Majlis Merai Perkahwinan Lambang Kasih Sayang Awie Buat Isteri

27 Nov

Oleh WANDA IDRIS

AWIE dan Rozana yang kini hamil empat bulan pada majlis meraikan perkahwinan mereka yang berlangsung di Batu 9, Teluk Kemang, Port Dickson, Negeri Sembilan baru-baru ini.

“JANGANLAH menganggap majlis ini sebagai satu balas dendam. Tidak… Saya adakan majlis ini atas rasa tanggung jawab saya sebagai seorang lelaki, suami dan bapa.

“Juga sebagai tanda terima kasih saya kepada keluarga pihak isteri yang menerima baik perkahwinan ini kerana mereka percaya manusia tidak pernah mampu untuk melawan takdir.

“Dan lebih penting, ia adalah lambang kasih sayang saya kepada isteri, jadi janganlah lagi hendaknya menyentuh perkara-perkara lalu. Saya sudah tidak mahu mengungkit hal lama.

“Saya mahu teruskan hidup, berbahagia dan sentiasa berdoa agar perkahwinan ini kekal abadi.”

Demikian tegas Awie yang mahu umum memahami bahawa majlis resepsi yang dilangsungkan pada malam Jumaat lalu di sebuah banglo persendirian di Batu 9, Teluk Kemang, Port Dickson, Negeri Sembilan itu bukan untuk menunjuk-nunjuk.

“Kerana itu majlisnya tidak berlebihan. Saya adakan secara sederhana sahaja. Buat apa yang termampu,” kata Awie yang buat pertama kalinya memperkenalkan secara rasmi isterinya, Rozana Misbun kepada khalayak selepas berkahwin lebih setahun lalu.

Awie, 39 dan Rozana, 27 yang juga adik kepada pelakon Haliza Misbun telah bernikah pada 20 Jun tahun lalu setelah tiga tahun berkawan.

Perkahwinan kedua Awie itu menjadi kontroversi apabila dikatakan penyebab punca keruntuhan rumah tangganya dengan pelakon/penyanyi Arni Nazira Anuar, 28 apabila Arni menuntut cerai setelah lapan tahun berkahwin.

Mereka yang mempunyai dua cahaya mata, Puteri Aleeya Antasha, enam dan Puteri Aleefa Antasha, empat kini berada di bawah penjagaan Awie.

Pada majlis yang dihadiri kira-kira 2,000 tetamu yang juga diadakan bersempena ulang tahun kelahiran Awie, penyanyi rock itu turut memakaikan seutas gelang emas bertatahkan batu permata bernama Awie di tangan kanan Rozana sebagai simbol pertautan kasih sayang mereka.

Merancang majlis meraikan perkahwinannya itu sejak lebih seminggu lalu, Awie dan Rozana turut diiringi kedua-dua anak Awie, Puteri Aleeya dan Puteri Aleefa sebagai gadis bunga.

Hadir sama memeriahkan majlis ialah kedua ibu bapa Awie, Othman Maarof dan Azizah Abdul Hamid serta adik dan abang Rozana, Amanda dan Rosman serta beberapa rakan artis yang terdiri daripada anggota Kumpulan Wings, Afdlin Shauki dan Bob Lokman yang bertindak sebagai pengacara majlis.

Malu-malu

Rozana atau nama manjanya Joanna yang kini hamil empat bulan pula kelihatan malu-malu apabila ditanya mengenai perkahwinannya itu.

“Kami mula berkenalan sejak 2002 apabila bertemu di sebuah restoran. Saya memang peminatnya dan sejak pertemuan itu, kami mula berkawan rapat,” kata Rozana yang amat meminati lagu Sejati, dendangan Awie bersama Wings.

Ditanya mengenai pandangan negatif sesetengah pihak terhadap suaminya, tegas Rozana, “Dia lembut sebenarnya… Saya sukakan Awie kerana orangnya baik.”

“Malah dia langsung tiada masalah dengan anak-anak saya. Mereka sangat mesra dan manja,” pintas Awie sambil membayangkan mahukan anak seramai yang mungkin membuatkan Rozana tersimpul malu.

Mengenai kontroversi perkahwinannya, kata Rozana, dia tidak mahu ambil peduli dengan kata-kata orang.

“Mampukah kita menidakkan ketentuan Tuhan,” ujarnya lembut, satu ciri yang membuatkan Awie terpikat kepada Rozana selain seorang yang penyayang dan manja.

Malah kata Awie, Rozana bukan sahaja menepati ciri wanita pilihan, lebih penting, tiada jurang komunikasi dalam perhubungan mereka.

“Saya percaya dengan komunikasi dan dia mampu berbual dalam apa juga topik dan kami boleh bertukar-tukar pendapat. Itu yang bagus,” kata Awie lagi.

Utusan Malaysia

Advertisements

Leave a Reply

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: