Sofia Jane Menanti ‘hukuman Tali Gantung’

21 Nov

Oleh WANDA IDRIS

SELEPAS 11 tahun tidak muncul dalam drama tempatan apalagi memegang peranan utama, kemunculannya dalam drama Sebuah Ijtihad tentunya sesuatu yang dinanti-nantikan penonton, khususnya peminat setia Sofia Jane.

Sebagai pengasas kosmetik berjaya yang akhirnya menjadi banduan bernama Nurhidayah@Ida, Sofia berkolaborasi dengan Sheila Rusly dan Mas Idayu yang masing-masing membawakan watak banduan wanita bernama Cat dan Zack.

Namun kata Sheila Rusly yang turut bertindak sebagai penerbit, bukan mudah memujuk aktres berdarah kacukan Melayu-Inggeris itu untuk terlibat dalam pembikinan drama terbaru terbitan JS Pictures Sdn. Bhd. yang dimiliki Sheila dan suaminya, Jinggo.

Tetapi sebaik melihat sinopsis yang difakskan kepadanya, Sofia terus berminat dan menyatakan persetujuan.

“Saya akhirnya mengalah pada pujukan Sheila. Lagi pula, ia arahan Jinggo. Siapa yang tidak tahu hasil kerjanya,” kata Sofia yang ditemui di Penjara Pudu yang menjadi lokasi penggambaran drama itu, Rabu lalu.

Menolak bahawa kemunculannya itu sebagai come-back di layar kaca, kata Sofia, pembabitannya dalam drama itu adalah sekadar untuk memenuhi minat dalam lakonan.

Ini kerana, aktres itu menegaskan, tanggungjawab dan komitmen terhadap rumah tangga dan keluarga menjadi keutamaan kepada dirinya.

“Berlakon hanya untuk menonjolkan bakat bukan lagi kerjaya. Justeru, muncul setahun sekali sudah mencukupi. Asalkan orang tak lupa kita,” kata Sofia yang kali terakhir muncul sebagai Tun Teja dalam filem Puteri Gunung Ledang (PGL), lebih dua tahun lalu.

Pun begitu, Sofia menegaskan, dia amat selektif dalam memilih watak.

“Tidak kira watak kecil atau besar watak yang ditawarkan, yang penting, ia memberi total transformasi dalam setiap lakonan saya.

“Dan saya menerima tawaran untuk berlakon dalam drama ini kerana saya terpikat dengan wataknya.

“Bagi saya Ida merupakan satu watak yang amat mencabar. Bayangkan kehidupan seorang wanita normal yang bahagia tetapi kemudian disogok dengan masalah yang tidak dijangka.

“Dia akhirnya disumbatkan ke dalam penjara dan menunggu hukuman gantung,” ujarnya yang telah berlakon hampir 35 buah drama sebelum ‘bersara’ setelah berkahwin dengan ahli perniagaan, Meor Azman Datuk Meor Mohd Taib.

Penyelidikan

Tidak melakukan sebarang penyelidikan untuk membawa watak Ida, kata Sofia, dia lebih senang menghayatinya saat berada di lokasi.

“Saya tidak gemar merancang lakonan saya. Saya suka ia hadir secara natural. Lagipun, drama ini sebuah drama yang melibatkan emosi, bukan berkaitan sejarah yang memerlukan kita membuat kajian tentang wataknya,” jelas Sofia.

Ibu kepada tiga anak – Arissa, 10, Khadija, 6, dan Soraya, 3 – itu juga berkata, dia menerima tawaran tersebut kerana pihak produksi peka dengan kehendaknya.

Menurut Sofia, kepercayaan pihak pengurusan produksi untuk menjalinkan kerjasama dengannya menjadi satu keutamaan kepada dirinya sebelum menerima sesuatu tawaran.

“Ini penting kerana jika saya ingin berlakon, beberapa perkara yang berkaitan hal keluarga misalnya saya ambil kira.

“Contohnya saya tidak akan berlakon pada hari Sabtu dan Ahad kerana setiap hujung minggu adalah hari saya dan keluarga.

“Jika mereka boleh menerima syarat-syarat saya, baru saya boleh pertimbangkan untuk berkerjasama kerana saya tidak mahu memberi masalah kepada pihak penerbit di kemudian hari,” tegas Sofia yang bakal muncul dengan filem lakonan terbarunya, Susuk tidak lama lagi.

Sebuah Ijtihad yang mengisahkan tentang kehidupan banduan wanita telah memulakan penggambarannya sejak Isnin lepas (13 November).

Selain Penjara Pudu, Penjara Kajang, Selangor turut menjadi sebahagian lokasi penggambaran yang memakan masa 10 hari itu.

Sementara itu, Sheila mengakui, watak-watak Ida, Zack dan Cat masing-masing dibuat khusus untuk Sofia, Mas Idayu dan dirinya.

Idea asal oleh Shiela dan Jinggo, naskhahnya ditulis oleh Che Li.

“Cerita itu diilhamkan sewaktu saya dalam perjalanan pulang selepas penggambaran drama Tain dan draf awalnya telah dibuat pada bulan Ogos lalu.

“Jika tiada aral melintang, drama itu akan ditayangkan di TV3 pada Januari depan dan saya menjangkakan ia mampu mendapat perhatian bukan sahaja kerana ceritanya.

“Tetapi juga kerana kemunculan Sofia yang telah lama dirindui peminat,” kata Shiela optimis.

Powered by Utusan Malaysia

Leave a Reply

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: