Malam Jasamu Dikenang Meriah Dengan 58 Artis

31 May

Oleh MOHAMMAD ARIF NIZAM ABDULLAH

PERSEMBAHAN Mawi mendapat perhatian penonton pada majlis Jasamu Dikenang.

MALAM amal Jasamu Dikenang membawa pengertian yang besar dan bermakna sebagai tanda mengingati seniman dan seniwati tanah air yang telah meninggal dunia.

Nama-nama seperti P. Ramlee, Saloma, Aziz Jaafar, Normadiah, Ahmad Daud, Saadiah, Rosiah Chik, Rafeah Buang dan Sudirman terus dikenang atas jasa tak ternilai yang mereka tinggalkan dalam dunia seni.

Baru-baru ini, Dewan Perdana Felda Jalan Semarak, Kuala Lumpur menjadi tempat berhimpun artis lama dan baru menjayakan satu persembahan amal.

Malam Jasamu Dikenang anjuran Persatuan Karyawan Malaysia (Karyawan) adalah manifestasi penghargaan mereka dengan menyumbangkan suara dan tenaga bagi mengingati insan seni yang telah tiada.

Konsert atas tujuan amal itu berjaya mengumpul dana RM100,000 pada malam bersejarah itu.

Dana itu diperlukan untuk menampung skim pencen artis veteran yang diperkenalkan sejak tahun 2002.

Sehingga kini 13 artis telah menerima skim pencen itu sepanjang hayat mereka.

Pujian wajar diberikan kepada Karyawan kerana tidak pernah gagal menyalurkan pencen bernilai RM500 sebulan kepada penerima terpilih.

Keupayaan Karyawan ini berbeza dengan persatuan artis lain yang ingin mengikut jejak Karyawan tetapi akhirnya hanya dapat bertahan memberi sumbangan mereka untuk tempoh sebulan dua sahaja.

Pada malam itu, Karyawan menambah lagi bilangan penerima kepada tiga orang artis veteran iaitu Latifah Omar, Param dan Raja Hamidah.

Namun apa yang dikagumi ialah Karyawan mendapat sokongan daripada begitu ramai artis pada malam itu iaitu seramai 58 orang.

Memasuki tahun keempat penganjuran, Karyawan terus menjadi rebutan para artis membuat persembahan. Ini mungkin menjadi satu sejarah bagi persatuan artis di Malaysia.

Apabila diminta pendapatnya, Presiden Karyawan, Freddie Fernandez berkata:

“Sebagai persatuan, Karyawan tidak boleh mengecewakan artis-artis yang ingin mengambil bahagian.

“Artis-artis sendiri secara sukarela menjayakan persembahan malam ini dan tidak mendapat sebarang bayaran.”

Freddie turut ditanya tentang rahsia Karyawan yang sentiasa menjadi pilihan artis untuk memberi sokongan.

“Mana ada rahsia. Karyawan melakukan tanggungjawab yang diberikan. Tujuan kita adalah menjaga kepentingan ahli-ahlinya,” katanya.

Freddie dalam ucapannya pula meluahkan kebimbangan tentang industri muzik hari ini yang tenat. Katanya, tidak mustahil industri muzik Malaysia termasuk filem Melayu akan pupus satu hari nanti.

“Kemunculan kuasa asing dalam industri akan berlaku jika masalah dalam industri kita tidak dibendung segera,” ujarnya.

Gejala CD cetak rompak merupakan keluh resah Freddie yang patut diberi perhatian. Katanya, gejala itu menyebabkan artis terus menjadi miskin dan berdepan dengan tekanan hidup.

Orang lama tetap menyengat

Kemunculan Siti Nurhaliza menyanyikan dua lagu popular era 70-an, Joget Pahang dan Bunga Melur, merubah suasana persembahan malam yang kurang hangat pada awalnya.

“Siti menyanyi lagu Joget Pahang bukan kerana Siti orang Pahang. Tetapi kerana lagu ini merupakan penghargaan Siti kepada Tan Sri P. Ramlee,” kata Siti sambil tersenyum manis.

Acara persembahan yang diselang seli dengan nyanyian dan sketsa semakin rancak walaupun jam menunjukkan pukul 11 malam.

Kemudian muncul Nash, Aishah, Rahimah Rahim, Liza Aziz dan Nora. Senang cerita, persembahan orang lama ini lebih menyengat dan memberi impak kepada penonton melalui alunan vokal yang masih hebat dan sempurna.

Khalayak dibawa mengimbau nostalgia bersama lagu-lagu seperti Bisikan Hati, Nilai Cinta, Inai Di Jari dan beberapa lagi lagu yang membuatkan seluruh dewan bergema dengan jeritan nakal suara penonton.

Itulah keistimewaan penyanyi berpengalaman yang perlu dijadikan contoh artis angkatan baru.

Seperti dijangka kehadiran juara Akademi Fantasia 3, Mawi, paling mendapat sambutan. Walaupun sudah melewati pukul 12 malam, penonton masih teruja menyaksikan persembahan Mawi.

Malam itu juga istimewa kerana persembahan artis-artis yang mempunyai hubungan persaudaraan. Rahimah Rahim merupakan anak saudara kepada seniwati Saadiah dan Liza Aziz adalah anak kepada seniwati Normadiah.

Seperti yang diumumkan oleh pengacara majlis iaitu Raja Azura, Radhi Khalid ialah anak saudara kepada Allahyarham Datuk Ahmad Daud manakala Raja Azura pula cucu saudara kepada pelakon Raja Hamidah.

Powered by Utusan Malaysia

Leave a Reply

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: