Inspirasi Koko 2 Untuk Pencinta Coklat

16 Nov

Oleh SHAZRYN MOHD. FAIZAL

PERNAHKAH anda mencuba memasak ikan siakap dengan menggunakan koko sebagai salah satu ramuan pentingnya? Atau minum petang dengan lempeng kelapa bersama koko?

Mungkin ramai yang tidak menyedari bahawa koko sebenarnya bukan sekadar boleh dijadikan bahan untuk dijadikan minuman, kek, biskut atau penghias masakan. Tetapi koko juga boleh dijadikan hidangan utama makan tengah hari seperti Salad Ayam Panggang Koko Berempah atau Ketam Sumbat Koko dan Keju. Dalam erti kata lain, koko juga boleh dijadikan sebagai bahan harian dalam masakan.

Bagi mendedahkan pelbagai kegunaan koko, Lembaga Koko Malaysia (LKM) telah mengambil inisiatif menghasilkan sebuah rancangan masakan yang diberi judul Inspirasi Koko 2.

Menerusi sistem tender yang dikeluarkan oleh LKM, syarikat produksi Nafalia Corporation Sdn. Bhd., telah berjaya mendapat mandat menerbitkan 13 episod rancangan Inspirasi Koko 2 yang kini ditayangkan di RTM2, setiap Ahad pukul 11 pagi.

“Pihak LKM telah memberi kami menonton beberapa episod musim pertama rancangan itu dan daripada situ, kami melihat ada beberapa perubahan dan pendekatan yang lebih menarik untuk disuntikkan pada siaran musim keduanya,” kata penerbit eksekutif Inspirasi Koko 2, Mohd. Najib Jaafar.

“Begitu juga dengan pemilihan hos dan chef yang kami tampilkan dalam musim kedua ini. Daripada senarai nama yang kami berikan kepada LKM, ternyata mereka lebih tertarik dengan Serina Redzuawan.

“Pemilihannya bukan kerana dia anak kepada Chef Wan tetapi kredibilitinya sebagai pengacara tidak boleh dipertikaikan lagi. Lagipun, dia juga adalah pencinta coklat,” kata Najib sambil memberitahu proses penggambaran memakan masa selama tiga bulan.

Pemilihan Chef Kamarul pula, katanya, untuk memberi peluang kepada muka-muka baru menampilkan bakat di kaca televisyen.

“Meskipun sibuk dengan tugas sebagai pensyarah di Fakulti Pengurusan Hotel dan Pelancongan, UiTM cawangan Permatang Pauh, Pulau Pinang, namun, Chef Kamarul begitu berdedikasi dalam kerjanya dan proses rakaman ini berjalan dengan lancar. Malah, keserasiannya bersama Serina juga terserlah,” jelas Najib.

Kikis tanggapan lapuk

Salah satu perubahan yang Najib lakukan menerusi Inspirasi Koko 2 ini adalah untuk membuang persepsi lapuk orang ramai mengenai rancangan berbentuk majalah yang sering kali dianggap bosan dan ‘memenatkan’ apabila menontonnya.

“Dengan itu saya menggunakan lokasi dalam dan luar studio untuk memberikan warna dalam Inspirasi Koko 2 ini. Ia menjadi sebuah rancangan yang santai namun dalam masa sama, saya penuhi berbagai informasi,” ceritanya lagi.

Inspirasi Koko 2 menampilkan empat segmen iaitu Sajian Koko (Resipi 1), Sana Sini Koko, Sajian Koko (Resipi 2), Bicara Koko dan Kreatif Koko.

Di akhir rancangan, penonton berpeluang memenangi beberapa hadiah melalui segmen kuiz mingguan.

Powered by Utusan Malaysia

Leave a Reply

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: