Norman Hakim – Abby Abadi Semoga Kasih Bertaut Kembali

14 May

Oleh: NIEZAM ABDULLAH

Belum pun reda krisis perceraian penyanyi Noraniza Idris dan Fareez, dunia hiburan dikejutkan pula dengan berita perceraian pasangan artis Norman Hakim Zaidon, 30, dan Abby Abadi Abd. Manan, 27.

Semua orang terkejut dan tidak menyangka mahligai bahagia yang dibina pasangan itu sejak empat tahun itu bergelora juga. Ini kerana selama ini mereka dilihat sebagai pasangan bahagia dan tidak ada desas-desus tentang rumah tangga mereka.

Norman dikatakan melafazkan talak satu terhadap Abby Abadi sewaktu menjalani penggambaran drama bersiri Gerak Khas pada 5 Mei lalu. Lafaz itu dibuat Norman dalam keadaan yang cukup berat selepas krisis rumah tangga mereka gagal ditangani dan semakin meruncing.

Perpisahan itu dipercayai berpunca selepas Abby dikatakan terbaca SMS kiriman seorang penyanyi baru, Farah Dhiya Mohamed, 28, yang dihantar kepada Norman.

Bagaimanapun Norman membayangkan hubungannya dengan Abby dapat disambung semula kerana dia masih lagi menyayangi Abby. Sebab itulah Norman pengsan selepas melafazkan talak itu.

Cuma pada masa ini mereka membuat keputusan untuk tinggal berasingan bagi membolehkan kedua-dua pihak mencapai satu kata putus terhadap apa juga keputusan yang bakal diambil.

Hasil perkahwinan mereka, pasangan itu dikurniakan dua orang cahaya mata, Mohd. Danish Hakim, 3, dan Marisa Dania Hakim yang berusia 10 bulan.

Saya masih mengingati detik pertemuan pertama sebelum terjalinnya bibit cinta pasangan itu sehingga membawa mereka ke jenjang pelamin.

Pertemuan pertama mereka ketika saya mengadakan sesi fotografi untuk keluaran khas hari raya dengan majalah Mangga pada tahun 2001.

Ketika itu saya memberitahu Abby untuk menggandingkannya dengan Norman dan meminta beliau datang ke rumah pelakon kacak itu di Taman Putra Sulaiman, Ampang bagi menjayakan sesi fotografi tersebut.

Kemesraan mereka dapat dilihat apabila jurufoto Rashid Mahfof pada waktu itu meminta mereka memberi aksi yang menarik. Selepas sesi fotografi itu tamat, saya menerima panggilan telefon daripada Abby yang bertanyakan mengenai Norman.

“Norman Hakim tu okey ke tak? Dia sudah ada makwe ke?” tanya Abby kepada saya waktu itu.

Peristiwa itu menyebabkan saya merasakan Abby mungkin mempunyai perasaan untuk mengenali Norman dengan lebih mendalam. Tekaan itu benar apabila beberapa bulan selepas itu mereka mengesahkan bercinta.

Norman pula pada waktu dilanda kekecewaan dalam hidup selepas dikatakan putus cinta dengan pelakon Erra Fazira. Detik hangat hubungan Norman dengan Abby semakin diperkatakan apabila Norman mengambil keputusan membawa Abby pulang ke Kuantan, Pahang untuk diperkenalkan dengan ahli keluarganya.

“Ahli keluarga saya merestui hubungan saya dengan Abby,” pengakuan Norman ketika sedang hangat bercinta dengan bekas anggota kumpulan Elite itu kepada saya lima tahun lalu.

Selepas detik itu, mereka membuat keputusan untuk mengikat tali pertunangan pada 8 Januari 2002.

Majlis pertunangan diadakan di rumah keluarga Abby di AU5, Lembah Keramat, Kuala Lumpur kira-kira pukul 2 petang. Bagaimanapun berlaku kontroversi apabila pasangan itu cuba menyembunyikan perkahwinan mereka daripada pengetahuan media yang dilangsungkan tujuh jam selepas majlis pertunangan itu.

Norman dan Abby dinikahkan di rumah salah seorang ahli keluarga mereka di Bukit Persekutuan Bangsar.

Pada malam pernikahan itu, saya bersama teman wartawan Kumpulan Utusan – Saharudin Mustafha, Tengku Khalidah Tengku Bidin dan Rosli Manah cuba menghidu majlis pernikahan itu dengan mengunjungi semula rumah keluarga Abby tetapi gagal.

Akibat tindakan itu, kedua-dua mereka telah dikecam dengan hebat kerana bertindak menyembunyikan perkara yang baik.

Berikutan itu, Norman dan Abby membuat permohonan maaf secara terbuka terhadap wartawan dan semua peminatnya dengan alasan majlis itu dibuat secara tergesa-gesa.

Majlis persandingan mereka diadakan secara besar-besaran di Dewan Perdana Felda, Jalan Gurney, Kuala Lumpur pada 31 Ogos 2002.

Masalah rumah tangga yang dihadapi Norman dan Abby sebenarnya masih baru dan berjaya disembunyi dengan baik.

Apatah lagi Abby baru sahaja melahirkan anak kedua mereka, Marissa Dania Hakim di dalam kereta ketika dibawa ke klinik bersalin di Taman Melawati.

Perjalanan kisah hidup pasangan itu ketika zaman percintaan sehinggalah pada hari pertunangan, pernikahan dan alam rumah tangga penuh dengan kontroversi.

Namun, masih mempunyai ruang untuk mereka rujuk kembali sekiranya ada jalan untuk menjernihkan masalah yang berlaku demi anak-anak tercinta.

Semoga Abby dan Norman tabah mengharungi dugaan yang dihadapi dan membuat keputusan terbaik untuk kepentingan hidup masing-masing.

Sekiranya kehidupan suami-isteri itu di sambung, janganlah diulangi peristiwa itu lagi.

Saya teringat kata-kata hikmat Allahyarham Hamka, “Perkahwinan itu mempertemukan dua jiwa dengan seribu perbezaan.” Harap kedua-dua mereka realistik tentang hakikat jiwa insan yang ada cemburu dan sayang sekali gus.

Utusan Malaysia

Leave a Reply

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: