Cukupkah Anjur Konsert Untuk Memperingati Sudirman?

30 Mar

Oleh ABD. AZIZ ITAR

NORIAH KASNON (depan tiga dari kiri) dan Habsah Hassan (depan tiga dari kanan) bersama para artis dan tenaga kerja konsert itu selepas sidang akhbar di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

LANGKAH RTM menganjurkan Konsert Suara Hati Sudirman pada 1 April ini di Stadium Malawati, Shah Alam patut dipuji kerana ia boleh mengimbau nostalgia dan sumbangan penyanyi itu dalam dunia hiburan tempatan.

Selain konsert, banyak juga aktiviti dan program berbentuk hiburan yang dianjurkan setiap kali tibanya tarikh memperingati Sudirman yang kembali ke rahmatullah sejak 15 tahun lalu.

Persoalan yang timbul ialah sejauh manakah Konsert Suara Hati Sudirman mampu memperingati dan mengenang jasa penyanyi itu dalam erti kata yang sebenar?

Konsert seperti itu dikatakan kurang berkesan bagi mencapai objektif tersebut kerana para penonton mungkin akan melupakan begitu sahaja jasa Allahyarham selepas acara itu berakhir.

Bagaimanapun Setiausaha Parlimen Kementerian Penerangan Malaysia, Noriah Kasnon berkata, beliau yakin Konsert Suara Hati Sudirman yang diadakan secara percuma itu mampu untuk mencapai matlamat tersebut.

Menurutnya konsert tersebut bukan sahaja dijayakan oleh ramai artis generasi baru tetapi ia juga bakal ditonton oleh penonton muda.

“Saya yakin Sudirman akan terus diingati walaupun selepas konsert itu berakhir. Ramai penonton termasuk golongan muda akan menyaksikan konsert itu di Stadium Malawati ataupun menontonnya secara langsung menerusi TV.

“Lagu-lagu nyanyian Sudirman bukan sahaja disiarkan menerusi radio-radio RTM tetapi stesen radio swasta juga masih menyiarkan lagu-lagu beliau,” katanya pada sidang akhbar konsert itu di Angkasapuri, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Jelas Noriah, konsert itu juga dianjurkan sempena ulang tahun RTM yang ke-61 dan sambutan Hari Kemerdekaan negara yang ke-50 tahun.

Selain konsert, banyak lagi cara yang boleh dilakukan supaya jasa dan bakat Allahyarham tidak hanya sekadar diingati ketika ulang tahun pemergiannya diadakan pada setiap tahun.

Antaranya pihak kerajaan seperti Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Malaysia boleh menganjurkan satu pameran bagi mempamerkan sumbangan Allahyarham dalam bidang seni suara tempatan.

Khazanah

Banyak khazanah bekas juara pertandingan Bintang RTM tahun 1976 itu seperti piala Anugerah Penghibur Terbaik Asia yang dimenanginya di Royal Albert Hall, London pada 1989 misalnya juga boleh dipamerkan kepada orang ramai.

Itu belum termasuk pelbagai koleksi pakaian beraneka fesyen yang pernah Allahyarham gunakan sewaktu mengadakan persembahan yang tentunya mahu dilihat secara lebih dekat lagi oleh para peminat beliau.

Pada konsert itu, Habsah Hassan yang sebelum ini banyak menulis lirik lagu-lagu popular dendangan Sudirman diberi kepercayaan sebagai penulis skrip dan penyelidik bagi menjayakan konsert itu.

Banyak ungkapan-ungkapan menarik berbentuk suara hati Sudirman yang pernah diucapkan oleh Allahyarham sewaktu hayatnya akan dibacakan pada konsert itu kelak.

“Skrip yang saya tulis itu berdasarkan dua buah buku berjudul Dari Dalam Sudirman dan Sejarah Awal Sudirman yang pernah diterbitkan ketika Sudirman masih hidup.

“Dua buah buku itu juga akan dijual pada konsert itu nanti bagi sesiapa yang mahu mengenali Sudirman zahir dan batin,” ujar Habsah.

Antara ungkapan menarik yang pernah diucapkan oleh Allahyarham berbunyi, “Dalam kerjaya saya sebagai penghibur, saya mahu lakukan bersungguh-sungguh supaya masyarakat terus mengingati saya buat selama-lamanya.”

Bagi memeriahkan konsert itu, seramai 18 artis akan terbabit antaranya Mawi, Datuk Siti Nurhaliza, Ramli Sarip, Misha Omar, Jaclyn Victor, Dayang Nurfaizah, Ning Baizura dan Liza Hanim.

Konsert Suara Hati Sudirman yang bakal diterbitkan dalam bentuk cakera padat video (VCD) itu akan disiarkan secara langsung menerusi RTM1 dan radio Klasik Nasional dari pukul 8.30 malam hingga 10.30 malam pada 1 April ini.

Powered by Utusan Malaysia

Leave a Reply

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: