Yang Tinggal Hanya Kenangan – Serina

30 Jul

Oleh NIEZAM ABDULLAH

Pagi Selasa lalu seluruh dunia hiburan dikejutkan dengan berita pelakon Hani Mohsin Hanafi, 41, mengehembuskan nafas terakhir di Terminal Penerbangan Tambang Murah (LCCT) Sepang akibat serangan jantung.

Menambahkan lagi sebak, pemergian Mohsin buat selama-lamanya itu ketika dia merancang untuk bercuti bersama anak tunggalnya, Hani Karmila, 9, ke Langkawi.

Itulah dinamakan takdir. Tiada siapa yang dapat mengubahnya. Takdir juga yang menentukan kejadian itu berlaku di depan mata anaknya sendiri. Allahyarham rebah sementara menunggu pesawat AirAsia untuk ke Alor Star, Kedah.

Semua orang meratapi kesedihan itu. Rakan-rakan artis dari yang muda sehinggalah yang tua memenuhi rumah Allahyarham di Bukit Antarabangsa untuk memberikan penghormatan terakhir. Allahyarham dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Al-Ridzuan, Hulu Klang.

Selain bekas isterinya, Datin Seri Tiara Jacqueline dan Hani Karmila yang turut sama menitiskan air mata, peristiwa itu juga menyentuh hati bekas kekasih Allahyarham – Serina Redzuawan.

Anak dara tukang masak Chef Wan berusia 23 tahun itu pernah melalui detik-detik cinta yang manis dengan pelakon itu tidak lama dulu.

Namun atas sebab hubungan itu tidak direstui oleh keluarga maka Serina terpaksa memutuskan perhubungan walaupun hatinya sukar untuk melupakan Allahyarham.

Ketika menghubungi Serina pagi Rabu lalu, dia menangis teresak-esak dan mengambil masa yang lama untuk menuturkan kata-kata. Serina terus menangis kerana terkenangkan saat-saat manis ketika mereka meniti alam percintaan.

“Dia seorang yang baik. Sembahyang tak pernah tinggal. Selama Adik (panggilan manja Serina) berkawan, dia selalu pesan jangan tinggal sembahyang,’’ ujar Serina memulakan bicara dengan nada tersekat-sekat.

Serina mengetahui berita tersebut kira-kira pukul 11.30 pagi pada hari kejadian selepas dihubungi oleh setiausaha Allahyarham. Ketika menerima berita itu seluruh tubuh Serina menggigil kerana tidak percaya yang pergi buat selama-lamanya itu adalah insan yang pernah hadir dalam hatinya.

Malah kesedihan Serina itu ditambah lagi apabila mengenangkan Mohsin pergi ketika hidupnya sebatang kara.

“Dia meninggal dunia sebatang kara, tiada isteri, tiada kekasih. Itu yang paling Adik sedih.

“Ketika menziarahi Allahyarham, air mata Adik menitis apatah lagi ketika melihat gambar adik tersimpan di dalam rumah itu. Adik tahu dia sebenarnya masih sayangkan Adik,’’ katanya. Walaupun hubungan mereka sudah putus lebih dua tahun lalu namun mereka tetap berhubung sebagai kawan. Mohsin sering bertanya khabar Serina dan begitulah juga Serina.

Serina juga tidak dapat melupakan luahan hati Allahyarham sewaktu mereka bercinta dan cerita itu tetap menjadi ingatan kepadanya sehingga sekarang.

Mohsin pernah meluahkan perasaan, sepanjang Allahyarham di dalam industri hiburan, tiada satu anugerah pun yang pernah diterimanya. Allahyarham juga merasakan seolah-olah penglibatannya sebagai pelakon tidak pernah dihargai .

“Setiap kali adik teringatkan kata-kata itu, adik menangis. Sampailah dia mati, hajatnya untuk pegang anugerah tidak kesampaian.

“Allahyarham juga kata, namanya masuk senarai top five tu selalu tapi kalau nak menang anugerah sememangnya susah,’’ tambahnya.

Serina juga memberitahu, walaupun perlu menerima hakikat atas apa yang berlaku namun dia tidak dapat menyembunyikan perasaan sayu setiap kali terdengar suara dan melihat gambar Allahyarham menerusi iklan radio dan televisyen.

Tapi Serina akan terus kuatkan semangatnya dan percaya Allah akan melimpahkan ganjaran di atas kebaikan Allahyarham terhadapnya selama ini.

“Susah untuk mendapat orang sebaik Allahyarham. Tengok sajalah semasa dia meninggal dunia, semua peringkat pelakon dan golongan datang ziarah. Seolah-olah yang pergi itu VIP,’’ katanya.

Yang pergi itu tetapkan pergi. Ia pergi meninggalkan kita dengan seribu kenangan bersama pahit dan manis.

Mudah-mudahan Allah menempatkan Allahyarham dalam kalangan umatnya yang beriman dan memberi ketabahan kepada mereka yang merinduinya. Al-fatihah!

Powered by Utusan Malaysia

Advertisements

Leave a Reply

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: