Archive | Shah Rukh Khan RSS feed for this section

Oscar Julang Maruah India

24 Feb

Oleh MOHD. YUSMAN AWANG
yusman.awang@kosmo.com.my

Keupayaan filem Slumdog Millionaire menggondol lapan Anugerah Oscar berjaya meruntuhkan benteng Hollywood terhadap Bollywood selama ini.

BARANGKALI individu yang paling terkilan saat ini ialah Shah Rukh Khan. Ia berikutan kejayaan filem Slumdog Millionaire meraih majoriti kemenangan dengan menggondol lapan Oscar pada majlis Anugerah Academy ke-81, yang berlangsung di Kodak Theatre, Los Angeles kelmarin.

Aktor terkenal Bollywood itu sepatutnya melakonkan watak Prem Kumar, hos program Who Wants To Be a Millionaire? dalam Slumdog Millionaire tetapi dia nekad menolak tawaran berlakon filem itu kerana merasakan watak itu sebagai negatif.


IMPAK memilih cinta. A.R. Rahman menyapu bersih kategori muzik yang dipertandingkan Oscar.

Begitu juga dengan aktor veteran tersohor Bollywood, Amitabh Bachchan. Mungkin dia perlu menarik semula kenyataannya yang sebelum ini menyelar pengarah filem itu, Danny Boyle atas dakwaan menggambarkan India sebagai negara yang masih dibelenggu masalah kemiskinan.

Ini kerana mimpi dalam filem yang dikritiknya itu sudah menjadi kenyataan!

“Hidup India! Hidup India!” Itulah antara butir kata-kata yang sempat dilontarkan Anil Kapoor yang merupakan seorang aktor terkenal Bollywood ketika ditemu bual hos terkenal, Ryan Seacrest untuk saluran E! Entertainment pada acara karpet merah majlis Oscar yang penuh gemilang dibanjiri nama-nama tersohor
JIRAN tetangga pelakon cilik Rubina Ali, di perkampungan setinggan di Mumbai, bersorak keriangan ketika A.R.Rahman membuat persembahan lagu Jai Ho di pentas Oscar 2009.

Hollywood daripada Angelina Jolie hingga bintang remaja terkenal masa kini, Miley Cyrus.

Selain pelakon kanak-kanak Slumdog Millionaire terutama Rubina Ali dan Azharuddin Mohammed Ismail yang berjaya menarik perhatian ramai pada acara karpet merah Oscar kali ini, turut merasai bahang glamor bertaraf global itu sudah tentulah Anil.


INI pula reaksi jiran-jiran Azharuddin yang meraikan kemenangan mega Slumdog Millionaire menguasai majlis Anugerah Academy ke-81.

Lebih bermakna lagi apabila Anil berpeluang melaungkan kata-kata penuh patriotik itu yang disaksikan secara langsung di seluruh dunia. Ini bermakna Anil sepertimana apa dan siapa juga yang berkaitan dengan Slumdog Millionaire kini secara rasminya sudah dikenali dunia!

Terima kasih kepada Shah Rukh kerana menolak watak Prem Kumar yang kemudian disambar Anil.

Bilakah lagi muncul peluang buat aktor Bollywood untuk muncul gah seumpama Anil pada Oscar di Hollywood?


BARISAN pelakon kanak-kanak Slumdog Millionaire, (belakang, dari kiri), Ashutosh Lobo Gajiwala, Tanvi Ganesh, Tanay Hermant Chheda (depan, dari kiri), Azharuddin, Rubina dan Ayush Mahesh Khedeya.

Mungkin itu satu-satunya peluang keemasan dan peluang itu berjaya diperoleh Anil yang disebut oleh Ryan Seacrest dengan jolokan ‘George Clooney Bollywood’.

Apa yang penting, kejayaan Slumdog Millionaire pada Oscar kali ini telah merasmikan runtuhnya benteng Hollywood terhadap Bollywood selama ini.

Bollywood yang sebelum ini sukar untuk diterima di Hollywood kini bukan sahaja berpeluang memasuki pintu Hollywood yang sudah terbuka luas, tetapi lebih bermakna apabila diberi masuk dengan penuh penghormatan.

Semuanya gara-gara kemenangan besar Slumdog Millionaire menjadi filem paling banyak menggondol Oscar pada majlis Anugerah Academy kali ini.


TERIMA KASIH Shah Rukh Khan. Anil Kapoor bersama Danny Boyle meraikan kejayaan gemilang Slumdog Millionaire.

Keupayaan Slumdog Millionaire merangkul lapan anugerah daripada 10 pencalonan yang diraihnya termasuk Anugerah Filem Terbaik bukan sekadar menjadi kemenangan buat penerbit filem itu, Fox Searchlight dan juga Boyle yang turut menang Anugerah Pengarah Terbaik.

Ini kerana naskhah filem itu tidak akan lahir tanpa suntikan kreativiti anak-anak kelahiran India yang turut meraih pengiktirafan pada Oscar.

Melakar sejarah India di Hollywood dengan meraih Oscar kali ini ialah pemuzik unggul India, A.R. Rahman yang bukan sahaja menjadi warga India pertama meraih dua Oscar tetapi menyapu bersih kategori muzik yang dipertandingkan dalam Anugerah Academy.

Dia diumumkan sebagai pemenang Anugerah Skor Muzik Terbaik dan Lagu Terbaik.

Dalam sejarah 81 tahun Oscar, hanya dua warga India merangkul anugerah iaitu Bhanu Athaiya yang memenangi Anugerah Kostum Terbaik menerusi filem Gandhi (1982) dan anugerah kehormat yang diberikan kepada penerbit filem legenda India, Satyajit Ray pada 1991.

Rahman, 43, yang pernah diberi jolokan ‘Mozart Madras’ ketika membuat ucapan kemenangannya di pentas Academy ke-81 berkata: “Saya berasa terkejut dan seronok dalam masa yang sama. Kali terakhir saya berasa seperti ini adalah ketika majlis perkahwinan saya.”

Menurutnya lagi, Slumdog Millionaire adalah filem mengenai optimistik dan kuasa harapan. “Dalam seluruh kehidupan saya, saya telah membuat pilihan antara benci dan cinta. Saya telah memilih cinta dan (sebab itu) saya di sini (Oscar 2009),” ucapnya penuh bermakna.

Kemenangan Rahman itu sebenarnya sudah diramalkan sejak awal oleh keluarganya di India. “Keluarga saya begitu gembira kerana mereka dari awal lagi menjangkakan Rahman akan menang lebih daripada satu Oscar.

“Justeru, ia (kemenangan dua Oscar) merupakan kegembiraan berganda. Terima kasih kepada semua yang berdoa untuknya di India,” ujar adik perempuan Rahman, Fatimah Rafiq.

Namun, Rahman bukan satu-satunya rakyat India yang menang Oscar kali ini apabila Resul Pookutty turut diumumkan sebagai pemenang Anugerah Adunan Bunyi Terbaik.

“(Kemenangan) ini sesuatu yang sukar untuk dipercayai. Kami semua tidak sangka sama sekali.

“Terima kasih Academy, ini bukan sekadar anugerah untuk adunan bunyi filem. Ini adalah suatu sejarah yang diberikan kepada saya,” ujar Resul.

Kosmo

Novel Bersiri Nyanyi Sunyi – Siri 5: Antara Ketentuan Dan Kemahuan

17 Feb

Oleh Maskiah Masrom

DAN kehidupan

Adalah rentapan antara ketentuan

Dan kemahuan

CEMPAKA teringat rangkap akhir sajak ‘Suatu Pengertian’ karya Shafie Abu Bakar. Makna sajak itu begitu tepat dengan keadaan dirinya kini.

Kasturi ada menghantar mesej untuk menjadikan tragedi perkosaan itu satu kenyataan. Dia sudah berkira-kira untuk menyampaikan perkara itu kepada Cikgu Saleha. Biarlah Cikgu Saleha berbincang dengan suaminya tindakan yang sewajarnya diambil.

Dia juga terfikir menyampaikan perkara itu kepada Lukmanulhakim. Biarlah Lukmanulhakim yang kini menjadi wartawan menyelesaikannya secara anak jantan. Dia juga terniat melaporkan perkara itu kepada polis. Biarlah Kasturi merengkok dalam penjara atas tuduhan mencabul kehormatan. Namun ‘antara ketentuan dan kemahuan’, Cempaka akhirnya tersepit dalam pelbagai perkiraan.

Seandainya dia melaporkan perkara itu kepada polis – adakah perkara itu akan selesai? Katalah Kasturi akhirnya dipenjarakan, peristiwa yang mengaibkan tentang keluarganya pasti terbongkar. Tentang bapanya bekas pesakit jiwa, tentang perbuatan khianat ibu tirinya, tentang Kasturi bukan adik kandungnya, tentang perebutan tanah, tentang cubaan memperkosa – perkara itu akan menjadi bahan pelaris akhbar.

Dia percaya kes itu tidak akan selesai dengan mudah. Dia perlu turun naik mahkamah, namanya akan dijaja ke sana sini. Kalau Kasturi akhirnya didapati tidak bersalah, keadaan akan menjadi lebih bahaya. Kasturi mungkin benar-benar mengupah samseng untuk merenggut kesuciannya. Dia akan menanggung malu dan pasti tidak berani berdepan dengan masyarakat kampus lagi. Pengajian sarjananya yang masih bersisa setahun lagi itu pasti terbengkalai.

Dia patut menjauhkan diri daripada Kasturi dan memastikan dirinya berteman ke mana sahaja. Peristiwa yang berlaku itu boleh dihindarkan kalau dia lebih berhati-hati. Dia mengambil keputusan merahsiakan perkara itu dan memberi kemenangan kepada “ketentuan”.

Dia cuba sedaya-upaya mengelak daripada bertembung dengan Baihaqi dan Dr Arjuna. Dia mula terasa aib memikirkan entah apa sangkaan Baihaqi dan Dr Arjuna terhadapnya. Dengan baju di bahagian bahu terkoyak. Tudung tersingkap mendedahkan rambut yang panjang mengurai. Terjelepok di tepi jalan. Dia lebih menyerupai imej mangsa perkosaan daripada mangsa ketinggalan bas! Ingatan terhadap pesanan neneknya agar memelihara maruah diri sebagai gadis Melayu Islam kembali bersipongang.

Dia sedar Baihaqi mencuri-curi pandang ke arahnya semasa syarahan Sastera dan Budaya. Pelajar peringkat sarjana dan doktor falsafah diwajibkan menghadiri majlis perkongsian ilmu itu. Dia buat-buat tak tahu tetapi rakan serumah sewanya, Nur Sandera menyedari perkara itu.

“Ei ustaz tu asyik tengok kaulah,” bisik Nur Sandera.

Semua orang memanggil Baihaqi dengan gelaran ‘ustaz’. Cempaka mendiamkan diri dan tekun mendengar syarahan Prof Hanapi Dollah. Sekali lagi Nur Sandera menyenggol lengannya.

“Ustaz tu tengok lagilah. Angkatlah muka tu,” ujar Nur Sandera.

Cempaka tetap buat tidak peduli. Jauh di sudut hati dia berasa syukur kerana ketika kejadian semalam, Nur Sandera tiada di rumah sewa. Nur Sandera bermalam di rumah sepupunya di Seremban dan terus ke bilik kuliah pagi itu.

“Ei kenapa pipi kau ni?” tanya Nur Sandera sebaik kuliah berakhir.

Dia mengemas fail dan menjawab perlahan, “Aku terjatuh.” Dia berdoa agar Baihaqi tidak bertanya apa-apa di depan Nur Sandera. Dia tidak mahu Nur Sandera yang mulut bagai bertih digoreng itu semakin banyak bertanya. Walaupun mereka tinggal serumah sewa namun dia merahsiakan banyak perkara daripada Nur Sandera.

“Aku rasa ustaz tu ada hati kat kaulah. Dia suka tanya pasal kau. Selalu pulak tu kirim salam,” Cempaka teringat kata-kata Nur Sandera.

“Apalah nak heran. Dia kan pengerusi kelab pascasarjana. Setakat kirim salam pada anak buah, apa salahnya. Sekadar salam persaudaraan,” jawabnya acuh tak acuh. Namun hatinya bergetar juga. Dia sedar kalau tak tumbuh tak melata, kalau tak sungguh orang tak kata.

“Dia tak pernah kirim salam kat aku pun!” usik Nur Sandera.

“Macam mana dia nak kirim salam kat kau? Habis ceramah aja, kau mesti bersembang dengan dia. Tak kanlah habis sembang, dia nak cakap, eh Nur, aku nak kirim salam kat kau,” balas Cempaka.

Nur Sandera tergelak – memang habis semua perkara yang diketahui tentang Cempaka diberitahu kepada Baihaqi. Dia pernah menyelongkar fail atas meja Cempaka dan menemui keratan akhbar yang memuatkan berita kejayaan Cempaka sebagai pelajar terbaik SPM dan STPM Malaysia. Juga tentang minat Cempaka yang mendalam terhadap bidang kesusasteraan sehingga sanggup menolak bidang perubatan di luar negara.

Nur Sandera juga memberitahu betapa merdunya suara Cempaka ketika membaca gurindam, seloka, syair dan bahasa berirama. Dia sanggup bercakap berjam-jam tentang Cempaka asalkan Baihaqi sudi meluangkan masa di sisinya.

“Ya tak ya jugak. Kau tu tak pernah nak bersembang dengan dia. Asyik nak pergi library yang terbesar di Asia Tenggara tu. Kalau dah masuk library, senyap macam orang bisu. Aku tengok pun takut.”

“Aku tak nak lama-lama buat sarjana ni. Aku nak habiskan tahun ini juga. Lepas tu aku nak buat PhD. Aku tak nak tua kat sini”

“Eleh, umur kau baru 26. Aku yang dah umur 29 ni tak rasa tua pun. Janganlah belajar cepat sangat. Tak puas aku tengok muka ustaz tu. Handsome macam Shah Rukh Khan. Hidung mancung, janggut rapi, kulit putih kemerahan. Dia tu ada darah Arab ke?” tanya Nur Sandera.

“Mana aku tahu. Kau tanyalah sendiri. Untuk pengetahuan kau, Shah Rukh Khan tu India. Bukannya Arab,” tempelaknya sambil menutup lampu. Dalam kesamaran malam dia terdengar Nur Sandera ketawa. Dia mengeluh.

Sebenarnya, Baihaqi pernah melamarnya melalui surat. Dia tidak membalasnya kerana belum ada minat ke arah itu – percintaan, perkahwinan, membina keluarga. Dia masih muda dan ingin mencapai cita-citanya menggenggam ijazah doktor falsafah terlebih dulu. Selepas itu dia ingin membangunkan tanah yang diwarisi daripada nenek dan bapanya seluas sepuluh ekar menjadi pusat sastera dan budaya. Dia perlu berusaha kuat supaya cita-citanya terlaksana.

Dia sedar, Baihaqi yang berusia 30 tahun memang sudah selayaknya beristeri. Baihaqi memang tidak ada sebarang kekurangan. Orangnya tampan, berpelajaran dan tergolong beriman. Barangkali kalau mereka dipertemukan selepas kesemua cita-citanya tercapai, dia tidak teragak-agak menerima Baihaqi sebagai suami. Namun dia sedar, rezeki, ajal maut, jodoh pertemuan semuanya terletak di tangan Illahi.

Dia berjaya mengelakkan diri daripada Baihaqi kerana mereka hanya berkongsi majlis perkongsian ilmu seminggu sekali. Namun dia tidak berjaya mengelakkan diri daripada Dr Arjuna. Tiba-tiba sahaja, Nur Sandera boleh tertarik setengah mati pada Dr Arjuna selepas mengikuti forum yang bertajuk “Sastera Malaysia dan Indonesia: Kualiti atau Kuantiti?” anjuran Kelab Pascasarjana. Baihaqi menjadi pengerusi manakala ahli-ahli panelnya terdiri daripada Dr Mawar Shafei, Dr Misran Rokimin dan Dr Arjuna.

“Ya Allah, handsome gila Dr Arjuna tu. Kalau dia dah kahwin pun aku sanggup jadi isteri keempatnya,” ujar Nur Sandera seperti orang kena sihir.

“Dah setahun lebih Dr Arjuna tu di UKM. Baru sekarang kau perasan. Habis, Ustaz Baihaqi tu kau nak campak ke mana?” usiknya sewaktu melihat Nur Sandera mencium gambar-gambar Dr Arjuna dalam telefon bimbit.

“Selama ni aku setia dengan Ustaz Baihaqi. Aku tutup mata dan pintu hati daripada diketuk oleh orang lain. Tapi sekarang aku sedar, aku hanya bertepuk sebelah tangan. Dia tak ada hati pun pada aku. Bercakap pun tak nak pandang muka aku. Asyik tanya pasal kau. Asyik kirim salam dengan kau. Dia tu terlalu warak. Sesuailah dengan kau yang sopan santun tu. Ha, Dr Arjuna tu sesuai dengan aku. Dia jenis lelaki moden dan kontemporari,” ujar Nur Sandera seperti sedang bersajak.

Dia tersenyum. Dia teringat memang Dr Arjuna itu punya tarikan tersendiri. Paras rupanya – puas dia membanding dan mengingat, sebelum menyedari Dr Arjuna ada iras-iras pelakon yang mendapat bayaran paling mahal di Indonesia: Ari Wibowo. Dr Arjuna memiliki kemahiran berucap yang tinggi. Nada ucapannya bersahaja tetapi isi yang disampaikan cukup tajam dan meyakinkan. Memang tidak hairan kalau Nur Sand
era boleh jadi penasaran tidak ubah seperti lirik lagu Emilia Contessa.

Kemudian Nur Sandera mulai merayunya siang malam agar turut mengambil subjek Dr Arjuna yang ditawarkan pada semester itu. Subjek itu merupakan subjek elektif bagi pelajar pascasarjana – dengan erti kata lain , ambil boleh, tak ambil pun tak mengapa.

Menurut Nur Sandera, tidak ada seorang pelajar pun yang pernah mendapat Gred A kerana Dr Arjuna sangat cerewet tentang piawaian kerja pelajar. Khabarnya, Dr Arjuna tanpa segan silu akan membahasakan sesiapa sahaja yang didapati melakukan plagiarisme walaupun sebaris ayat. Esei-esei yang tidak memenuhi kehendaknya akan digantung di depan pintu dengan tulisan besar “BUAT SEMULA!”

Sebenarnya dia tidak ada masalah untuk mengambil subjek tersebut – bagus juga sebagai penambahan ilmu. Tetapi dia masih tidak dapat melupakan peristiwa di tepi jalan itu. Dia bimbang suatu hari nanti, Dr Arjuna akan mengambil kesempatan bertanya. Hatinya memang ada ‘kemahuan’ mengatakan ‘tidak’ tetapi entah mengapa kerana ingin mengambil hati Nur Sandera atau kerana ingin membuktikan kemampuan diri, dia akhirnya sekali lagi memenangkan ‘ketentuan’. Nur Sandera melompat kegembiraan.

Dia tahu, UGM meminjamkan khidmat Dr Arjuna selama dua tahun di UKM. Nampaknya, Malaysia sangat terhutang budi kepada Indonesia dalam pembangunan negara – dari aspek ekonomi, sosial dan politik. Buruh membina bangunan pencakar langit, pembantu rumah mengurus rumah tangga manakala golongan intelektual seperti Dr Arjuna mendidik anak bangsa.

Dia mengakui, Malaysia dan Indonesia seperti dua saudara kandung, yang berkongsi persamaan agama, bahasa, budaya, sejarah dan rupa. Kedua-dua negara itu saling memerlukan dan saling melengkapkan, kerjasama yang terjalin begitu teguh dan tidak tergoyahkan.

Namun ketika hari pendaftaran, Dr Arjuna telah menjengkelkannya.

Nama ‘Cempaka’ dikatakan ‘berunsur alami seperti nama peribumi asal yang tinggal di hutan rimba’. Juga seperti ‘nama bunga yang boleh dijadikan ramuan mandian Mustika Ratu’. Bagaimana agaknya reaksi Dr Arjuna jika mengetahui nama moyangnya ialah Mawar Sari, nama neneknya ialah Seri Kenanga dan nama ibunya ialah Serikandi yang semuanya diambil daripada sumber alami?

Dia seakan ingin membalas usikan Dr Arjuna dengan kata-kata, “pemilik nama Arjuna sepatutnya membawa busur panah penggoda seperti Laksamana dalam cerita Rawana. Pasti banyak hati yang tercedera terkena panahannya.” Namun perasaan malu dengan peristiwa di tepi jalan itu menyebabkan dia cuma mampu mengukir senyuman.

Senyumannya bertambah lebar apabila melihat Nur Sandera sedang tersipu malu kerana Dr Arjuna memuji keindahan namanya. Keindahan apa? Sandera itu bermakna ‘mangsa tebusan’! Dr Arjuna bukan memuji tetapi sedang menyindir, cuma Nur Sandera yang buta warna, aksara dan rasa!

Sebenarnya dia sudah terasa menyesal mengambil subjek Dr Arjuna pada hari pertama kuliah. Dia terlambat datang kerana masalah teknikal semasa memulangkan buku di perpustakaan. Dia berlari-lari anak, cuba menyusup dari pintu belakang tetapi Dr Arjuna menyedari kehadirannya.

“Kenapa lewat?” dia menerangkan sejujurnya.

“Silakan ke pembesar suara itu. Sebut apa sahaja tentang cinta. Kemudian baru bisa duduk.”

Rakan-rakannya terutama Nur Sandera memandang penuh simpati. Dia sedar itulah harga hukuman yang perlu dibayar untuk mendapatkan kemaafan Dr. Arjuna.

“Menurut Sasterawan Negara Malaysia, Dato’ A Samad Said, cinta adalah emosi terkuat dalam diri manusia”. Pengalamannya sebagai pendebat terbaik digunakan sebaik mungkin. Dia memandang Dr Arjuna.

“Teruskan,” balas Dr Arjuna sambil mengangguk.

“Kerana cinta, seseorang itu sanggup melakukan apa sahaja. Ada raja yang sanggup turun takhta, ada puteri raja yang sanggup mengahwini….” Belum habis dia berkata, Dr Arjuna mencelah, “mengahwini raja kodok dalam kolam!”

Rakan-rakannya ketawa. Dia terasa geram tetapi tidak dapat berbuat apa-apa kerana Dr Arjuna mengisyaratkannya duduk.

Kuliah tentang peranan cinta dalam menumbuhkan proses kreativiti para pengarang bermula. Dia tidak dapat nafikan kuliah Dr Arjuna memang hebat. Huraian faktanya, sebutannya, intonasinya, jedanya, gaya turun naik tangannya malah cara dia berdiri sambil memeluk tubuh juga kelihatan begitu sempurna.

“Ada yang mengatakan saya pensyarah cerewet. Silap satu koma dan satu huruf pun enggak boleh. Saya ingin menceritakan dua kisah tentang betapa perlunya kita berhati-hati dengan penggunaan koma dan huruf. Kisah pertama: tentang seorang lelaki yang berbulan-bulan menunggu balasan lamarannya ke salah satu kantor kebudayaan. Pada suatu hari, ketika dia membaca kembali salinan surat lamarannya itu, dia terkejut.

“Ya Allah,” katanya sendiri. Pada surat lamarannya itu tertulis: Kepada Bapak Kepala Kantor Kebuayaan. Bukan Kebudayaan. Lantaran silap satu huruf, seseorang itu boleh gagal melamar kerja.” Terdengar gelak ketawa daripada para pelajar yang kesemuanya wanita.

“Kisah kedua: sebuah perintah berupa telegram dikirimkan melalui pejabat telegram, bunyinya: “Gantung jangan, lepaskan!” Tapi, sang pegawai yang setengah mengantuk mengirimkan: “Gantung, jangan lepaskan!” Maka sebelum ayam berkokok pagi, hilanglah nyawa si terhukum itu. Lihat betapa besarnya kesan penggunaan tanda baca yang tidak betul. Makanya, saya akan kembalikan esei-esei yang tidak dibuat dengan cermat walaupun cuma ada satu kesilapan koma dan noktah.”

“Selain itu, tolong awasi pemilihan kata-kata dalam esei. Esei seharusnya bersifat akademik. Bayangkanlah kalau pemilihan kata-kata adjektif kacau seperti ini: Bapak yang biru, melalui surat yang kurus ini, kita maklumkan bahawa anak bapak yang tipis dilanggar kereta yang sedang tersedu sedan. Namun syukurlah, anak bapak itu berada dalam keadaan tinggi lampai.”

Sekali lagi terdengar gelak ketawa. Namun rasa jengkel dengan tindakan Dr Arjuna mendendanya menyebabkan dia menahan diri daripada ketawa biar bagaimana lucu pun kecindan yang diperdengarkan!

Sehabis tutorial kedua, Dr Arjuna memanggilnya ke hadapan. Nur Sandera nampak kehairanan.

“Kenapa ambil subjek ini kalau enggak senang sama saya?” tanpa berbasa-basi Dr Arjuna menyoalnya dengan suara perlahan.

Dia benar-benar tidak menyangka akan diajukan soalan sedemikian rupa. Dia akui terbawa-bawa menunjukkan sikap dingin dalam kuliah dan tutorial Dr Arjuna yang seterusnya. Bagai ingin menunjukkan dia gadis bersemangat waja dan tidak boleh dipermainkan. Atau tanpa disedari, dia sebenarnya cuba membina tembok pemisah agar Dr Arjuna yang peramah itu tidak berani bertanya tentang peristiwa di tepi jalan itu?

“Saya bukan tak senang dengan Dr,” balasnya sambil cuba memikirkan alasan yang sesuai.

“Saya cuma susah hati. Puas saya fikir tapi saya tetap tak faham bagaimana cinta boleh menjadi pemangkin proses kreativiti. Barangkali sebab saya tak pernah bercinta,” entah bagaimana jawapan itu boleh terlantun dari mulutnya. Anehnya, Dr Arjuna ketawa.

“Pengalaman bercinta tidak perlu untuk memahami subjek ini. Kok ada-ada saja kamu ini.” Balas Dr Arjuna sambil merenung tepat ke matanya.

Entah mengapa saat itu, hati Cempaka terasa sedikit berdebar. Betul seperti kata Nur Sandera, wajah Dr Arjuna itu memang amat memikat.

“Saya tahu saya perlu lebih rajin membaca. Kalau saya tahu latar belakang pengarang-pengarang yang dibincangkan tentu lebih mudah saya memahami kuliah Dr. Maafkan saya kalau tanpa sedar saya menunjukkan air muka yang tidak menyenangkan. Sudah ditakdirkan rupa saya begini,” balasnya bersahaja. Entah apa yang lucu, Dr Arjuna ketawa lagi.

“Pengarang mana yang paling kamu ingin tahu latar belakangnya?” tanya Dr Arjuna. Dia berfikir seketika.

“Hmm, Amir Hamzah. Saya tak faham kenapa dia sanggup kahwin dengan Tengku Kamaliah dan meninggalkan Ilik Sundari. Gambar Ilik yang Dr tunjukkan kelihatan manis tapi gambar Tengku Kamaliah, hmm, kurang lumayan.” Dr Arjuna sekali lagi tergelak.

“Kok macam-macam kamu ni. Mahu bercinta pun pakai syarat segala. Apa yang ayu
saja layak bercinta? Patutlah kamu ini tiada yang cinta. Sebab rupa kamu juga kurang lumayan!” ujar Dr Arjuna sambil menyoroti wajahnya.

“Kalau ditakdirkan, di dunia ni hanya tinggal kita berdua, saya tetap tak ingin bercinta dengan Dr,” balas Cempaka sambil ketawa.

Namun pada saat itu juga dia terasa kesal. Dia sepatutnya menghormati kedudukan Dr Arjuna sebagai pensyarah. Terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata buruk padahnya. Ke mana hilang kesantunan dirinya sebagai gadis Melayu?

Mata Dr Arjuna terpaku memandangnya. Ketawanya tidak lagi kedengaran. Dia menundukkan kepala dan ingin meminta maaf tetapi tiada kata-kata yang terucap. Dia teringat peristiwa di tepi jalan. Dia semakin tidak dapat memaafkan dirinya. Puas Nur Sandera bertanya apa yang berlaku tetapi dia membungkam seribu bahasa.

Harian Metro

Populariti Sepantas Kilat

14 Feb

Susunan Hartati Hassan Basri
hartati@hmetro.com.my

Rap

BERMULA sebagai model di tanah kelahirannya, Mumbai, India kini nama Freida Pinto mula menjadi tumpuan dunia. Populariti yang diraihnya datang sekelip mata hanya kerana filem sulung lakonannya, Slumdog Millionaire.

Filem arahan pengarah terkenal, Danny Boyle itu bukan saja memberi impak besar apabila ditayangkan di Amerika Syarikat akhir tahun lalu, malah mencatat kejayaan besar di festival filem dan majlis anugerah.

Filem sulungnya itu membawa Freida mengembara dari satu festival ke satu festival. Antaranya Festival Filem Antarabangsa Palm Springs, Anugerah Pilihan Pengkritik, Anugerah Golden Globe dan Anugerah British Academy Of Film & Television Arts (BAFTA) di London.

Sehingga kini, Slumdog Millionaire menang lima anugerah Pilihan Pengkritik, empat Golden Globes dan tujuh di BAFTA. Malah kejayaan filem ini untuk Filem Terbaik di Golden Globe ke-66 pada 12 Januari lalu membuatkan banyak pihak buka mata dengan hasil karya Danny Boyle ini.

Untuk Anugerah Academy ke-81 yang bakal berlangsung di Kodak Theatre, Los Angeles pada 23 Februari ini, Slumdog Millionaire menerima 10 pencalonan. Antaranya Filem Terbaik, Pengarah Terbaik, Sinematografi Terbaik, Lakon Layar Adaptasi Terbaik, Skor Original Terbaik (AR Rahman) dan Lagu Original Terbaik (Jai Ho dan O Saaya).

Anak kedua pasangan Frederick dan Sylvia Pinto ini bertuah kerana bermula sebagai model di Mumbai terus berjaya memulakan kerjaya lakonan di Hollywood. Lebih membanggakan, Freida bekerja dengan pengarah terkenal, Boyle yang pernah menghasilkan filem Trainspotting dan The Beach Fame.

Turut menjayakan filem ini, Irrfan Khan, Anil Kapoor dan Mahesh Manjrekar. Watak dijayakan Anil pada mulanya ditawarkan kepada Shah Rukh Khan tetapi ditolak bintang terkenal Bollywood itu.

Freida mengakui, populariti yang diraihnya datang sepantas kilat malah tidak pernah menyangka semua itu akan hadir dalam hidupnya.

Katanya, selepas tamat pengajian di Kolej St Xavier, Mumbai, dia menjadi model selama dua tahun.

Pada waktu sama dia bercita-cita menjadi pelakon dan cuba menghadiri uji bakat untuk mencari peluang berlakon filem. Katanya, minat dalam dunia lakonan datang secara semula jadi kerana tinggal di kota yang menjadi tumpuan bintang Bollywood.

“Selepas enam bulan menghadiri satu demi satu uji bakat, suatu hari saya menerima panggilan telefon meminta hadir untuk uji bakat filem Slumdog Millionaire. Ketika itu saya sekadar ingin mencuba sebagaimana percubaan sebelum ini dan tidak berharap untuk diterima.

“Bagaimanapun, saya terkejut apabila nama saya berada dalam senarai pendek dan akhirnya dipilih. Ibu bapa saya turut memberi galakan kerana mereka tahu saya memang bercita-cita menjadi pelakon. Kakak saya yang bekerja dengan syarikat media juga banyak menyokong dan membantu saya,” katanya.

Pengalaman menjayakan Slumdog Millionaire disifatkannya sebagai satu pengalaman dan pendedahan yang cukup besar. Malah digandingkan dengan pelakon baru, Dev Patel membuatkan mereka berdua bersemangat dan saling membantu kerana sedar masing-masing tiada pengalaman.

“Berlakon dalam Slumdog Millionaire membawa saya ke satu tahap kerja yang cukup tinggi dan memberi pendedahan yang cukup besar. Ia juga satu pengalaman yang menakjubkan.

“Apa yang boleh saya katakan ialah bekerja dengan Danny Boyle umpama menghadiri kelas lakonan di sekolah terbaik di dunia. Apabila kami mula bekerja, dia beritahu saya kehidupan ini tidak selalunya sama. Lakukan satu asas kukuh untuk dunia.

“Saya terharu dan sangat menghargai semua tumpuan yang diberikan tapi saya masih belajar menyesuaikan diri.

Sebenarnya saya seorang yang agak pemalu,” katanya.

Walaupun namanya kini dikenali di Hollywood, Freida tidak bercadang meninggalkan Mumbai untuk berpindah ke Hollywood dalam waktu terdekat ini.

Katanya, buat masa ini dia selesa berulang-alik Mumbai-Los Angeles dan tidak bercadang berpindah kerana mempunyai ejen yang bagus.

Selepas Slumdog Millionaire, kata Freida, dia mahu mencuba sesuatu yang baru kerana suka melakukan sesuatu berbeza untuk menimba sebanyak mungkin pengalaman. Katanya, dia juga berpeluang belajar pelbagai bentuk tarian klasik India dan salsa.

“Saya tidak kisah berlakon apa pun tetapi saya lihat filem komedi agak berbeza dan ingin mencubanya. Itulah sebabnya saya memilih untuk menyertai bengkel lakonan bersama sifu teater, Barry John supaya dapat mendalami skil lakonan.

“Saya juga berharap diberi peluang bekerja dengan bintang legenda Hollywood, Clint Eastwood. Saya sangat teruja apabila berjumpa dengannya ketika menghadiri festival Palm Springs.

“Saya masih ingat lagi ketika menonton filem Million Dollar Baby arahannya, saya pernah berkata mahu berjumpa dengan Clint Eastwood. Ternyata akhirnya saya berpeluang bertemu dengannya tapi ketika itu lidah saya kelu untuk berkata-kata,” katanya.

Dalam limpahan populariti, Freida juga menerima kritikan mengenai penampilannya ketika menghadiri Anugerah Golden Globe. Penampilannya dengan gaun mendedahkan dada warna kuning ketika acara permaidani merah dikatakan tidak sesuai dengan majlis. Kata Freida, dia terima kritikan yang diberikan dengan hati terbuka.

“Ketika itu saya rasa ia satu pilihan yang tepat. Sudah tentu saya akan lebih berhati-hati pada masa akan datang,” katanya.

Slumdog Millionaire mengisahkan budak lelaki dari luar bandar, Jamal lakonan Dev Patel, muncul dalam program game show hingga menjadi tumpuan ramai termasuk gadis remaja. Freida menjadi Latika, gadis yang berjaya menawan hati Jamal. Semua babak membabitkan Freida dilakukan di Mumbai dan babak lain di Delhi dan Agra.

Freida dicalonkan Aktres Pembantu Terbaik di Bafta dan menang di Anugerah Screen Actors Guild (SAG) bersama barisan pelakon lainnya. Namanya juga diumumkan memenangi Aktres Terbaik di Elle Style Awards di London, baru-baru ini.

PROFIL

Nama sebenar: Freida Pinto

Tarikh lahir: 18 Oktober 1984

Tempat lahir: Mumbai, Maharashtra, India

Bintang: Libra

Kerjaya: Model, pelakon

Bapa: Frederick Pinto

Ibu: Sylvia Pinto

Adik beradik: Anak kedua daripada dua beradik’

Pendidikan: Ijazah Sarjana Muda Sastera (Inggeris) dari Kolej St. Xavier, Mumbai

Harian Metro

Lara Enggan Sahkan Dino Kekasihnya

4 Feb

MUMBAI: Bekas Ratu Universe, Lara Dutta (gambar), terus berdiam diri mengenai hubungan sebenarnya dengan pelakon Dino Morea, sebaliknya menegaskan mereka berkongsi persahabatan menggembirakan kerana saling mengenali antara satu sama lain sejak di bangku sekolah.

“Saya tahu persahabatan dengan Dino banyak mengundang spekulasi tetapi apa yang ingin saya tegaskan ialah saya seronok berkawan dengannya. Kami mengenali satu sama lain sejak saya berusia lima tahun.

“Saya tidak akan mengumumkan kami sebenarnya sedang bercinta semata-mata kerana ada orang ingin melihat saya berbuat demikian,” katanya.

Lara menegaskan perkahwinan tidak akan berlangsung dalam masa terdekat kerana masih belum menemui calon sesuai selain jadual ketatnya tahun ini yang menyaksikan beliau membintangi empat filem besar termasuk projek yang ditunggu-tunggu terbitan syarikat pelakon Shah Rukh Khan, Billu Barber.

Menyentuh tidak banyak wajahnya ditayangkan ketika promosi filem itu walaupun memegang peranan penting, Lara berkata beliau tidak masuk campur dalam strategi pemasaran sesebuah filem.

“Dalam dunia yang dikuasai lelaki, yang menyaksikan aktres cuma menambah populariti hero dalam filem, anda sepatutnya berbangga dapat menyertai produk menarik seperti Billu Bar-ber,” katanya. – Agensi

Selain sibuk berlakon, Lara juga semakin menyintai bidang penulisan skrip malah sudah menyiapkan tiga skrip untuk filem dan menegaskan ia bukan “berorientasikan wanita”.

“Jika saya menulis skrip berorientasikan wanita, tiada seorang pun pelakon popular dalam industri yang mahu bekerja untuk saya,” katanya.

Biarpun pernah bergelar ratu cantik, pelakon itu nyata tidak berminat digelar seksi.

“Selepas seketika, pasti bosan cuma sekadar menjadi objek tarikan di kalangan lelaki. Saya sukakan imej tomboy dan itu sebabnya saya suka habiskan masa dengan pasangan pelakon seperti Akshay Kumar, Salman Khan dan lain-lain. Mereka membuatkan saya melakukan banyak perkara nakal,” katanya. – Agensi

Berita Harian

Laman Web Perkecil Peranan Aishwarya

4 Feb


AISHWARYA Rai diberi watak kecil dalam Pink Panther 2.

NEW YORK: Promosi Pink Panther 2 memberi peluang kepada aktres Bollywood, Aishwarya Rai, menghadiri semua tayangan perdana di seluruh dunia, meskipun memegang peranan kecil dalam filem itu.

Sebuah laman web memperkecil-kecilkan pelakon itu dengan berkata: “Lupakan saja peranan kecilnya dalam filem ini. Kita semua tahu, ia adalah filem Steve Martin dan peranan Ash (nama jolokan Aishwarya), tidaklah begitu banyak.

“Anggapan itu tidak diambil pusing oleh Ash yang kini bersedia menghadiri tayangan perdana di banyak bandar raya di seluruh dunia bermula dengan New York,” kata laman web itu.

Suami, Abhishek Bachchan, juga berada di New York. Mereka akan menyambut ulang tahun Abhishek esok dengan disertai ibu serta bapa mentua, Jaya dan Amitabh.

Selepas itu, Ash akan menuju ke Eropah termasuk Paris, Madrid serta Moscow, Russia untuk meneruskan promosi The Pink Panther 2 dalam 15 hari akan datang, dengan destinasi terakhir di pesta filem Berlin.

Sementara itu, Aishwarya dilaporkan enggan menerima anugerah penghargaan oleh kerajaan Perancis kepadanya semata-mata kerana bapanya sedang sakit.

Aktres itu dilaporkan terpaksa menolak untuk hadir ke majlis penganugerahan ‘Officer Dan Ordre Des Arts Et Des Lettres’ itu sehingga bapanya benar-benar pulih untuk bersamanya ke Paris.

“Terima kasih, tapi bukan sekarang,” Ash dilaporkan memaklumkan perkara itu kepada kerajaan Perancis selepas anugerah awam kedua tertinggi itu menamakan beliau sebagai antara calon yang akan menerima.

Aktor Hollywood, Meryl Streep dan Robert Redford sebelum ini turut menerima anugerah itu, selain Shah Rukh Khan. – Agensi

Berita Harian

Rai Minta Tangguh

3 Feb


RAI (kiri) bersama ibunya, Vrinda di Institut Perubatan Kokilaben Dhirubhai, Mumbai pada 26 Januari lalu.

NEW DELHI – Selebriti Bollywood, Aishwarya Rai mengejutkan pihak berkuasa Perancis setelah pelakon itu enggan menerima anugerah bintang kehormatan yang diberi kepadanya, lapor sebuah akhbar semalam.

“Terima kasih, bukan sekarang (untuk saya terima anugerah tersebut),” kata Rai.

Pelakon filem Mistress of Spices itu dianugerahi Officer Dan Ordre Des Arts Et Des Lettres yang merupakan darjah kedua tertinggi untuk orang awam.

Darjah itu pernah dianugerahkan kepada aktres Meryl Streep, aktor Robert Redford dan Shah Rukh Khan.

Pingat tertinggi untuk orang awam, Legion d’honour pula diterima oleh pelakon Amitabh Bachchan, Satyajit Ray dan Pandit Ravi Shankar dari India.

Namun, Rai bukan tidak mahu menerima anugerah itu tetapi dia mahu majlis penganugerahan itu ditangguhkan kerana bapanya, Krishna Raj Rai tidak sihat.

“Saya mahu seluruh ahli keluarga termasuk ibu, bapa, adik, suami dan keluarga mentua menghadiri majlis itu. Bapa saya tidak sihat dan saya mahu dia menyaksikan peristiwa penting itu,” katanya.

Bagaimanapun, Krishna dilaporkan sudah kembali sihat dan Rai meminta Kerajaan Perancis mengadakan majlis tersebut di Paris ketika dia menghadiri majlis tayangan perdana filem Pink Panther 2. – Agensi

Kosmo

Pinto Boleh Dapat Oscar

28 Jan


Freida Pinto dijangka bakal menang Oscar.

Keluarga jangka aktres ‘Slumdog Millionaire’ capai kejayaan

LOS ANGELES: Kehadirannya dalam dunia lakonan tidak pernah disedari tetapi kejayaan filem Slumdog Millionaire di majlis ‘Golden Globes’ dan turut dijangka bakal menguasai anugerah lebih berprestij, Oscar, pada bulan depan nyata mengubah hidup aktres Freida Pinto.

Namun, bagi kalangan yang terdekat dengan pelakon itu, ia bukan satu kejutan di sebalik kekurangan latihan dalam bidang lakonan.

Kakak Pinto, Sharon, berkata adiknya sudah lama membuat persediaan untuk terjun ke bidang lakonan.

“Saya tahu dia ingin melakukan sesuatu di depan kamera. Ketika masih budak, Freida akan berdiri di depan cermin dan meniru gaya pelakon.

“Dia akan melekatkan gambar aktor dan aktres yang diminati dalam bilik. Ketika sambutan Krismas, kami menghasilkan drama dan dia akan menulis skrip, mengarah dan membintanginya.

“Setiap petang, Freida akan menyanyi atau berlakon untuk keluarga. Memang menggembirakan melihat berjalan atas permaidani merah dan melihat gambarnya dalam akhbar,” kata Sharon.

Titik peralihan dalam hidup Pinto bermula pada 1994 apabila aktres jelita, Sushmita Sen, dinobatkan sebagai Ratu Universe. Ketika itu, Pinto baru berusia 10 tahun.

Ibunya, Sylvia, turut berkata: “Apabila melihat Sushmita Sen menang, dia berkata, saya mahu melakukan sesuatu seperti ini satu hari nanti. Dia memotong gambar Sushmita dan meletakkan pada almari.”

Petang Ahad lalu, Pinto terserlah seperti pelakon kelas A apabila beliau dan pelakon lain menaiki pentas untuk menerima anugerah kumpulan untuk filem itu pada majlis ‘Screen Actors Guild.’

Filem arahan Danny Boyle itu turut meraih empat anugerah di majlis ‘Golden Globes’ awal bulan ini dan Pinto yang melakonkan watak gadis setinggan, Latika, menyedari hidupnya tidak akan sama lagi.

Sharon yang juga penerbit televisyen India, berkata: “Dia tidak percaya semua itu berlaku. Semua orang yang diminati dan kini dia duduk di sebelah mereka. Begitu mengharukan dan Freida juga gembira.

“Freida memang gadis Mumbai jati. Dia menghubungi saya dengan begitu gembira dari Los Angeles dan menyuruh saya menonton televisyen.

“Dia juga menyifatkan anugerah Golden Globes sebagai satu kemenangan bersama Shah Rukh Khan. Saya amat bangga dengannya.” Rakan sekolej Pinto, Namit Das, pula berkata: “Saya tahu dia akan berjaya. Dia amat berbakat, disayangi dan cantik.” – Agensi

Berita Harian

Follow

Get every new post delivered to your Inbox.