Rock Kembalikan Kegemilangan Era Muzik Rock 80-An

13 Dec

Oleh A. WAHAB HAMZAH

BAGI anda yang melalui zaman muda dan remaja pada dekad 1980-an pasti anda masih mengingati satu era yang sungguh menarik dalam sejarah seni muzik popular tanah air. Era itu telah menyaksikan betapa gamatnya seni muzik tanah air dengan lagu-lagu rock ekoran kemunculan beberapa kumpulan muzik rock yang terkenal dan berpengaruh seperti Sweet Charity, Search, Wing, Lefthanded dan Bumiputra Rockers (BPR).

Irama dan lagu-lagu yang dibawakan oleh kumpulan ini masih popular dan diingati hingga ke hari ini. Sepertimana kemunculan kumpulan muzik pop yeh-yeh pada dekad 1960-an yang lengkap dengan budaya fesyennya, kemunculan kumpulan rock juga membawa fesyen dan budayanya sendiri.

Tidak dinafikan kumpulan-kumpulan ini dipengaruhi oleh kumpulan muzik rock dari barat seperti Deep Purple, Nirvana, Rolling Stones dan Iron Maiden. Bagaimanapun, pada penghujung dekad 1990-an penguasaan kumpulan muzik rock ini dalam arena seni muzik tanah air berkurangan disebabkan munculnya pula beberapa genre baru seni muzik seperti hip-hop dan rap yang mengambil alih perhatian peminat muzik.

Ketika era gemilang kumpulan muzik rock, sebenarnya banyak kumpulan muzik rock muncul di kalangan remaja dan anak-anak muda yang membawa impian untuk menjadi rocker terkenal tetapi banyak juga yang gagal untuk mencipta nama.

Menyedari realiti hidup, mereka lalu beralih arah membina kehidupan sendiri. Era muzik tersebut sebenarnya menyaksikan bagaimana muzik rock telah menjadi pernyataan protes dan gambaran kebebasan anak-anak muda.

Era yang menarik dalam sejarah seni muzik Malaysia ini cuba dibawakan oleh Mamat Khalid dalam filem arahannya yang terbaru berjudul Rock.

Ini merupakan filem pertama yang cuba mengembalikan era kegemilangan muzik rock 1980-an ke filem. Barangkali kita masih ingat filem Kembara Seniman Jalanan arahan Nasir Jani yang turut membawakan elemen dan perjuangan muzik rock tanah air, tetapi filem tersebut dihasilkan semasa kemuncak populariti kumpulan muzik rock.

Rock arahan Mamat Khalid sebenarnya bukanlah sebuah biografi tentang mana-mana kumpulan muzik rock terkenal yang saya sebutkan di atas, sebaliknya dia mengetengahkan tentang impian dan harapan sekumpulan anak muda di Taiping, Perak menubuhkan sebuah kumpulan muzik rock bernama Rimba Bara dan berharap tuah akan bersama mereka dan menjadikan mereka terkenal seperti mana kumpulan muzik yang menjadi idola mereka.

Kumpulan anak muda ini yang terdiri daripada ketuanya Jijo (Khir Rahman), Black (Azmi Ibrahim), Zack (Hasnol Rahmat) dan Amy (Que Haider) sebagai penyanyi utamanya mempunyai ‘wawasan’ untuk berjaya sebagai kumpulan rocker yang terkenal dan dapat merakamkan album.

Bagaimanapun, untuk mencapai impian tersebut bukannya mudah, ia datang bersama cabaran dan masalah tersendiri. Mereka juga perlu bersaing dengan pencabar utama, kumpulan muzik rock metal ala Iron Maiden bernama Malaikat Maut dengan penyanyi utamanya Zul Kapan (Shoffi Jikan).

Selain daripada itu, Zack, watak utama filem ini, menghadapi dilema apabila cita-citanya untuk menjadi seorang pemuzik tidak direstui oleh bapanya yang menganggap masa depan pemuzik tidak menentu. Dia diminta mencari pekerjaan tetap.

Kumpulan rock Rimba Bara dan Malaikat Maut sama-sama berentap dalam hampir setiap pertandingan Battle of the Band yang diadakan di sebuah dewan masyarakat Cina di Taiping.

Filem ini berupaya membawa penonton menyelami pengalaman pahit getir anak-anak muda memenuhi cita-cita dan impian untuk menjadi rocker. Dari segi semangat dan imej, filem ini berjaya mengangkat era tersebut. Malah beberapa adegan meninggalkan kesan yang tersendiri.

Tetapi untuk mengembalikan nostalgia dekad 1980-an yang merupakan era kegemilangan kumpulan rock nyata bukan satu tugas yang mudah. Era itu turut menyaksikan antara lain kemunculan bekas Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad dengan slogan Bersih, Cekap dan Amanah, kereta Proton Saga dan TV3 serta kebangkitan Malaysia sebagai salah satu kuasa ekonomi di Asia.

Adegan kumpulan Rimba Bara dan Malaikat Maut sedang bersiap untuk bertanding berjaya memberikan gambaran sebenar suasana di belakang pentas dan realiti hubungan antara kumpulan rock. Begitu juga adegan Zack menghadapi temu duga kerja di depan Nasir Jani. Latar slogan ‘Bersih, Cekap dan Amanah’ cukup berkesan dan mencuit hati.

Memang jalan cerita filem Rock agak sederhana tetapi ia terasa dekat dengan kita kerana besarnya impian dan harapan di sebalik kekerdilan mereka sebagai sebuah kumpulan muzik kampung yang bercita-cita mahu menjadi pemuzik terkenal.

Para pelakon filem ini terutamanya Khir Rahman, Hasnol Rahmat, Que Haider, Shoffi Jikan dan Azmi Ibrahim berjaya menjelma menjadi rocker yang begitu meyakinkan dari segi lagak dan kostum yang dipakai.

Bagaimanapun, sebagai sebuah filem, Rock tentu akan menjadi lebih berjaya jika Mamat lebih teliti membentuk struktur dramatiknya daripada pergerakan yang agak lembab dan mendatar. Plot dan elemen dramatiknya boleh diperkuatkan. Pertandingan akhir Battle of the Band tentulah menjadi lebih ‘gempak’ jika Mamat Khalid dapat membawa kemunculan pelakon yang dapat melakonkan watak Amy Search, Awie, Ella and the Boys, Lefthanded, Ramli Sarip dan Ali Bakar di atas pentas bergandingan dengan kumpulan anak-anak muda dari Taiping dalam satu persembahan istimewa.

Mereka yang disebutkan itu adalah tokoh yang sinonim dengan gelombang rock 1980-an. Meletakkan Amy, Man Kidal dan Nasir Jani sebagai pengadil pertandingan tentulah tidak begitu tepat kerana pada era itu mereka berada di puncak populariti.

Sebagai sebuah filem yang menampilkan perjalanan kumpulan muzik rock, elemen muzik dan produksi kesan bunyi amat penting – bila keriuhan muzik diperlukan dan bila pula kesan senyap sebagai elemen kontras wajar ditampilkan.

Filem Mamat Khalid ini perlu lebih teliti. Ada masanya rakaman kesan bunyi tidak seimbang antara dialog watak-watak yang kedengaran lembab berbanding lagu-lagu daripada soundtrack beberapa kumpulan muzik rock terkenal yang kedengaran jauh lebih bertenaga.

Rock di sebalik kesederhanaannya adalah filem yang harus dipuji. Mengembalikan era kumpulan rock 1980-an bukan bermakna membawa persembahan muzik rock di atas pentas sahaja dengan fesyen dan keriuhan muziknya, tetapi juga suasana sosial dan budayanya. Sebahagiannya telah berjaya digambarkan dengan berkesan oleh Mamat Khalid dalam Rock.

Filem: Rock

Arahan: Mamat Khalid

Lakon layar: Mamat Khalid

Pelakon: Hasnol Rahmat, Khir Rahman, Que Haider, Azmi Baharom, Shoffi Jikan, Siti Elizad, Nabila, Kamarol Hj. Yusuf, S. Amin Shahab

Utusan Malaysia

Leave a Reply

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: