Hits 1 Akhir Keputusan Yang Dijangka

1 May

SEPERTI yang diramal, pertandingan akhir Hits 1 yang bersiaran langsung di RTM1 pada malam Jumaat lalu menjadi milik Adibah Noor, Misha Omar dan Mawi.

Malah ia menjadi malam istimewa bagi Adibah yang mempertaruhkan lagu Terlalu Istimewa untuk diangkat sebagai bukan sahaja Lagu Terbaik tetapi turut merangkul kategori Persembahan Terbaik yang membolehkannya membawa pulang sejumlah RM30,000 iaitu masing-masing RM25,000 (Lagu Terbaik) dan RM5,000 (Persembahan Terbaik).

Kemenangan lagu ciptaan Azlan Abu Hassan dan lirik oleh Adibah itu sendiri mencipta kejayaan berganda bagi mereka apabila awal tahun ini muncul juara Anugerah Juara Lagu Ke-21 (AJL-21).

Namun dalam nada merendah diri, Adibah tetap memberitahu bahawa dia tidak menaruh harapan tinggi untuk memenangi pertandingan yang diasaskan melalui carta lagu Radio Muzik itu.

Malah dia merasakan lagu-lagu Nafas Cahaya, dendangan Misha Omar dan ciptaan sifu M. Nasir serta lirik oleh Loloq dan lagu Bisakah (Aubrey Suwito/Tessh RS) mampu dipilih Lagu Terbaik oleh lima juri profesional iaitu Datuk Wah Idris, penyanyi Nurul, komposer S. Atan, Helen Yap dan diketuai Asnawi Mutaal.

“Lagu-lagu itu adalah lagu-lagu yang bagus,“ kata Adibah ketika ditemui selepas pertandingan itu yang berlangsung di Stadium Malawati, Shah Alam, Selangor.

Biarpun mempunyai saingan terdekat namun kata Adibah lagi, platform Hits 1 akhir bukanlah satu persaingan sengit.

“Debarannya tidak seperti di AJL lalu. Malah kami di belakang pentas relaks dan memberi sokongan antara satu sama lain,“ kata Adibah yang muncul solo di pentas persembahan dan menyampaikan surah An-Am dalam bahasa Inggeris sebelum berdendang.

Sementara itu Misha Omar yang gagal ke final AJL-21 boleh berbangga apabila lagu Nafas Cahaya itu berjaya menduduki tempat kedua Lagu Terbaik sekaligus membawa pulang RM20,000.

“Saya telah memberikan yang terbaik dan bersyukur lagu itu berjaya diterima,“ katanya.

Dan Raja SMS, Mawi pula sudah menjangka membawa pulang gelaran Lagu Paling Popular – satu-satunya kategori yang dipilih berdasarkan undian SMS (khidmat pesanan ringkas).

Kala ditanya sampai bila dia mahu bertahan dengan status itu, jelas Mawi, “selagi orang menyebutnya, saya akan menerima dengan hati terbuka.”

Tidak ketinggalan mendapat sorakan sokongan penonton tentunya bekas tunangan Mawi, Diana Naim atau Ina yang berkongsi pentas mempertaruhkan lagu Duhai Hati yang muncul dengan persalinan putih dan diiringi enam anggota koir.

Antara lagu lain yang bertanding pada pertandingan yang diacarakan oleh Beego dan Annahita Bakavoli itu ialah Tanpamu, dendangan Farawahida, Indah Lelapku (Izwan Pilus) dan Jatuh (Adam AF2).

Artis yang mengadakan persembahan pula antaranya A. Halim, Nora, Saleem, Siti Nordiana, Fiq dan Kamal, Hattan, Aris Ariwatan, Dayang Nurfaizah, Ruffedge, Fabulous Cat, Yazer, Hazama dan Jaclyn Victor.

Sekitar Hits 1 Akhir

*Berlaku sedikit masalah teknikal pada speaker sisi pentas yang sedikit sebanyak mengganggu kelancaran pertandingan itu.

*Ketika Misha Omar muncul untuk mengadakan persembahan medley lagu-lagu yang pernah menjuarai Hits 1, kainnya tersangkut pada paku di tangga pentas membuatkan dia tidak boleh bergerak. Tetapi Misha ‘menutupnya’ dengan duduk di tangga sambil membetulkan semula kainnya menyebabkan peminat bersorak.

*Jika Ina tampil putih, Mawi pula memilih hitam dengan konsep persembahan hampir sama iaitu menggunakan koir. Cuma Ina menampilkan fragmen lelaki yang memberinya cinta tetapi kemudian dirampas oleh wanita lain.

*Ina dan Mawi bukan sahaja julung kalinya berkongsi pentas pertandingan malah mereka muncul silih berganti sebagai peserta akhir hits 1 akhir.

*Datuk Siti Nurhaliza tidak hadir pada pertandingan itu dan tempatnya diganti oleh Juwita Suwito, adik kepada pencipta lagunya, Aubrey yang juga seorang penyanyi.

*Jatuh merupakan lagu Adam AF2 yang berjaya ke final Hits 1 buat kali ketiga selepas Terhangat Di Pasaran dan Tak Tahu.

*Adibah Noor, Adam AF2, Mawi dan Ina mendapat tepukan paling gemuruh sepanjang pertandingan berlangsung.

Powered by Utusan Malaysia

Leave a Reply

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: