Gong Dimensi Baru Genre Seram Tempatan

29 Aug

Filem: Gong
Arahan: Sandosh Kesavan
Lakon layar: Sandosh Kesavan & Gibran Agi
Pelakon: Jehan Miskin, Faizal Yusuf, Sharifah Sofia, Fasha Sanda, Elyana dan Teuku Zakry.

Memang tidak mudah untuk menghasilkan sebuah filem seram yang berkesan. Kisah apa yang belum diangkat dalam genre ini? Yang bertujuan untuk menakutkan penonton atau ilusi yang sekurang-kurangnya mampu menyentak penonton. Dalam sejarah filem, sebahagian efek bunyi dan imej yang sukar dilupakan datang daripada filem-filem dalam genre ini.

Daripada yang bersifat ekspressionis seperti The Cabinet of Dr.Caligari (1919) hingga kepada adaptasi novel seram Dracula, yang bersifat psikologikal seperti Psycho (Alfred Hitchcock) atau adegan seram yang bersifat sensasi yang pada tahap memeranjatkan seperti Omen, Rosemary’s Baby dan The Exorcist atau yang bersifat ideologikal seperti yang dibawakan oleh M. Night Shyamalan dalam The Sixth Sense.

Selepas dikuasai oleh filem-filem seram Hollywood pada dekad 1970-an dan 80-an, genre seram dari Asia terutamanya dari Korea, Jepun dan Thailand mula menguasai penonton pada dekad 1990-an dan awal 2000. Pada peringkat paling buruk, filem dalam genre ini akan diingat kerana unsur eksploitasi dan kehodohannya, atau pada tahap terbaiknya sebagai refleksi daripada sisi paling hitam pengalaman manusia.

Genre filem tempatan pula mula mengalami gelombang baru selepas Shuhaimi Baba berjaya menghasilkan Pontianak Harum Sundal Malam (PHSM). Genre ini pernah melalui zaman sukarnya apabila Lembaga Penapisan Filem membuat peraturan yang menyukarkan pembikin filem tempatan menghasilkan filem-filem dalam genre ini.

Tetapi selepas PHSM dihasilkan, genre seram mula mendapat perhatian pembikin filem tempatan. Khabarnya tidak kurang daripada lapan filem seram atau misteri sedang disiapkan pembikinannya dan ada yang sedang menanti tayangan. Bagaimanapun cabaran yang paling sukar adalah kepada pembikin filem untuk menghasilkan filem seram yang paling berkesan kepada penonton.

Seram dan misteri

Gong adalah filem tempatan paling baru dalam genre seram dan misteri ini. Gong diarahkan oleh pengarah muda Sandosh Kesavan, lulusan daripada Akademi Filem Malaysia. Filem ini menggabungkan elemen seram dan misteri ke dalam kisah anak-anak muda yang bercuti daripada pengajian mereka di sebuah universiti dengan melawat Yokjakarta, Indonesia dimana di sebuah muzium mereka menemui sebuah gong yang telah berusia 500 tahun.

Gong yang menjadi judul filem ini mempunyai kisahnya sendiri yang kononnya mempunyai kaitan dengan kisah cinta tiga segi antara Ratih Hapsari, Joko Bondowo dan Wijaya, yang berakhir dengan kematian ketiga-tiga orang ini. Trisha (dilakonkan oleh Sharifah Sofia) tidak mempercayai mitos gong tersebut lalu mencurinya dari muzium tersebut. Bagaimanapun selepas itu teman-teman Trisha iaitu Rozan (Jehan Miskin), Didi (Faizal Yusuf), Mira (Fasha Sanda) dan Ika (Elyana) mula mengalami pelbagai peristiwa yang menakutkan seperti jelmaan bayangan yang memerhatikan mereka.

Bukan gong itu sahaja mempunyai mitosnya tetapi rumah yang mereka duduki itu bukan sahaja sebuah rumah lama yang dipenuhi dengan lukisan dan arca tetapi juga tapaknya telah berusia ratusan tahun.

Kisah barang lama yang penuh misteri dan rumah yang dikatakan menyeramkan sebenarnya bukanlah subjek baru dalam filem-filem genre seram.

Walau bagaimanapun bukan bermakna kisah sedemikian itu tidak boleh dibuat ‘recycle’. Hal yang menjadi cabaran besar buat seorang pengarah dan penulisnya ialah bagaimana kisah ini dapat diberikan pendekatan yang baru dan sekali gus memberikan kesan seram yang baru kepada penonton.

Kelemahan skrip

Sebagai pengarah baru, Sandosh Kesavan memperlihatkan keupayaan, tetapi dia masih perlu berusaha keras untuk memperbaiki keupayaannya dalam mengesan kelemahan sesebuah skrip. Sandosh dan Gibran yang menulis lakon layar filem ini perlu tahu mencipta ketegangan yang dramatik, mempertahankan elemen suspensnya dan cuba keluar daripada kegagalan mengolah plotnya untuk adegan yang meyakinkan dan berkesan kepada penonton.

Antara mimpi pelajar Malaysia dengan mitos gong tersebut, mengapa hanya boleh dengan mudah diselesaikan oleh pelajar Malaysia? Persoalan yang paling utama dalam sebuah filem genre seram tentulah akhirnya bagaimana elemen seram dapat dimunculkan dengan berkesan kepada penonton. Inilah cabaran sebenar sebuah filem daripada genre seram.

Apatah lagi dengan penonton filem tempatan yang sudah bagai kepenatan menonton lambakan filem-filem seram Asia yang sudah semakin mengarut. Gong perlu berhadapan dengan realiti genre ini, apakah kesan yang mahu dicipta daripada kemunculan bayangan imej dan roh yang cuba menakutkan watak-watak real dalam filem ini?

Apakah kesan yang dirasai oleh watak-watak tersebut sampai kepada penonton? Imej pelajar dalam Gong adalah imej-imej pelajar yang stereotaip sebagaimana watak pelajar dalam filem-filem tempatan yang lain.

Dangkal dan kelihatan tidak mempunyai daya fikir yang mantap dengan persoalan yang selalunya kelihatan remeh.

Sebenarnya masih ada ruang untuk genre seram berkembang dalam industri filem, terutama filem tempatan. Memang genre ini mempunyai peminatnya sendiri dan saya percaya besar kerana majalah dan buku-buku dalam genre seram sentiasa besar edarannya dan mendapat sambutan hebat.

Tetapi untuk mendapatkan gelombang penonton yang besar cabarannya adalah keupayaan menghasilkan cerita yang kuat dengan lingkungan budaya dan sosial tempatan, dan tentunya berkeupayaan mencipta imej dan kesan khas yang mampu memberikan impak serta mencipta identiti dan stail genre yang khas bersifat tempatan.

Ini adalah cabaran yang perlu dihadapi oleh sejumlah besar filem-filem seram tempatan yang bakal ditayangkan tidak lama lagi. Mampukah pembikin filem tempatan menghasilkan filem genre seram Malaysia sebagaimana yang dilakukan oleh pembikin filem dari Thailand, Korea dan Jepun?

Powered by Utusan Malaysia

Leave a Reply

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: