Rosemaria Masih Menyanyi

18 Jul

Oleh KHADIJAH IBRAHIM

ANDAI kata anda teringin makan nasi dagang dan tidak tahu cara untuk membuatnya, silalah rujuk lirik lagu Nasi Dagang dendangan Rosemaria Abdul Hamid.

Menerusi lirik lagu tersebut sedikit sebanyak anda akan tahu bahan yang diperlukan dan cara untuk memasak nasi yang sinonim dengan masyarakat Kelantan itu.

Lagu yang bercerita tentang nasi istimewa itu, sebenarnya telah mempopularkan nama penyanyinya, Rosemaria.

Jelas Rosemaria, 52, dia bukan sekadar tahu menyanyi lagu Nasi Dagang malah memasaknya pun boleh kerana ibunya adalah penjual nasi dagang.

Selain lagu Nasi Dagang, nama juara Bintang RTM 1977 itu sentiasa menjadi bualan hangat apabila tiba musim raya. Lagu dendangannya, Di Pagi Aidilfitri adalah antara lagu raya malar segar yang sentiasa menjadi permintaan ramai.

Meskipun lagu-lagu tersebut sering berkumandang di corong radio, namun peminat-peminat seni suara jarang mengetahui perkembangan terkini Rosemaria.

Rosemaria yang ditemui di RTM sewaktu pertandingan akhir Suara Emas Bintang RTM 2007 baru-baru ini berkata, dia tidak pernah melupakan bidang seni.

“Siapa kata saya tidak menyanyi lagi. Sebenarnya saya tidak pernah menolak kalau ada undangan menyanyi. Entahlah mungkin orang ingat bila saya balik ke Kota Bharu, saya sudah tidak menyanyi.

“Sebenarnya menyanyi tidak boleh ditinggalkan begitu sahaja kerana ia boleh membuatkan kita hilang skill,” kata anak kedua daripada enam beradik itu.

Kehebatan juara Bintang RTM itu tidak boleh dinafikan. Suaranya tetap merdu seperti dulu dan sebab itulah dia sering diundang menyanyi biarpun tanpa memiliki album baru.

Puas

Kali terakhir Rosemaria rakam album adalah pada tahun 1980-an sebelum kembali menetap di negeri Cik Siti Wan Kembang pada tahun 1988. Album terakhirnya popular dengan lagu Nasi Dagang. Sebelum itu Rosemaria telah menghasilkan album Dalam Mengenang Mu yang dirakam selepas menjadi juara dan album Cinta Mu Yang Menyayat Hati.

Sepanjang 10 dekad pembabitannya dalam bidang seni suara, Rosemaria menghasilkan tiga album solo dan empat album campuran bersama penyanyi-penyanyi daripada syarikat EMI seperti Allahyarham Sudirman, Uji Rashid, Hail Amir, Latiff Ibrahim, Gaya Zakry dan Noor Kumalasari.

Rosemaria yang sudah puas menikmati dunia glamor sebagai penyanyi itu berkata, sekarang ini tumpuan utamanya pada kerjaya sebagai ejen insurans.

“Saya percaya kalau kita menyanyi bersungguh-sungguh, pasti orang tidak akan lupa kita. Mereka tahu yang kita benar-benar berbakat,” katanya yang menyertai Bintang RTM tiga tahun berturut-turut.

Kali pertama Rosemaria mencuba nasib pada tahun 1975. Ketika itu dia hanya layak ke separuh akhir dan juara Bintang RTM pada waktu itu ialah Sudirman.

Kegagalan itu tidak mematahkan semangat Rosemaria untuk mencuba lagi pada tahun berikutnya, namun sekali lagi dia gagal kerana juara menjadi milik Norlela Ayob.

Setelah tiga kali mencuba, barulah Rosemaria muncul sebagai juara menerusi lagu Bunga Tanjung dan One The Other Side of Me.

“Orang sekarang beruntung kerana mereka mudah memiliki album nyanyian penyanyi yang mereka gemari. Saya dulu terpaksa salin lirik lagu daripada radio.

“Tiap kali lagu yang saya suka diputarkan di radio, kelam kabut saya menyalinnya. Malah berlatih menyanyi pun berdasarkan lagu di radio saja,” katanya yang menjahit sendiri baju untuk pertandingan tersebut.

Isteri kepada Mohd. Shuhaimi Hussin, 49, dan ibu kepada Khairul Khairi, 24, Ahmad Fais, 22, Sarah Yasmin, 14, Kasturi, 12, Shariman, 7, dan Emily Rose, tiga tahun itu memang pakar dalam bidang jahitan.

Sebab itulah selepas kembali ke Kota Bharu, Rosemaria pernah membuka kedai jahitan sekitar tahun 1990-an.

Selepas itu dia juga pernah menguruskan pusat kecantikan, Rosemaria Beauty Line untuk seketika. Namun kini kedua-dua perniagaan itu telah tiada kerana Rosemaria lebih senang menumpukan perhatian pada perniagaan insurans.

Dia yang pernah menjadi penyanyi latar kepada Anita Sarawak dan mengikut penyanyi tersebut mengadakan persembahan di luar negara berkata sekarang ini kalau ada yang berminat untuk mengambilnya sebagai artis rakaman, dia tidak menolak.

“Memang ada keinginan untuk buat album tapi saya sedarlah dalam keadaan sekarang, orang lebih suka yang muda.

“Pada saya kalau ada yang sudi, saya tidak kisah kerana selama ini pun saya masih menyanyi. Cuma peluang nak rakam album sahaja tidak ada,” katanya terus terang.

Powered by Utusan Malaysia

Leave a Reply

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: