Mawi Pilih Siti Haida

2 Oct

Oleh WANDA IDRIS dan MOHAMMAD ARIF NIZAM ABDULLAH

SETELAH putus tunang Julai lalu, penyanyi popular tanah air Mawi sudah menemui pengganti bekas tunangnya, Nordiana Mohd. Naim.

Nampaknya hati Mawi yang genap usianya 25 tahun pada Ogos lalu telah dicuri oleh gadis bernama Siti Haida.

Malam Selasa lalu, Mawi secara terus terang meluahkan perasaannya kepada Siti Haida. Bukan main syahdu apabila Mawi merayu-rayu nama gadis itu.

Cepat benar jejaka Felda Taib Andak, Kulai, Johor ini kembali bercinta. Tetapi masalahnya siapakah Siti Haida itu? Cantik dan bertudungkah? Apakah dia seorang pelakon popular dan kontroversi atau hanya gadis kilang seperti Nordiana?

Buat peminat fanatik Raja SMS itu, jangan cepat menggelabah pada bulan Ramadan ini. Penyanyi kesayangan anda itu hanyalah bercinta dalam lagu yang bertajuk Siti Haida.

Siti Haida merupakan lagu nyanyian Jeffrydin yang popular sekitar era 60-an. Lagu itu terkandung dalam album terbaru Mawi yang berjudul Idolaku Yang Tercinta.

Mawi baru sahaja memulakan rakaman album tersebut malam Selasa lalu. Melalui lagu Siti Haida, Mawi berduet bersama Jeffrydin. Pasti ramai yang menantikan gaya twist 60-an Mawi.

Selain penyanyi ikon 60an itu, Mawi juga bakal berduet dengan ramai penyanyi popular tanah air, antaranya M. Nasir, Ramli Sarip, Hattan, Jay Jay dan Ogy Ahmad Daud.

Album Idolaku Yang Tercinta bakal menemui peminat industri muzik tanah air pada November ini.

“Seronok dapat bekerjasama dengan mereka. Ada lagu baru dan lama yang kami rakamkan,” cerita Mawi. Mawi ditemui ketika bersahur di Restoran Rebung, Bangsar baru-baru ini.

Dengan kemunculan Mawi bersama nama-nama besar tersebut, populariti juara AF3 itu dijangka berterusan walaupun dia dihimpit kisah kontroversi.

Filem Aduh Saliha

Baru-baru ini heboh cerita komposer tersohor tanah air M. Nasir ingin membawa lagu berhantu Mawi, Aduh Saliha, ke layar perak.

Bekas pengetua AF3 itu dikatakan ingin menawarkan watak hero untuk filem komedi dan seram itu kepada Mawi.

Peluang berjumpa Mawi pada acara makan sahur itu memberi ruang untuk bertanyakan Mawi lebih lanjut tentang cerita yang akan membawanya ke layar besar.

Mawi tidak menafikan dia pernah diusulkan cadangan untuk terlibat sama dalam filem itu oleh M. Nasir.

“Namun segala-galanya bergantung kepada jadual saya. Saya difahamkan hanya pada bulan April tahun depan baru saya ada kelapangan masa,” kata Mawi.

Namun Mawi memberitahu dia mempunyai prinsip apabila berlakon kelak.

Jejaka berkulit sawo matang itu menegaskan dia tidak mahu melakonkan adegan romantis dan berpegangan tangan dengan pelakon wanita.

“Kenapa saya tidak mahu? Kerana saya tidak suka. Itu sahaja,” jawab Mawi ringkas yang teringin berlakon dengan heroin pujaannya, Salma Hayek.

Sibuk sepanjang Ramadan

Di celah-celah kesibukan sepanjang bulan Ramadan ini, penyanyi popular Mawi ingin mengajak semua peminat fanatiknya berbuka puasa dan berterawih beramai-ramai pada 15 Oktober ini di Hotel Palace of the Golden Horses, Kuala Lumpur.

Menariknya, majlis yang akan bermula pada pukul enam petang itu terlebih dahulu bakal dihiburkan oleh Mawi bersama artis-artis undangan seperti Zila dan Diddy dari Akademi Fantasia 4 (AF4).

Seterusnya, majlis akan dihentikan apabila tiba waktu berbuka sebelum persembahan nyanyian diteruskan sehingga solat Isyak.

Hotlink, Maestro Talent & Management, Mawi World Sdn. Bhd., (WWSB) dan Kelab Sahabat Mawi (MawiFC) bergabung menganjurkan majlis yang julung-julung kali itu.

Keistimewaan kemunculan Mawi nanti ialah persembahannya bersama kumpulan Wariqisalam.

Wariqissalam merupakan kumpulan nasyid yang dianggotai oleh Mawi dan enam rakan-rakannya di Felda Taib Andak, Kulai, Johor sebelum dia menjadi bintang popular.

Mawi dijangka mendendangkan dua buah lagu baru yang terkandung dalam album pertama kumpulan tersebut yang bakal berada di pasaran Disember ini.

Sementara itu, pihak yang berhajat membuat tempahan meja pada majlis itu boleh mendapatkan maklumat lanjut dengan menghubungi MawiFC di talian 017-3139963 atau 012-2849604 dan MWSB di talian 017-2987964.

Sebahagian daripada wang tempahan meja itu akan didermakan kepada rumah-rumah anak yatim dan warga tua.

Bersempena majlis itu juga, MawiFC bersama penaja dan penganjur utama UdaDayaurus Sdn. Bhd., anak syarikat UDA Holdings Berhad, akan mengadakan satu pertandingan azan.

Pertandingan itu terbuka kepada ahli-ahli MawiFC dan orang ramai. Pakej umrah bakal menanti pemenang utama pertandingan melaungkan azan berbuka pada majlis itu.

Mereka yang berminat boleh menghubungi urusetia pertandingan di talian 017-8793790 (Ita) dan 017-2384475 (Awie).

Pejabat Mawi World

Biarpun baru setahun jagung bergelumang dalam bidang seni namun Mawi sudah melebarkan sayapnya dalam bidang perniagaan.

Sejak awal tahun ini, Mawi telah menubuhkan syarikat Mawi World. Minggu lalu, syarikatnya telah mempunyai ruang pejabatnya sendiri iaitu sebuah rumah kedai yang disewanya di Taman Desa, Kepong, Kuala Lumpur.

“Bisnes ini adalah sebagai persediaan saya. Arwah bapa juga menasihati saya supaya beringat-ingat,” kata Mawi.

Selain mengedarkan barangan berupa kemeja-T, topi dan kopiah, Mawi World turut melibatkan diri dalam penerbitan album.

Album sulung terbitannya yang akan dimulakan rakamannya tidak lama lagi ialah album kumpulan Wariqisalam. Mawi sendiri terlibat dalam album itu yang akan dipasarkan Disember ini.

Berkonsepkan lagu nasyid berirama 70-an dan 80-an, album itu akan dipromosikan oleh Maestro Talent and Management.

Sempena bulan Ramadan ini, Mawi World memperluaskan perniagaannya dengan menjual kad raya dan sampul duit raya selain melancarkan air mineral jenamanya.

“Pelan-pelan kayuh,” kata Mawi berjenaka ketika diusik tentang perniagaannya itu.

Tiga album MTV

Mawi atau nama sebenarnya Asmawi Ani baru saja menghasilkan tiga album MTV iaitu MTV Karaoke Yang Tercinta, Selingkar Kisah Mawi dan Konsert Fantasia Mawi.

Pelancaran tiga album MTV itu telah disempurnakan oleh Pemangku Presiden Persatuan Pengeluar-Pengeluar Filem Malaysia, Ruhani Abdul Rahman baru-baru ini.

Menurut Mawi, terdapat dua versi bagi MTV album Yang Tercinta iaitu versi nyanyian bersama karaoke dan versi video yang diselang selikan dengan interviu khas.

Turut diselitkan dalam versi video ialah klip video animasi CG yang dicipta oleh Siew Wai Hor.

Album Selingkar Kisah Mawi memuatkan kisah perjalanan hidupnya sejak pertama kali menyertai AF hingga bergelar artis rakaman.

Turut dimuatkan dalam VCD itu ialah klip video lagu tema filem Pesona Non Grata berjudul Hanya Untukmu dendangan Mawi.

VCD Konsert Fantasi Mawi merakamkan suasana konsert itu yang berlangsung pada awal bulan lalu tanpa sebarang suntingan.

Utusan Malaysia

Leave a Reply

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: