Archive | December, 2005

Perkahwinan Juliana – Mokhtar Tutup Tirai 2005

28 Dec

Oleh: KHADIJAH IBRAHIM

PERNIKAHAN aktres Juliana Azman Banos, 26, dengan usahawan Mokhtar Ahmad, 33, dianggap perkahwinan paling gemilang di kalangan artis Malaysia pada tahun ini.

Juliana atau Jun adalah artis yang pandai menyimpan rahsia percintaan. Malah artis yang tidak banyak digosip itu kini mampu tersenyum riang kerana percintaan yang dipupuk selama dua tahun berakhir ke jinjang pelamin.

Selain kenduri di Johor Bahru dan Kuantan, Pahang, Jun turut meraikan rakan-rakan artis dan sahabat handai pada majlis resepsinya di Hotel Palace of the Golden Horses di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Antara artis yang hadir pada hari bersejarahnya ialah Faizal Hussein dan isteri, Suhaila Sulaiman, Norman Hakim, Abby Abadi, Tomok, Ako Mustapha, Ruhani Rahman dan tetamu kehormat Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah bersama Sultanah Kalsom serta Menteri Luar, Datuk Seri Syed Hamid Albar.

Kehadiran rakan-rakan artis itu bukan sahaja menyerikan majlis perkahwinannya malah ia juga bagai memenuhi impian Jun yang ingin semua rakan artis yang pernah bekerjasama dengannya hadir menyaksikan hari perkahwinannya.

Jun yang ditemui selepas majlis resepsi itu berkata, biarpun sudah bergelar isteri, namun dia tetap meneruskan kegiatan seni sebagai penyanyi. Tambahan pula Jun akan muncul dengan album baru berjudul Mutiara Jun menerusi syarikat miliknya, Juliana Banos Sdn. Bhd.. Album yang menampilkan konsep 1980-an itu dijangka berada di pasaran Januari ini.

Menurut Jun, album yang menampilkan Audi Mok, Azlan Abu Hassan dan Azman Abu Hassan sebagai penerbit itu amat bermakna pada dirinya.

“Lagu-lagu dalam album ini mencerminkan isi hati Jun yang terpendam selama ini. Biarpun lagu-lagunya pilihan Jun namun ia tetap memenuhi kehendak pendengar masa kini,’’ katanya.

Antara lagu yang dimuatkan dalam album Mutiara Jun ialah Obsesi, Tak Perlu, Cinta Selamanya, My Own Person dan Baby.

Powered by Utusan Malaysia

Advertisements

Man Kidal Tidak Puas Main Satu Lagu

27 Dec

Oleh ABD. AZIZ ITAR


AKSI Man Kidal sewaktu mengadakan konsert bersama Svetlana Bezrodnaya di PWTC, Kuala Lumpur baru-baru ini.

KONSERT An Evening With Svetlana Bezrodnaya & The Vivaldi Orchestra yang berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur Rabu lalu meninggalkan kenangan manis buat gitaris Man Kidal.

Pada konsert itu, Man Kidal diundang mengadakan konsert bersama peggesek biola terkemuka, Svetlana Bezrodnaya, dan kumpulan The Vivaldi Orchestra dari Rusia.

Man Kidal muncul sebagai artis jemputan dan diundang pada akhir konsert itu dengan menyampaikan sebuah lagu instrumental berjudul Sentuhan Kidal.

Petikan pemain gitar kumpulan Lefthanded itu diiringi gesekan biola Svetlana dan The Vivaldi Orchestra yang dianggotai oleh 25 pemuzik wanita.

Sentuhan Kidal bukan sahaja satu-satunya lagu yang disampaikan oleh Man Kidal, tetapi lagu itu merupakan persembahan penutup tirai konsert itu.

Sewaktu membawakan lagu itu, Man Kidak kelihatan begitu bersemangat dan penuh perasaan. Dia memejamkan matanya ketika memetik gitar, menggambarkan betapa mendalamnya emosi datuk kepada seorang cucu ini sepanjang persembahannya.

Suasana Dewan Merdeka, PWTC pada malam itu juga bergemuruh dengan tepukan para penonton yang gembira bercampur bangga dengan kolaborasi Mat Kidal dan The Vivaldi Orchestra.

Bagaimanapun, gitaris berusia 42 tahun itu menyatakan bahawa dia tidak puas dengan persembahannya yang tidak sampai lima minit itu.

“Bagi saya, satu lagu tidak cukup. Saya tidak puas dengan persembahan pada malam itu. Tetapi saya akur saya hanya artis undangan.

“Apa pun saya rasa bangga kerana dijemput mengadakan persembahan bersama mereka. Selama dua hari menjalani latihan bersama, saya banyak menimba pengalaman daripada mereka,” kata Man Kidal ketika ditemui selepas konsert tersebut.

Persembahan selama hampir dua jam itu menyaksikan Svetlana Bezrodnaya bukan setakat bertindak selaku konduktor The Vivaldi Orchestra tetapi pada masa yang sama dia juga menggesek biolanya.

Pada persembahan bahagian pertama, Svetlana Bezrodnaya dan The Vivaldi Orchestra menyampaikan 16 lagu dan bahagian kedua pula 18 lagu.

Ramai yang terpegun dengan konsert itu kerana alunan muzik klasik yang dipersembahkan oleh para pemuzik dari Moscow itu begitu kemas dan meninggalkan kesan penghayatan yang mendalam.

Walaupun berkonsepkan muzik orkestra tetapi persembahan pada malam itu tidak setakat bertumpu kepada lagu-lagu klasik semata-mata tetapi muzik cha cha dan moden klasik turut diperdengarkan.

Sayangnya Svetlana Bezrodnaya mahupun The Vivaldi Orchestra kurang bijak dalam mengambil hati para penonton yang 90 peratus terdiri daripada peminat tempatan.

Menurut komposer dan konduktor muzik tempatan yang turut menyaksikan persembahan itu, Ramli M.S., para pemuzik Rusia itu sepatutnya membawakan satu lagu tempatan yang digubah semula mengikut acuan muzik orkestra mereka.

“Saya tertanya-tanya mengapa mereka tidak menyampaikan walau sebuah pun lagu tempatan pada konsert itu.

“Sebagai pemuzik profesional mereka boleh menggubah sebuah lagu tempatan yang popular sesuai dengan persembahan mereka.

Kenangan

“Cara itu bukan sahaja akan meninggalkan kenangan kepada mereka tetapi juga para penonton,” komen Ramli selepas konsert itu.

Konsert yang amat dinanti-nantikan oleh penggemar muzik klasik itu dimulakan dengan persembahan artis undangan, kumpulan Jr. 5, dengan sebuah lagu berjudul Show Me The Meaning yang dipopularkan oleh Backstreet Boys.

Sebahagian hasil jualan tiket berharga dari RM128 hingga RM10,000 itu akan disumbangkan kepada Pusat Dialisis Tuanku Syed Putra.

Tetamu kehormat yang menyaksikan konsert itu ialah Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Datuk Seri Azmi Khalid dan isterinya, Datin Seri Normala Samsudin.

Konsert anjuran Just 311 Entertainment Sdn. Bhd. itu bukan sahaja berjaya menarik hampir 500 peminat muzik klasik tetapi ramai juga rocker tempatan yang datang memberi sokongan.

Antara rocker yang tidak melepaskan peluang menyaksikan konsert itu ialah anggota-anggota kumpulan Bumiputra Rockers (BPR), Awang dan Joey, Black, Joe (Wings), Yazit (Search) dan Loque (Butterfingers).

Vokalis BPR, Joey berkata: “Saya datang bukan semata-mata memberi sokongan moral kepada Man Kidal tetapi kerana tarikan muzik klasik itu sendiri.

“Saya rasa rugi kalau peluang ini dilepaskan begitu sahaja. Bukan senang mahu melihat sebuah konsert orkestra yang bertaraf dunia seperti ini.

“Bagi saya, muzik orkestra dan klasikal adalah bapa segala muzik. Walaupun bermain muzik rock tetapi tidak salah saya mempelajari ataupun meminati muzik orkestra,” ujar Joey.

Pemain dram kumpulan Search, Yazit Ahmad pula berkata: “Sebagai ahli muzik saya kena menonton konsert seperti ini. Banyak kelainan yang mereka tampilkan. Biasanya saya dengar lagu-lagu rock tetapi malam ini saya tukar tuning telinga saya kepada muzik klasikal.”

Utusan Malaysia

Benang Emas Album Duet Nana Dan Achik

21 Dec

Oleh KHADIJAH IBRAHIM

SEKARANG ini Nana sibuk mempromosikan album duet keduanya bersama Achik Spin, Benang Emas, yang telah berada di pasaran sejak Isnin lalu.Kali terakhir Nana merakamkan album duet dengan Achik adalah pada tahun 2003 menerusi album Istimewa Untukmu yang dijual melebihi 100,000 unit.

Sambutan hebat yang diberikan terhadap album tersebut mendorong pihak FMC menghasilkan album duet seterusnya.

KKAlbum Benang Emas yang berkonsep pop itu menampilkan lima lagu baru dan lima lagu lama. Antara lagu lama yang dipilih untuk dendangan Nana dan Achik ialah Aci-Aci Buka Pintu, Antara Matamu dan Mataku, Bersama Pertemuan Ini, Mari Bermain Tali dan Mungkinkah Terjadi.

KKKata Nana, kesemua lagu lama itu disusun semula muziknya oleh John Goh dan didendangkan mengikut gaya serta lenggok Nana dan Achik. Lagu yang paling disukai oleh Nana ialah Bersama Pertemuan Ini yang pernah dipopularkan oleh Francissca Peter dan Roy.

KKMenurut Nana, album yang telah dirakamkan sewaktu bulan puasa lalu menampilkan lagu Tatasuria ciptaan Aidit Alfin sebagai single terbaru. Sebelum ini lagu Benang Emas ciptaan Eddie Hamid berjaya menyertai pertandingan separuh akhir Muzik Muzik 20.

KKKK”Nana dan Achik akan mula menjalani promosi Januari ini. Kami dijangka menjelajah ke seluruh negara termasuk Brunei,” ceritanya.

KKJelas Nana, dia tidak menghadapi masalah berduet dengan Achik kerana masing-masing sudah faham kehendak penerbitnya iaitu Eddie Hamid, Aidit Alfin, Patrick Kamis, Adinda Amirul dan John Goh.

KKNana yang sentiasa tersenyum sewaktu bercerita itu berkata, selain merancang perjalanan seni dia turut memikirkan masa depan.

“Nana perlu bekerja kerana tahun depan Nana berazam untuk membeli rumah sendiri. Sekarang ini Nana dan keluarga masih menyewa,” katanya terus terang.

Powered by Utusan Malaysia

Michelle Yeoh Pikat Syarikat Kosmetik

18 Dec

UNGKAPAN, Life begins at 40 nyata bukan saja boleh ditujukan kepada lelaki. Sekurang-kurangnya ia juga milik pelakon Malaysia, Datuk Michelle Yeoh yang kini mencipta nama di persada filem antarabangsa.

Pada usia 43 tahun itu, kejelitaan Michelle bukan saja menawan layar perak tetapi menjadikan dia pilihan syarikat kosmetik L’Oreal dari Perancis.

Pada penghujung November lepas, syarikat kosmetik itu melantik Michelle sebagai duta terbaru L’Oreal dan produk mereka untuk pasaran antarabangsa.

Pemilihan Michelle mewakili produk bertaraf antarabangsa itu nyata membanggakan. Dia membuktikan dengan usia lebih empat dekad itu, kejelitaannya masih menyerlah.

Pada usia yang sama, aktres Hollywood, Sharon Stone sebelum ini terpilih sebagai duta terbaru produk Dior.

Michelle iaitu aktres yang disegani dalam sinema Asia mahupun antarabangsa itu kini menyertai jelitawan dunia yang lain sebagai wajah baru L’Oreal.

Itu termasuk aktres muda Charlize Theron, Laetitia Casta, Beyonce Knowles, Gong Li, Milla Jovovich, Nomie Lenoir, Eva Longoria, Natalia Vodianova dan Aishwarya Rai.

Personaliti Michelle yang dinamik dan menawan nyata memikat syarikat kosmetik tersebut selain daripada profil seninya yang semakin cemerlang.

Apatah lagi dengan populariti terbaru Michelle yang dikecapi lewat filem Memoirs of a Geisha arahan Rob Marshall yang bakal menemui penonton pada Januari.

Michelle selama ini terkenal kepada khalayak filem antarabangsa selepas tampil dalam filem Crouching Tiger, Hidden Dragon.

Dia juga pernah muncul sebagai gadis Bond yang bijak dan tangkas dalam filem James Bond, Tomorrow Never Dies.

Michelle yang berasal dari Ipoh, Perak itu memulakan kerjaya lakonan di Hong Kong sebagai aktres filem aksi pada 1984.

Lewat kejayaannya menawan khalayak filem antarabangsa, Michelle pernah menerima gelaran sebagai antara 50 personaliti menawan di dunia pada 1997 oleh majalah People.

Michelle kini sudah muncul dalam 22 buah filem dan kini bergelar artis Asia yang menerima bayaran paling mahal. Pada usia lebih 40-an itu Michelle yang mengamalkan cara hidup sihat juga terkenal dengan kejelitaannya.

Pada masa yang sama, Michelle juga terkenal dengan kerja kebajikan terutama yang membabitkan AIDS.

Utusan Malaysia

Rock Kembalikan Kegemilangan Era Muzik Rock 80-An

13 Dec

Oleh A. WAHAB HAMZAH

BAGI anda yang melalui zaman muda dan remaja pada dekad 1980-an pasti anda masih mengingati satu era yang sungguh menarik dalam sejarah seni muzik popular tanah air. Era itu telah menyaksikan betapa gamatnya seni muzik tanah air dengan lagu-lagu rock ekoran kemunculan beberapa kumpulan muzik rock yang terkenal dan berpengaruh seperti Sweet Charity, Search, Wing, Lefthanded dan Bumiputra Rockers (BPR).

Irama dan lagu-lagu yang dibawakan oleh kumpulan ini masih popular dan diingati hingga ke hari ini. Sepertimana kemunculan kumpulan muzik pop yeh-yeh pada dekad 1960-an yang lengkap dengan budaya fesyennya, kemunculan kumpulan rock juga membawa fesyen dan budayanya sendiri.

Tidak dinafikan kumpulan-kumpulan ini dipengaruhi oleh kumpulan muzik rock dari barat seperti Deep Purple, Nirvana, Rolling Stones dan Iron Maiden. Bagaimanapun, pada penghujung dekad 1990-an penguasaan kumpulan muzik rock ini dalam arena seni muzik tanah air berkurangan disebabkan munculnya pula beberapa genre baru seni muzik seperti hip-hop dan rap yang mengambil alih perhatian peminat muzik.

Ketika era gemilang kumpulan muzik rock, sebenarnya banyak kumpulan muzik rock muncul di kalangan remaja dan anak-anak muda yang membawa impian untuk menjadi rocker terkenal tetapi banyak juga yang gagal untuk mencipta nama.

Menyedari realiti hidup, mereka lalu beralih arah membina kehidupan sendiri. Era muzik tersebut sebenarnya menyaksikan bagaimana muzik rock telah menjadi pernyataan protes dan gambaran kebebasan anak-anak muda.

Era yang menarik dalam sejarah seni muzik Malaysia ini cuba dibawakan oleh Mamat Khalid dalam filem arahannya yang terbaru berjudul Rock.

Ini merupakan filem pertama yang cuba mengembalikan era kegemilangan muzik rock 1980-an ke filem. Barangkali kita masih ingat filem Kembara Seniman Jalanan arahan Nasir Jani yang turut membawakan elemen dan perjuangan muzik rock tanah air, tetapi filem tersebut dihasilkan semasa kemuncak populariti kumpulan muzik rock.

Rock arahan Mamat Khalid sebenarnya bukanlah sebuah biografi tentang mana-mana kumpulan muzik rock terkenal yang saya sebutkan di atas, sebaliknya dia mengetengahkan tentang impian dan harapan sekumpulan anak muda di Taiping, Perak menubuhkan sebuah kumpulan muzik rock bernama Rimba Bara dan berharap tuah akan bersama mereka dan menjadikan mereka terkenal seperti mana kumpulan muzik yang menjadi idola mereka.

Kumpulan anak muda ini yang terdiri daripada ketuanya Jijo (Khir Rahman), Black (Azmi Ibrahim), Zack (Hasnol Rahmat) dan Amy (Que Haider) sebagai penyanyi utamanya mempunyai ‘wawasan’ untuk berjaya sebagai kumpulan rocker yang terkenal dan dapat merakamkan album.

Bagaimanapun, untuk mencapai impian tersebut bukannya mudah, ia datang bersama cabaran dan masalah tersendiri. Mereka juga perlu bersaing dengan pencabar utama, kumpulan muzik rock metal ala Iron Maiden bernama Malaikat Maut dengan penyanyi utamanya Zul Kapan (Shoffi Jikan).

Selain daripada itu, Zack, watak utama filem ini, menghadapi dilema apabila cita-citanya untuk menjadi seorang pemuzik tidak direstui oleh bapanya yang menganggap masa depan pemuzik tidak menentu. Dia diminta mencari pekerjaan tetap.

Kumpulan rock Rimba Bara dan Malaikat Maut sama-sama berentap dalam hampir setiap pertandingan Battle of the Band yang diadakan di sebuah dewan masyarakat Cina di Taiping.

Filem ini berupaya membawa penonton menyelami pengalaman pahit getir anak-anak muda memenuhi cita-cita dan impian untuk menjadi rocker. Dari segi semangat dan imej, filem ini berjaya mengangkat era tersebut. Malah beberapa adegan meninggalkan kesan yang tersendiri.

Tetapi untuk mengembalikan nostalgia dekad 1980-an yang merupakan era kegemilangan kumpulan rock nyata bukan satu tugas yang mudah. Era itu turut menyaksikan antara lain kemunculan bekas Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad dengan slogan Bersih, Cekap dan Amanah, kereta Proton Saga dan TV3 serta kebangkitan Malaysia sebagai salah satu kuasa ekonomi di Asia.

Adegan kumpulan Rimba Bara dan Malaikat Maut sedang bersiap untuk bertanding berjaya memberikan gambaran sebenar suasana di belakang pentas dan realiti hubungan antara kumpulan rock. Begitu juga adegan Zack menghadapi temu duga kerja di depan Nasir Jani. Latar slogan ‘Bersih, Cekap dan Amanah’ cukup berkesan dan mencuit hati.

Memang jalan cerita filem Rock agak sederhana tetapi ia terasa dekat dengan kita kerana besarnya impian dan harapan di sebalik kekerdilan mereka sebagai sebuah kumpulan muzik kampung yang bercita-cita mahu menjadi pemuzik terkenal.

Para pelakon filem ini terutamanya Khir Rahman, Hasnol Rahmat, Que Haider, Shoffi Jikan dan Azmi Ibrahim berjaya menjelma menjadi rocker yang begitu meyakinkan dari segi lagak dan kostum yang dipakai.

Bagaimanapun, sebagai sebuah filem, Rock tentu akan menjadi lebih berjaya jika Mamat lebih teliti membentuk struktur dramatiknya daripada pergerakan yang agak lembab dan mendatar. Plot dan elemen dramatiknya boleh diperkuatkan. Pertandingan akhir Battle of the Band tentulah menjadi lebih ‘gempak’ jika Mamat Khalid dapat membawa kemunculan pelakon yang dapat melakonkan watak Amy Search, Awie, Ella and the Boys, Lefthanded, Ramli Sarip dan Ali Bakar di atas pentas bergandingan dengan kumpulan anak-anak muda dari Taiping dalam satu persembahan istimewa.

Mereka yang disebutkan itu adalah tokoh yang sinonim dengan gelombang rock 1980-an. Meletakkan Amy, Man Kidal dan Nasir Jani sebagai pengadil pertandingan tentulah tidak begitu tepat kerana pada era itu mereka berada di puncak populariti.

Sebagai sebuah filem yang menampilkan perjalanan kumpulan muzik rock, elemen muzik dan produksi kesan bunyi amat penting – bila keriuhan muzik diperlukan dan bila pula kesan senyap sebagai elemen kontras wajar ditampilkan.

Filem Mamat Khalid ini perlu lebih teliti. Ada masanya rakaman kesan bunyi tidak seimbang antara dialog watak-watak yang kedengaran lembab berbanding lagu-lagu daripada soundtrack beberapa kumpulan muzik rock terkenal yang kedengaran jauh lebih bertenaga.

Rock di sebalik kesederhanaannya adalah filem yang harus dipuji. Mengembalikan era kumpulan rock 1980-an bukan bermakna membawa persembahan muzik rock di atas pentas sahaja dengan fesyen dan keriuhan muziknya, tetapi juga suasana sosial dan budayanya. Sebahagiannya telah berjaya digambarkan dengan berkesan oleh Mamat Khalid dalam Rock.

Filem: Rock

Arahan: Mamat Khalid

Lakon layar: Mamat Khalid

Pelakon: Hasnol Rahmat, Khir Rahman, Que Haider, Azmi Baharom, Shoffi Jikan, Siti Elizad, Nabila, Kamarol Hj. Yusuf, S. Amin Shahab

Utusan Malaysia

Pak Cik Dan Polis Tunggu Mawi

11 Dec

CAKAP fasal Mawi juara Akademi Fantasia 2005, semua orang tahu, dia sekarang macamlah akhbar mingguan No.1 di Malaysia iaitu Mingguan Malaysia.

Mawi sentiasa panas dan laku dengan undangan menyanyi. Tak putus-putus, jadual padat sentiasa!

Minggu lalu pada 3 Disember semasa hari pertama Karnival UKSB Jom Fiesta! Di Taman Tasik Permaisuri, Bandar Tun Abdul Razak, Kuala Lumpur berlangsung, Mawi bersama-sama artis popular lain seperti Fauziah Latiff, Waheeda, Nash, Jefrydin, Yabang Jinbara, Kumpulan Kristal, Elyana, Azharina, Uji Rashid, Khairil Khamis, Misha Omar dan ramai lagi… telah menghimpunkan 30,000 penonton menonton konsert majalah popular tanah air HAI, URTV dan Mangga malam itu.

Sebelum Mawi sampai, Huzz diberitahu dia kena jayakan beberapa show hari itu di tempat lain. Malam itu, Huzz dan rakan wartawan lain di tepi jalan raya dekat beberapa kilometer dari pentas, melihat ramai jugalah peminat yang bersama-sama kami di tepi jalan menantikan rombongan Mawi. Bukan si kecil 4 tahun saja sebut nama Mawi, pak cik yang berlebai dan berkain pelekat pun tunggu Mawi. Ada pak cik yang tak jemu tanyakan… Mawi datang tak malam itu. Polis trafik dan Rela ramai di situ mengawal kenderaan yang sesak kerana orang berpusu-pusu nak ke tapak karnival. Atas kerjasama abang polis trafik, salah seorang daripada mereka menolong Huzz untuk pergi ke Stadium Bola Sepak Cheras yang dekat dengan kawasan karnival itu untuk menunjukkan jalan pada rombongan Mawi yang tiba. Apa yang mengejutkan, agak lama juga abang polis tu pergi nak tunjukkan jalan. Tertanya-tanya juga Huzz apa dah jadi? Rupa-rupanya kata Aman pengurus Mawi, polis itu meminta Mawi tandatangan autograph dulu, bukan kena saman, tapi abang polis peminat Mawi.

Bila kereta Naza World yang dinaiki Mawi diiring abang polis masuk ke kawasan belakang pentas, terus kereta itu dikerumuni peminat. Mawi tetap tersenyum, melambai, bersalaman dengan peminat.

Dalam khemah pun sama, Mawi tak habis kena serbu kakitangan karnival dan keluarga mereka untuk bergambar.

Apa yang pasti karnival dua hari itu cukup sesak dengan manusia selain acara-acaranya yang meriah! Hari kedua Cik Siti kita pula datang. Pun sama juga penuh peminat menantikannya!

HUZZ: Takziah buat sahabat Huzz, peguam Raja Badrol Hazman kerana isterinya meninggal dunia kerana sakit paru-paru pada minggu lalu. Al- Fatihah.

Powered by Utusan Malaysia

Syanie Jadi Penyanyi Lagu Pop

6 Dec

Oleh: WANDA IDRIS

SIAPA sangka Syanie juga berbakat dalam bidang nyanyian. Album solonya, Kerana-Nya, akan dilancarkan Januari ini.

BEGITU ramah penerbit filem Ruhani Abdul Rahman dan anaknya, Syanie menyambut tetamu yang hadir ke rumah terbuka syarikat mereka baru-baru ini.

Diadakan di kediaman mereka di Damansara Indah Resort Homes, Petaling Jaya, antara yang hadir termasuk Ketua Setiausaha Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Warisan, Datuk Siti Azizah Abod.

Turut kelihatan ialah para pengarah, pelakon dan penyanyi tanah air seperti Erra Fazira, Hans Isaac, Umie Aida, Rosyam Nor, Juliana Banos, Aziz M. Osman dan isterinya Nor Aliah (Vee), Ziela Jalil dan Eizlan Yusof.

Namun dalam kesibukan melayan tetamu, Syanie yang juga Pengurus Operasi syarikat penerbitan filem milik ibunya itu sempat bercerita tentang perancangan Nizarman Sdn. Bhd. yang telah 21 tahun bertapak dalam dunia perfileman.

Terkini tentunya mempromosikan filem terbaru syarikat itu, Persona Non Grata, yang dibintangi Erra Fazira dan Hans Isaac.

Kata Syanie, pihaknya baru sahaja selesai menyiapkan rakaman lagu-lagu filem tersebut yang diterbitkan oleh Megat Azuar termasuk lagu temanya berjudul Hanya Untukmu yang dinyanyikan oleh juara Akademi Fantasia 3 (AF3), Mawi.

Malah Syanie sendiri menyampaikan sebuah lagu solo berjudul Keliru bagi dimuatkan dalam filem tersebut.

“Selain Mawi dan saya, turut terlibat ialah Mel untuk lagu Kemarau Yang Panjang dan Shamsul Cairel bagi lagu Mungkin Ku Bermimpi.

“Kita sebenarnya merancang untuk bekerjasama dengan Erra dalam satu lagu. Malangnya apabila lagu siap, keynya didapati tidak kena dengan Erra, jadi kami terpaksa gantikan dengan lagu Shamsul Cairel.

“Berkenaan pemilihan Mawi untuk menyanyikan lagu tema Persona Non Grata pula, bukan saja popularitinya membuatkan kami berminat untuk mendapatkan khidmat Mawi tetapi juga kerana kami memerlukan suara lantangnya untuk lagu Hanya Untukmu,” jelas Syanie sambil memberitahu pihaknya akan menghantar filem itu untuk proses adunan dan cetakan di Bangkok dalam masa terdekat ini.

“Jika tiada aral melintang, insya-Allah pada Mac depan Persona Non Grata akan menemui penonton,” tambahnya.

Syanie memberitahu, Nizarman masih belum mempunyai rancangan untuk menghasilkan album runut bunyi filem tersebut.

Buat album solo

“Bagaimanapun, saya akan menjadikan lagu dendangan saya dalam filem itu iaitu Keliru sebagai lagu bonus bagi album saya yang dijadualkan dipasarkan Januari depan,” kata Syanie.

Album solo itu sudah lama selesai pembikinan dan hanya menanti masa untuk dipasarkan.

Album yang diberi judul Kerana-Nya itu diterbitkan oleh Stone daripada kumpulan Barongan.

“Saya bukan tidak mahu memasarkannya awal tapi tahu sahajalah, sekarang ini demam Mawi, jadi lebih baiklah ditangguhkan dulu pelancarannya.

“Selain itu, saya juga mempunyai sedikit masalah mencari pengedar bagi album tersebut,” ujarnya.

Syanie percaya ramai peminat akan tertanya-tanya mengapa dia menghasilkan album, apalagi album berkonsepkan pop, sedangkan dia lebih popular sebagai pelakon komedi.

“Ia adalah satu sisi lain saya yang tidak dikenali orang sebelum ini. Saya harap peminat boleh menerimanya,” kata Syanie yang memang meminati bidang nyanyian sejak kecil.

Jalan filem Persona Non Grata

* Persona Non Grata adalah istilah bahasa latin yang bermaksud mereka yang tidak dikehendaki.

* Filem tersebut mengisahkan tentang seorang pelarian. Pelarian Hu ialah seorang lelaki yang tidak lagi dikehendaki di negaranya. Dia bertemu dengan seorang pelukis yang mengalami kemalangan dan akhirnya jatuh cinta.

* Selain Erra Fazira dan Hans Isaac, turut membintangi Persona Non Grata ialah beberapa pelakon dari Singapura dan Thailand.

* 70 peratus penggambarannya dilakukan di Bangkok, Thailand manakala selebihnya di Malaysia.

* Filem itu turut dijangka ditayangkan di Thailand dan akan dijual untuk pasaran antarabangsa.

* Untuk merealisasikan watak pelukis, Erra Fazira diajar oleh seorang pelukis Thailand bernama Vinit Ttana.

Powered by Utusan Malaysia