Wan Noraini Buat Filem Semula Selepas 13 Tahun

29 Sep

Oleh: WANDA IDRIS

FILEM Cinta Yang Satu merupakan filem kedua Wan Noraini Wan Noh, 51, selepas 13 tahun beliau menerbitkan filem kontroversi Wanita Bertudung Hitam.

Ia merupakan penerbitan pertamanya setelah sembilan tahun berhenti daripada mengusahakan rumah produksi.

Walaupun filem pertamanya pernah mengalami kegagalan namun Wan Noraini tetap optimis dalam penerbitan filem.

“Kak Wan mahu aktif semula,” katanya ketika Mega menemuinya di lokasi penggambaran filem Cinta Yang Satu di Restoran Casablanca, Jalan Ampang, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Menurut bekas ratu cantik tahun 1970-an itu, Cinta Yang Satu hanyalah sebuah filem komedi romantik santai yang berkisar tentang percintaan tiga segi antara Wira, Jamilah dan Zulaikha.

Namun garapannya akan menjadikan filem itu berlainan daripada filem romantik komedi tempatan yang sering disajikan kepada umum.

Bagi Wan Noraini dan pengarahnya, Zulkifli M. Osman, Cinta Yang Satu ialah sebuah filem komersial dengan sentuhan seni.

Gambaran sifat setiap watak dan pembikinan babak tidak klise. Lebih penting lagi ialah komedinya tidak slapstik.

“Kak Wan memang tak suka menghasilkan komedi yang begitu. Malah sebenarnya Kak Wan sukakan filem seni.

“Tetapi melihat pasaran hari ini yang sukakan filem genre ringan, Kak Wan terbitkan juga filem itu tetapi Kak Wan pastikan ia ada sentuhan seni,” kata Wan Noraini Wan Noh yang senang menggelarkan dirinya Kak Wan.

Katanya, dia begitu selektif dalam memilih pengarah agar keinginannya itu mampu direalisasikan.

“Kak Wan boleh bekerja dengan Arief Karmahani dan Zulkifli M. Osman. Mereka berdua memahami kehendak Kak Wan.

“Malah untuk drama-drama terbitan Kak Wan dulu pun, Kak Wan banyak berkolaborasi dengan mereka berdua.

“Bagi Kak Wan, Zulkifli ialah seorang pengarah yang bagus dalam menghasilkan drama cinta dan komedi romantik.

“Sementara kolaborasi Kak Wan dengan Arief Karmahani pula lebih banyak tertumpu kepada penghasilan drama-drama berat,” jelas Wan Noraini.

*Arahan ke-12 Zulkifli

Zulkifli pula memberitahu, Cinta Yang Satu merupakan filem ke-12 arahannya. Dia mengarah filem terakhirnya, Diari Romeo, beberapa tahun lepas.

Filem pertama arahan Zulkifli ialah Mira Edora yang dihasilkannya sewaktu usianya baru 20 tahun.

“Saya bersetuju untuk bekerjasama dengan Kak Wan kerana ada kelainan yang ingin ditonjolkan dalam filem ini.

“Ia sebuah filem komersial yang berseni ala-ala filem Titanic tetapi komedinya seperti filem My Best Friend’s Wedding dan French Kiss,” jelas Zulkifli yang pernah mengarah filem Kekasih Awal dan Akhir, Cinta Metropolitan, Rimba Malam dan Sahabat.

Kata Zulkifli, dia berkeyakinan filem itu mampu menarik perhatian penonton memandangkan kebanyakan filem yang akan ditayangkan pada tahun depan tertumpu kepada genre aksi.

“Saya rasa pembikinan filem ini kena pada masanya,” tegas Zulkifli.

Bercerita tentang pengarahannya, kata Zulkifli, Cinta Yang Satu merupakan sebuah cerita cinta yang perlukan homework kerana ia banyak bermain dengan perasaan dalaman.

“Ceritanya ringan tetapi wataknya berat,” jelas Zulkifli.

Menelan belanja sekitar RM1.7 juta termasuk urusan promosi dan pemasaran, filem tersebut memulakan praproduksinya sejak Mac lalu.

Kini filem Cinta Yang Satu telah pun siap penggambarannya dan sedang menjalani proses pascaproduksi.

FILEM: Cinta Yang Satu

PENGARAH: Zulkifli M. Osman

PENGARAH FOTOGRAFI: Shazawan

SKRIP: Shafuddin Sharif dan Zulkifli M. Osman

PENERBIT: Wan Noraini Wan Noh

TERBITAN: Wan’s Production Sdn. Bhd.

GENRE: Komedi Romantik

LOKASI: Restoran Casablanca, Jalan Ampang, Kuala Lumpur

PELAKON: Zulhuzaimy, Siti Elizad, Ezany, Tengku Sheera, Nabila Huda, Sharifah Sofia, Aida Rahim, Harun Salim Bachik, M. Rajoli dan Suhana Yahya

TAYANGAN: 2007

Powered by Utusan Malaysia

Leave a Reply

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: