Archive | Siti Nurhaliza RSS feed for this section

Borak Paknil: Lara Dunia Hiburan

8 Mar

metahad@hmetro.com.my

Rap
ASSALAMUALAIKUM! Mungkin ramai menyangka dunia hiburan adalah mewah dan berprestij. Atas sebab itu ramai ibu bapa menggalakkan anak masuk pelbagai pertandingan yang dapat menjanjikan ruang dalam industri ini.

Ada juga sanggup menyorong anak yang sepatutnya ada di bangku sekolah untuk pelbagai uji bakat. Kadangkala Paknil tengok terlebih sudu daripada kuah.

Namun atas rasa ingin menikmati keindahan populariti dan kekayaan yang dirasakan melimpah di pentas persembahan ini, tidak hairan ada ibu bapa sanggup bersubahat dengan anak untuk ponteng sekolah.

Alahai! Rugi rasanya kalau sampai jadi begitu. Jadi penyanyi atau pelakon bila-bila masa boleh dikejar selepas pengajian tamat nanti tapi kalau belajar ditinggalkan, sukar juga nak kejar balik.

Lagipun dalam dunia serba maju ini, industri hiburan memerlukan penggiat yang lebih celik pengetahuan dan akademik. Apabila makin ramai meninggalkan sekolah dan menyertai hiburan, industri ini akan ada di takuk lama.

Penggiat seni masih jadi peserta yang tidak berilmu dan dipandang remeh oleh penggiat industri lain. Paknil bukan memandang rendah pada penggiat yang tidak berpelajaran tinggi, tapi Paknil rasa menjadi tanggungjawab pula untuk menggalakkan anak belajar setinggi mungkin dan kemudian membuat pilihan seandainya bidang ini yang ingin diceburi nanti.

Mungkin ramai menyangka nasib mereka akan sebaik Datuk Siti Nurhaliza yang memulakan karier dalam bidang seni ketika di bangku sekolah. Cerita Siti boleh dianggap satu dalam seribu. Sukar mendapat peluang dan bakat sehebat Siti sehinggakan rezekinya mencurah sebegitu rupa.

Paknil percaya ramai ibu bapa merasakan sejarah Siti akan berulang pada anak mereka. Memang kita tak nampak tuah manusia seperti taji ayam, tetapi ini adalah risiko tinggi.

Harus diingat, yang kita perjudikan adalah masa depan anak kita. Kesilapan kita akan menggadai masa depan mereka.

Bukan tujuan Paknil nak menakut-nakutkan anak yang baru nak berjinak-jinak dalam bidang seni serta ibu bapa tetapi percayalah, kami di bidang ini bukan sesenang disangka. Biar Paknil ceritakan pengalaman Paknil dan beberapa sahabat Paknil akan realiti dunia hiburan yang disangka intan ini.

Paknil terbabit dalam bidang ini agak lewat juga pada kira-kira usia Paknil menghampiri 30 tahun. Ketika itu Paknil berkeluarga dan ada anak. Waktu bekerja Paknil tidak sama seperti ketua keluarga lain. Paknil juga terpaksa gadaikan masa bersama keluarga semata-mata untuk melakukan kerja di bidang pengacaraan.

Ketika ekonomi negara gawat sekitar 1997/98, periuk nasi ramai artis tergugat, termasuk Paknil. Paknil tiada pekerjaan tetap dan terpaksa hidup mengharapkan duit daripada akaun simpanan.

Begitu juga dengan pelakon dan penyanyi. Mereka terkapar-kapar mencari sesuap nasi. Ada yang terpaksa berniaga makanan kerana itulah satu-satunya perniagaan yang menguntungkan ketika itu.

Seorang demi seorang juga bungkus kain baju balik kampung. Lebih menyedihkan bila ada cerita yang rumah tangga artis dilanda kemelut gara-gara krisis kewangan.

Mungkin ada juga mengandaikan keadaan kini berubah kerana suasana ekonomi tidak seperti 10 tahun dulu. Biar Paknil berterus terang. Kehidupan golongan kami tidak banyak berubah.

Masih ramai lagi hidup seperti ayam; kais pagi makan pagi, kais petang makan petang. Masih ramai terpaksa ikat perut gara-gara tiada sumber kewangan tetap. Kejadian ini bukan membabitkan pendatang baru saja, tetapi lebih menyedihkan ada antara mereka adalah senior!

Lebih teruk jika artis terbabit hanya ada satu kemahiran dan tiada kepandaian akademik dan kebolehan lain yang boleh disandarkan.

Paknil bukan ingin menakutkan, tetapi makin ramai rakan seangkatan Paknil mula merubah haluan kerjaya mereka. Ada yang menjual kereta, insurans, berniaga kecil-kecilan dan apa saja yang menjanjikan pendapatan bulanan tetap.

Walaupun cinta di bidang seni masih tebal, mereka akur bahawa cinta saja tidak memadai untuk mengisi perut mereka dan keluarga.

Mengapa agaknya ini masih berlaku? Harus diingat, peluang di bidang ini semakin kecil kerana potongan kek direbut oleh jumlah penggiat yang semakin bertambah. Pasaran bakat kita pun tidak sebesar mana hinggakan tawaran bakat mengatasi permintaan. Apabila ini berlaku, kadar harga ditentukan oleh pasaran menjadi bertambah rendah.

Hanya segelintir berjaya menyenaraikan diri di ‘papan utama’, yang mana mereka boleh menentukan harga khidmat. Selebihnya terpaksa akur dengan penentu harga pasaran yang tidak menampakkan anjakan ke posisi lebih baik.

Yang menyanyi terpaksa menghadapi suasana pasaran album yang suram. Penyanyi lebih gemar melahirkan single daripada album penuh kerana jualan album belum boleh menjanjikan pulangan yang dapat menampung kos penerbitan.

Harapan mereka single itu dapat meledakkan nama mereka sebelum album penuh menyusur atau mengapungkan nama mereka dalam bidang nyanyian. Yelah, takut pula bila nama tenggelam, sukar membuat ‘come back’.

Cetak rompak jangan ceritalah. Paknil yang tak terbabit secara langsung pun dah penat bercakap, apa lagi rakan artis yang bergantung hidup dalam bidang ini. Karier mereka hampir lumpuh dikerjakan penyangak cetak rompak.

Itu belum lagi cerita bersaing dengan muzik dari luar gara-gara negara kita mengamalkan dasar langit terbuka. Siapa saja boleh masuk dan menangguk kekayaan di bumi ini dan bawa pulang imbuhan ke negara mereka.

Daripada segi bayaran berlakon pula, tidak ramai pelakon dapat menuntut bayaran setanding populariti dan kebolehan mereka. Mereka sering tewas pada alasan produser bahawa penerbitan mempunyai bajet rendah.

Mereka juga tewas kerana ramai pelakon lain akur dengan bayaran yang ‘ciput’ ini demi ‘survival’.

Keadaan menjadi lebih malang apabila penentu harga bayaran tidak lagi terletak di tangan mereka. Atas desakan hidup dan saingan berganda, bakat kelas A dilayan sama dengan bakat baru yang kualiti lakonan belum terbukti.

Paknil nak bawa pembaca ke situasi lebih perit iaitu ke dalam kehidupan penggiat seni veteran kita. Artis veteran makin terpinggir dan jika masih aktif pun, permintaan ke atas khidmat mereka semakin mengecil.

Ada penyanyi veteran dilupakan atau meninggalkan terus dunia hiburan. Mereka mungkin lebih senang hidup dengan bantuan anak yang dewasa berbanding menikmati kemanisan sumbangan mereka pada bidang seni.

Jika artis veteran di Barat kini berehat dan hidup mewah hasil kerja mereka selama ini, artis veteran kita pula makin letih menantikan pembelaan nasib mereka.

Bayaran khidmat mereka tidak setimpal dengan pengalaman dan kebolehan, tetapi mungkin kerana cintakan bidang ini atau terhimpit dengan tuntutan kehidupan, mereka akur dengan bayaran murah luar akal ini.

Industri hiburan kita ini harus berpaksikan profesionalisme. Penggiat seni tidak boleh selama-lamanya memberi alasan bertahan untuk berjuang atas nama cinta semata-mata. Kehadiran mereka harus diakui dan diiktiraf atas dasar kehebatan. Atas dasar merit.

Arus bayaran imbuhan pada penggiat juga tidak semestinya menongkah atau terbalik seperti kini. Kini yang muda lebih dihargai, yang tua diperlekehkan. Kini yang baru lebih disanjungi, yang lama dilupakan. Kini juga yang hijau lebih ditatang, sedangkan yang lebam birat dengan pengalaman terpaksa mengemis meminta pekerjaan.

Paknil sekadar mampu membuka mata dan minda semua di bidang ini yang mana sekali gus untuk dijadikan panduan manual bagi yang baru ingin berjinak dalam bidang ini.

Harus Paknil sedarkan ibu bapa yang masih beriya-iya ingin anak mereka menjadi artis atas dasar tarikan kewangan dan kekayaan bahawa tidak semua yang berkelip di persada seni kita ini sebenarnya berlian. Takut nanti apabila sudah terbabit baru kita tahu ia sebenarnya hanya kilauan cahaya di atas kaca!

Rupa-rupanya di balik kilauan itu ada juga yang mengemis sesuap nasi, meminta-minta, menagih kasihan, merayu bantuan, mengharap simpati dan bertahan hanya atas nama CINTA pada persada seni. Berbaloikah? Hanya kami yang sudah lama di sini sebagai jauhari yang kenal manikam dunia hiburan yang tahu lara cinta kami.

Realiti ini yang Paknil ingin kongsi kali ini. Pesan akhir Paknil, kesenangan Siti dan Mawi hari ini bukan cermin sebenar kesenangan dunia hiburan secara keseluruhan. Mereka antara insan bertuah yang mana tuah itu tidak semua boleh memilikinya. Wassalam.

Harian Metro

Liyana Duta Remaja

5 Mar

Oleh Fairul Asmaini Mohd Pilus
asmaini@nstp.com.my


CANTIK dan popular, kombinasi personaliti menarik yang ada pada pelakon berbakat besar, Liyana Jasmay untuk dipilih sebagai duta terbaru jenama kosmetik terkemuka, Maybelline New York (Maybelline) untuk Malaysia.

CANTIK dan popular, kombinasi personaliti menarik yang ada pada pelakon berbakat besar, Liyana Jasmay untuk dipilih sebagai duta terbaru jenama kosmetik terkemuka, Maybelline New York (Maybelline) untuk Malaysia.

Kredibiliti serta personaliti menarik yang dimiliki pelakon utama filem Histeria yang ditayangkan di pawagam baru-baru ini nyata tidak boleh dipertikaikan meskipun ramai yang berpendapat namanya masih tidak segah duta Maybelline sebelum ini iaitu Datuk Siti Nurhaliza dan Fasha Sandha.

Pengurus Pemasaran Maybelline, Elena Khoo, berkata pemilihan Liyana sebagai jurucakap terbaru jenama itu kerana keperibadiannya yang menepati ciri gadis Maybelline, selain penerimaan masyarakat yang ternyata meminati wajah gadis jelita.

Kata Elena, Liyana mempunyai bakat yang besar untuk diketengahkan dan apa yang lebih penting, dia begitu bersemangat serta berkeinginan untuk mencapai kejayaan dalam hidupnya.

“Keperibadian, personaliti serta kejayaan dimiliki melayakkan Liyana dijadikan sebagai idola bagi remaja di negara ini.

“Liyana ternyata seorang gadis yang cantik, yakin, bertenaga, bergaya serta periang seperti yang ingin Maybelline tampilkan dalam setiap produknya,” katanya pada majlis memperkenalkan pelakon berkenaan di ibu negara, baru-baru ini.

Liyana mula terbabit dalam industri seni lakon pada 2006 apabila dipilih memegang watak utama, Phim, dalam filem Castello.

Namun, kecemerlangan bakatnya semakin terserlah apabila membintangi banyak filem dan drama seperti Syaitan, Kami: The Movie, Histeria, Maut, Papadom, Duhai Si Pari-Pari, Pisau Cukur, Sari Maya, Kami The Series, Puaka Niyang Rapik dan Ponti Anak Remaja.

Selain lakonan, Liyana turut berbakat dalam bidang nyanyian dan baru-baru ini mengeluarkan mini album pertamanya, Liyana Jasmay yang diterbitkan komposer terkenal, Ajai.

Liyana yang sebelum ini sinonim dengan watak baik, lemah lembut dan nakal, mengakui amat terharu serta terkejut dengan pemilihan berkenaan.

“Saya amat terkejut dan sama sekali teruja apabila Maybelline New York memberi peluang untuk menjadi duta jenama kosmetik terkenal ini.

“Sebelum dilantik sebagai duta, saya memang peminat setia Maybelline kerana produknya sangat trendy serta mampu menyerlahkan lagi gaya remaja dan wanita seperti saya.

“Tawaran ini cukup berharga dan tidak sabar untuk berkongsi pengalaman bersama wanita di Malaysia mengenai kecantikan semula jadi yang diperkenalkan Maybelline,” katanya yang bakal menyambut ulang tahun ke-21, akhir bulan ini.

Selain itu, peminat setia Avril Lavigne ini berkata, dia sering mengikuti perkembangan fesyen serta solekan terkini untuk memastikan dirinya sentiasa tampil menarik di mata khalayak.

“Antara warna yang menjadi pilihan utama Liyana ialah maskara hitam Volum Express Hypercurl, pemerah pipi Angelfit Blush Strawberry dan gincu bibir rona Fresh Cherry daripada koleksi Watershine.

“Semua pilihan berkenaan adalah alat solek yang mesti saya bawa bersama setiap hari dan tanpanya, saya rasa penampilan seakan kurang berseri,” katanya yang mula mendapatkan produk Maybelline ketika berumur 13 tahun.

Rangkaian kosmetik terkenal yang mula diperkenalkan sejak 1915 itu sebelum ini turut membariskan ramai selebriti luar negara popular seperti aktres, Zhang Ziyi; supermodel terkenal, Christy Turlinton, Adrianna Lima dan Erin Wasson.

Maybeline New York adalah jenama kosmetik yang menggabungkan konsep inovasi, rumusan berkualiti tinggi dan gaya terkini yang menjadi daya penarik bagi setiap wanita khususnya remaja untuk tampil lebih yakin serta bergaya.

Harian Metro

Sentral: Abadikan Tokoh Terkenal Pada Lukisan Pesawat Perang

4 Mar


ZARIAN disamping hasil seninya.

KUALA LUMPUR: Minat mendalam terhadap keunikan dan kehebatan kapal terbang perang membuatkan anak jati Kuala Kangsar Perak, Zarian Babjan, 58, mengabadikannya pada kanvas.

Lukisan bermotifkan kapal terbang perang yang dilakarkan bersama potret tokoh dan individu terkenal dari dalam dan luar negara itu dipamerkan di Lobi Utama, Balai Berita, The New Straits Times Press (M) Berhad (NSTP) bermula semalam hingga 27 Mac ini.

Zarian berkata, minatnya pada kapal terbang perang wujud sejak kecil apabila melihat kehebatan kapal terbang itu menerusi pembacaan dan koleksi gambar pada majalah dan akhbar.

“Paling saya gemar kapal terbang perang jenis Auster dan pertama kali saya melihat dan menyentuhnya ketika pesawat itu mendarat di Padang Polo, Kuala Kangsar pada 1958.

“Disebabkan minat, saya melakarkan keunikan dan kehebatan Auster ini pada buku nota. Saya masih ingat, usia saya ketika itu antara lima hingga enam tahun. Ia adalah antara koleksi teristimewa yang pernah saya ada,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Katanya, sejak berkecimpung dalam bidang berkenaan, dia sudah mengadakan pelbagai pameran antaranya Pameran Terbuka Balai Seni Lukis Negara pada 1972 hingga 1974, Pameran Seni Lukis Hari Wilayah Persekutuan (1978), Travel Art Exhibition di Hotel Majestic (1988) dan Guest Artist di Balai Seni Lukis Negara (2005).

Katanya, sebanyak 500 koleksi lukisan yang bermotifkan kapal terbang perang bersama potret tokoh dan individu terkenal dunia itu sudah dihasilkan sejak berkecimpung dalam bidang itu 50 tahun lalu.

“Antara koleksi yang paling istimewa tentunya hasil tangan pertama saya yang memaparkan kapal terbang jenis Auster yang ditulis pada buku nota. Ia amat bermakna kerana ia adalah permulaan untuk kerjaya seni saya.

“Bagaimanapun, lukisan ini sudah rosak dan saya lukiskan semula tetapi dibuat sedikit penambahan apabila saya melakarkan potret Allahyarham Datuk Ibrahim Hussien pada lukisan berkenaan,” katanya.

Katanya, lukisan lain yang turut mendapat tempat di hatinya adalah lukisan pesawat perang yang berlatarkan gambar Tunku Abdul Rahman; North American F86 Sabre dengan lakaran wajah Datuk Siti Nurhaliza dan Orro Valcan berlatar belakangkan gambar Margeret Thatcher.

“Saya turut melukis kapal perang jenis Dae Harrier bersama potret penyanyi antarabangsa, Madonna. Semua koleksi ini tidak akan dijual kerana saya berharap ia dapat dibukukan satu hari nanti,” katanya.

Beliau turut menghasilkan koleksi unik apabila lukisan yang berlatar belakangkan pesawat perang itu dijadikan bingkai cermin dan dijual kepada orang ramai dengan harga RM80 setiap satu.

Berita Harian

Semangat Pelakon Kian Membara

3 Mar

Oleh Ramlah Zainal
roses@hmetro.com.my

Rap

SEKALIPUN berhadapan masalah tajaan untuk mementaskan teater muzikal bercorak Islam, Sirah Junjungan Tahajud Cinta untuk kali kedua, semangat pengarah Erma Fatima tidak pernah luntur.

Malah untuk memastikan pementasan yang bakal berlangsung selama dua minggu di Istana Budaya (IB) bermula 9 Mac ini berjalan sebaik-baiknya, Erma dan barisan pelakon yang menjayakan teater muzikal ini berlatih bersungguh-sungguh sejak dua minggu lalu.

Katanya, setakat ini perkembangan latihan sudah meningkat 60 peratus dan diteruskan sehingga menjelang hari persembahan.

“Seramai 300 pelakon terbabit dalam pementasan ini terutama untuk pasukan tentera Islam dan Quraisy. Antara artis yang terbabit ialah dari Universiti Kebangsaan Malaysia, Persatuan Silat dan Makrifat, Istana Budaya dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur.

“Seperti tahun lalu, komitmen pelakon juga 100 peratus untuk menjayakan pementasan ini. Kalau dulu ada persembahan nyanyian saja tapi musim kedua ini kita tampilkan tarian.

“Sebagai pengarah, sudah pasti saya menjanjikan yang lebih baik berbanding sebelum ini. Dari segi jualan tiket, ia sudah mula dijual dan setakat ini sambutannya juga menggalakkan,” katanya.

Sirah Junjungan Tahajud Cinta yang akan dipentaskan di Panggung Sari, Istana Budaya dari 9 hingga 22 Mac ini, dijayakan Ahmad Yatim, Syukor Ibrahim, Mazlan Tahir, Wong Sip Nen, Aman Graseka, Rabecca Nur Al-Islam Ahmad, Vanidah Imran dan Shahronizam Noor.

Ia turut dimantapkan lagi dengan kehadiran tiga nama besar, Datuk Siti Nurhaliza (pada 18 hingga 20 Mac), Mawi (21 Mac) dan Amy Search (22 Mac) sebagai penyanyi utama.

Sebagai pendatang baru di pentas teater, peluang beraksi dalam pementasan Teater Muzikal Sirah Junjungan musim kedua arahan pengarah berkaliber Erma Fatima cukup bermakna buat Rabecca.

Rabecca, 22, yang juga model dan pengacara berkata, selain diberi kepercayaan memegang watak utama dalam muzikal ini, ia juga julung kalinya beraksi di pentas berprestij di IB. Rebecca ditawarkan watak Hendon Uthbah yang juga anak tentera Quraisy, Uthbah Rabiah yang sebelum ini dijayakan Ellie Suriaty.

Kata Rabecca yang pernah beraksi dalam teater Dimana Bumi Dipijak dan Anom, dia menimba pengalaman berharga bekerja dengan Erma sepanjang sebulan berlatih dalam pementasan teater muzikal berkenaan.

“Kali pertama membaca skrip, saya sudah menyedari cabaran besar yang menanti kerana watak Hendon ini berat buat saya. Malah, pada hari kedua, kami tidak dibenarkan membaca skrip ketika latihan. Pada masa sama, Erma, pengarah yang sangat mementingkan kesempurnaan.

“Sepanjang bekerja dengannya dia memang garang dan tegas ketika latihan tapi apabila di luar latihan, kami boleh menjadi seperti kawan.

“Sekalipun hanya dua babak, watak ini juga berat, tapi selepas lebih seminggu berlatih di bawah bimbingan Erma, saya mula menjiwai watak diserahkan seperti dikehendakinya. Antara yang paling mencabar ialah ketika menjiwai watak Hendon memakan jantung Saidina Hamzah,” katanya.

Ditanya, sama ada watak Hendon boleh menjejaskan akidahnya sebagai seorang Muslimah, Rabecca segera menafikannya. Katanya, dia juga meminta nasihat ibunya sebelum menerima tawaran berlakon dalam teater ini.

“Apapun, watak Hendon sekadar lakonan semata-mata kerana apa yang penting saya tidak ingin melepaskan peluang keemasan beraksi dalam pementasan yang mengisahkan perjuangan Rasulullah s.a.w menegakkan Islam,” katanya.

Seperti pelakon lain, Vanidah juga tidak ingin melepaskan peluang beraksi dalam pementasan muzikal Sirah Junjungan. Katanya, dia tetap teruja sekalipun hanya terbabit dalam dua babak.

Katanya, apa yang penting dia ditawarkan watak isteri kesayangan Rasulullah, Siti Khadijah yang pernah dilakonkan Norish Karman pada pementasan pertama dulu.

“Antara cabaran yang dihadapi ialah untuk menjiwai watak Siti Khadijah kerana saya hanya bergantung sepenuhnya kepada pengucapan dialog semata-mata dan banyak bermain di belakang tabir.

“Sebenarnya, berlakon menggunakan suara itu lebih susah kerana lontaran dialog perlu sampai kepada penonton. Sebagai pelakon, saya perlu memastikan lakonan yang diberikan itu meninggalkan impak kepada penonton nanti,” katanya.

Bagi pelakon Shahronizam Noor pula, dia terpanggil buat kali kedua berlakon dalam teater muzikal itu kerana ia menceritakan perjuangan Rasulullah.

“Saya terima tawaran ini bukan kerana soal bayaran. Malah apabila Erma beritahu dia berhadapan masalah penajaan, saya tetap tampil ke hadapan untuk bersama-sama dengannya menjayakan pementasan ini tanpa bertanya soal bayaran pun,” katanya.

Katanya lagi, dia juga membeli buku riwayat Nabi Muhammad s.a.w sebagai persediaan untuk mendalami watak Saidina Hamzah dan Sawadah yang dilakonkan dalam muzikal ini pada musim pertama dulu.

“Saya tidak ada masalah dari segi dialog kerana ini penampilan kedua. Cuma kali ini, ia lebih mencabar kerana saya perlu terbabit dalam babak perang yang menggunakan pedang dan membabitkan pasukan yang lebih ramai.

“Namun, berkat bimbingan Erma dan tenaga produksi muzikal ini, kami dapat menjiwai watak masing-masing dengan baik,” katanya.

Tiket bagi menyaksikan persembahan ini berharga RM30, RM50, RM80, RM100, RM150 dan RM200. Keterangan lanjut, sila hubungi 03-41498600/03-41428035 atau laman sesawang: sirah@ yayasansenikarya.com

Harian Metro

ABPBH 2008: Sambutan Luar Dugaan

2 Mar

Oleh Zaidi Mohamad
zaidim@bharian.com.my

Barisan artis tidak sangka diserbu ramai pengunjung petanda ABPBH 2008 terus menjadi acara yang ditunggu peminat

PERMULAAN yang baik, siri jelajah pertama Anugerah Bintang Paling Popular Berita Harian (ABPBH) 2008 di ruang legar premis Village Mall, Sungai Petani berlangsung dengan jayanya kelmarin.

Ruang legar yang tidak luas itu menyebabkan keadaan sesak tapi suasananya memang mengagumkan, menghiburkan menerusi pelbagai gelagat daripada pengunjung yang ‘sporting’. Kira-kira 5,000 orang dan kerjasama penuh yang diberikan oleh setiap artis yang hadir antara kunci kejayaan persembahan itu.

Persembahan penutup menampilkan finalis Penyanyi Berkumpulan/Duo Popular, Meet Uncle Hussain mendendangkan dua lagu mereka, Pari Pari Di Bawah Angin dan Lagu Untukmu menjadi kemuncak pada acara ini . Sekali lagi band ini mendominasi perhatian ramai selepas menjuarai pertandingan Anugerah Juara Lagu ke-23 Januari lalu.

Gimik menampilkan klon bersuara sepertinya Syamsyul Anuar Ismail di Sungai Petani dengan hanya menyanyi secara miming antara kejutan yang dilakukan. Syamsyul juga antara peserta pertandingan Bintang Idola Berita Harian.

Malah kehadiran pelakon dan pelawak paling menyerlah tahun lalu hingga sekarang, Nabil yang turut disenaraikan dalam kategori Artis Baru Lelaki Terbaik dan Pelakon Komedi Lelaki Popular ABPBH 2008 sebagai hos dilihat sebagai gandingan mantap. Fazli Zainal yang turut dijemput sebagai penyanyi jemputan bersetuju mengatakan siri jelajah pertama kali ini antara yang terbaik yang pernah dianjurkan Berita Harian dan Persatuan Akademi Muzik Malaysia (AIM).


KEHADIRAN Lan Meet Uncle Hussain dan Nabil menggamatkan Village Mall, Sungai Petani.

“Biarpun persembahan penyanyi dan penampilan personaliti yang terbabit saya andaikan biasa saja, kehadiran Nabil dan Meet Uncle Hussain (MUH) berjaya menaikkan suasana acara ini. Tak mustahil melihat sokongan peminat terhadap mereka, dua profil ini mungkin mempunyai peluang cerah dianugerahkan Bintang Paling Popular,” katanya yang mendendangkan single terbarunya Kalbu dan lagu kumpulan Matta, Ketahuan.

Impak gelombang indie ternyata membawa angin baru aliran muzik ini sejak tiga tahun kebelakangan. Malah, ketika Lan muncul di pentas, jeritan histeria pengunjung jelas menunjukkan betapa kuat populariti MUH hingga menyerang ke utara semenanjung. Biarpun jam hampir menunjukkan 7 malam, pengunjung masih tidak berganjak, hingga MUH menghadiahkan sebuah lagi lagu bonus berjudul Halusinasi sebagai tanda terima kasih.

Menurut tonggak MUH, Lan yang menyanyikan lagu tema Tabung NSTP Untuk Gaza berjudul Putihnya Lukisan berkata, biarpun pertama kali menyertai siri jelajah ini, dia menyifatkan lokasi di Sungai Petani antara yang paling meriah.

Bahkan, MUH turut melakukan inisiatif menjual poskad karikatur gambar mereka yang mana 30 peratus daripada keuntungan jualan disumbangkan ke Tabung NSTP Untuk Gaza. Tahun lalu, kumpulan ini hanya diundang membuat persembahan malam kemuncak ABPBH 2007.


KENCHANA dan Nabil bergurau dengan pengunjung.

“Kehadiran ramai pengunjung yang membanjiri ruang legar Village Mall ini menunjukkan tanda sokongan dan sambutan masyarakat sekitar Kedah memang di luar dugaan. Saya sendiri tak sangka sambutan mereka terhadap acara ini begitu hebat.

“Apa yang berlaku dan melanda kumpulan saya selama ini akan cuba diperbaiki demi memastikan sokongan berterusan daripada peminat. Saya akui kekhilafan saya sebagai manusia biasa dan akan cuba memperbaiki kelemahan yang ada,” katanya yang masih sayangkan MUH.

Ruang terbaik popularkan diri

Selama dua hari, rakan artis dan media berkampung di Sungai Petani bagi sama-sama memeriahkan acara yang menjadi tradisi sebelum berlangsungnya anugerah kemuncak pada 12 April depan di Genting Highlands, Kota Keriangan. Dari Kuala Lumpur ke Sungai Petani, anggota rombongan di bawa dengan bas rasmi ABPBH 2008 tajaan Sinarmas Travel & Tours Sdn Bhd.

Seperti lazimnya, kehadiran calon akhir anugerah berprestij ini menjadi landasan terbaik untuk melobi dan berkempen persis calon wakil rakyat untuk meraih undian dan kepercayaan peminat mengundi mereka menerusi borang undian Top5 ABPBH 2008 yang disiarkan setiap hari dalam akhbar Berita Harian/Berita Minggu.

Kehadiran finalis ABPBH 2008 lain seperti, Mila, Kenchana Dewi dan Ashraf Muslim masing-masing memberi isyarat seolah mereka sudah lama dinantikan. Malahan artis jemputan yang turut hadir membuat persembahan seperti Syazliana, Farah Asyikin, kumpulan Nitrus dan Sheila Abdull bagai ruang udara yang memberi nafas baru kepada pengunjung yang datang.

Calon akhir bagi finalis kategori Pelakon Komedi Wanita Popular ABPBH 2008, Kenchana Dewi berkata, melihat kepada sambutan orang ramai, dia akan cuba sebaik mungkin untuk terbabit di lima lokasi seterusnya.

Menariknya Kenchana sepanjang di Sungai Petani, dia juga turut mendapat perhatian ramai. “Saya sudah dimaklumkan awal oleh pihak Akademi, lalu saya akan cuba turun padang bertemu peminat.

“Tahun lalu, saya tidak dapat langsung memeriahkan jelajah ini kerana sibuk dengan jadual penggambaran. Tanpa peminat, saya mungkin tidak akan berada di tahap ini. Lalu demi menghargai mereka, saya bersedia menemui mereka di setiap lokasi jelajah.

“Saya bersyukur kerana peminat sedar mengenai kehadiran saya. Saya rasa setiap lakonan saya tidak kiralah untuk watak komedi atau serius, ia sedikit sebanyak memberi kesan kepada penonton. Sudah tercalon, ia sudah memadai,” katanya yang sudah 18 tahun berada di dalam industri.

Pemenang Artis Baru Wanita Terbaik ABPBH 2007 ini, Mila yang kali ini tersenarai dalam senarai calon akhir kategori Penyanyi Wanita Popular tidak meletakkan harapan tinggi untuk menang, selepas melihat saingannya terdiri daripada nama besar seperti Datuk Siti Nurhaliza.

Selain persembahan artis, turut diselit ialah sesi soal jawab mengenai Berita Harian dan ABPBH kepada pengunjung bertuah. Syazliana mempersembahkan dua lagu daripada album terbarunya, Atas Nama Cinta dan Dalam Alam Bercinta, Farah Asyikin (Hello dan Seribu Penipuan) dan Nitrus (Bintang-Bintang dan Cinta).

Bukan setakat Kenchana saja yang menjadi perhatian, Ashraf Muslim yang dikenali dengan watak Ustaz Amirul di dalam drama Puaka Niyang Rapik turut digilai kerana wajah kacaknya. Pada saat akhir, Ashraf sudi menjadi pengacara ‘bidan terjun’ bersama Nabil mengendalikan majlis.

Anak didik komposer Adnan Abu Hassan, Shila Abdull memilih single terbarunya, Semuanya Keranamu dan lagu Mungkinkah yang memperkenalkan dirinya ke persada seni. Persembahan akhir berlabuh apabila semua artis terbabit bergambar kenangan di atas pentas utama. Akibat pengunjung yang ramai, sesi autogeraf yang dijadualkan pada mulanya terpaksa dibatalkan.

Selesai majlis, rombongan artis dan media menaiki bas menghala ke Restoran D’Jetty 8 Beradik, Sungai Merbok yang sudi menaja makan lam. Terima kasih daun keladi kepada semua yang terbabit. Siri jelajah ABPBH 2008 akan ke Pasir Gudang minggu ini.

Corat coret sepanjang dua hari

Empat staf Sinarmas Travel & Tours Sdn Bhd termasuk pemandu begitu mesra melayan artis dan media sepanjang perjalanan dari Kuala Lumpur ke Sungai Petani dan balik ke Kuala Lumpur.

Vokalis kumpulan Nitrus, Eddie hanya datang pada hari Sabtu kerana terbabit dengan hari keluarga syarikat tempat dia bekerja.

Fazli Zainal sempat mempromosikan single terbarunya, Kalbu di dalam bas dengan menyerahkan cakera padat kepada rakan artis dan media.

Ashraf Muslim dan Kenchana Dewi masing-masing membawa ahli keluarga menemani mereka ke Sungai Petani. Ashraf ditemani adiknya, Mujib Muslim manakala Kenchana Dewi membawa kakaknya, Selvee.

Ashraf Muslim menjadi penyeri apabila tiba-tiba bergelar deejay di dalam bas menghiburkan penumpang dan mini karaoke yang ada. Ada saja ideanya memberi keceriaan dan usikan kepada staf Sinarmas dan yang lain.

Teman baik Sherry Ibrahim ini menunjukkan kemahirannya bermain seruling apabila mengalunkan lagu Seribu Tahun nyanyian Imran Ajmain. Katanya, dia belajar sendiri bermain seruling sejak setahun lalu.

Ashraf juga tidak betah duduk diam kerana dia juga menjadi jurugambar tak rasmi mengambil pos dan aksi penumpang dengan meminjam kamera jurugambar Hip Berita Harian, Hasriyashah Sabudin.

Kenchana Dewi, Ashraf Muslim dan Fazli Zainal cepat serasi dan sepanjang di dalam bas mereka mengupas pelbagai isu termasuk isu kegawatan ekonomi, gosip yang melanda industri seni, hubungan artis dan media,

Hip difahamkan di Cinta Sayang Resort, Syazliana diminati seorang lelaki mat salih berusia lingkungan 28 tahun. Bukan setakat meminati dan cuba menghubunginya dengan telefon di bilik hotel, nota ‘cinta’ turut diselitkan di bawah pintu bilik.

Makan malam yang disediakan di Restoran D’Jetty 8 Beradik sedap belaka dan jika berminat boleh singgah ke sana atau menghubungi talian: 012-5904585.

Berita Harian

Aziah Bersabar 6 Tahun

2 Mar

Oleh Norhadiani Baharom
yanie@hmetro.com.my

Rap
ENAM tahun merancang, impian bekas personaliti TV3, Aziah Jasmin Azizul, 37, untuk melihat ‘The Pink Book’ berada di pasaran akhirnya menjadi kenyataan.

Tambah bererti, majlis pelancaran bukunya diadakan di MPH Bookstore, Mid Valley dirasmikan biduanita negara, Datuk Siti Nurhaliza Taruddin.

Dengan tema merah jambu, Siti hadir dengan pakaian menepati tema malah tahun ini untuk majlis ulang tahun Siti ke-30 turut memilih tema merah jambu.

Aziah berkata, tiada kata mampu diungkapkan, melainkan lega dan gembira yang dirasakan saat ini.

Katanya, perancangan selama enam tahun lalu akhirnya dapat disiapkan.

“Tempoh enam tahun memang lama. Bukannya apa, sebenarnya saya malas menulis namun kerana keinginan yang tinggi untuk berkongsi pengalaman untuk membantu wanita, saya gagahkan juga.

“Saya mengambil kesempatan mengucapkan terima kasih pada semua yang terbabit dalam penerbitan buku ini. Keluarga, rakan-rakan personaliti, pihak penerbitan serta Datuk Siti kerana sudi melancarkan buku ini sekali gus menjayakan sesi tandatangan untuk 100 pembeli terawal meskipun masih bersedih dengan kehilangan ayah tercinta, dua minggu lalu,” katanya.

Majlis itu turut dimeriahkan dengan kehadiran personaliti dan bekas personaliti TV3 antaranya Azizah Ariffin, Zalina Azman, Nor Azlina Redzuan dan Dang Suria Zainurdin.

Memilih ‘The Pink Book’ sebagai judul, Azizah melihat merah jambu sebagai warna yang cukup sinonim dengan wanita selain mencerminkan ciri-ciri kelembutan dimiliki kaum hawa.

Isi kandungan buku berharga RM45 ini berkaitan panduan pembentukan dan penampilan imej terbaik untuk seseorang individu yang sememangnya perlu dititikberatkan kaum wanita khususnya remaja.

“Selepas berhenti dari TV3, saya menceburi bidang perunding imej dan modul yang diketengahkan dalam kursus saya merangkumi penampilan, etika dan komunikasi.

“Justeru saya menjadikan tiga perkara asas itu sebagai komponen utama dalam buku ini. Modulnya juga menepati cara masyarakat Malaysia,” katanya.

Kata Aziah, dia mendapat ilham menerbitkan buku ini melalui ikon fesyen kesayangannya yang juga supermodel antarabangsa, Cindy Crowfard.

The Pink Book mengutarakan pembentukan imej, fesyen dan penampilan mengikut bentuk tubuh dan wajah serta majlis yang dihadiri.

Tidak ketinggalan memberi tips sebelum menghadiri temu duga dan acara penting yang lain.

“Saya memang seorang peminat dia dan sebelum ini Cindy pernah menerbitkan buku berkaitan solekan. Selepas membacanya, saya terfikir untuk menerbitkan konsep bacaan yang sama cuma bezanya isu diketengahkan.

“The Pink Book sebenarnya tidak banyak penulisan. Sengaja saya elakkan perkara itu kerana jika terlalu banyak penggunaan ayat bukan saja menyusahkan malah membuatkan pembaca bosan.

“Kalau kita lihat bahan bacaan dari luar negara, banyak menggunakan ilustrasi dan gambar tetapi saya memilih untuk memakai gambar asli supaya lebih terkesan dan contoh yang diberi mudah difahami,” katanya.

Aziah juga yakin, naskhah pertama tulisannya itu akan diterima ramai. Selain ringkas ia juga mengenengahkan penggunaan dwi bahasa iaitu Melayu dan Inggeris yang relevan untuk semua kategori pembaca.

Ditanya mengapa buku ini tidak memuatkan panduan untuk wanita bertudung, Aziah menjelaskan, dia belum bersedia melakukannya kerana dia sendiri belum bertudung.

Bagi wanita jelita ini, setiap penulisan memerlukan kajian, justeru dia enggan menyentuh perkara yang tidak dipraktikkan dirinya. Bagaimanapun, Aziah tidak menolak satu hari menerbitkan buku imej untuk mereka yang bertudung.

Melalui frasa kehidupan baru, Aziah yang mendirikan rumah tangga dengan Azlan Shah Jaffril, 37, sejak tiga tahun lalu, belum dikurniakan cahaya mata. Katanya, kehidupannya kini jauh dari dunia glamor tetapi tempiasnya masih ada apabila kursusnya mendapat sambutan.

“Alhamdulillah kerjaya saya dulu banyak membantu kerana orang mengenali nama saya. Sekarang ini misalnya, saya terikat kontrak dengan Jabatan Tenaga Kerja di bawah naungan Kementerian Sumber Malaysia untuk memberi ceramah kewartawanan kepada graduan pada 24 April ini,” katanya.

Harian Metro

Bergerak Solo

25 Feb

Oleh Zaidi Mohamad
zaidim@bharian.com.my

Mengikut jejak Malique dengan menerbitkan lagu, album secara bersendirian

JOE Flizzow atau Joe sudah meredah pelbagai kesukaran ketika mengharungi dunia seni selama hampir satu dekad dengan rakan seperjuangannya Malique Ibrahim (Malique) dalam kumpulan Too Phat.

Agak membanggakan juga kerana berkat kegigihan mereka itu, Too Phat pernah menimbulkan fenomena tersendiri suatu ketika dulu.

Malah, duo ini cukup diingati dengan lagu Alhamdulillah menampilkan aktres seberang, Dian Sastrowordoyo dan Dua Dunia bersama Datuk Siti Nurhaliza.

Namun begitu, selepas menghasilkan album Rebirth Into Reality, Joe dan Malique memilih jalan untuk tampil secara solo. Keputusan itu menimbulkan pelbagai spekulasi hingga ada yang menganggap kumpulan hip hop ini sebenarnya sudah berpecah.

Misteri kehilangan Malique juga mengundang pelbagai andaian dan paling mengejutkan tahun lalu apabila dia menamatkan zaman bujang dengan model dan pelakon jelita, Melissa Maureen Rizal di Indonesia.


LANCAR sudah album sulung Joe berjudul The President.

Bagaimanapun, bagi Joe, Too Phat belum berkubur kerana peninggalan seni kumpulan ini tidak akan berakhir dengan begitu saja.

Menurutnya, dia ingin terus melihat kumpulan itu melakukan kemunculan semula atau ‘come back’.

Katanya, apa yang terjadi kepada Malique memang masih meninggalkan tanda tanya biarpun rakannya itu sempat mengeluarkan album solo terbarunya menampilkan lagu hit, Mantera Beradu bersama M Nasir.

Berkat paduan itu juga sudah melayakkan mereka ke Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2008 bagi kategori Penyanyi Berkumpulan/Duo Popular.


KELUARGA tersayang tidak jemu memberikan sokongan tidak berbelah bagi kepada Joe.

“Sebagai aktivis seni, kami merancang untuk kembali tapi tidaklah secepat mungkin. Perihal kami berpecah sudah lama menjadi buah mulut orang hingga ada cerita yang mengatakan kami bergaduh. Ia hanya khabar angin dan Too Phat belum berkubur, cuma masing-masing memberi tumpuan kepada projek sendiri.

“Saya dan Malique menubuhkan Too Phat sejak usia saya 19 tahun. Kini sudah sedekad kumpulan hip hop ini bertapak dalam dunia muzik. Takkan semudah itu kami mahu membubarkan Too Phat. Kami berusaha keras mengukuhkan genre hip hop di Malaysia.

“Kami menunggu masa sesuai untuk mengembalikan Too Phat. Mungkin juga kami akan menggunakan pendekatan yang selalu menjadi pilihan penggiat seni sekarang iaitu melalui penghasilan lagu single. Lagipun kita semua tahu Malique sudah berkahwin dan dia kini dalam proses untuk menyesuaikan diri untuk menjadi orang sudah berkeluarga atau menjadi ‘family man’,” katanya sewaktu ditemui di Hard Rock Cafe minggu lalu.

Di premis hiburan terkenal itu, Joe mengikuti jejak rakannya Malique dengan melancarkan album solo sulungnya diberi judul The President. Album yang cukup bermakna dalam diari hidupnya ini mengambil masa dua tahun untuk disiapkan.

Bagi album itu, Joe bekerjasama dengan teman seperjuangannya dari luar negara seperti Hady Mirza & TerryTyeLee (Singapura), Thaitanium (Thailand), Joeniar Arief (Indonesia, Jin (Amerika Syarikat) dan Phlowtron (Malaysia).

Istimewa juga single pertama daripada Joe atau nama sebenarnya Johan Ishak ialah memuatkan lagu Isabella yang pernah dipopularkan kumpulan Search.

Menurutnya, selepas mendapat keizinan daripada kumpulan Search, dia tidak membuang masa untuk menyanyikan semula lagu itu dan terus memasukkan dalam album The President.

“Dia (Amy Search) memberi sokongan penuh atas apa yang saya usahakan ini terhadap lagu Isabella. Atas keizinannya, saya melakukannya sepenuh hati. Umum juga tahu nama seperti Search, Datuk Siti Nurhaliza dan Datuk Sheila Majid mencipta fenomena di negara jiran kita, selain Indonesia. Mereka sentiasa diingati dan atas alasan itu juga saya ingin menembusi pasaran sana.

“Kejayaan Amy memberi inspirasi kepada saya kerana selain dianggap lagenda, dia juga cukup berjaya sebagai usahawan. Selalu kalau berpeluang bertemu dengannya, dia tak lokek memberi nasihat dalam apa yang dilakukan. Saya juga ingin mengikut jejaknya.

“Akhir bulan ini saya akan ke Indonesia kerana terbabit dengan persembahan dan apabila sudah berada di sana, saya akan berbincang mengenai usaha membawa album ini ke pasaran negara itu. Jika dulu, saya di bawah label EMI, sekarang mendapat kerjasama Warner pula untuk edaran. Semuanya belum dapat dipastikan,” katanya yang sudah mempunyai kekasih hati.

Tiada lagi imej budak hip hop

MELIHAT kepada imejnya kini nampak lebih kemas dan tiada lagi imej budak hip hop yang gemar memakai topi, berbaju besar dan seluar pendek yang labuh hingga paras lutut. Malah, ada yang mula melabel dirinya sebagai Jay Z Malaysia.

Katanya, seiring dengan usianya yang bakal menginjak 30 tahun pada Oktober ini, ia dilihat sebagai antara peralihan transformasi dunia barunya.

Sambil berseloroh, Joe berkata, wajahnya mungkin sekali pandang seiras dengan Jay Z tapi seboleh-bolehnya dia enggan dibayangi dengan jolokan itu.

Tambahnya lagi, wajahnya mungkin sedikit kacak daripada penyanyi rap dan usahawan berjaya itu.

“Saya tidak boleh menidakkan suami kepada Beyonce Knowles itu banyak memberi inspirasi dan pengaruh bukan kepada saya saja, malah orang lain.

“Kesannya cukup besar terhadap saya. Memang saya berharap suatu masa nanti dapat berjumpa dengannya. Mana tahu, saya dapat berkongsi muzik dan ideologi dengannya,” katanya yang tidak kisah berimej memakai kot.

Ditanya mengenai kebangkitan band indie yang semakin mendapat perhatian sejak tiga tahun kebelakangan ini, Joe melihat ia sebagai satu perkara yang positif.

Katanya, ia juga menandakan bahawa masyarakat Malaysia sudah mula terbuka menerima pelbagai genre muzik.

“Ia satu impak yang positif dan sebelum kemunculan Estranged, Meet Uncle Hussain, Hujan dan Bunkface lagi, kita sudah ada kumpulan seperti Butterfingers dan OAG yang juga bermula secara underground.

“Perjuangan mereka dalam tempoh yang lama tanpa sebarang perhatian ramai akhirnya berubah serta merta seiring dengan perubahan evolusi muzik di negara kita,” katanya yang masih yakin peminat muzik hip hop masih ada.

INFO: Pemahaman Joe terhadap judul albumnya, The President

Albumnya diterbitkan oleh syarikatnya sendiri iaitu Kartel Records yang ditubuhkan sejak 2006.

* Dirakamkan ketika negara sedang sibuk menghadapi pilihan raya.

Katanya lagi, kerana Presiden Amerika Syarikat, Barack Obama, dia hampir menukar judul album ini.

Ia ibarat luahan hatinya dan tidak bermaksud untuk mengatakan dirinya sebagai raja atau presiden kepada Hip Hop.

Ia merujuk kepada diri, seseorang yang boleh mencipta perubahan, melaksanakan sesuatu dan setiap butir bicaranya sentiasa didengar.

Simbol kepada impian Joe sendiri yang mahu mengukuhkan hasil kerja seninya tidak pudar dalam sanubari hatinya.

Dalam usaha untuk mencapai kejayaan dan kesempurnaan pasti akan ada halangan yang datang. Sebagai contoh, sewaktu mula menyanyi lagi, isu cetak rompak mula menular. Begitu juga sekarang, dengan kecanggihan teknologi hingga berlaku penyalahgunaan seperti muat turun lagu secara haram.

Album ini melakukan proses mastering secara maya di California membabitkan dua studio di Hollywood dengan kos harga RM10,000.

Lapan lagu dalam album ini menggunakan teknik muzik yang dipanggil 808s yang sering digunakan penyanyi rap, Timberland.

Penerbit yang terbabit untuk album ini tidak pernah langsung terbabit dalam penghasilan album Too Phat sebelum ini.

Lebih 80 ke 100 lagu dipilih sebelum ia dikecilkan menjadi 14 lagu pada akhirnya.

INFO: Joe Flizzow

Dilahirkan di Kuala Lumpur pada 16 Oktober 1979.

Menyertai Too Phat pada usia 19 tahun

Album ini diciptanya ketika Joe ‘keseorangan’ dan ketika kisah ‘kehilangan’ Malique mula diperkatakan.

Masih menghubungi dan bertemu dengan Malique. Malah, Malique antara orang pertama ditunjukkan hasil akhir album ini.

Anak kepada bekas pembaca berita TV3, Ishak Nengah dan wartawan, Aishah Ali.

Berita Harian

Follow

Get every new post delivered to your Inbox.