Kejutan Linda Dan Syed Aiman

10 Dec

Oleh NIEZAM ABDULLAH

Sesuatu yang tak disangka… Keifli Othman hadir merenjiskan air mawar di tangan bekas isterinya – Linda pada majlis persandingan pelakon itu dengan Syed Aiman minggu lalu.

“KAHWIN… kahwin… kahwin… nikah dan kahwin… bukanlah hai mudah perkara mudah.’’ Ingat lagi dengan bait-bait lagu itu? Lagu yang pernah dipopularkan penyanyi Ahmadi Hassan suatu ketika dahulu yang menceritakan susah senang sebuah rumah tangga.

Memang benar perkahwinan itu indah. Menyebutnya juga mudah tetapi untuk melayarinya tidaklah semudah yang dibayangkan.

Mengemudi sebuah rumah tangga sama seperti menaiki kapal di tengah lautan yang kadangkalanya berhadapan dengan laut tenang dan ada masanya bergelora.

Pertemuan mereka yang pernah berkahwin dan berpisah dan bertemu lagi jodoh merupakan sesuatu yang istimewa.

Kenapa begitu? Kerana kedua-duanya pernah merasai pengalaman berumah tangga dan membina semula rumah tangga baru dengan harapan yang baru.

Pelakon Syed Kamaruzaman Syed Mahmud atau Syed Aiman, 31, dan Linda Rafar, 28, bertemu jodoh buat kali kedua selepas kedua-duanya pernah kecewa dalam rumah tangga yang dibina.

Bertempat di masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz, Shah Alam, 2 Disember lalu, dua hati yang pernah kecewa dalam rumah tangga kembali bersatu apabila mereka selamat diijabkabulkan oleh Penolong Pendaftar Nikah, Khairuddin Hassan.

Bersama mas kahwin RM111 dan wang hantaran RM11,111.11 mereka akhirnya menjadi suami isteri kira-kira pukul 9.45 pagi.

Lebih bererti, kedua-dua anak Linda bersama bekas suaminya – pelumba kereta Keifli Othman iaitu Rezaril, 7, dan Rezaimen, 4, turut merestui perkahwinan baru ibu mereka.

Majlis persandingan Syed Aiman dan Linda pula diadakan secara meriah di rumah keluarga pengantin perempuan di Shah Alam, bertemakan warna hijau muda menggambarkan harmoninya sebuah perkahwinan.

Pelakon Azza (Elite) dan Zamarul Hisham yang menjadi pengacara majlis tersebut menyusun acara dengan baik bagi menggembirakan tetamu.

Selain rakan-rakan artis antaranya Watie (Elite), Suhaina Yahya, Syazliana dan Kasmadiana yang turut hadir, kejutan bagi Linda dengan kehadiran bekas suaminya Keifli berpakaian baju Melayu serba hijau memenuhi tema persandingan itu.

Ia satu kejutan buat Linda. Tergamam dan terperanjat pengantin itu apabila Zamarul menjemput Keifli untuk merenjiskan air mawar di atas pelamin.

“Memang Linda tidak menyangka Keifli datang merenjis air mawar. Linda memang terkejut dengan kehadirannya,’’ katanya.

Walaupun di antara Linda dan Keifli sudah tiada apa-apa lagi namun di sudut hatinya Linda tidak dapat menyembunyikan perasaan sayu mengenangkan peristiwa itu.

“Dia merestui Linda dan Syed Aiman bersatu dan tentunya Linda juga tidak sabar untuk melihat dia bertemu jodoh barunya,’’ jelas Linda lagi.

Semasa rencana ini ditulis pada malam Rabu lalu, Linda bersama Syed Aiman berada di Bandung, Indonesia untuk menyediakan kelengkapan majlis resepsi mereka yang akan diadakan di Hotel Concorde, Shah Alam, malam ini.

Kata Linda, dia ingin menjadikan perkahwinannya itu sesuatu yang istimewa untuknya dan Syed Aiman memahat sejarah terindah di dalam kamus hidup mereka.

Pada malam ini hanya jemputan istimewa termasuk VIP, rakan-rakan artis, sanak saudara, penaja dan media dijemput untuk meraikannya.

Linda merasakan majlis persandingan minggu lalu masih belum sempurna kerana dia tidak dapat melayan mereka yang hadir sepuas-puasnya.

“Jemputan Linda tempoh hari hanya 1,000 orang tetapi yang datang lebih dari jumlah itu iaitu hampir 2,000 orang.

“Bagi menghargai rakan-rakan rapat dan pihak yang banyak membantu Linda dan Aiman, majlis resepsi ini diharap dapat menggembirakan mereka,’’ katanya.

Apa-apa pun selamat pengantin baru buat Linda dan Syed Aiman. Semoga ia berkekalan buat selama-lamanya.

Powered by Utusan Malaysia

Leave a Reply

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: