Gong Filem Seram Dengan Sejarah Sendiri

21 Aug

Oleh KHADIJAH IBRAHIM

Tiga pelakon utama filem Gong novel Sharifah Sofia, Jehan Miskin dan Elyana bersama penyanyi lagu tema filem berkenaan, Yazer.

HUBUNGAN para pelakon filem Gong tidak putus walaupun penggambaran filem tersebut telah selesai. Sebaliknya, hubungan yang dipupuk selama sebulan berkampung di Yogyakarta, Indonesia itu terus dilayari sehingga kini.

Kemesraan antara Sharifah Sofia dan Elyana jelas terbayang dan masing-masing sudah memahami antara satu sama lain. Gong juga merupakan filem pertama lakonan mereka berbanding Jehan Miskin yang sebelum itu telah mencuba nasib dalam filem Qaisy & Laila.

Apa pun baik Jehan, Sofia dan Elyana, masing-masing mengharapkan yang terbaik untuk filem lakonan mereka.

Sementara Yazer yang dipilih untuk menyanyikan lagu tema filem tersebut berharap pembabitannya itu dapat membuka ruang untuk dia terus melangkah jauh dalam bidang seni suara.

Elyana menyerlah

Sewaktu filem Gong memulakan penggambaran pada 23 Februari 2005, Elyana boleh dianggap masih lagi bertatih dalam bidang lakonan.

Namun dalam tempoh menunggu filem tersebut ditayangkan, Elyana atau nama sebenarnya Erneelya Elyana Emrizal telah berpeluang mengasah bakatnya menerusi drama Dunia Baru.

Menerusi watak Opie dalam drama arahan Mohd. Hitler itu, Elyana yang popular dengan lagu Diriku Tapak Sulaiman dan Tak Tercapai Akalmu itu terus mendapat tawaran berlakon.

Terbaru, Elyana, 19, berpeluang berlakon filem Dukun, arahan Dain Iskandar Said, terbitan Tayangan Unggul Sdn. Bhd.

“Sejak mula berlakon telemovie Seriau arahan Ellie Suriaty Omar, saya memang tidak yakin dengan bakat lakonan kerana tumpuan utama saya adalah nyanyian. Tapi bila sering mendapat galakan, saya pun ingin terus berlakon. Apa yang pasti drama Dunia Baru banyak membuka ruang untuk saya terus memperkukuhkan diri dalam bidang lakonan,” katanya terus terang.

Menyentuh mengenai lakonannya sebagai Ika dalam filem Gong, Elyana mengaku dia tidak sabar menunggu reaksi daripada penonton.

Tegasnya, sebagai orang yang pertama kali berlakon filem dia telah melakukan yang terbaik dan akan sentiasa memperbaiki kelemahan di masa depan.

Elyana juga berkata watak Ika amat mencabar kerana antara dirinya dengan karakter yang dibawa amat berbeza.

“Ika ialah seorang gadis kampung yang lemah lembut. Sedangkan saya pula kasar, nak bercakap lemah lembut itu sukar sikit. Tapi dengan tunjuk ajar rakan-rakan dan pengarah saya cuba buat yang terbaik,” katanya yang suka melakukan adegan lasak sendiri.

Sepanjang menjalani penggambaran, Elyana memberitahu, dia tidak takut tapi terdapat satu kejadian aneh sewaktu melakonkan watak hantu.

“Masa rakam adegan tersebut pada pukul tiga pagi, rupa-rupanya jurukamera melihat ada dua wajah saya pada lensanya. Bila selesai penggambaran baru saya diberitahu tentang kejadian aneh itu,”ceritanya yang tidak serik untuk berlakon cerita seram.

Justeru itulah dia terus menerima tawaran berlakon Dukun yang menampilkan Umie Aida sebagai pelakon utama.

Pelbagai watak

Bermula dengan sitkom Spanar Jaya, kini nama Sharifah Sofia Syed Hussein, 21, terus mekar dalam dunia seni lakon. Antara drama lakonannya ialah Wahai Kau Cinta, Skuad Elit dan banyak lagi.

Daripada drama, pelakon kacukan Melayu – Inggeris itu terus diintai untuk berlakon filem. Setakat ini Sofia telah berpeluang berlakon dalam filem Gong, Orang Minyak dan Hanya Satu Cinta.

Dia yang sering disalah sangka sebagai Joanna Bessay kerana wajahnya yang mirip pelakon sitkom Kopitiam itu berkata setiap filem yang dijayakan menampilkan watak berbeza.

“Dalam filem Gong, saya berlakon sebagai Trisha pelajar universiti yang banyak mulut dan lasak berbanding rakan-rakan lain. Sementara filem Orang Minyak saya memegang watak sebagai pensyarah dan hampir menjadi mangsa rogol. Sementara dalam filem Hanya Satu Cinta, saya menjadi peguam. Boleh dikatakan setiap filem yang saya lakonkan menampilkan watak yang berbeza,” katanya yang kini mengikuti Diploma Persembahan Seni dan Media di Sunway University College.

Menceritakan pengalamannya sewaktu berlakon filem Gong, Sofia berkata, biarpun ada adegan yang menyeramkan namun dia tidak serik untuk berlakon lagi.

Jelasnya, sewaktu menjalani penggambaran di sebuah rumah usang, dia merasakan lehernya disentuh.

“Rupa-rupanya ketika penggambaran, ada bayang-bayang di belakang saya dan itulah yang dilihat oleh krew filem berkenaan,” katanya.

Katanya, apa yang berlaku tidak melemahkan semangatnya malah dia akan terus berlakon filem atau drama seram selepas ini.

Jehan laris

Sebelum muncul dalam filem Gong, Jehan Miskin, 26, pernah mencipta nama menerusi filem Qaisy & Laila arahan Raja Ahmad Alauddin. Malah dia juga bakal muncul dalam filem Nana Tanjung hasil garapan pengarah Razak Mohaideen tidak lama lagi.

Apa pun watak yang dibawa ternyata berbeza antara satu sama lain. Menerusi Gong, dia memegang watak Rozan, pelajar yang tegas dan berlagak. Sementara dalam Nana Tanjung yang berunsur komedi dan bakal ditayangkan November ini, Jehan berlakon sebagai Zulkarnain yang bercinta dengan Waheeda.

“Watak Rozan tidaklah begitu menyusahkan tapi persekitaran penggambaran di sana yang membuatkan setiap pelakon perlu melalui pelbagai dugaan,” katanya yang sering muncul sebagai VJ, seminggu sekali dalam program Latido di TV 9.

Jehan yang kini laris bagai goreng pisang panas dapat juga dilihat lakonannya dalam drama Ejen 016.

Dia yang turut berlakon dalam filem Anak Halal, sebagai pengedar dadah, arahan Osman Ali itu berkata, dalam apa keadaan lakonan tetap diutamakan.

“Saya tidak akan menolak mana-mana tawaran yang mendatangkan kebaikan kepada diri dan karier. Namun biar apa pun yang saya lakukan, lakonan tetap nombor satu,” katanya yang menjadi kaki pukul dalam filem 7707, arahan Razak Mohaideen yang telah pun selesai menjalani penggambaran.

Jehan yang turut mengendalikan sebuah program realiti untuk kanak-kanak berkata, dia tidak menghadapi masalah bekerja dengan kanak-kanak.

“Bekerja dengan kanak-kanak seronok dan paling best saya dapat bermain dengan mereka. Biarpun sekali jumpa tapi saya sudah jatuh hati dengan telatah mereka,” katanya yang akan muncul dalam drama bersiri Inggeris bersama Cheryl Samad dan Tony Eusoffe tidak lama lagi.

Album runut bunyi

Kemunculan filem Gong ini turut diserikan dengan soundtrack (runut bunyi) yang menampilkan lagu nyanyian Yazer dan Idayu.

Yazer mendendangkan lagu Cinta Zaman Berzaman, sementara Idayu dengan lagu Paluan Rindumu, kedua-duanya menjadi lagu tema filem ini.

Selain itu, runut bunyi ini turut menampilkan sedutan enam dialog filem Gong yang membabitkan suara Jehan, Fasha, Sofia dan Elyana selain dua minus one lagu tema.

Yazer atau Mohd. Yazer Yusof, 24, itu telah merakam lagu tersebut pada bulan puasa tahun lalu.

“Mula-mula dengar lagu itu susah sikit untuk saya jiwai sebab belum dibuat susunan muziknya. Bila sudah lengkap, saya rasa boleh bawa dengan mudah biarpun lagu itu ada unsur balada sikit,’’ katanya yang bakal muncul dengan album sulung tidak lama lagi.

Album sulung Yazer akan diterbitkan oleh M. Nasir dan setakat ini rakaman sudah 40 peratus. Antara komposer yang terbabit dalam album berkonsep rock itu ialah Tam Spider dan Tony Spider. Malah untuk album yang telah menjalani rakaman sejak bulan ini, Yazer turut mencipta sebuah lagu.

Dia yang banyak mendapat undangan menjayakan persembahan di sekitar Sabah berkata, pada peringkat awal memang ada perasaan berdebar bila tahu M. Nasir menjadi penerbit.

Keresahan itu timbul kerana Yazer takut dia tidak dapat menjalani rakaman pada tahap yang dikehendaki oleh M. Nasir.

“Bila tahu M. Nasir penerbit, saya buat persediaan rapi kerana dia adalah jenis orang yang tidak suka kita buat kerja main-main. Sebagai orang baru saya rasa bertuah mendapat tunjuk ajar daripada Sifu,’’ katanya sambil tersenyum.

Powered by Utusan Malaysia

Leave a Reply

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: