Glamor Karpet Merah Emmy

26 Sep

SEMEMANGNYA menyeronokkan menonton bintang Hollywood melangkah ke pentas untuk merangkul anugerah kemenangan mereka pada majlis seperti Anugerah Emmy.

Namun menonton mereka melenggang-lenggok di karpet merah dalam busana anggun yang serba menawan dan mewah juga lebih menyeronokkan.

Apatah lagi pada ketika itu juga bintang Hollywood tersebut terutamanya yang wanita mengambil kesempatan untuk bergaya habis.

Hakikatnya bergaya di karpet merah bagi majlis anugerah seperti itu adalah satu kemestian.

Mereka perlu bergaya dengan sempurna dan menawan sekurang-kurangnya pada pandangan mata mereka, atau mereka akan dihentam teruk oleh pengkritik fesyen.

Karpet merah untuk majlis tersebut tidak pernah mempersembahkan apa-apa tema.

Tetapi kebanyakan celebrity memilih gaya yang cukup selamat dan sempurna iaitu busana anggun terutamanya gaun petang daripada pelbagai nuansa.

Laporan fesyen dari majlis Anugerah Emmy 2004 yang berlangsung di Los Angeles, Amerika Syarikat baru-baru ini menjelaskan bahawa ia dipenuhi dengan busana anggun yang glamor dan sensasi.

Gaya klasik dan retro jelas meraih perhatian pereka fesyen ternama untuk menggayakan celebrity terbabit. Itu termasuk potongan rambut dan aksesori.

Antara aktres yang meraih perhatian di karpet merah pada majlis yang berlangsung Isnin lepas adalah aktres siri komedi televisyen terbaik, Sarah Jessica Parker.

Pelakon Sex and the City yang cukup menyerlah di Emmy sejak empat tahun berturut-turut itu mengenakan gaun petang berenda hitam daripada Chanel Couture.

Chanel juga pilihan pelakon Friends, Jennifer Aniston yang mengenakan gaun bergaya puteri Greek bersulam keemasan.

Gaya korset atau bustier juga kelihatannya popular di karpet merah tersebut. Seorang lagi pelakon Sex and the City, Kristin Davis memilih gaun berkorset dengan sulaman manik jenama Prada untuk ke karpet merah.

Putih pilihan pelakon Alias, Jennifer Garner.

Jennifer teman wanita baru Ben Affleck itu memilih untuk mengenakan gaun renda Oscar de la Renta yang mendedahkan belakangnya.

Bukan sesuatu yang keterlaluan untuk bintang Hollywood itu mempopularkan apa saja gaya di karpet merah, termasuk gaya baju tidur.

Apa pun dengan potongan badan yang menarik seperti itu sesiapa saja mampu kelihatan hebat.

Kita memperkatakan tentang Sharon Stone yang turut merangkul anugerah Aktres Jemputan Terbaik dari drama The Practice.

Gaun sutera berwarna ungu muda daripada Elsie Katz yang menyolok mata itu tidak ubah seperti gaun tidur.

Gaun ringkas itu dipadankan dengan cincin dan anting-anting berlian daripada Kwiat.

Anne Heche turut membawa gaya yang sama apabila dia memilih gaun satin Giorgio Armani.

Gaun sutera sifon berwarna merah rekaan Pamela Roland juga menjadikan Kim Cattrall kelihatan menawan.

Turut menghiasi tubuh pelakon Sex and the City itu adalah cincin berlian Lorraine Schwartz.

Hitam sentiasa meraih perhatian di karpet merah dan warna itu juga pilihan Portia de Rossi.

Portia memilih gaun labuh Givenchy yang dipadankan dengan rantai tangan bertatah berlian H. Stern.

Celebrity televisyen Barbara Walters turut memilih gaun hitam ilham Donna Karan.

Sesuatu yang ketara, warna hijau juga popular di karpet merah tersebut.

Pereka Vera Wang menggayakan aktres Mariska Hargitay gaun hijau muda.

Hijau juga pilihan Lorraine Bracco daripada rekaan Douglas Hannant dan Allison Janney yang mengenakan gaun sifon berleher gantung.

Selain itu gaun berpotongan vintaj pilihan aktres CSI, Jorja Fox dan Drea de Matteo.

Jorja memakai gaun merah jambu daripada Christian Dior yang dipadankan dengan rantai labuh mutiara untuk melengkapkan gaya 30-an itu.

Bercerita tentang aksesori, anting-anting gantung kelihatannya meraih perhatian kerana ia digayakan oleh banyak aktres di karpet merah itu termasuk Jennifer, Edie Falco, Jennifer Garner dan Barbara Walters.

Aksesori mewah termasuk anting-anting berlian bertatah 276 batu permata daripada Chopard turut digayakan oleh Lorraine.

Tidak ketinggalan adalah tiara berlian yang digayakan oleh celebrity Paula Abdul bersama gaun hitam.

Kebanyakan celebrity lelaki pula memilih cara tradisional iaitu menggayakan sut hitam kecuali Dennis Haysbert mengenakan sut biru navy.

Utusan Malaysia

Leave a Reply

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: