Rina Khan Kini Aktif Menulis Novel

15 Jun

Oleh KHADIJAH IBRAHIM

MASIH ingat lagi dengan Rina Khan? Penyanyi berimej rambut pendek ini pernah menghasilkan dua buah album sekitar pertengahan 1990-an, Rina Khan Vol. 1 dan Rina Khan Vol.2.

Rina atau nama sebenarnya Sharifah Bibi Farina Sidek, 37, bila diminta mengimbas semula kariernya sebagai penyanyi berkata:

“Tidak ada apa yang hendak dibanggakan kerana saya bukanlah penyanyi popular. Saya sekadar nak cuba nasib sahaja. Sebab itulah orang tidak ingat lagu-lagu saya,’’ katanya.

Kata Rina, dia menjadi penyanyi kerana sekadar ingin mengukur bakat yang ada pada dirinya.

Jelas Rina, dia pernah menjalani uji bakat untuk menjadi penyanyi sebuah kumpulan muzik di kelab.

“Masa remaja biasalah, kita perasan suara sedap. Jadi pergilah uji bakat. Orang kata suara saya tak sedap. Tapi saya tetap kata suara saya sedap dan bila hari-hari menyanyi adalah sedikit perubahan. Lepas itu baru saya buat album. Album pun ala-ala kadar sahaja sebab suara kita bukanlah meletup seperti penyanyi lain,’’ akuinya.

Rina yang merupakan anak sulung daripada enam beradik berasal dari Jalan Klang Lama, Kuala Lumpur. Dia sedar masa depannya sebagai penyanyi tidaklah secerah artis lain.

Justeru, sewaktu kegawatan ekonomi, Rina cuba menjenguk cabang seni yang lain pula. Atas dorongan penyanyi Dilla Hussein yang telah membabitkan diri sebagai penulis skrip, Rina pun cuba menjadi penulis.

Siapa duga skrip drama pertama Rina, RM100,000, yang diadaptasi daripada novel karyanya mendapat sambutan. Lain-lain novel tulisan Rina ialah Crank Call dan Mengejar Pelangi.

“Dari segi penulisan, mentor saya ialah Kak Dilla. Dia yang banyak memberi dorongan dan semangat pada saya. Kalau tidak kerana Kak Dilla, tidak mungkin saya tahu menulis skrip,’’ katanya yang telah menghasilkan enam buah novel dan aktif menulis skrip sejak 1998.

Rina banyak belajar teknik menulis skrip daripada buku-buku yang dibacanya. Sememangnya, kata Rina, dia minat membaca sejak daripada sekolah rendah dan ternyata hobinya itu membawa rezeki untuknya.

Jelas Rina, sesiapa sahaja boleh jadi penulis skrip jika ada kemahuan dan disiplin diri.

“Saya pun masih belajar lagi tapi setakat ini alhamdulillah skrip tulisan saya tidaklah memalukan. Untuk tulis skrip, kita mesti buat penyelidikan terutama kalau menggunakan terma tertentu. Jangan anggap penonton tidak tahu apa-apa.

“Kalau tidak cukup bahan daripada buku, saya akan terus berhubung dengan orang berkenaan. Contohnya, kalau buat cerita tentang penyakit, saya akan temu bual doktor untuk dapatkan penerangan lebih jelas,’’ katanya yang turut menghasilkan skrip telefilem Jatuh Cinta Sekali Lagi lakonan Aida Rahim dan Arash Mohd.

Rina yang merupakan Pengarah Urusan JRJ Management Consultant sejak 1999 ialah seorang yang optimistik dalam melakukan sesuatu pekerjaan. Ternyata sikap Rina yang sentiasa positif itu mampu meletakkan namanya sebagai salah seorang penulis skrip yang aktif.

Pada waktu yang sama ibu tunggal kepada Natasha Anina, 19 dan Alwi Illys, 12, ini juga mengukuhkan kedudukannya sebagai pengarah drama.

Menurut Rina, dalam dirinya sentiasa ada azam untuk mencuba sesuatu bidang baru kerana dia adalah jenis insan yang sukakan cabaran.

“Semasa berlakon, saya terfikir sampai bila orang nak ambil saya berlakon? Kebetulan saya ada minat mengarah dan daripada situ saya asah bakat saya dan kini saya nak tumpukan perhatian pada pengarahan dan penulisan skrip sahaja. Entahlah kalau-kalau pada masa akan datang timbul pula minat baru yang lain,’’ katanya yang sekarang ini belajar teknik fotografi.

Rina kini baru selesai mengarah telefilem Karmila lakonan Haliza Misbun dan Zahim Al-Bakri yang berkisar tentang penderaan isteri oleh suami.

Jelasnya, skrip drama Karmila yang bakal disiarkan di saluran Astro pada September ini merupakan hasil karyanya.

“Semua itu berlaku secara kebetulan. Liza (Haliza) tengah mencari pengarah untuk skrip itu dan bila dia tahu saya ada kelapangan, Liza minta saya mengarah. Tidak dinafikan mengarah drama yang skripnya kita tulis sendiri memberikan kita kelebihan kerana kita dapat menggubah sesuatu adegan bila berada di lokasi,’’ katanya yang mula mengarah sejak tahun 2004.

Drama pertama arahan Rina ialah Ilham Karmila. Lain-lain drama arahannya ialah Eksploitasi, Senafas Takbir Terakhir, Harga Sebuah Cinta serta Antara Gunung dan Lautan.

“Setelah melalui liku-liku kehidupan dalam bidang seni, saya sedar kita perlu ikhlas berbakti kepada bidang ini,’’ kata Rina.

Powered by Utusan Malaysia

Leave a Reply

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: