Butik Pengantin Norhalim Buktikan Kreativiti OKU

24 Nov

Oleh: RAHANA MD

HALIM tekun menjahit labuci yang menghiasi pakaian pelanggannya di butik Bridal Mate di Plaza Shah Alam, Selangor.

Sebagai butik perunding perkahwinan, perkhidmatan yang ditawarkan oleh Bridal Mate mungkin tidak ada bezanya dengan butik perkahwinan lain. Segalanya ada, daripada hiasan pelamin, gubahan hantaran, persalinan pengantin, hiasan bilik tidur hingga kepada bunga telur.

Namun, apa yang membezakan ialah tuan punya butik pengantin ini merupakan dari golongan Orang Kurang Upaya (OKU).

Melihat kreativiti dan kehalusan kerja-kerja gubahan serta jahitan manis yang dihasilkan, sukar mempercayai dilakukan oleh seorang OKU seperti Norhalim Talib atau lebih mesra dengan panggilan Halim.

Lebih 10 dekad berkecimpung dalam dunia perniagaan yang melibatkan perkahwinan, kekurangan diri bukan satu alasan bagi Halim sentiasa menadah tangan mohon simpati.

Kurang selesa dengan panggilan cacat walaupun hanya mempunyai sebelah tangan kanan, Halim, 40, lebih gemar bercerita tentang kemahirannya dalam bidang gubahan dan jahitan.

“Lazimnya apabila cuti sekolah hujung tahun seperti sekarang, adalah masa yang paling sibuk di Bridal Mate,” katanya.

Walaupun menerima banyak permintaan, dia cuba mengehadkan kepada lima tempahan perkahwinan dalam satu hari bagi mengekalkan kualiti.

Di butiknya yang terletak di tingkat tiga, Plaza Shah Alam, Selangor, Halim dibantu oleh empat pekerja tetap dan lebih 20 pekerja sambilan yang biasanya diambil pada musim perkahwinan.

“Kerja-kerja memasang pelamin atau menghias dewan majlis memerlukan tenaga yang kuat. Saya beruntung kerana mempunyai pekerja yang mudah menerima teguran dan sentiasa belajar untuk meningkatkan kemahiran diri.

“Lebih menggembirakan ada beberapa pekerja yang telah berjaya dan membuka perniagaan sendiri pula,’’ ujarnya.

Walaupun dibantu oleh pekerja, kerja-kerja gubahan, hiasan bilik tidur dan pelamin tetap mendapat sentuhan Halim.

“Kepercayaan pelanggan sebenarnya yang meningkatkan keyakinan saya dalam bidang ini. Saya ikhlas memberi yang terbaik kerana saya yakin pelanggan yang berpuas hati akan menyampaikan pula dari mulut ke mulut kepada sanak-saudara atau rakan taulan,’’ ujarnya.

Selain sering dipanggil bagi kerja-kerja pemasangan pelamin dan hiasan dewan di hotel-hotel serta dewan-dewan terkemuka, Halim juga berasa bangga kerana kerap mendapat kepercayaan golongan artis dan VIP.

“Setakat ini saya telah menyediakan pelamin untuk Ziana Zain, Awie dan akan datang pelakon Diana Rafar. Begitu juga beberapa anak golongan VIP di sekitar Lembah Klang.

“Walaupun mendapat kepercayaan golongan tersebut, namun saya masih menganggap semua pelanggan sama.

“Saya mengenakan bayaran berdasarkan bajet dan kemampuan mereka. Setakat ini, saya telah menjelajah hampir ke seluruh negara berdasarkan kepada permintaan pelanggan,’’ katanya.

Halim turut menawarkan perkhidmatan sewaan pakaian yang cantik berhias labuci dan sekuin sedondon dengan seledang panjang dan kasut.

Anak muda ini juga mahir dalam solekan dan sering mendapat pujian banyak pihak.

Bercerita mengenai dirinya, menurut anak ke enam ini, sejak lahir dia dilahirkan cacat dan hanya mempunyai sebelah tangan sahaja.

“Sejak lahir lagi saya hanya mempunyai sebelah tangan, namun saya amat berterima kasih kasih emak yang tidak mengasingkan saya daripada 10 adik beradik yang lain.

“Emak juga menghantar saya ke sekolah biasa dan sejak kecil saya tidak merasakan apa-apa kekurangan kerana boleh melakukan apa yang kanak-kanak lain buat.

“Bagaimanapun selepas tamat Sijil Pelajaran Malaysia saya banyak berfikir tentang masa hadapan dan peluang yang terhad diperoleh oleh OKU seperti saya.

“Kebetulan minat dalam bidang jahitan telah lama bersemi, lantas saya teruskan ikhtiar dengan mendalami bidang jahitan dan menerima kepercayaan pelanggan,’’ katanya.

Kini, Halim bukan sahaja bijak berdikari tetapi menjadi kebanggaan OKU dan juga pelanggan yang sentiasa memberinya sokongan moral untuk terus berjaya pada masa hadapan.

Kepada sesiapa yang ingin membuat tempahan, Halim boleh dihubungi di talian 019- 3085058.

Powered by Utusan Malaysia

Advertisements

One Response to “Butik Pengantin Norhalim Buktikan Kreativiti OKU”

  1. cik ita April 6, 2010 at 8:57 pm #

    Solekan Halim mmg cantik….clean and fresh dan dlm gambar pun cantik…..he’s gifted and i love his work.

Leave a Reply

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: