Ziela Jalil Hargai Pelakon Legenda Tanah Air

18 Feb

Oleh MOHAMMAD ARIF NIZAM ABDULLAH

ANTARA barisan pelakon yang menjayakan drama Teratak Kasih Mahanis selepas majlis pelancarannya baru-baru ini.

Impian penerbit dan pelakon Ziela Jalil menghimpunkan seniman dan seniwati legenda tanah air dalam drama terbitannya, Teratak Kasih Mahanis, terlaksana jua.

Dirasakan sukar pada mulanya, Ziela akhirnya berjaya mencapai impiannya itu berkat kesabaran dan usaha yang tidak kenal jemu.

Walaupun pelakon Datuk Jins Shamsuddin dan Zaiton Ahmad terpaksa menarik diri pada saat-saat akhir kerana masalah kesihatan, namun kata Ziela, dia tetap bersyukur kerana hasratnya untuk menghargai pelakon legenda akhirnya tercapai.

Teratak Kasih Mahanis terbitan syarikat milik Ziela, Pena Creative Pictures Sdn. Bhd, dihasilkan dalam 13 episod.

Apa yang menarik, Ziela juga merupakan tunjang utama drama itu bersama pelakon hebat Eman Manan.

Menceritakan pengalaman di lokasi bersama bintang-bintang legenda, kata Ziela, “Ketika menjalani pengambaran di Janda Baik, Pahang, saya berasa seronok kerana dapat berkumpul dan bermesra bersama para pelakon legenda.

“Banyak yang dipelajari terutamanya nasihat yang diberikan oleh mereka tentang keikhlasan membuat sesuatu kerja.

“Bagi saya, mereka penuh dengan sifat keibuan dan kasih sayang. Jiwa saya begitu tersentuh,” kata Ziela yang terasa dekat dengan zaman P. Ramlee apabila mendengar cerita pengalaman lampau pelakon legenda itu ketika mereka meluangkan masa bersama.

Jelas Ziela, komitmen yang diberikan oleh para pelakon legenda sangat tinggi dan berbeza dengan pelakon baru hari ini.

“Sebab itu bila penggambaran tamat di Janda Baik, saya terasa amat rindu dengan mereka.

“Dan dalam menunggu majlis pada hari ini, saya rasa tidak sabar dan ternanti-nanti kehadiran mereka,” kata ibu kepada Putri Julia Nabilah, 13, dan Megat Jufri Nasrullah, 11, ini.

Bercakap mengenai watak utama yang dipegangnya, Ziela memberitahu, sudah lima belas tahun dia tidak berlakon memegang watak utama yang berat.

“Mula-mula memang takut. Pengalaman berlakon watak berat memang tiada sepanjang karier lakonan saya.

“Tetapi dengan bantuan Amie (pengarah), saya dapat juga melakonkan watak saya. Apa lagi ketika mahu melakonkan adegan sedih, memang susah rasanya. Tapi bila mendengar lagu tema drama ini, Pelangi Petang, nyanyian Allahyarham Sudirman dan Si Dia nyanyian Allahyarham Rafeah Buang, mood sedih datang dengan tiba-tiba,” kata Ziela yang membayangkan pelakon Ida Nerina sebagai pelakon utama drama itu sebelum itu.

Ziela berharap drama Teratak Kasih Mahanis menjadi khazanah bernilai tinggi syarikatnya kerana penglibatan ramai pelakon legenda tanah air.

Majlis pada petang Selasa 14 Februari itu turut mencatatkan sejarah tersendiri apabila Datuk Zainuddin Maidin yang ketika itu menjadi Timbalan Menteri Penerangan hadir merasmikan pelancaran drama itu. Para tetamu dikejutkan dengan berita pelantikannya sebagai Menteri Penerangan yang baru.

Turut hadir ialah suami Ziela, Tan Sri Megat Junid Megat Ayob.

Antara pelakon legenda yang hadir pada majlis itu ialah Datuk Maria Menado, Zaitun Ahmad, Datin Umi Kalsom, Salmah Ahmad dan Dayang Sulu.

Sipnosis Teratak Kasih Mahanis

Teratak Kasih Mahanis mengisahkan kehidupan Mahanis (lakonan Ziela Jalil), anak tunggal Datuk Arshad. Selepas Datuk Arshad meninggal dunia, Mahanis mewarisi AF1, sebuah empayar perniagaan mewah peninggalan bapanya.

Mahanis juga diwasiatkan menjaga rumah orang-orang tua, Teratak Kasih Mahanis, yang ditubuhkan oleh bapanya.

Bagaimanapun, Mahanis separuh hati memenuhi wasiat terhadap teratak itu tanpa menyedari kesemua warga emas yang menginap di teratak itu adalah sahabat-sahabat sejati arwah bapanya.

Powered by Utusan Malaysia

Leave a Reply

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: