Wali Kisah Lelaki Lembut

25 Jul

Oleh KHADIJAH IBRAHIM

BUKAN untuk mengangkat atau menghina golongan mak nyah yang semakin bercambah dalam kelompok masyarakat masa kini. Apa yang dipaparkan dalam drama Wali yang bakal disiarkan menerusi Astro Ria, 10 malam, 27 Julai ini adalah cebisan kisah realiti kehidupan seorang lelaki lembut.

Menurut pengarah Rashid Sibir, Wali terbitan Opera Klasik Sdn. Bhd., yang menampilkan Ahmad Tarmimi Siregar sebagai Madam Zaza itu sebenarnya mempunyai mesej yang tersirat.

Jelasnya, watak Zaza atau Hamzah tidak digambarkan sebagai lelaki lembut atau mak nyah yang melakukan pekerjaan terkutuk.

Sebaliknya, Zaza bekerja menjual nasi lemak. Hanya sesekali sahaja ditonjolkan wataknya memakai pakaian wanita bagi memenuhi keinginannya.

Meskipun pergerakan dan pertuturan Zaza seperti wanita namun jauh di sudut hatinya, dia sedar bahawa asalnya adalah lelaki.

Justeru itulah Zaza tidak mengabaikan tanggungjawabnya untuk menjadi wali kepada anaknya, Wani, lakonan Rita Rudaini.

“Saya cuma nak memberitahu biar selembut mana seseorang lelaki itu, dia boleh menjadi wali bila kita kembali kepada hukum Allah.

“Dalam Wali saya paparkan Zaza yang terkenal sebagai Draq Queen, akhirnya tetap akur dengan kehendak agama demi memenuhi permintaan anaknya. Saya tidak menghina atau mengutuk mana-mana pihak, cuma saya lebih senang membiarkan penonton berfikir sendiri mana yang baik dan buruk,” katanya pada majlis prebiu Wali di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Tegas Rashid, orang ramai tidak boleh terus menuding jari pada golongan sebegitu tanpa mengetahui cerita sebenar.

Justeru itulah dipaparkan bekas isteri Hamzah, lakonan Liza Othman sentiasa menyanjungi bekas suaminya.

Jelas pengarah itu, bekas isteri Hamzah terus menyanjungi bekas suaminya kerana dia tahu Hamzah adalah seorang suami dan ayah yang bertanggungjawab.

“Kita tidak boleh terus hukum golongan itu dengan berkata mereka akan masuk neraka kerana itu bukan urusan kita. Sebab itulah saya tonjolkan watak nenek Faizal, lakonan Yusni Jaafar.

“Nenek Faizal ini memandang rendah pada Zaza. Dia takut kalau Faizal berkahwin dengan Wani, cucunya akan jadi lembut seperti Zaza. Apa yang saya nak katakan di sini, sebagai manusia kita tidak boleh menghukum orang,” jelasnya.

Menurut Rashid, dia tidak menghadapi masalah dengan pihak Astro. Tiada satu pun adegan yang dipotong pada drama yang menjalani penggambaran selama 10 hari di sekitar Kuala Lumpur itu.

Kata Rashid, sudah banyak drama kisah bapa diarah tapi Wali berbeza kerana bapa yang ditonjolkan seorang lelaki lembut.

“Apabila Shukery Hashim kata dia ada skrip, saya tengok dan tertarik kerana ceritanya berbeza. Saya beli skrip itu dan olah semula.

“Sebenarnya kalau dilihat secara teliti, Hamzah yang masih menyayangi keluarganya sanggup berpisah kerana tidak mahu orang tersayang dihina sepertinya,” kata Rashid.

Dari Datuk jadi Draq Queen

Sehari sebelum penggambaran Wali, Ahmad Tarmimi Serigar yang sering berlakon sebagai orang korporat berpangkat Datuk itu masih was-was sama ada perlu meneruskan hasrat berlakon atau tidak.

Perasaan itu timbul kerana dia takut mendapat impak negatif daripada orang ramai apabila membawa watak lelaki lembut.

Namun apabila memikirkan yang drama Wali mempunyai mesej tersendiri, Tarmimi, 58, membatalkan niatnya untuk menolak tawaran Rashid itu.

“Bila di akhir cerita saya lihat Zaza kembali ke pangkal jalan setelah kehadiran anaknya, itu yang membuatkan saya tidak jadi tolak tawaran Rashid.

“Saya tak tahu macam mana orang boleh tahan disolek selama satu jam setengah dan mengenakan solekan yang tebal. Nasib baik saya ini lelaki,” katanya sambil ketawa.

Sinopsis Wali

WANI yang akan melangsungkan pernikahan dengan Faizal (Norman Hakim) mahu mencari ayahnya untuk menjadi wali. Wani terkejut apabila mendapati Madam Zaza adalah ayahnya. Dia tidak dapat menerima Zaza sebagai ayahnya dan begitu juga Zaza tidak dapat menerima Wani sebagai anaknya.

Kisah lama terungkai semula dalam hidup Zaza yang hidup bersama rakannya, Sherry (Mimi Zarina). Dia mahu bercerai dengan isterinya kerana tidak tahan dengan tohmahan masyarakat yang menghina. Zaza tidak mahu anaknya mengalami masalah yang sama dan sebab itulah dia tidak mahu ada hubungan dengan Wani.

Setelah dinasihati oleh tunangnya, Wani sedia menerima Zaza dan mahu memperkenalkan ayahnya itu kepada keluarga Faizal.

Pada majlis suai kenal itu, nenek Faizal telah menghina Zaza dan hingga pada hari pernikahan dia masih lagi membuat kecoh agar majlis dibatalkan.

Powered by Utusan Malaysia

Leave a Reply

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: