Tiga Gadis Program Realiti

16 Apr

Oleh Tajaiyah Ihsan


Farina, Sri Rahayu dan Nor Azura sedia hadapi cabaran baru.

SERONOK mendengar cerita tiga gadis yang mempunyai matlamat yang hampir serupa walaupun berlainan cita rasa dan latar belakang. Kalau sebelum ini mereka bersaing dalam satu program realiti untuk mencari pengalaman dan kemenangan, namun kini sudah seronok bekerja dan berharap meraih kejayaan.

Malah ketiga-tiga pemenang bagi tiga kategori program realiti Olay: Aspirasi Ku pada penghujung Oktober lalu berharap kemenangan semalam membuahkan kejayaan yang lebih baik untuk hari ini dan esok.

Farina Pahruddin, 25, anak peneroka tanah rancangan di Tawau, Sabah menambah, kemenangan itu memberi makna besar dalam hidupnya.

Menurut Farina, dia bagaikan mengulang sejarah ayahnya yang berasal dari Selangor, merantau ke Tawau menjadi peneroka dan kemudian berkahwin dengan ibunya anak jati Sabah.

“Saya pula ke Kuala Lumpur, mencari rezeki di sini. Merantau juga meninggalkan keluarga dan kampung halaman,” ujar Farina serius.

Lulusan Seni Persembahan, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Farina berkata, kemenangan itu membawanya bekerja di TV3 sebagai penolong penerbit.

“Saya seronok dengan kerjaya ini malah apa yang saya pelajari dapat dimanfaatkan sepenuhnya.

“Namun saya akui banyak yang perlu dipelajari untuk meningkatkan pengalaman dan mutu kerja,” jelasnya penuh semangat.

Farina berhasrat membawa ibu dan kakaknya ke Kuala Lumpur mentelah bapanya sudah lama meninggal.

“Walaupun saya gembira di sini tetapi masih teringatkan emak dan keluarga yang jauh di mata. Kalau mereka di sini hati saya akan berasa lega kerana semua di depan mata,” katanya.

Farina terlibat dalam program Apa-Apa Aje dan juga Melodi. Apa yang nyata, Farina selesa dengan suasana bekerja kerana rakan-rakan senior begitu bekerjasama sambil berkongsi ilmu.

“Dengan adanya sokongan dan suasana yang menarik, ia memberi perangsang untuk bekerja keras membantu menjayakan sesuatu program,” katanya lagi.

* Seronok jadi wartawan televisyen

NOR AZURA Azizul Azman, 21, lulusan Diploma Seni Persembahan UiTM, memberitahu sejak menjadi wartawan penyiaran, untuk Wanita Hari Ini (WHI) dia sudah mula merasakan keseronokannya.

Hari-hari berlalu biarpun penuh cabaran dia tetap seronok. Hadiah kemenangan yang berupakan kerjaya di TV3 ini merupakan sesuatu yang cukup istimewa pada dirinya.

Peminat filem-filem Hindustan ini menambah yang menariknya bila ditugaskan untuk membuat liputan di Langkawi. Dia ditugaskan menemu bual Shah Rukh Khan.

“Pada masa itu Shah Rukh Khan terbabit dalam pembikinan filem Don di Langkawi bersama aktres Priyanka Chopra. Berdebar-debar juga, maklum saja, saya orang baru. Bagaimanapun bila sudah bersua dia seorang yang peramah dan mudah ditemu bual,” ujarnya lagi.

Katanya, suatu hari nanti, dia berpeluang menemu bual pemimpin yang tidak asing lagi seperti Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan bekas Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Anak pertama daripada dua adik-beradik ini menambah, hari-hari berlalu sebagai wartawan menyeronokkan biarpun ada kalanya berasa penat dan mempunyai masa luang yang terbatas.

Masih sendirian dan suka menyanyi, Azura berharap dia berjaya menjadi seorang wartawan yang berjaya pada masa hadapan.

Sri Rahayu Tajuddin pula memberitahu, hasil kemenangannya itu dia memperoleh peluang pekerjaan yang diidamkan sebagai eksekutif khidmat pelanggan di TV9.

Katanya, walaupun cukup mencabar tetapi ia juga mempunyai daya tarikannya sendiri. Apa lagi bekerja di saluran baru yang menuntut seseorang itu untuk bekerja keras.

“Namun saya percaya ia juga membuat kita gembira bila melihat saluran itu berkembang dan mendapat sambutan. Saya juga ingin membesar bersamanya,” ujar Sri Rahayu lagi.

Lulusan jurusan Teknologi Maklumat, University Of Charlestart, New South Wales, Australia ini menambah, setelah beberapa bulan di stesen ini, dia banyak mengutip pengalaman.

Paling menggembirakan, andai mendapat komitmen atau langganan baru daripada pelanggan tidak mengira yang sedia ada atau pelanggan baru.

Setiap kali berjaya mendapatkan komitmen baru itu, setiap kali menarik nafas lega.

Pada masa lapang, Seri Rahayu suka menghabiskan masanya bermain dengan anak saudaranya, memasak, menjahit dan juga bersendirian.

“Saya akan berjalan-jalan sendirian dan bagi saya itu cukup melegakan dan membuat saya ceria dan bagaikan merehatkan minda,” ujarnya.

Utusan Malaysia

Leave a Reply

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: