Membotakkan Kepala Fenomena Budaya Popular?

21 Jun

Bersama: AZMAN ISMAIL (adik1102@yahoo.com)
DEMI untuk menjayakan sebuah watak dalam filem For Vendetta, pelakon Natalie Portman pun membotakkan kepalanya. Tindakan itu tidak menjadi sesuatu yang kontroversi. Apalagi khalayak menuduhnya sengaja mahu mencari gimik.

Di Hollywood, para pelakon sanggup melakukan apa sahaja untuk memastikan watak dan filem mereka berjaya. Pastinya lebih daripada membotakkan kepala termasuk seks dan bogel.

Baru-baru ini, pelakon Sharifah Amani Syed Zainal Rashid, 21, atau Nanie turut melakukan perkara yang sama. Membotakkan kepala. Kononnya bagi menjayakan watak sebagai Rohani dalam filem Muallaf, arahan Yasmin Ahmad.

“Lebih baik saya cipta perkara lain yang lebih dahsyat kalau benar saya mahu buat gimik. Lagipun buat apa saya mahu menyeksa diri jika ia tidak memberikan kebaikan kepada semua pihak,” komen Amani mengenai tindakannya itu.

Beliau juga turut menyamakan tindakannya itu dengan keputusan Natalie Portman. Kedua-duanya membotakkan kepala hanya untuk menghidupkan sebuah watak dalam filem.

Sebenarnya, dua aspek boleh dilihat dalam memperkatakan tindakan Sharifah Amani tersebut. Di satu sisi beliau bukan meletakkan dirinya dalam ruang budaya Melayu dan Malaysia.

Membotakkan kepala bagi seorang wanita (Melayu) dalam masyarakat di negara ini merupakan sesuatu yang aneh, pelik dan mungkin memalukan atau bertentangan dengan Islam.

Aspek lain ialah seni (filem) tempatan sebenarnya telah menempatkan dirinya dalam seni moden yang menekankan kepada eksplorasi dan kebebasan yang didasarkan kepada kesenian Eropah dan Amerika.

Prinsip-prinsip dalam kesenian moden itu tidak seluruhnya teradaptasi. Ia muncul secara berperingkat-peringkat dan kadang-kadang dalam bentuk yang lebih ekstrem. Akibatnya, tidak ada kesinambungan dengan paradigma seni yang menjadi asal usul seni Malaysia.

Tanpa kita sedar, seni moden termasuk filem

jika dilihat secara mendalam mempunyai hubungan erat dengan kuasa iklan, konsumerisme dan persaingan hingga memaksa seseorang mencari kelainan.

Seseorang pembikin filem atau penggiat seni tidak lagi meletakkan budaya dan nilai-nilai kesepakatan sosial pada tempat teratas. Sebaliknya, meletakkan keuntungan daripada modal mereka ditempat tersebut.

Penafsiran tentang kebudayaan moden oleh QD Lewis dan Mattew Arnold dalam Cultural Studies: Theory and Practice (2003) cukup menarik dalam memperkatakan isu tersebut.

Kedua-dua sarjana itu bertitik tolak di atas kajian budaya (culture studies). Mereka menyimpulkan bahawa abad ke-20 bererti bermulanya era budaya popular yang akan mengikis budaya tinggi sesuatu masyarakat. Ia akhirnya akan membenihkan budaya massa dalam dunia industri.

Budaya popular tidak lagi mementingkan estetika, kesepakatan budaya dan nilai-nilai asal dalam masyarakat kerana asas perkembangannya ialah kapitalisme dan konsumerisme.

Persoalan yang sama turut diutarakan Arjun Appadurai dalam bukunya Modernity at Large: Cultural Dimensions of Globalization (1996) yang melihat kemunculan budaya global.

Appadurai berpendapat, globalisasi menyebabkan kebudayaan sesebuah bangsa tidak lagi mempunyai sempadan hasil daripada peranan media dan teknologi informasi. Selain itu terdapat saluran lain seperti radio, televisyen, filem dan sebagainya.

Lalu, adakah isu membotakkan kepala Sharifah Amani lebih daripada untuk menjayakan watak dalam filem Muallaf? Ini kerana seni moden membabitkan aspek yang lebih luas iaitu kapitalisme dan konsumerisme.

Namun, tidak ada kebebasan mutlak bagi manusia, siapa pun dia. Kita tetap terikat dalam satu sistem sosial dan sistem budaya yang disepakati sejak turun-temurun.

Ernst Cassirer dalam bukunya An Essay of Man berpendapat, kegagalan seseorang anggota masyarakat dalam sistem sosial menerima prinsip dan peraturan yang ditetapkan, ia akan menyebabkan struktur sistem itu menjadi lemah.

Di sisi lain, pandangan seseorang ulama perlu diambil kira. Dalil yang dikemukakan ada dalam al-Quran, dan aplikasinya pada Rasulullah SAW. Jangan terburu-buru menghentam setiap kata mufti yang tidak bersesuaian dengan citarasa kita, apa kata kita ambil sedikit masa untuk mengkaji kenyataan mereka itu.

Ada hadis Rasulullah yang melarang wanita membotakkan kepala menurut tulisan itu. Itu aspek agamanya. Dalam sistem sosial kita juga jelas menolaknya.

Utusan Malaysia

Leave a Reply

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: