Archive | Sazzy Falak RSS feed for this section

Visi Dua Dara

24 Feb

Oleh Serimah Mohd Sallehuddin

DINA (kiri) berganding
bersama Zayana dalam
Rempit vs Impak
Maksima The Series.

Menceburi pelbagai bidang seni untuk kepuasan kerjaya

SEKALIPUN bukan orang baru dalam industri hiburan, dua wanita ini, Zayana Ibrahim dan Dina berasa bertuah apabila diberi peluang muncul dalam drama yang disiarkan dalam slot perdana. Lakonan bagi gadis berwajah persis Cina ini bukanlah sesuatu yang asing.

Sebelum membintangi Rempit vs Impak Maksima The Series yang disiarkan dalam slot Aksi di TV3 setiap Isnin, sepupu kepada pengacara dan pelakon Sazzy Falak ini pernah membintangi drama bersiri dan filem Kami.

Ketika itu, penampilannya berbeza dengan imejnya sekarang hingga hampir tidak mengenalinya. Dulu wanita ini selesa dengan potongan rambut pendek, tetapi kali ini Zayana tampil lebih feminin dengan rambut ikal dibiarkan melepasi bahu.

Pertama kali mencuba gelanggang yang lebih meluas penontonnya, Zayana mengakui berasakan perbezaannya dengan Kami. Drama bersiri Kami lebih sesuai untuk golongan remaja, namun skop Rempit vs Impak Maksima lebih meluas dan sering menjadi pilihan penonton dari pelbagai lapisan umur.

Bukan saja skop berbeza, wataknya sebagai Farhana dan Adii juga dua watak yang berbeza sama sekali. Adii kata Zayana lebih dekat dengan ciri dimilikinya, sementara Farhan pula memerlukannya menjadi seorang wanita yang tegas dan agresif.


PELAKON drama Rempit vs Impak Maksima pada sesi ramah mesra di Sri Pentas Bandar Utama.

“Saya perlu bertukar-tukar karakter sekelip mata dalam Rempit vs Impak Maksima dan saya juga perlu melebih-lebih kerana itu adalah apa yang penonton slot perdana mahukan. Watak Farhana bagi saya mencabar kerana inilah pertama kali saya memegang watak utama sehingga saya sentiasa mengingatkan diri apa yang penonton mahukan.

“Bagaimanapun, ia satu pengalaman baru bagi diri saya. Jika tiada sepupu saya, Sazzy Falak yang memberikan dorongan supaya saya menceburi dunia lakonan, mungkin saya tidak berada di mana saya sekarang.

“Malah, saya juga tidak sangka dapat bekerja di bawah Ahmad Idham kerana semuanya berlaku secara kebetulan apabila sahabat baik saya Nas T mencadangkan nama saya kepada Idham sehari sebelum kontrak ditandatangani,” kata Zayana.

Perkara yang paling mencabar buat anak keempat daripada tujuh adik beradik ini apabila membintangi Rempit vs Impak Maksima ialah terpaksa membawa kereta sedangkan dia tidak memiliki lesen.

Bagaimanapun, mujur Idham memahami kelemahannya dan menggantikan adegan itu dengan pelakon ‘stand-in’.

Gadis berusia 23 tahun ini mempunyai alasan sendiri kenapa tidak memiliki lesen kenderaan. Jika orang lain berlumba-lumba memiliki kereta, dia pula lebih senang menjadikan pengangkutan awam terutamanya teksi untuk bergerak ke mana saja. Adik beradiknya juga sering menjadi mangsa setiap kali hendak ke sesuatu destinasi.

Terpaksa cari kerja sampingan

APA yang tidak dicubanya. Daripada menyanyi kemudian berlakon teater, diikuti filem Jangan Pandan Belakang, Congkak dan kini bergelar penyampai radio Era FM pula.

Kata Dina, dia menceburi pelbagai bidang kerana peluang terbentang di depan mata. Sambil itu, katanya, dia juga segan untuk menganggap dirinya sebagai anak seni jika tidak mencuba pelbagai bidang lain.

Bagaimanapun, pada masa sama, Dina mengakui kelembapan industri muzik kini juga menjadi salah satu punca mengapa dia melebarkan sayapnya ke bidang lain dengan peluang yang ada.

“Benar disebabkan industri muzik merudum saya harus memikirkan alternatif lain. Tetapi keadaan itu tidak begitu menjejaskan kerjaya nyanyian saya. Oleh kerana saya bekerja sendiri, memang saya dapat merasakan kelembapannya dan nasib sama turut menimpa rakan penyanyi lain.

“Kerjaya terbaru saya sebagai pelakon memang sesuatu yang menyeronokkan. Saya belajar benda baru dan tidak kisah jika ada yang mengatakan saya artis Excellent Pictures. Saya akui kerana peluang berlakon dalam drama ini diberikan oleh Ahmad Idham, sebelum ini saya tidak pernah menerima tawaran daripada sesiapapun.

“Saya seronok berlakon kerana berasa seperti sebuah keluarga. Keadaan itu amat berbeza sekali dengan nyanyian, bila menyanyi kita ditatang bagai minyak yang penuh. Tapi bila berlakon kebanyakan benda yang dilakukan di lokasi dibuat bersama-sama dan kita tidak berasakan diri kita istimewa,” kata Dina yang turut menyanyikan soundtrack Rempit vs Impak Maksima.

Dina membawakan watak Erin, rakan baik kepada Farhana. Erin seorang yang ceria, kelam kabut, kelakar dan manja. Walaupun bersikap gila-gila, dia mengajar Farhana erti tanggungjawab dan menjadi penyokong kepada watak Farhana.

Selain Zayana dan Dina, Rempit vs Impak Maksima turut ditangani pelakon lain iaitu Iqram Dinzly (Ijal), Zed Zaidi (Danial), Puteri Fatin Nasuha (Tina) dan Nas T (Bidin) serta ramai lagi.

Berita Harian

Erma Cadang Tubuh Sukarelawan

4 Feb

Oleh Ramlah Zainal
roses@hmetro.com.my

Rap
SEKADAR meluahkan simpati dan melihat dari jauh penderitaan warga Palestin yang menjadi mangsa kekejaman tentera Israel di Semenanjung Gaza, tidak akan mengubah nasib mereka yang malang itu.

Justeru, atas dasar kemanusiaan sejagat, Yayasan Seni Karya Prihatin Malaysia (YSKPM) dengan kerjasama Kementerian Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan (KPKKW), Istana Budaya (IB) dan lebih 150 penggiat seni tanah air bergabung merealisasikan misi amal yang dinamakan Doa Buatmu Palestin.

Ia berlangsung selama dua hari di Laman Baiduri, bermula Sabtu lalu khusus mengumpul dana bagi mengisi Tabung Palestin.

Ternyata, hujan renyai-renyai, diikuti hujan lebat sejak jam 6 petang kelmarin tidak sedikit pun mematahkan semangat artis tempatan dan AJK YSKPM untuk meneruskan misi yang cukup mulia itu berjalan lancar seperti direncanakan.

Malah, kempen itu juga berjaya menarik lebih 10,000 pengunjung membanjiri Laman Baiduri IB sepanjang dua hari kempen itu berlangsung. Antara yang menjadi tumpuan ialah persembahan artis dan acara lelong barangan selebriti.

Presiden YSKPM, Erma Fatima Rahmad, berkata, kutipan sepanjang dua hari kempen itu hampir mencecah RM100,000 dan ia akan disalurkan ke Tabung Palestin di Wisma Putra.

“Kejayaan kempen ini kerana kerjasama barisan artis tempatan yang bersusah- payah menjayakan acara ini tanpa sebarang bayaran. Pada hari pertama, kutipan yang terkumpul dari jualan tapak gerai ialah RM30,000 dan sumbangan orang persendirian RM18,000. Kutipan terus meningkat pada hari kedua.

“Saya cuma tidak puas hati dengan majlis solat hajat yang dianjurkan pada malam penutup ini yang tidak mendapat sambutan golongan artis dan penggiat seni berbanding persembahan hiburan,” katanya.

Tidak cukup dengan itu, Erma berkata, pihaknya bercadang menubuhkan jawatankuasa tentera yang juga pasukan sukarela khusus yang membabitkan golongan artis pada tahun ini.

“Idea itu timbul ketika saya menghantar kertas cadangan kempen ini kepada Ketua Pegawai Eksekutif Celcom, Datuk Seri Shazalli Ramly sebelum ini.

“Saya berasa tercabar apabila beliau memberitahu Gaza bukanlah tempat untuk mengambil gambar apabila kami turut menawarkan diri ke Gaza membantu penduduk Palestin di sana.

“Justeru, saya bercadang menubuhkan jawatankuasa ini secepat mungkin sebagai pasukan sukarela yang bersedia untuk berhadapan dengan sebarang bencana.

“Saya juga tidak mahu artis yang terbabit hanya jadi penyeri sebaliknya mereka dilengkapi dengan latihan dan kemahiran yang lengkap terlebih dulu. Ini kerana saya tidak mahu pihak luar meragui kemampuan golongan artis.

“Saya sendiri menawarkan diri untuk ke sana dan kami juga memerlukan penyertaan profesional seperti doktor untuk membantu misi ini nanti,” katanya.

Malam penutup kempen disemarakkan dengan kehadiran Menteri Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal dan Ketua Pengarah Istana Budaya, Mohamed Juhari Shaarani.

Antara artis popular yang mengambil bahagian dalam kempen itu ialah penyanyi Noryn Aziz. Kesibukan merencana agenda seni termasuk memenuhi undangan persembahan di dalam dan luar negara tidak menghalang penyanyi jelita ini untuk mengambil bahagian.

Pada malam penutup, Noryn menyampaikan satu lagu Inggeris, Greatest Love Of All yang dipopularkan Whitney Houston.

“Sebagai penyanyi, saya menggunakan bakat yang dianugerahkan Tuhan ini untuk menghiburkan pengunjung sekali gus menyemarakkan kempen ini.

“Saya juga mengikuti perkembangan menyedihkan di Gaza sejak awal lagi. Mungkin saya hanya berpeluang menyampaikan satu lagu kerana masa tidak mengizinkan tetapi saya berharap ia sebagai tanda sokongan padu kepada kerja amal ini,” katanya.

Penyampai radio Sinar FM dan pengacara, Linda Onn pula tidak ketinggalan turun padang menjayakan kempen amal itu sejak hari pertama karnival berlangsung.

“Semuanya bermula apabila saya menonton berita kekejaman di Palestin pada jam 3 pagi menerusi saluran CNN selepes 15 hari pencerobohan itu berlaku. Saya berasa cukup sedih melihat kanak-kanak kecil yang sebaya dengan anak saudara saya dibunuh dengan kejam sekali.

“Tanpa berfikir panjang, saya terus tampil ke depan untuk bersama artis lain menjayakan misi kemanusiaan ini.

Selepas menjayakan karnival dan lelongan amal anjuran Anugerah Bintang Popular, Berita Harian 2008 untuk mengisi Tabung NSTP Untuk Gaza, Sabtu lalu, saya terus berkampung di IB pula untuk menjayakan misi YSKPM,” katanya.

Linda berkata, dia juga membuka gerai nasi ayamnya, My Mom’s Chicken Rice di Laman Baiduri IB sempena kempen itu.

“Sebahagian hasil jualan kutipan ini diserahkan kepada Tabung Palestin. Saya sekeluarga juga jayakan solat Maghrib, Hajat dan bacaan Yasin pada malam penutup untuk kesejahteraan rakyat Palestin,” katanya

“Terdahulu, pada hari pertama, saya tampil ke pentas untuk membantu meleong baju Datuk Siti Nurhaliza Tarudin yang menjual bajunya untuk kempen berkenaan,” katanya. Acara lain yang menjadi tumpuan pada malam penutup itu ialah melelong baju penyanyi Erra Fazira dan Jamal Abdillah. Dalam keadaan sarat mengandung lapan bulan, Erra tetap hadir ditemani suami, Engku Emran Engku Zainal Abidin.

Pada malam itu, Erra berjaya melelong dua bajunya iaitu rekaan Tom Abang Saufi dengan bidaan RM130 dan satu lagi gaun berwarna merah yang dibida paling tinggi oleh pelakon Zarina Zainuddin dengan harga RM200.

Manakala Jamal yang turut menyampaikan lagu Seroja pada malam itu berjaya melelong jaket miliknya dengan harga bidaan RM350 dan but dengan harga RM250.

Artis lain yang turut melelong barangan milik mereka, Zahida Rafik, Umie Aida, Aleeza Kassim, Tengku Azura, Julia Ziegler, Betty Banafe, Fazli Zainal, Que Haidar, Awal Ashaari, Vanidah Imran, Ika Fancy dan kumpulan jurusolek terkemuka, Izatt Artistic Team (IAT).

Tidak lengkap penganjuran kempen amal tanpa persembahan hiburan daripada artis popular antaranya Fazley, Ramli Sarip, Salamiah Hassan, Rabbani, Ning Baizura, Siti Sarah, Ezlynn, Dafi, Fazli Zainal dan Amy Search.

Tarikan lain ialah 102 gerai artis yang disertai peminat dan menjual pelbagai jualan seperti makanan dan keperluan harian. Artis lain yang hadir memberikan sokongan ialah Dynas Mokhtar, Maya Karin, Baharuddin Omar serta gandingan Fara Fauzana dan Sazzy Falak selaku pengacara majlis.

Harian Metro

Bukan Sebarang Budak Kecil

26 Jan

Saiz fizikal Calvin Thoo mungkin kecil dan comel, tetapi kreativiti dan semangatnya sentiasa besar dan istimewa.

izyanliyana.mdarif@kosmo.com.my”>


CALVIN berbincang dengan pelanggan sebelum membuat lakaran di atas kertas.


CALVIN Thoo ialah satu nama yang tidak asing lagi dalam dunia fesyen tempatan. Dia sering muncul di pentas peragaan dengan diiringi model yang menggayakan rekaan terkini fesyennya. Anak kelahiran Kuala Lumpur itu sentiasa tampil dengan koleksi busana yang menawan.

Walaupun menggunakan fabrik ringkas, himpunan pakaian Calvin, 37, tetap manis dan cantik digayakan. Dihiasi dengan butiran manik dan batu-batu kecil membuatkan setiap pakaian rekaannya memiliki signatur tersendiri.

Justeru, bukanlah menghairankan bekas graduan dalam program pengajian ijazah fesyen dari RMIT, Australia itu sering mendapat tempahan daripada pelbagai peringkat penggemar fesyen terutama golongan ternama dan selebriti tempatan seperti Sazzy Falak, Erra Fazira, Anita Sarawak, Siti Nurhaliza, Adibah Noor, Jacklyn Victor dan ramai lagi.


SALAH satu rekaan dres labuh ilham Calvin Thoo.

Rekaannya ringkas tetapi elegan dan sofistikated. Ia sesuai digayakan pada majlis formal, koktel atau majlis perkahwinan.

“Jadual harian saya pada tahun 2009 begitu padat. Tempahan demi tempahan diterima. Namun begitu, sebanyak mana pun tempahan yang datang, saya akan pastikan kualiti, mutu dan rekaan yang dihasilkan menepati cita rasa pelanggan.

“Lagipun ia bersesuaian dengan moto label Calvin Thoo, yang mereka busana mengikut personaliti dan gaya hidup individu tersebut. Biasanya, sebelum melakar rekaan, saya akan berbual seketika dengan pelanggan bagi mengetahui latar belakang mereka supaya pakaian itu padan dengan empunya diri,” ujar pereka berwajah comel dan bersaiz genit itu.

Katanya lagi, kadangkala disebabkan saiz badannya yang kecil, segelintir pelanggan kurang yakin untuk menempah pakaian daripadanya.

“Mungkin mereka berkata bolehkah budak kecil ini melakar dan menjahit baju,” ujarnya sambil ketawa.


SELAIN menghasilkan pakaian, Calvin Thoo juga mampu mereka bentuk kasut.

Calvin yang baru selesai menguruskan pakaian pengantin pelakon Ako Mustafa kini dalam proses menyiapkan gaun pengantin Linda Jasmine.

Calvin yang pernah menuntut di Sekolah Menengah St. John, Kuala Lumpur merupakan anak sulung daripada dua beradik. Dia mencintai dunia fesyen sejak berusia lapan tahun.

Semuanya tercetus gara-gara Calvin kurang gemar melihat trend fesyen yang ditampilkan pada satu masa dahulu.

“Tak payah sebut bila masa itu. Saya dapati rekaan dan koleksi pakaian yang ditawarkan ketika itu tidak enak dipandang,” ujarnya.

Bermula saat itu, Calvin melahirkan hasrat kepada ibunya untuk bergelar pereka fesyen apabila meningkat dewasa.

Ketika di bangku sekolah, dia kerap membeli buku tulis bagi memudahkannya melakar pakaian. Malah, halaman buku teks juga sentiasa dipenuhi dengan lukisan busana.

“Malangnya, kesemua koleksi buku dan hasil lakaran pertama telah hilang dan dibuang ketika saya melanjutkan pelajaran di luar negara. Barangkali ibu menyangka saya tidak memerlukannya lagi.

“Sekarang ia hanya tinggal kenangan. Biarpun tiada lagi koleksi buku lakaran itu, saya kini mampu tersenyum kerana sudah mempunyai butik sendiri pada tahun 2005,” tambahnya yang sibuk melayan pelanggan mengenakan gaun malam di butiknya di Lot 10, Bukit Bintang, Kuala Lumpur.

Kosmo

Remaja Serbu PWTC

19 Jan

Oleh Fairul Asmaini Mohd Pilus
asmaini@nstp.com.my

PENGANJURAN Festival Gaya Hidup Sihat Belia di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), ibu negara, baru-baru ini, berjaya menarik kehadiran ribuan remaja dari seluruh negara.

Festival belia bertema Revolusi Gaya Hidup Belia Terbesar itu sememangnya festival terbesar seumpamanya pernah diadakan menerusi anjuran selama tiga hari berakhir 11 Januari lalu.

Lebih 100 aktiviti menarik disediakan antaranya bengkel tarian, projek interaktif, pertandingan bola keranjang, futsal satu lawan satu dalam sangkar, tarian jalanan, kumpulan muzik, persembahan yoyo, pameran kerjaya, solekan, lukisan grafiti, uji bakat pengacara televisyen, permainan PS3 serta jualan aksesori, kraftangan dan pakaian.

Turut diadakan ialah pelbagai bengkel menarik seperti tarian tiang, jazz, tarian gelek, hip hop, penampilan diri serta fotografi.

Namun, acara paling mendapat sambutan sudah pastinya sesi beramah mesra bersama selebriti terkenal tanah air seperti Sazzy Falak, Marsha, Sari Yanti, Atilia, Juwita Suwito, Sarah Lian, Bunk Face serta penyampai radio, JJ dan Rudy.

Mohd Irsyaduddin Rosli, 20, dari Cyberjaya, berkata dia dan dua lagi rakan, Haniff Abdul Razali serta Muhammad Imran Razali, 20, datang ke festival berkenaan untuk menyertai pertandingan bola keranjang tiga lawan tiga.

Dia yang mewakili pasukan Socks berkata, biarpun tewas, dia tetap seronok kerana dapat bertemu ramai rakan baru dan bertukar pendapat mengenai sukan berkenaan.

“Seingat saya, inilah festival seumpamanya yang paling besar pernah diadakan.

“Biarpun diadakan selama tiga hari, pengisian aktivitinya memang padat dan menarik.

“Selain itu, festival ini amat sesuai untuk dijadikan platform untuk remaja seperti kami menyerlahkan bakat terpendam dalam bidang digemari,” katanya.

Rakannya, Muhammad Imran dan Hanif, berkata festival berkenaan tepat pada masanya kerana ia belum pernah diadakan sebelum ini.

Biarpun tujuan utama adalah untuk menyertai pertandingan bola keranjang, mereka turut meluangkan masa berhibur dengan persembahan nyanyian kumpulan muzik popular serta mencuba permainan disediakan.

“Kami memang seronok kerana aktiviti yang disediakan memang menepati cita rasa golongan muda masa kini,” kata Hanif.

Sementara itu, Intan Nur Elliana Zakaria, 21, dari Klang, Selangor, berkata dia dan lima lagi rakan mengunjungi festival berkenaan selepas tertarik dengan cerita yang disampaikan rakan sekelasnya.

Menurut Intan, kesibukan kuliah menghalangnya daripada berkunjung lebih awal tetapi dia tetap berpuas hati kerana masih banyak aktiviti disediakan pada hari terakhir.

Dia yang juga pelajar jurusan fotografi di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam, berkata, biarpun sesak dengan pengunjung, dia sempat mencuba pelbagai aktiviti seperti permainan PS3, memegang ular di gerai Rakan Muda dan mencuba simulator kereta Formula Satu (F1).

“Selain mengisi masa terluang, saya dan rakan turut mengambil kesempatan merakam gambar pelbagai aktiviti disediakan untuk latihan serta persiapan menjadi jurugambar suatu hari nanti.

“Tetapi apa yang menarik, saya juga tidak melepaskan peluang memegang ular. Biarpun takut dan geli, saya tetap mahu memegangnya kerana ia mungkin pengalaman sekali dalam seumur hidup,” katanya.

Harian Metro

Nazril Dan RM

17 Jan

Oleh Diyanah Anuar
diyanah@bharian.com.my

BEBERAPA bekas plastik bertanda disusun rapi atas meja personaliti XY – Ikon Lelaki ini. Belum sempat bertanya, Nazril Idrus menjelaskan setiap bekas melambangkan tabung dan agihan wang yang sepatutnya diamalkan siapa saja. Dekati jejaka ini…

ORANGNYA cukup peramah biarpun pertama kali bersua. Personalitinya cukup sesuai dengan kerja sampingan sebagai pelakon, pengacara program televisyen malah pernah muncul dalam iklan komersial.

Namun semua itu dilakukan demi hobi. Bagi Nazril Idrus, cinta beliau yang sebenarnya ialah pada sektor pengurusan kewangan dan strategi pelaburan jangka panjang.

Maka tidak hairanlah Nazril mengambil langkah berani menubuhkan firma perunding kewangan, LVG Consultants. Beliau yang mengasaskan firma ini bersama seorang rakan dan menduduki kerusi Presiden, bersemangat setiap kali bercerita soal wang.

Lucunya, Nazril bercerita, ketika mula bekerja, beliau bukanlah seorang pengurus kewangan yang baik.

“Bekerja dalam bidang kewangan atau perakaunan tidak bermakna seseorang itu bijak menguruskan kewangan sendiri.

“Hakikatnya, mereka seperti orang lain yang kadang-kadang kurang berhati-hati dalam percaturan perbelanjaan kewangan,” katanya yang pernah berkhidmat di firma perakaunan berprestij serta syarikat pengeluar petroleum.

Berpengalaman bekerja di Melbourne, Australia dan London, United Kingdom (UK), Nazril beruntung memperoleh pendapatan mewah kerana dibayar mengikut mata wang kedua-dua negara itu.

“Namun, saya terkilan apabila memikirkan bagaimana pendapatan saya ketika itu dibelanjakan. Hampir semua dihabiskan begitu saja tanpa sedikitpun dilabur.

“Sepatutnya dengan gaji yang saya terima, saya boleh membeli aset untuk pelaburan jangka panjang. Namun, tiada apa yang saya buat hinggalah kembali ke tanah air,” katanya ketika ditemui di pejabatnya di Damansara Perdana, Petaling Jaya, minggu lalu.

Apabila pulang ke Malaysia, Nazril terjebak pula dengan skim pelaburan yang akhirnya mengundang musibah. Wang simpanannya sebanyak RM12,000 terbuang begitu saja. Kata Nazril, kejadian itu memberi pengajaran besar buat dirinya.

“Ketika itu, saya hanya fikir meraih keuntungan segera tapi tidak menyemak sama ada pelaburan itu sah di sisi undang-undang atau sebaliknya,” katanya.

Nazril berkata, segala-galanya berubah apabila beliau menghadiri seminar pembangunan diri bagi mengenal pasti minat dan potensi individu. Pada ketika itu, minat Nazril terhadap kerjaya makin berkurangan. Beliau tidak lagi seronok mengendalikan akaun atau penyata kewangan orang lain.

Dari pengalaman yang ditimbanya pada seminar itu, Nazri sedar beliau lebih suka melakukan kerja yang membabitkan interaksi dengan orang ramai. Beliau terfikir bidang perniagaan yang diminatinya sejak dulu, mungkin menjadi laluan terbaik mencapai impian itu.

“Bermula dengan perniagaan kecil-kecilan pengurus perkahwinan, saya beralih kepada bidang yang lebih menepati minat saya iaitu unit amanah.

“Minat timbul selepas melihat hasil agak lumayan daripada sejumlah wang yang dilaburkan ke dalam unit amanah tidak lama dulu.

“Bagi saya, kaedah pelaburan ini baik untuk jangka panjang dan selamat. Lalu saya bersama rakan kongsi sepakat menubuhkan firma perunding kewangan yang memberi panduan pengurusan kewangan terbaik,” kata suami kepada pelakon dan pengacara, Sazzy Falak ini.

LVG Consultants menawarkan khidmat rundingan kewangan yang antara lain mengesyorkan pelanggan membina ‘kubu kewangan’ untuk keluarga.

Kubu kewangan yang dimaksudkan adalah pelaburan jangka panjang di mana hasilnya dapat dinikmati keluarga turun temurun. Sasaran LVG adalah memastikan setiap keluarga di Malaysia mempunyai kubu kewangan masing-masing.

Ikuti cerita dan obsesi Nazril terhadap bidang pengurusan kewangan bersama XY – Ikon Lelaki…

Ceritakan serba sedikit perjalanan anda sebelum berada di tahap sekarang?

Daripada perunding unit amanah, saya dilantik menjadi ketua kumpulan. Kemudian, ada rakan mengajak saya mendapatkan lesen jurulatih perunding saham amanah. Melalui program latihan, saya memperoleh lesen itu sembilan bulan kemudian.

Selepas itu, kami terfikir kami harus mengambil peluang memulakan kerjaya ini sendiri. Lalu kami nekad menubuhkan firma rundingan LVG. Saya menggunakan khidmat jurulatih perniagaan untuk mendapatkan kaedah menjadikan bidang ini sebagai perniagaan.

Pelanggan yang menggunakan khidmat kami adalah mereka yang hendak mendapatkan nasihat mengenai pelaburan dan kubu kewangan. Ini termasuk mereka yang hendak mendapatkan latihan menjadi perunding pelaburan.

Apakah kelebihan bidang ini sehingga menarik minat anda untuk menyertainya?

Saya sukakannya kerana ia membolehkan kita menggunakan kreativiti sendiri untuk merancang visi hidup kita atau mendapatkan khidmat orang lain dalam membuat perancangan kewangan untuk kita.

Bagaimana jika jalan pelaburan yang anda syorkan kepada pelanggan tidak memberi hasil seperti yang diharapkan atau mungkin masalah lain akan timbul?

Jika perkara ini timbul, lazimnya kita akan semak kembali strategi pelaburan dan tentukan perancangan seterusnya. Dalam apa perkara pun, ada naik dan turunnya.

Bagi menentukan jalan mana yang hendak dipilih, kita harus pastikan adakah jalan yang kita hendak ambil itu ada ‘cahaya’ di hujungnya. Jika diyakini ada ‘cahaya’, memang berbaloi jika kita sabar menempuhinya.

Lagipun, dalam pelaburan untuk kubu kewangan ini, pulangannya bukanlah dalam tempoh setahun atau dua tahun. Jangka masanya panjang, namun pulangannya lumayan.

Adakah latar belakang dalam bidang kewangan diperlukan untuk menjadi perunding kewangan?

Tidak semestinya. Apa yang lebih penting adalah keinginan untuk belajar, boleh dilatih dan sanggup dibimbing. Sebelum membimbing orang, anda harus pastikan yang diri anda boleh dibimbing terlebih dulu.

Selama berkecimpung dalam bidang ini, bagaimana anda melihat keterbukaan golongan lelaki dan wanita terhadap pelaburan?

Boleh dikatakan tidak banyak beza antara lelaki dan wanita. Tapi, setakat ini, golongan wanita lebih mudah diajak menyertai bidang ini berbanding lelaki.

Mungkin ini kerana kebanyakan lelaki lebih cenderung membuat pelaburan lebih agresif yang kononnya memberi pulangan besar dan cepat. Sebenarnya, ia bergantung kepada individu juga.

Selain ilmu pelaburan, apa kemahiran lain yang anda pelajari untuk bidang ini?

Disebabkan kerjaya ini memerlukan saya berinteraksi dengan ramai orang, saya banyak membuat rujukan mengenai sikap manusia.

Antara yang saya temui ialah rata-rata mereka yang ingin dilatih menjadi perunding pelaburan mempunyai empat jenis sikap iaitu suka menganalisis, mengawal, mempromosi dan relaks.

Individu yang mudah dibimbing adalah mereka yang mempunyai sikap mempromosi dan mengawal manakala yang agak sukar dibimbing adalah mereka yang mempunyai sikap mengawal dan menganalisis. Selain itu, saya lebih suka membimbing orang yang optimis kerana mereka akan sentiasa menggunakan peluang yang ada sebaik-baiknya.

Dari pemerhatian anda, pada peringkat usia berapakah lazimnya seseorang lelaki mula mengambil berat mengenai kewangan dan pelaburan?

Kebanyakannya pada usia pertengahan 30-an atau selepas beberapa tahun bekerja dan kedudukan kewangan stabil. Biasanya, pada peringkat permulaan mereka akan melakukan pelaburan yang salah kerana keinginan untuk cepat kaya dan kurang maklumat mengenai pelaburan yang baik.

Bila sudah belajar daripada kesalahan berkenaan, mereka akan ambil pengajaran dan lebih berhati-hati dalam menguruskan kewangan.

Justeru, pada usia apa seseorang lelaki digalak memulakan pelaburan jangka panjang?

Sebaik mula bekerja. Tidak semestinya dimulakan dengan jumlah pelaburan yang tinggi kerana ia boleh disesuaikan mengikut kemampuan seseorang. Ketika ini, kita beruntung kerana maklumat mengenai pelaburan mudah didapati berbanding dulu.

Bagaimana langkah pelaburan jangka panjang yang seharusnya dilakukan seseorang?

Pertama sekali, lihat jangka masanya. Kedua, anda harus pastikan ada peruntukan untuk pelaburan setiap bulan. Kemudian, semak pelaburan anda itu setiap enam atau 12 bulan dan akhir sekali lakukan tindakan yang dapat meningkatkan nilai pelaburan.

Contohnya, memindahkan akaun pelaburan dari akaun pasif kepada aktif.

LVG Consultant di bawah pengurusan anda sudah menerima dua anugerah berprestij iaitu ActionCoach Business of The Year Award Malaysia 2008 dan ActionCoach Best Team Award Malaysia 2007. Apa perasaan anda selepas menerima anugerah ini?

Saya sudah berusaha dengan begitu gigih dan membuat pelaburan yang banyak untuk mendapatkan latihan. Kini usaha itu berhasil. Apa yang lebih penting, ia menunjukkan bahawa sistem, ideologi dan perniagaan yang dijalankan LVG diiktiraf.

Ceritakan sedikit mengenai rutin harian anda.

Selalunya, setiap pagi saya akan mulakan hari saya dengan membaca buku berfaedah atau buku yang banyak memberi idea kepada kita untuk menjalani kehidupan. Kemudian, saya akan semak atur cara harian dan lakukan apa yang dirancang.

Jika ada masa lapang, saya akan luangkan masa bersantai di kedai kopi sambil membaca buku kegemaran, menonton wayang atau beriadah, sama ada berjoging atau bermain bola sepak.

Apa pula harapan anda sempena 2009?

Saya ingin memperkenalkan program perancangan kewangan ini kepada lebih orang ramai dengan lebih giat. Selain itu, saya mengidamkan program televisyen sendiri yang berkonsepkan nasihat kewangan seperti rancangan popular yang dikendalikan Suzy Orman.

Harap-harap semua ini akan menjadi kenyataan dalam tempoh yang terdekat.

Biodata: Nama : Nazril Idrus Usia : 35 tahun Tarikh lahir : 28 April 1974 Tempat lahir : Petaling Jaya, Selangor Tinggi : 169
sentimeter (cm) Berat : 73 kilogram (kg) Laman web : http://www.nazrilidrus.com

Berita Harian

Hani, Sazzy Saling Melengkapi

13 Jan

Oleh Zul Husni Abdul Hamid
zhusni@bharian.com.my

Sazzy (kiri) dan Hani, makin serasi menjadi pengacara program hiburan.

Pengacara Ria Sentral mengaku tak pernah wujud perasaan cemburu di antara mereka

SALING memberi dan menerima bahkan sentiasa menghulur tangan untuk memantapkan program kendalian mereka membangkitkan keserasian dua pengacara wanita popular, Sazzy Falak dan Yasmin Hani Richardson ketika mengacara program hiburan siaran Astro Ria, Ria Sentral.

Disatukan sejak siaran itu menemui penonton secara langsung 14 Februari tahun lalu, Sazzy dan Hani sentiasa menyenangi antara satu sama lain malah sepakat mengakui mereka berdua bagaikan saling melengkapi.

Tiada langsung perasaan cemburu bertunas di hati mereka, sebaliknya Sazzy dan Hani jujur menjalani persahabatan sekali gus menyanggah pandangan sesetengah pihak yang kurang menyenangi keakraban mereka berdua.

Jujur kata Sazzy, 24, dia berterima kasih kepada Hani kerana gadis itu mencadangkan namanya apabila pengurusan Astro Ria merangka untuk menerbitkan Ria Sentral.

“Dari segi kelebihan, Hani menimba jauh lebih banyak pengalaman dan ia memberikan saya cabaran kerana perlu berusaha memberikan persembahan sebaik dia.

“Bagaimanapun, semua itu tidak pernah memberikan tekanan kerana Hani sentiasa di sisi untuk membantu. Seronoknya apabila bekerja dengan pengacara yang lebih berpengalaman, ia secara tidak langsung memberi motivasi untuk bekerja keras supaya tidak mengecewakan kepercayaan yang diberikan itu,” kata pengacara bertubuh kecil molek yang juga menyinar nama sebagai pelakon.

Hani sendiri mengakui, pengalaman bekerja dengan Sazzy yang juga teman baiknya selain Aishah Sinclair banyak mematangkan dirinya untuk memantapkan mutu pengacaraannya.

Disebabkan persahabatan yang akrab serta sudah saling memahami kekurangan dan kelebihan masing-masing, jika berlaku ketidakpuasan hati mereka akan meluahkannya secara berdepan.

Telus dan tidak berselindung, malah tidak pernah menyimpan dendam di hati setiap kali menerima teguran membantu kru produksi untuk menjalankan kerja di lokasi dengan licin.

“Setiap kami punya kelebihan dan kekurangan masing-masing, jadi menjadi tanggungjawab kami berdua untuk berusaha menutup kelemahan antara satu sama lain supaya apa yang dipersembahkan kelihatan sempurna di mata penonton.

“Mungkin saya lebih berpengalaman berbanding Sazzy tetapi itu tidak bermakna saya sudah sempurna. Saya juga banyak belajar daripadanya dan mungkin kerana sentiasa meletakkan diri dalam situasi yang sama membuatkan kami berdua mudah mencari keserasian,” kata Hani.

Saat nama sedang meniti di bibir pencinta seni, populariti yang dikecapi isteri kepada Nazril Idris atau Nash turut membuka pintu rezekinya untuk mempelbagaikan kemampuan sebagai pengacara.

Namun, semua itu tidak pantas membuatnya leka. Sazzy selesa memusatkan tugasannya kepada Ria Sentral sebelum beralih menjayakan program lain.

“Sudah lima tahun saya bersama Astro hingga menyebabkan ada pihak keliru apabila wajah saya mula menghiasi saluran televisyen lain. Sebenarnya saya bukan wajah eksklusif Astro, cuma mungkin kekeliruan timbul kerana saya terlebih dulu membina nama bersama mereka.

“Andai ditanya keinginan memang saya ingin memperluaskan kebolehan dalam bidang pengacaraan cuma bukan dalam masa terdekat ini. Biar saya selesaikan satu persatu sebelum saya memikirkan perancangan lain,” katanya.

Menyelak helaian diarinya sepanjang tahun lalu, akui Sazzy, dia diburu kesibukan berganda apatah lagi tawaran lakonan untuknya berterusan hingga sesekali hatinya menjerit mahu bercuti kerana terlalu penat bekerja.

Dalam kesibukan itu, dia tetap mencuri masa menjalankan tanggungjawab sebagai isteri dan tuturnya jujur, menggalas dua peranan serentak bukan sesuatu yang mudah untuk disempurnakan terutama apabila sentiasa mengejar waktu.

Melihat kesungguhan Sazzy yang tidak pernah kenal erti putus asa juga memberi dorongan kepada Hani untuk meraih peluang yang sama.

Andai dulu Hani lebih senang menyendiri, malah permintaan media untuk menemubual dirinya kerap ditolak tetapi hari ini, bekas penyampai Pagi @ Era itu sudah jauh berubah.

Dia menganggap media umpama teman rapat, tempat untuk berkongsi aspirasi dan pada masa sama, membantu memacu namanya ke tangga pentas seni yang lebih tinggi.

“Dulu saya terlalu terikut-ikut dengan kakak kerana kami berdua kurang selesa apabila terlalu diberi tumpuan. Rasa tak selesa apabila keluar, orang pandang-pandang.

“Mungkin orang takkan percaya jika saya cakap saya ini sebenarnya pemalu. Sazzy juga banyak membantu saya, malah mengingatkan saya akan pentingnya peranan media untuk membawa seseorang anak seni itu ke puncak karier.

“Dulu saya tak fikir semua itu tetapi sekarang, media umpama kawan baik saya. Tanpa mereka, kerja keras bagaimanapun kita tidak akan ke mana,” katanya.

Turut mencipta nama sebagai pelakon, Hani yang membintangi drama bersiri Ampang Medikal serta filem Gentayangan berharap penerbit akan memberinya peluang untuk memainkan peranan mencabar.

Katanya, banyak pihak yang tidak berani memberikan watak mencabar kepadanya kerana berpendapat wajah jelitanya hanya sesuai membawakan peranan gadis kota yang cantik.

“Kebanyakan pengarah memilih jalan selamat kerana takut saya tidak mahu kelihatan buruk di kamera. Hakikatnya, saya tidak pernah kisah semua itu kerana sebagai pelakon, saya ingin mencuba pelbagai watak.

“Wajah boleh diubah dengan solekan dan kerana itu saya menerima tawaran membintangi Duyung untuk membuktikan kepada umum, saya sedia membawakan apa saja peranan. Kepercayaan itu penting kerana jika tidak selamanya kami tidak akan keluar daripada label yang diberikan terhadap kami,” kata Hani.

INFO: Sazzy Falak

NAMA PENUH: Sazlini Shamsul Falak

TARIKH LAHIR: 10 Mac 1984

ASAL: Kuala Lumpur

KELUARGA: Anak sulung daripada tiga beradik

DARAH CAMPURAN: Melayu-Arab

PENDIDIKAN: Diploma Komunikasi Media dari Kolej Lim Kok Wing, Kelana Jaya

PROGRAM TV: Pengacara Muzik-Muzik (TV3) dan Beat TV (Astro Ria)

FILEM: Gol & Gincu

INFO: Yasmin Hani

NAMA PENUH: Yasmin Hani Richardson

TARIKH LAHIR: 11 Jun 1979

ASAL: Kuala Lumpur

KELUARGA: Anak ketiga daripada empat beradik

DARAH CAMPURAN: Inggeris-Melayu

IKLAN PERTAMA: Coca-Cola, ketika itu baru berusia 14 tahun

PROGRAM TV: Pengacara pertama Muzik@Ria (Astro Ria) sejak 1999 hingga Februari 2008. Kini bersama Sazzy Falak mengacarakan Ria Sentral (Astro Ria) secara langsung setiap Khamis jam 5 hingga 6 petang dan ulangan 10.30 malam.

FILEM: Bilut, Cicak-Man, Duyung dan terbaru Gentayangan

Berita Harian

Gigih Mengejar Wawasan

30 Dec

Oleh Zaidi Mohamad
zaidim@bharian.com.my

Sazzy Falak (kiri) dan Aishah Sinclair.

Sazzy Falak, Aishah dan Ashraf Sinclair tidak lepaskan peluang ketika usia masih muda

USAHA dan wawasan Sinclair Falak Sdn Bhd yang dimiliki tiga selebriti Sazzy Falak dan dua pasangan adik beradik, Aishah dan Ashraf Sinclair sejak setahun lalu wajar dipuji. Dalam rancangan jangka panjang, lima tahun lagi syarikat mereka sedang merencana pelan besar-besaran dan terus memperluaskan cabang lain seperti pengurusan artis dan bakat.

Memang cita-cita mereka itu bukan calang-calang dan tidak juga hanya angan-angan kosong, sebaliknya ia satu arah tujuan yang pasti ingin digapai.

Selama setahun ini, sudah lima bengkel yang dipanggil Acting Saved My Life diadakan mereka membabitkan golongan dewasa, remaja dan kanak-kanak. Mereka pernah mengendalikan bengkel untuk Miss India Global pada Julai lalu. Ini adalah sumbangan mereka demi terus menjana dunia seni supaya terus berkembang dengan kehadiran generasi pelapis.

Dari sudut lain pula, Sazzy, Ashraf dan Aishah cuba membuktikan bahawa kerjaya lakonan mampu memberi pulangan yang setimpal jika ada perancangan bijak. Idea melaksanakan bengkel ini tercetus daripada seorang pelatih perniagaan bernama Jeevan Sahadevan.

Atas galakannya, mereka mula memikirkan secara serius untuk memberi kembali apa juga pengalaman yang ditimba kepada arena seni demi manfaat bersama. Menerusi pengetahuan, pengalaman yang ada termasuk melayari internet sebagai rujukan mencari modul dan kaedah pengajaran yang terbaik, lalu terhasillah bengkel ini.


NAZRIL berkongsi tips untuk terbabit dalam iklan komersial.

Hip berkesempatan melihat bengkel ini yang pertama kali dibuat untuk golongan remaja di sebuah hotel berhampiran pusat membeli belah terkenal di ibu negara. Hanya Aishah dan Sazzy saja yang mengendalikan program ini, manakala Ashraf masih dalam mood berbulan madu dengan isterinya, Bunga Citra Lestari (BCL) di Indonesia. Dilakukan dengan pembabitan kelompok kecil di kalangan remaja, ia turut disertai selebriti seperti Cheryl Samad, Nazril Idrus dan Douglas Lim berkongsi kepakaran masing-masing.

Menurut Sazzy, Ashraf juga kini sedang membangunkan syarikat mereka di Indonesia dengan kerjasama pengurusan BCL. Apa yang cuba dilakukan mereka selama ini dengan satu niat untuk menaikkan dan membangunkan piawaian dunia seni ke satu tahap yang boleh dibanggakan. Mengenakan yuran ratusan ringgit untuk menyertai bengkel ini, Sazzy melihat modal yang dibayar itu sebagai pelaburan masa depan.

“Bukan soal harga yang perlu dibangkitkan, tapi ia sebagai satu pertaruhan untuk mendapatkan sesuatu yang berfaedah. Ia bukan sekadar elemen lakonan saja yang ingin disampaikan, kerana bergelar pelakon seperti manusia biasa juga memerlukan pelbagai aspek seperti disiplin, kesungguhan, persediaan menyeluruh dan macam-macam lagi. Sebagai pelajar, bukan soal akademi saja yang penting, ia perlu diseimbangkan dengan sisi kreatif yang ada.

“Sambutan yang kami terima sangat menggalakkan. Kami gabungkan pengalaman dan ilmu yang ada untuk memberi serba sedikit pendidikan dan bimbingan kepada peserta. Selepas ini kami mungkin mengendalikan bukan saja menjadikan lakonan, sebaliknya pengacaraan dan apa juga yang relevan untuk mana-mana syarikat yang ingin mendapatkan khidmat kami,” kata Sazzy yang bakal muncul dengan filem Notti pada 2009.


GAYA dua isteri yang aktif menganjurkan bengkel.

Bukan saja cuba mendidik bakat baru di bawah landasan sewajarnya, Sinclair Falak juga cuba mengembangkan muka baru yang berpotensi untuk syarikat produksi seperti Red Communications dan Popiah Pictures. Tidak mustahil satu masa nanti, usaha mereka boleh dikelaskan sebagai tanggungjawab sosial, menunjuk jalan kepada mereka yang berminat membabitkan diri dalam dunia seni.

“Ini langkah pertama kami memberi ruang kepada mereka yang mungkin jarang mendapat peluang dan pendedahan. Kami pun masih dalam peringkat belajar dan belum cukup sempurna, sambil mengajar (untuk bengkel) kami juga boleh mengingatkan diri untuk sentiasa belajar.

“Ia umpama satu proses kehidupan, setiap hari adalah hari untuk belajar menjadi lebih baik daripada semalam. Mungkin satu hari nanti, kami boleh anjurkan bengkel ini secara subsidiari dengan bantuan penajaan,” kata Aishah yang mengacarakan program web TV, Double Exposure yang boleh ditonton dengan melayari http://www.amc.com

Belum ada rezeki menerima zuriat

Selain bergelar selebriti dan mengadakan bengkel ini, Aishah dan Sazzy juga bahagian mengecapi bahtera perkahwinan walaupun belum dikurniakan cahaya mata.

Jika perkahwinan Aishah dan suaminya, Shaikh Shahnaz Karim seorang ahli perniagaan sudah mencecah tiga tahun, alam rumah tangga Sazzy dan suaminya, Nazril Idrus pula sudah masuk lebih dua tahun.

Mereka tidak pernah merancang untuk mendapatkan zuriat, sebaliknya mengambil peluang ini untuk terus mengumpul harta dan rezeki. Bersemangat mengambil dan mengejar peluang yang ada di depan mata, mereka ingin terus memperkukuhkan syarikat itu.

“Soal anak itu biarlah ia menjadi kejutan buat diri kami dan orang lain. Jangan risau kalau kami sudah mengandung, berita itu pastinya akan dikhabarkan kepada rakan wartawan.

“Dengan adanya staf syarikat kami nanti, tidaklah kami risau untuk melepas tangan kepada mereka mengendalikan tugas yang kami lakukan kini,” kata Sazzy sambil memerhati Aishah yang hanya tersenyum.

INFO: Sinclair Falak

Henry Golding (hos 8tv Quickie) juga antara pengacara yang pernah mengikuti bengkel anjuran syarikat ini.

Blog: actingsavedmylife.blogspot.com

Laman web yang masih dalam pembinaan: http://www.sinclairfalak.com dan http://www.ilovesinclairfalak.com

Facebook: Taip saja Sinclair Falak

PROFIL: Sazzy Falak

Nama sebenar: Sazlini Falak

Tarikh lahir: 10 Mac 1980

Asal: Kuala Lumpur

Keluarga: Anak sulung daripada tiga beradik

Status: Berkahwin

Suami: Nazril Idrus

Kerjaya: Pengacara dan pelakon

Program: Beat TV dan Ria Sentral

Pembabitan seni: Sejak 1999

PROFIL: Aishah Sinclair

Nama Sebenar: Aishah Jennifer Mohamed Sinclair

Tarikh Lahir: 27 Oktober 1980

Tempat Lahir: London

Pendidikan: Ijazah Sarjana Muda Komunikasi (Perhubungan Awam) Universiti Teknologi Mara, Shah Alam

Kerjaya: Model, pengacara dan pelakon

Status: Berkahwin

Suami: Shanaz

Iklan: Pepsi, Fair and Lovely, Twisties, Padini Authentic, Cadbury dan Dutch Lady

Drama/Filem: Bujang Senang, Gol & Gincu dan Realiti Pengalaman

Hos: Pilates (Astro), Life Traits (RTM), Voice Your Choice (8TV), The 8TV Quickie (8TV), Rock Unite Concert (ntv7), So You Think You Can Dance (SYTYCD) musim kedua

Pembabitan seni: Sejak 1998

Berita Harian

Follow

Get every new post delivered to your Inbox.