Jue Aziz Bukan Penggoda

24 Dec

Oleh: TENGKU KHALIDAH TENGKU BIDIN


ZULIANA AZIZ.

SEMESRA senyuman, demikian jua mesra perawakan empunya diri. Zuliana Aziz, 23 tahun atau mesra dengan sapaan Jue Aziz ini barangkali tidak asing lagi kepada kita.

Kalau sekalipun ada antara anda yang jarang menyaksikan lakonannya di kaca televisyen, sekurang-kurangnya anda pernah menatap raut wajahnya di majalah-majalah hiburan.

Semenjak menjadi kekasih aktor kacak, Jehan Miskin, Jue turut terkena tempias glamornya. Malah melambak sudah rakan media lain memadankan pasangan kekasih ini sebelum ini.

Jue yang hadir ke studio dengan ditemani rakan jurusolek pada pandangan mata saya memang memiliki aura tersendiri. Muda, cantik dan berani.

Semestinya dia mempunyai peluang yang sangat cerah lagi menyerlah dalam dunia yang baru disinggahi semenjak setahun lalu, bukan hanya sekadar datang dan pergi.

Sebagai pelakon, kata Jue, dia mempunyai impian yang sangat besar dalam dunia seni. Impiannya hampir sama dengan impian banyak pelakon lain iaitu mencari seberapa banyak peluang untuk menonjolkan bakat dan kehebatan.

Paling penting, dia tidak mahu dikenali hanya sebagai pelakon yang popular kerana cerita kontroversi, tetapi sebagai pelakon yang betul-betul boleh berlakon.

”Insya-Allah, suatu hari nanti saya juga impian anugerah dalam lakonan kerana ia adalah lambang komitmen dan penerimaan pihak profesional kepada gaya lakonan saya,” katanya meluahkan impian.

Setelah cukup dikenali sebagai Kyra dalam drama Dua Hati, kemudian dengan lakonan mantapnya dalam teater Naga Chini, Jue kini bersedia untuk ke lokasi drama 150 episod berjudul Manjalara.

Drama yang baru memulakan penggambaran semalam ini menggandingkan Jue dan kekasih hatinya, Jehan Miskin sebagai pasangan adik-beradik.

”Setiap kali digandingkan dengan Jehan, Ju memang seronok. Sebab kami boleh mengkaji watak masing-masing bersama-sama lebih kerap lagi.

”Tetapi ini tidak bermakna Jue tak suka kalau digandingkan dengan pelakon lelaki lain. Jue tak kisah sebenarnya sebab dalam keadaan sekarang tak boleh memilih sangat. Yang penting skrip dan jalan cerita yang baik, Jue pasti tak akan tolak,” katanya lagi.

* Mahu tamatkan kontroversi

Bercinta dengan Ako Mustapha suatu waktu dahulu yang diketahui satu Malaysia, kemudian terputus sehinggalah dia menyambung percintaan dengan rakan baik Ako sendiri, Jehan, Jue memang hangat.

Dikaitkan dengan hal-hal yang kontroversi seperti itu Jue sendiri tidak mahu terus di ekor kontroversi selamanya. Juga dia tidak rela namanya tergolong dalam kelompok artis sensasi hanya gara-gara kisah cinta, putus cinta dan bercinta lagi itu.

“Hendak buat macam mana lagi, memang itu saya telah saya lalui sebelum ini. Untuk jatuh cinta bukan mudah. Putus cinta juga susah, apatah lagi untuk dikongsikan dengan pihak lain.

”Tetapi saya jenis yang tidak suka hipokrit. Kalau ditanya tentang cinta, kalau memang pada masa itu saya sedang melaluinya, saya akan cerita. Saya bukan jenis yang suka sembunyikan soal kebenaran.” katanya.

* Mahu jujur saja

Kata Jue, dia cuba untuk berlaku jujur, sejujur-jujurnya dengan sesiapa saja yang bertanya mengenai dirinya. Bagaimanapun kalau orang tidak mahu menerima kejujurannya, apalah daya dia sebagai seorang wanita.

Dikaitkan dengan hal-hal seperti itu kata Jue, hatinya memang berduka. Remuk rendam hati di dalam, tetapi tak siapa yang tahu kerana wajah masih menunjukkan kegirangan.

Tetapi lama-kelamaan kontroversi akan dibawa berlalu oleh masa.

“Ialah, mula-mula kita akan sedih bila orang cakap macam-macam fasal kita. Orang tak pernah nampak baik kita, yang orang nampak hanya buruk saja.

“Tetapi lama-kelamaan, ia hilang macam itu saja dibawa waktu. Yang penting orang di sekeliling kita kena percayalah kita dan sokong kita.

“Itu yang berlaku dalam kehidupan Jue. Bila ada yang memberi sokongan dan dorongan, kita akan semakin kuat untuk berhadapan dengan apa saja dugaan yang datang. Kalau boleh Jue mahu tamatkan segala kisah lama, buka buku baru saja,” katanya.

Sebagai artis, kata Jue, tidak ada sebab untuk dia mudah melatah, jauh sekali ambil endah dengan apa yang orang cakap.

Semenjak hari pertama lagi berinjak ke dunia seni, dia tahu dirinya bakal berhadapan dengan segala macam kecelaruan ini.

“Bagaimanapun Jue terima saja. Kalau kita popular orang marah, kita senyap pun orang akan kata juga. Jue buat saja apa yang Jue rasa hendak buat, asalkan Jue tahu benda ini ada kebaikannya,” katanya.

Mengenai keluarga juga, kata Jue, mereka tidak pernah memberi sebarang tekanan kepada dirinya. Sebaliknya mereka hanya memberi banyak nasihat dan tunjuk ajar yang terbaik untuk dia mengorak langkah sebagai artis.

“Saya tak suka cerita sangat pasal kontroversi dengan keluarga, tetapi saya akan berkongsi segala cerita dengan Jehan saja.

“Bila ada masalah dengan teman lelaki, saya tak pilih keluarga sebab teman lelaki itu pun kita yang pilih. Buat apa bebankan keluarga pula bila ada masalah?

“Saya sendiri akan selesaikan dan kalau susah sangat barulah jumpa ahli keluarga. Tetapi semenjak bersama dengan Jehan, saya tak pernah dilanda sebarang masalah besar,” kata Jue lagi.

* Penggodakah saya?

Raut wajah menggoda, tentunya banyak yang mudah jatuh hati dengannya. Jika itu tanggapan anda, mungkin ada kebenarannya. Tetapi bagi Jue sendiri, dia tidak boleh menerima tanggapan demikian semudah itu.

”Apa? Penggoda? Jauh sekali. Mungkin cara pergaulan saya yang sedikit terbuka, itu saja. Tetapi jangan panggil saya wanita penggoda, saya tak suka,” katanya.

Apa pun sebagai artis, kata Jue, dia tidak menafikan ada kalanya terpaksa bergaya sebagai penggoda.

Sebagai contoh, kalau berada dalam situasi sesi penggambaran, dia perlu ‘menggoda’ jurukamera yang ada di depan dengan aksi-aksi yang cantik dan menarik. Begitu juga dalam lakonan di kaca televisyen supaya godaannya mendapat tarikan penonton.

”Karakter perlu ada baik untuk fotografi ataupun lakonan. Menggoda di dalam kerjaya, bukan bermakna di luar pun saya berperwatakan sama.

”Kita kena buat kerja saja, tetapi di luar saya tak macam itu. Orang penggoda ni biasanya jenis pendiam, tak banyak cakap. Diam-diam saja dia goda lelaki melalui pandangan dan jelingan yang manja. Tetapi saya memang kalau hendak gelak ketawa, saya terbuka saja. Tak tahu malu langsung, itu ciri-ciri penggoda ke?” katanya.

* Berdendang lagu kasih sayang

Menyentuh lebih lanjut mengenai hubungannya dengan aktor Jehan Miskin, kata Jue, dia bersyukur kerana pada saat ini mereka sedang mendendangkan lagu kasih sayang.

Jehan sebagai kekasih sangat mengambil berat akan dirinya, dan setelah setengah tahun bergelar pasangan kekasih, mereka merasakan hubungan itu semakin rapat dari hari ke hari.

Bermula dari penggambaran drama Dua Hati, kemudian saling bertukar pendapat dan pandangan, akhirnya cinta muncul di celah-celah kehidupan mereka.

”Cinta kami datang secara tidak sengaja. Sebab itu saya anggap ia satu anugerah kepada saya,” katanya lagi.

Bagaimanapun buat masa sekarang mereka belum berfikir untuk meneruskan hubungan itu ke peringkat pertunangan atau perkahwinan.

Faktor usia yang masih muda menjadikan fokus mereka lebih menjurus kepada soal kerjaya, cari duit banyak-banyak dulu, bukan masanya untuk berumah tangga.

* Tak risau saham jatuh

Juga Jue bukan orang yang suka menyembunyikan statusnya sebagai kekasih kepada lelaki itu. Katanya, dia percaya kepada bakat dan kebolehan.

Jika ada pelakon yang menganggap pendedahan tentang kisah cinta bakal mengundang padah, menjatuhkan saham popular sendiri, itu adalah andaian yang silap sama sekali.

”Saya percaya dengan bakat yang saya ada. Mungkin ada artis lain yang anggap macam itu, tetapi kalau kita yakin dengan apa yang kita ada, kenapa perlu takut?

”Erra Fazira contohnya, pernah berkahwin tetapi popular juga sampai ke hari ini. Insya-Allah pada saya saya yakin dengan diri sendiri dan tak malu untuk bercerita yang saya hati saya sudah berpunya,” ujarnya lagi.

Malah menurut Jue, semenjak menjalinkan percintaan dengan Jehan, tawaran lakonan semakin banyak menjengah di depannya sehingga ada kalanya dia terpaksa menolak kerana tidak kesempatan waktu.

Juga selepas percintaan ini, dia lebih serius dengan kerjaya kerana lelaki itu banyak membantu.

”Pernah dia (Jehan) tak tidur semalaman untuk bantu saya buat ulang kaji watak bersama-sama. Tak nampak saham saya jatuh bila sudah ada kekasih,” katanya.

Sebaliknya kata Jue, hubungan mereka adalah pemangkin yang baik untuk sokongan kerjaya masing-masing.

”Ada yang cakap kalau sudah kahwin kita kena rujuk kepada suami, tetapi pada saya hal-hal macam itu sudah perlu dipupuk sejak alam percintaan lagi.

”Apa-apa hal sekalipun saya akan merujuk kepada orang terdekat dengan saya. Dia orang yang kita percaya, yang menyokong kita, dia mesti mahukan yang terbaik untuk kita,” katanya.

Impian Jue adalah untuk mengakhiri hubungan berkenaan ke peringkat selanjutnya, tetapi katanya, segalanya bergantung kepada takdir Ilahi.

Kalau ada jodoh di kamus pertemuan, bersatulah mereka di pelamin impian.

Utusan Malaysia

One Response to “Jue Aziz Bukan Penggoda”

  1. hakim 89 April 30, 2010 at 11:36 am #

    sabar jelah aper org ckp nnt diaorg tau yg awk 2 baik..saya akn jd peminat setia awk

Leave a Reply

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: