Archive | May, 2004

Glamor Dior Di Cannes 2004

30 May

Oleh Jamliah Abdullah

CHRISTIAN Dior barangkali sedikit terpinggir di karpet merah Anugerah Academy di Hollywood pada Mac lepas.

Tetapi sebaliknya label Dior yang berprestij itu kembali menyerlah di Festival Filem Cannes, Perancis baru-baru ini.

Festival filem yang berlangsung selama 12 hari itu menyaksikan bagaimana Dior mendominasi karpet merah Cannes pada setiap acara daripada majlis tayangan filem, parti hingga ke malam gala iaitu majlis penyampaian anugerah.

Begitu juga pelbagai label Dior daripada busana anggun, barang kemas hingga ke aksesori diperagakan oleh bintang terkenal yang menghadiri festival tersebut.

Tidak ketinggalan adalah solekan daripada koleksi musim panas/bunga daripada Christian Dior Parfum yang menambah glamor pada celebrity terbabit di karpet merah.

Festival filem seperti di Cannes selalunya dikaitkan dengan majlis yang kasual. Lantas apa yang digayakan pada karpet merah Cannes juga lebih ringkas tetapi ia tidak bererti kurang gaya glamor mereka.

Apatah lagi dengan padanan aksesori yang bernilai lumayan. Dior tidak ketinggalan untuk mencipta gaya itu bagi celebrity yang kebanyakannya terdiri daripada bintang-bintang Hollywood.

Kehadiran lebih banyak bintang itu di karpet merah Cannes sejak beberapa tahun kebelakangan tentu saja antara alasan utama kenapa ia menjadi begitu menyerlah sekali.

Banyak bintang menggayakan koleksi Dior termasuk aktres cantik, Charlize Theron.

Pada malam gala Cannes 2004 itu untuk Charlize yang ke pentas menyampaikan anugerah, dia mengenakan busana anggun hijau muda yang seksi.

Gaun ilham pereka Dior, John Galliano yang mendedahkan bahagian bahu Charlize itu dipadankan bersama aksesori berupa sandal label Dior.

Bintang Kill Bill: Vol 2, Uma Thurman yang ditemani pengarahnya merangkap ketua panel juri Cannes 2004, Quentin Tarantino juga menggayakan gaun busana anggun Dior.

Gaun biru bersulam butiran kristal untuk sedikit gaya mewah itu juga rekaan khas Galiano untuk Uma. Pada tayangan filem Kill Bill 2, Uma turut memakai jaket Dior daripada Galliano.

Aktres sensasi, Penelope Cruz kelihatan menawan dengan busana anggun berwarna krim yang digayakan dengan beret dan aksesori Dior.

Ketika hadir untuk tayangan filem Breaking the News, aktres Kelly Chen mengenakan busana anggun gaun sutera Dior yang bergaya mewah.

Kelly yang seksi itu juga mengayakan anting-anting berlian Provocante rekaan Victorie de Castella daripada koleksi barang kemas Dior.

Aktres Liz Hurley tidak ketinggalan memilih untuk menggayakan koleksi Dior. Cuma barangkali gaun sifon berwarna ungu, motif harimau bintang itu kelihatan agak janggal untuk Liz.

Antara yang berterusan menggayakan koleksi Dior sepanjang festival itu adalah aktres Olivia Magnani, Emmanuelle Beart, Eva Herzigova, Mia Maestro dan Marisa Paredes.

Olivia tampil dengan pakaian sutera sifor berwarna merah jambu yang ditambah anting-anting berlian dan koleksi cincin Miss Dior.

Gaya ceria tetap ada walaupun harus menyusuri karpet merah yang sinonim dengan gaya glamor itu.

Itu adalah Eva yang memadankan gaun sifon Dior dengan selendang bulu berwarna merah jambu pucat.

Bukan Dior saja label jenama Eropah yang menyerlah di Cannes 2004.

Seperti kebiasaan, selain Dior, karpet merah Cannes 2004 turut dihiasi dengan busana anggun rumah fesyen terkemuka seperti Versace, Chanel, Louis Vuitton, Valentino dan Chloe.

Ia digayakan oleh bintang terkenal seperti Jennifer Aniston, Sharon Stone dan Sofia Coppola.

Seperti juga suasana musim panas/bunga yang indah dengan warna-warna ceria kebanyakan koleksi itu juga bernuansa senada.

Utusan Malaysia

Anugerah IIFA 2004 – Hrithik Roshan Tewaskan Shah Rukh Khan

24 May

Oleh SAHARUDIN MUSTHAFA (Yang membuat liputan Anugerah IIFA 2004 di Singapura)

FILEM Kal Ho Naa Ho berjaya merangkul lapan daripada 13 anugerah utama termasuk anugerah Filem Terbaik di Akademi Industri Filem India 2004 (IIFA 2004) yang berlangsung di Singapura, malam Sabtu lalu.

Kemenangan filem arahan Nikhil Advani itu sememangnya sudah diduga dari awal lagi biarpun filem itu mendapat persaingan yang sengit daripada filem Koi Mil Gaya.

Antara anugerah lain yang dibawa pulang oleh karyawan filem berkenaan ialah Pelakon Wanita Terbaik yang dimenangi oleh Preity Zinta, Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik (Saif Ali Khan) dan Pelakon Pembantu Wanita Terbaik (Jaya Bachchan).

Karyawan filem berkenaan turut memenangi anugerah Cerita Terbaik, Arahan Muzik Terbaik, Lirik Terbaik dan Penyanyi Latar Lelaki Terbaik.

Selain lapan anugerah utama itu, filem Kal Ho Naa Ho juga membolot enam anugerah teknikal lain.

Sementara itu, kemenangan pasangan bapa dan anak, Rakesh Roshan dan Hrithik Roshan turut menjadi tumpuan seluruh karyawan filem India yang berkampung di negara itu.

Kejayaan paling manis dua beranak itu masing-masing menerusi trofi Pengarah Terbaik dan Pelakon Lelaki Terbaik menerusi filem Ki Mil Gaya sekali gus mengenepikan pengarah Nikhil Advani dan aktor Shah Rukh Khan yang bertanding menerusi filem Kal Ho Naa Ho.

Pelakon karisma, Hrithik Roshan kini dilihat sebagai bintang yang cukup menyerlah di India dan memberi saingan yang sengit pada aktor ternama India, Shah Rukh Khan.

Anugerah IIFA 2004 turut memberi pengiktirafan kepada dua personaliti tersohor industri filem India iaitu aktor veteran Dilip Kumar dan penerbit filem terkenal, Yash Johar kerana sumbangan besar mereka pada industri filem Bollywood.

Dilip dianugerahkan Pencapaian Cemerlang Perfileman India yang disampaikan oleh Presiden Singapura, S.R. Nathan.

Yash pula menerima anugerah Sumbangan Cemerlang Perfileman India yang disampaikan oleh aktor Amitabah Bachchan.

Acara yang berlangsung selama tiga hari bermula Khamis lalu menyaksikan kehadiran ramai bintang ternama Bollywood yang diketuai oleh Amitbah yang juga Ketua Penaung dan Duta Anugerah IIFA.

Tidak ketinggalan pelakon-pelakon seperti Shah Rukh Khan, Hrithik Roshan, Rani Mukerjee, Vivek Oberoi, Kareena Kapoor, Abishek Bachchan, Sunjay Dutt, Preity Zinta, Kajol, Ajay Devgan dan ramai lagi.

Senarai penuh pemenang anugerah IFFA 2004

Filem Terbaik : Kal Ho Naa Ho

Pengarah Terbaik: Rakesh Roshan (Koi Mil Gaya)

Cerita Terbaik: Karan Johar

(Kal Ho Naa Ho)

Aktor Terbaik : Hrithik Roshan

Aktres Terbaik: Preity Zinta

Aktor Pembantu Terbaik :

Saif Ali Khan

Aktres Pembantu Terbaik :

Jaya Bachchan

Pelakon Komedi Terbaik:

Boman Irani

Pelakon Watak Negatif Terbaik : Feroz Khan

Arahan Muzik Terbaik :

Shankar-Ehsaan-Loy

Penyanyi Latar Lelaki Terbaik :

Sonu Nigam

Penyanyi Latar Wanita Terbaik : Shreya Ghoshal

Lirik Terbaik: Javed Akhtar

(Kal Ho Naa Ho)

Anugerah Khas :

Anugerah Pencapaian Cemerlang Dalam Industri Perfileman India :

Dilip Kumar

Anugerah Sumbangan Cemerlang Perfileman India : Yash Johar

Utusan Malaysia