Irwansyah Cuma Tempelan?

24 Jul

Oleh MOHAMMAD ARIF NIZAM ABDULLAH

Sebagaimana mutu vokalnya yang sederhana, begitulah juga dengan lakonan Irwansyah (Irwan) dalam filem Love Is Cinta yang kini sedang ditayangkan di pawagam tempatan.

Alasan yang diberikan Irwan mudah sahaja iaitu wataknya kecil. “Lagi pun peranan saya dalam filem itu tidak terlalu sukar.

“Barangkali watak Ryan sesuai untuk saya manakala watak Donni untuk Raffi,” jawab pelakon kacak itu selepas pratonton Love Is Cinta bersama pihak media di Cathay Cineleisure, Damansara, baru-baru ini.

Kekasih hatinya, Acha pula sering kali mempertahankan Irwansyah apabila dikritik tenggelam dek lakonan hebat bintang baru Indonesia, Raffi Ahmad.

“Kami bertiga selalu berbincang di lokasi tentang watak masing-masing. Mungkin itu penilaian anda semua. Elemen komersial perlu difikirkan juga,” kata Acha bersungguh-sungguh.

Bagi Raffi pula, dia tidak kisah jika dianggap tidak kelihatan sebagai lelaki gagah dalam filem berkenaan kerana wataknya sebagai Donni yang sering menangis.

“Donni hanya mempunyai tiga hari untuk menyakinkan dirinya adalah Ryan dan dia perlu melafaz kata cinta kepada Cinta.

“Pada pandangan saya dan pengarah, isu tidak kelihatan kelelakian tidak timbul lagi ketika itu. Yang penting cintanya buat Cinta,” katanya ketawa kecil.

Apabila ditanya tentang adegan panas bersama seorang lelaki tua bagi menggambarkan Donni seorang gay akan mendapat penerimaan negatif penonton di Malaysia, Raffi jelas tidak melatah.

“Saya hanya berlakon dan untuk pengetahuan semua, saya bukan gay,” katanya selamba.

Lafazkanlah cinta

“Aku cinta padamu.” Cuma tiga perkataan sahaja. Kalau dilafazkan, hanya mengambil masa tidak sampai beberapa saat.

Namun, mengapa berat untuk ucapkannya padahal perasaan cinta itu memang ada. Mengapa juga sukar mengakui perasaan itu sedangkan ia ada dalam hati masing-masing.

Malu barangkali. Betul, memang malu jika cinta itu tidak berbalas.

Namun bagaimana kalau kerana malu, cinta berganti penyesalan apabila orang dicintai pergi meninggalkan kita tanpa mengetahui perasaan hati terhadapnya. Ketika itu, rasa kesal tidak berguna lagi.

Dan filem Love Is Cinta membuktikan kebenaran hakikat itu. Ia kisah dua kawan rapat Ryan (lakonan Irwansyah) dan Cinta (Acha Septriasa) yang baru menamatkan pengajian di sekolah menengah tinggi.

Di sebalik kemesraan dalam persahabatan, tersimpan di hati masing-masing bahawa mereka sebenarnya saling mencintai satu sama lain. Namun perasaan malu menjadi penghalang.

Walaupun mereka cuba untuk meluahkan isi hati tetapi keadaan masih tidak mengizinkan. Masing-masing terus menunggu dan dibiarkan dalam keraguan tentang perasaan antara satu sama lain.

Masa terus berlalu. Ryan mendapat tawaran menyambung pelajaran di Amerika Syarikat. Dia meninggalkan Cinta tanpa melafazkan kata cintanya.

Namun di saat akhir, Ryan nekad menemui Cinta untuk meluahkan isi hatinya. Dia berpatah balik dari lapangan terbang. Namun dalam perjalanan itu, satu tragedi menimpanya yang meleburkan impiannya bersama Cinta.

Ironinya, mempertaruhkan lagu Ada Cinta memang menjadikan Love Is Cinta sebuah filem paling romantis dari Indonesia tahun ini.

Cuma, bila watak Ryan boleh hidup kembali dan menjelma dalam tubuh Donni (Raffi Ahmad) sebagai peluang kedua melafazkan cintanya kepada Cinta, filem arahan Hanny R. Putra itu menjadi kelakar dan tidak logik.

Malah, adegan Ryan dan Acha terbang di udara selepas melafazkan kata cinta masing-masing di akhir cerita juga agak keterlaluan.

Nasib baik lakonan berkesan Raffi menyelamatkan keadaan. Selain itu, elemen kasih sayang yang kuat antara kekasih, ibu dan anak serta kakak dan adik dalam filem ini turut berjaya mempengaruhi mood sedih penonton.

Powered by Utusan Malaysia

Leave a Reply

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: