Archive | February, 1998

Warner Music Rancang Konsert Legenda

16 Feb

SYARIKAT rakaman Warner Music merancang mengadakan Konsert Legenda dengan mengumpulkan artis- artis yang terbabit di dalam album Pujaan Legenda 70-an dan 80-an terbitan mereka.

Eksekutif Promosi Warner Music, Aida Hussin berkata, dengan mengadakan konsert tersebut, ia sekurang-kurangnya dapat menghimpunkan semula para penyanyi terkenal yang ketika ini ada di antaranya masih aktif atau menyepi daripada dunia hiburan.

Ujar Aida, walaupun rancangan itu mungkin mengambil masa yang agak panjang untuk dilaksanakan, Warner Music akan berusaha untuk menjadikan ia realiti.

”Kami juga mendapat maklum balas positif daripada para peminat yang mencadangkan agar diadakan sebuah konsert istimewa yang menggabungkan penyanyi-penyanyi dalam album Pujaan Legenda ini.

”Maklum balas ini menyakinkan pihak kami terhadap sambutan yang bakal diterima sekiranya konsert itu diadakan,” ujar Aida lagi.

Dalam pada itu, perkembangan terbaru dunia muzik kini menyaksikan syarikat-syarikat rakaman tempatan kembali berlumba-lumba menarik minat penggemar-penggemar muzik lagu-lagu ‘evergreen’ tahun 70-an dan 80-an.

Selepas menerbitkan lagu-lagu metal 60’an, kini mereka beralih pula kepada koleksi lagu-lagu yang popular pada tahun 70-an dan 80-an.

Ini termasuk Warner Music yang baru sahaja menerbitkan album koleksi lagu-lagu lama iaitu Pujaan Legenda 70-an dan 80-an dengan memuatkan lagu-lagu popular ketika itu.

Lagu-lagu tersebut yang popular sekitar tahun 70-an yang menjadi pilihan ialah Taqwa Iman, Sumber Ilhamku, Manis Kata Dibibir Saja, Tom Tom Bak, Rindumu Ku Bawa Bersama, Usah Kau Rayu Padaku, Tangisan Hati yang Derita dan Teratai.

Selain itu, ia memuatkan lagu Tak Seindah Wajah, Penawar Di Hati, Perpisahan Tanpa Relamu, Duniaku Duniamu, Bawalah Daku Bersamamu, Tudung Periuk, Nora dan Kasih.

Bagi Pujaan Legenda 80-an pula, album tersebut memuatkan lagu-lagu Pengemis Cinta, Ku Kejar Bayangmu, Cukuplah Sekali, Ku Pendam Sebuah Duka, Hadirmu Membawa Sinaran, Wajahmu Di Mana Mana, Bukan Kerana Nama, Selamat Tinggal Bungaku, Sekadar Di Pinggiran, Mati Hidup Semula, Kau Bungaku, Kau Yang Ku Nanti, Musliha, Setulus Cinta, Berpaut Di Dahan Cinta dan Doa Buat Kekasih.

Lagu-lagu itu dibawa oleh penyanyi-penyanyi terkenal seperti Ella, Jay Jay, Azlina Aziz, Jamal Abdillah, Datuk Shake, Ramli Sarip, Datuk S.M Salim, Francesca Peters, Dayangku Intan, Khatijah Ibrahim, Hail Amir, Yasmin Yusuf dan Latif Ibrahim.

Bagaimanapun, sesuai dengan suasana muzik ketika ini, lagu-lagu itu diubah suai dengan penambahan muzik semasa tanpa mengubah melodi dan cara penyampaian para penyanyinya.

Setelah diedarkan di pasaran kira-kira dua bulan lalu, album itu mencatat jualan yang memberangsangkan iaitu sebanyak 10,000 unit.

Powered by Utusan Malaysia