin dan Sinar Senja

Harian Metro

Kemuncak Jomheboh 2008

18 Dec

Oleh Wan Asrudi Wan Hasan
wanasr@hmetro.com.my

Rap
SELEPAS Pulau Pinang, Karnival Jom Heboh kini tiba ke penghujungnya apabila tiba ke lokasi terakhir untuk musim ini, bertempat di pekarangan Kompleks Sukan Bukit Jalil, Kuala Lumpur bermula esok sehingga Ahad ini.

Pelbagai aktiviti menarik disediakan penganjur termasuk peraduan mewarna dan sambutan hari jadi di gerai Kids & Teen, selain sesi ramah mesra bersama pelakon slot Akasia dan Lagenda, serta pengacara Wanita Hari Ini (WHI) dan Nona di Gerai Womens@TV3.

Di samping itu, pengunjung berpeluang melihat lebih dekat artis kesayangan yang membintangi drama bersiri seperti slot di TV3 iaitu Aksi, Seram dan Lestary selain personaliti Media Prima seperti Zakiah Anas, Azizah Ariffin, Ally Iskandar, Nurul Syuhada Nurul Ain, Siti Hasfizza Aswaty, Azawate, Tabah Sazwan, Hairuddin, Farah Fauzana, Wahid Senario dan Aliff.

Antara artis yang turut terbabit dalam program itu ialah Danny X Factor, Fizow Omar, Fezrul Khan, Zed Zaidi, Faizal Yusop, Ifa Radziah, Norish Karman dan Anita Baharom.

Grand Brilliance Sdn Bhd (GBSB) juga tidak ketinggalan mempromosikan filem terbaru mereka Sifu Tongga yang dibintangi Nabil, Saiful Apek, Erra Fazira, Piee dan Rozita Che Wan.

Pengunjung juga berpeluang mendapatkan barangan eksklusif dari gerai disediakan selain berpeluang membeli-belah di gerai penaja yang menawarkan pelbagai promosi menarik.

Ketua Pegawai Eksekutif TV3, Datuk Amrin Awaluddin berkata pihaknya bersyukur kerana karnival berkenaan masih diminati dan dikunjungi walaupun sudah enam tahun penganjurannya.

Malah pihaknya berharap karnival berkenaan dapat terus mengekalkan prestasi cemerlang dengan jumlah pengunjung yang bertambah dari semasa ke semasa.

“Kami gembira melihat orang ramai bersama keluarga mempunyai satu tempat beriadah serta mengisi waktu lapang hujung minggu sambil menikmati pelbagai aktiviti, permainan, jualan dan sebagainya.

“Dengan menyertai semua aktiviti ini, kami mahu penonton merasakan yang mereka berada di sisi kami. Dengan cara ini mereka boleh mengenali kami lebih dekat.

“Saya juga mengambil kesempatan ini mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua yang terbabit dalam penganjuran karnival ini terutama pengunjung serta penonton setia kami yang tidak jemu-jemu memberikan sokongan dan maklum balas yang berguna untuk memperbaiki perkhidmatan kami sekali gus memberikan yang terbaik kepada penonton.

“Jika tiada aral, tahun depan karnival akan muncul lagi dengan wajah baru sempena ulang tahun TV3 ke-25. Karnival bakal diadakan di lokasi yang belum pernah diadakan selain aktiviti menarik seisi keluarga seperti jamboree, beca, motosikal kecil, badut, permainan tradisional, mini futsal dan banyak lagi,” katanya.

Pihaknya juga bercadang menganjurkan Kembara TV3 yang bermula tiga hari lebih awal dengan menjelajah pekan kecil menuju ke lokasi Jom Heboh. Menerusi program itu, pihaknya akan menyampaikan hadiah dan sumbangan kepada penduduk kampung.

Selain itu, majlis penyerahan sumbangan Tabung TV3 Bersamamu turut diadakan di Gerai Kids & Teen kepada Pusat Penjagaan Lambaian Kasih, Kg Sungai Penchala.

Pusat berkenaan adalah pusat penjagaan anak yatim yang ditimpa bencana baru-baru ini apabila terbabit dalam kebakaran yang mengakibatkan kehilangan nyawa dua penghuninya Oktober lalu.

Sumbangan RM10,000 akan disampaikan oleh pengurusan TV3 kepada wakil pusat berkenaan Mohamad Basir Abdullah.

Kemuncak karnival berkenaan ialah Konsert Jom Heboh yang disiarkan secara langsung menerusi televisyen, Ahad jam 9 malam di TV3. Konsert berkenaan menampilkan barisan artis terkenal tanah air seperti Nikki, Colabr8, Elyana, Nitrus, Ziana Zain, Farah Asyikin, Rahim Maarof, Bunkface dan Estranged .

Konsert itu juga sebagai tanda terima kasih kepada semua penonton setia yang memberi sokongan kepada rangkaian televisyen itu.

Karnival yang menekankan konsep rekreasi dan riadah untuk seisi keluarga memulakan penjelajahannya pada 5 dan 6 April lalu dengan memilih Melaka sebagai lokasi pertama diikuti Kangar, Perlis (3 dan 4 Mei), Bukit Jalil (31 Mei dan 1 Jun), Johor Bahru (5 dan 6 Julai), Kuantan, Pahang (2 dan 3 Ogos), Miri Sarawak (25 dan 26 Oktober) dan Pulau Pinang (22 dan 23 November).

Harian Metro

Tegar Menelan Kritikan

13 Nov

Oleh FERIDE HIKMET ATAK
feride.hikmet@kosmo.com.my

KRITIKAN yang diterima bukan menjadikan dirinya seorang yang kalah. Dia sebaliknya bangkit menelan kritikan yang sering dilontarkan terhadapnya.

Dia seorang yang cantik, berbakat dan sanggup bekerja keras. Itu antara faktor yang berjaya melonjakkan dirinya muncul sebagai salah seorang pelakon drama yang dikenali ramai sekarang ini.

Mula muncul dengan drama berjudul Dilema Wanita pada tahun 2005, selangkah demi selangkah Ayu Raudhah Che Wan mula mengasah bakatnya melalui drama-drama tempatan sehingga membuatkan dia kini menjadi buruan penerbit mahupun pengarah.

Apatah lagi bila watak gadis lemah-lembut dan baik terlalu sinonim dengan dirinya di layar kaca, Ayu tampak kukuh dengan identiti tersendiri.

Sudah suratan dirinya apabila menceburi bidang yang juga diterokai kakaknya, Rozita Che Wan yang tidak dinafikan kejelitaannya, dan kelebihan Rozita ialah dia terlebih dahulu menempa populariti berbanding Ayu.

Namun, Ayu tidak menjadikan kritikan tersebut sebagai suatu elemen negatif yang mampu melemahkan semangatnya dalam dunia lakonan.

Sebaliknya, Ayu menjadikan kritikan itu sebagai suatu kekuatan buat membina dan mengembangkan lagi karier lakonannya.

Dan kerana kritikan itu jugalah timbul semangat dalam dirinya untuk menolak segala kritikan tersebut untuk menceburi dunia sama dengan Rozita.


MIOR HASHIM MANAP

Inilah medan yang boleh dijadikan peminat mereka untuk menilai sendiri perbezaan bakat lakonan yang ada pada dirinya dan Rozita.

Bagaimanapun, ini tidak bermakna Ayu sengaja mahu menunjuk-nunjuk perbezaan sebenar antaranya dan Rozita.

Cuma, dia sebenarnya begitu teringin mendapatkan watak adik-beradik bersama Rozita. Dengan itu, Ayu dapat merasakan kerjanya pasti seronok bila sentiasa didampingi oleh kakak tersayang yang dipanggil dengan nama ringkas, Kak Ita.

Mengulas mengenai perkara itu, beritahu Ayu, “Memang orang sering membandingkan bakat saya dan Kak Ita. Itu tidak salah. Cuma saya bersyukur Kak Ita sering menjadi pembimbing dalam membina kerjaya saya.


DARI MATA ARISA sarat dengan kisah cinta, keluarga dan kasih sayang.

“Walau apa pun saya selalu berangan-angan yang suatu hari nanti kami dapat berlakon bersama sebagai adik dan kakak. Mesti seronok kalau impian itu jadi kenyataan. Maklumlah, bila dah adik-beradik berjumpa, perangai gila-gila mulalah keluar.

“Dan saya rasa, inilah masanya untuk kami lebih bermesra. Biasalah kalau dah masing-masing sibuk, susah kami nak berjumpa walaupun sekejap,” katanya meluahkan keinginan tersendiri.

Berlakon dengan diri sendiri

Namun peluang untuk Ayu bergandingan dengan Rozita nampaknya belum menjelma. Biarpun begitu Ayu berpeluang berlakon dengan dirinya sendiri menerusi drama rantaian arahan Mior Hashim Manap dalam produksi terbaru terbitan Bright Network Sdn. Bhd., Dari Mata Arisa.

Tidak melihatnya sekadar suatu tawaran lakonan biasa, ia ternyata memberi sedikit cabaran kepadanya, apatah lagi apabila terpaksa menghayati dua watak yang berbeza.Satu pendedahan baru buatnya kerana inilah saat dan ketika buat Ayu bagi membuktikan bakat yang dimilikinya.

“Pada mulanya, agak sukar untuk saya membawakan dua watak yang berlainan kerana saya perlu menyesuaikan diri dengan penghayatan yang berbeza.


PELAKON-pelakon yang mendapat kepercayaan Raja Alawiyah dan Mior bagi menjayakan drama rantaian ini.

“Namun, dengan bantuan pelakon-pelakon lain serta pengarahnya, abang Mior, saya dapat membawakan watak ini seperti yang dikehendakinya.

“Elok juga belajar dari dia. Banyak ilmu boleh dapat. Ditambah pula dengan pengalamannya sepanjang berada di bidang ini, banyak yang diajar olehnya,” ujarnya.

Persepsi skeptikal masyarakat

Menyelami Dari Mata Arisa yang diadaptasi daripada novel karya Bikash Nur Idris, Kau Sayangku, ia mempunyai mesej tersendiri dalam mengubah persepsi skeptikal segelintir masyarakat tentang wanita yang sering diperlekehkan.

Drama 40 episod yang telah pun ke udara setiap Isnin, pukul 9 malam di RTM1 sejak 3 November lalu bagaimanapun masih kelihatan klise kerana mengangkat elemen yang telah biasa ditonjolkan sebelum ini.

“Saya tahu drama-drama saya kebanyakannya cerita yang ditonjolkan lebih kurang sama sahaja iaitu mengangkat martabat wanita,” akui penerbit Dari Mata Arisa, Raja Alawiyah Raja Lop Idris.


RAJA ALAWIYAH penerbit wanita prolifik yang berhati waja.

Namun dia mempunya hujah tersendiri kenapa dan mengapa sering menjadikan wanita sebagai medium bercerita dalam karya terbitannya.

“Cuba fikirkan, jika saya sebagai penerbit wanita tidak buat cerita macam ini, siapa yang akan buat? Menerusi drama ini saya lebih tonjolkan watak Arisa sebagai wanita sopan santun yang tahu membawa diri dan tidak mudah dikaburi dengan kekayaan lelaki yang cuba mengejar cintanya.

“Apa yang diperlukannya bukanlah harta, tetapi sebuah cinta sejati yang mampu memberi kebahagiaan kepadanya hingga akhir hayat,” beritahu penerbit yang sememangnya cukup terkenal dalam melahirkan drama berunsur feminisme ini.

Apa yang menarik, karya ini mengembalikan semula Mior Hashim Manap sebagai pengarah drama selepas sekian lama mendiamkan diri.

Selain Ayu, Dari Mata Arisa mempertaruhkan nama-nama yang sudah dikenali seperti Ashraf Muslim yang melakonkan watak Eddy, Syed Aiman (Akif), Maizurah Hamzah (Maliah), Kenchana Devi (Shamala) dan Mahmud Ali Basha (Muhammad).

Mengulas soal tanggungjawab, menurut Mior dia terpaksa menyesuaikan diri dengan konsep dan gaya pengarahan terkini drama tempatan kerana hampir tiga tahun dia tidak mengarah.


AYU RAUDHAH kepingin berlakon bersama kakaknya, Rozita Che Wan.

“Saya merasakan ia lebih sofistikated. Sekarang ini, cara penyampaian drama perlu lebih cepat seperti mana kita menghasilkan klip video muzik. Itu satu cabaran yang perlu saya hadapi.

“Bagaimanapun, istilah puas hati tidak pernah ada dalam diri saya kerana saya tahu banyak kelemahan yang perlu diperbaiki. Tapi untuk drama rantaian ini, saya sudah melakukan yang terbaik dan saya harap penonton puas hati dengan hasil kerja saya,” katanya.

Kosmo

Follow

Get every new post delivered to your Inbox.