Nabila Huda Bagaikan Mati Hidup Semula

28 Mar

Oleh: MUZLINA ABU BAKAR

NABILA bersama mamanya, Faridah Fadzil, yang sentiasa memberi sokongan dan semangat kepadanya.

Nabila Huda Suhaimi, 22, anak sulung kepada penyanyi rock Amy Search memang tabah menghadapi dugaan hidup. Peristiwa dia ditangkap khalwat di Pulau Pinang dihadapinya dengan tenang.

Namun jauh di sudut hati, dia menginsafi kesilapan yang telah terjadi. Dia berazam peristiwa hitam itu akan dijadikan sebagai satu tauladan untuk tidak diulangi.

“Abil tahu apa yang sudah berlaku tidak boleh diundur. Sekarang Abil perlu lebih berhati-hati agar tidak melakukan kesilapan yang sama.

“Cuma Abil bersyukur dalam menghadapi titik hitam itu Abil mendapat sokongan mama dan papa yang tidak henti-henti memberi semangat dan nasihat agar Abil tidak ulangi kesalahan yang sama,” cerita Nabila sambil memandang manja mamanya, Faridah Fadzil, 41, yang menemaninya dalam satu temu bual baru-baru ini.

Sambil membelai mesra rambut Nabila, Faridah berkata, sebagai ibu memang dia kesal dengan apa yang terjadi.

“Semasa kejadian itu saya berada di Dubai kerana urusan kerja. Saya terkejut bila mendapat berita itu daripada Abil dan pelbagai perasaan berbaur dalam diri saya.

“Tapi saya tahu macam mana keadaan Abil ketika itu jadi saya tidak mahu membuat dia rasa tertekan dan sedih.

“Apa yang saya mampu buat cuma menasihatkannya dan mengingatkan Abil agar pisang tidak berbuah dua kali. Nasi sudah menjadi bubur, kalau kita menangis air mata darah sekalipun ia tidak akan mengubah apa yang terjadi.

“Bagi saya yang penting kita belajar daripada kesilapan demi untuk kebaikan masa depan,” kata Faridah.

Nabila yang mendengar kata-kata itu memeluk ibunya. Dia tersenyum memandang mamanya sambil berkata:

“Abil bertuah mendapat mama dan papa yang begitu memahami. Bukanlah Abil maksudkan mereka merestui perbuatan Abil. Bagi Abil, yang salah tetap salah dan Abil jadikan ia sebagai pengajaran.”

Menurut Nabila, walaupun dia menyesal dengan apa yang berlaku tetapi dia tidak mahu menyalahkan sesiapa.

Kini dalam mengharungi hidupnya, Nabila yang memang meminati bidang lakonan sedar peluang untuknya kembali ke bidang itu mungkin terhad buat masa ini.

“Abil cuma mampu berdoa agar ada ruang untuk Abil berlakon dan alhamdulillah baru-baru ini Abil ditawarkan oleh sebuah syarikat berlakon dalam drama komedi Alahai Cucu Atuk untuk siaran Astro Ria.

“Tawaran yang diberi itu bagaikan bulan jatuh ke riba dan Abil bersyukur kerana masih ada syarikat dan stesen TV yang berfikiran terbuka menawarkan Abil berlakon. Abil rasa bagaikan mati hidup semula,” kata Nabila.

Menurut Nabila, tawaran yang diterima itu memberi semangat baru kepadanya untuk meneruskan kerjaya dalam bidang lakonan yang sebelum ini dianggap bagaikan tidak ada ruang untuknya lagi.

Sebagai anak kepada penyanyi rock yang tidak asing lagi, tentu ramai yang menganggap Nabila memiliki bakat seperti bapanya, Amy Search.

Walaupun Nabila boleh menyanyi tetapi jauh di sudut hati gadis kecil molek ini langsung tidak meminati bidang nyanyian.Setakat menyanyi memanglah Abil boleh, tapi Abil tidak minat menyanyi.

“Bila tengok papa menyanyi Abil rasa kagum sangat kerana walaupun sudah 25 tahun, papa masih boleh bertahan dalam bidang ini dengan gaya dan persembahan tersendiri.

“Tapi janganlah suruh Abil menyanyi atau jangan mimpi Abil boleh ganti tempat papa. Bagi Abil, Amy Search hanya ada satu di dunia.

“Walaupun adik Abil, Alexander Zulkarnain, setahun tujuh bulan (anak Amy dengan isteri barunya Norhasniza Hassan) sudah menunjukkan bakat dalam bidang ini tetapi Abil tahu Amy Search tidak ada gantinya,” cerita Nabila sambil tersenyum mengenangkan gelagat adiknya itu.

“Abil bangga dilahirkan sebagai anak Amy Search. Biarlah apa orang nak anggap tetapi Abil tahu papa seorang ayah yang bertanggungjawab dan mengambil berat tentang anak-anak.

“Di pentas dia penyanyi rock tetapi di luar pentas dia adalah seorang ayah yang penyayang dan memahami jiwa anaknya,” cerita Nabila mengenai papanya.

Petang itu, sementara menanti Nabila balik dari butik yang menaja pakaiannya untuk satu majlis, Faridah Fadzil tidak henti-henti bercerita tentang anak dara kesayangannya, Nabila, yang dipanggil Abil.

“Sejak kecil Abil memang anak yang mengikut kata. Dia rajin belajar dan tidak pernah ponteng mengaji. Ketika usianya 12 tahun, dia sudah tiga kali khatam Quran. Melihat kejayaannya dalam bidang pelajaran, saya impikan dia menjadi arkitek.

“Iyalah sebagai emak, kita selalu impikan satu-satu karier untuk anak kesayangan kita, tapi… bila dah besar Abil lebih minat kepada bidang lakonan.

“Saya hanya menyokong apabila Abil memilih bidang lakonan. Melihat lakonannya dalam video cakera padat Blok 404 (1998) ketika umurnya 15 tahun, saya tahu dia berbakat. Nak kata apa. Dah papa dia orang seni jadi anaknya tentulah mengikut walaupun bukan sebagai penyanyi,” komen Faridah bila ditanya mengenai impiannya terhadap Nabila.

Powered by Utusan Malaysia

Leave a Reply

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: