Bukan Mudah Menjaga Saleem" – Julia

2 Dec

Oleh: NIEZAM ABDULLAH

DALAM rancangan Melodi siaran 18 November lalu, penyanyi Saleem kelihatan agak marah apabila dia dan Jamal Abdillah sering dilemparkan dengan tuduhan buruk berkaitan penyalahgunaan dadah.

Dengan nada kecewa, Saleem berharap masyarakat tidak hanya tahu menuduh sebaliknya turun membantu mereka yang dilanda masalah ketagihan dadah.

Hakikatnya Saleem atau nama sebenarnya AM Saleem Abdul Majid, 45, pada dasarnya kesal dengan pengalaman silam yang dilaluinya selama ini.

Tidak ada siapa di dunia ini yang tidak mahukan berubah. Begitu juga Saleem. Dia sudah beberapa kali keluar masuk penjara. Malah beberapa kali juga masuk ke pusat pemulihan.

Tetapi bukannya mudah untuk meninggalkan tabiat buruk itu.

Kadang-kala bagaikan ada suara yang memanggil dan berbisik untuk mengajak dia kembali terjerumus ke lembah hina itu.

‘‘Tiada sesiapa yang hendak menjadi penagih najis dadah tetapi selepas terjebak, memang sukar untuk meninggalkannya.

‘‘Golongan macam saya memerlukan kekuatan dari segi semangat dan sokongan moral daripada orang ramai.

‘‘Ini tidak, penagih dadah sering diibaratkan sampah tanpa ada usaha untuk membantu dan menolong mereka,’’ jelas Saleem.

Julia Bachok,41, isteri tersayang Saleem tidak menafikan sukar menjaga suaminya itu.

Orang yang pernah menagih dadah kata Julia sentiasa akan terbayang peristiwa hitam lamanya. Malah jika tiada sokongan yang diberikan, tentu saja seseorang itu akan kembali kepada perbuatan asalnya itu.

Sudah dinamakan isteri, Julia mengambil peranan itu dengan bersungguh-sungguh untuk melihat suaminya itu pulih sepenuhnya.

Sejak mendirikan rumah tangga kira-kira enam tahun lalu, Julia mengambil langkah tidak membiarkan Saleem seorang diri.

Semuanya kerana dia percaya jika suaminya itu dibiarkan sendirian di rumah, tidak mustahil dia akan keluar untuk terlibat semula dengan penyalahgunaan dadah.

‘‘Penagih dadah tidak pernah berkata tidak terhadap dadah. Walaupun mereka kata sudah tidak mahu menagih lagi tetapi kalau ada dadah itu di depan mata, mereka tidak akan menolak,’’ kata Julia.

Akui wanita ini dia kadang kala menitiskan air mata menjaga Saleem, Julia mempunyai cara sendiri untuk memastikan suaminya itu dapat mengawal diri.

Terang Julia dia tidak akan sesekali meninggalkan Saleem seorang diri walaupun hendak membeli barang di kedai depan rumah.

‘‘Saya percaya kalau saya biarkan, dia akan keluar senyap-senyap dan menghilangkan diri. Adalah lebih baik hendak ke mana saja pun kita bawa dia bersama,’’ katanya.

Bagaimanapun sekiranya terdesak dan perlu keluar tanpa suaminya itu, Julia mengambil pendekatan meninggalkan anak mereka Mohd. Amirul Mukminin, 3, kepada Saleem.

‘‘Selalunya saya akan suruh dia menjaga anak. Kalau ada anak, dia tak akan keluar kerana ada sesuatu yang lebih mustahak dia perlu lakukan terhadap anak daripada keluar rumah,’’ terang Julia.

Bagaimanapun selama beberapa tahun Julia melakukan perkara itu, ternyata Saleem bukan sudah menunjukkan perubahan apabila dia sendiri berkata takut untuk keluar seorang diri.

Malah suaminya itu juga bimbang ditangkap dan menerima nasib malang seperti yang pernah berlaku sebelum ini.

‘‘Walaupun dia kata dia dah serik tetapi kita tak boleh biarkan juga. Bukan tidak percaya tetapi kita kenalah bersedia. Bukan mudah menjaga bekas penagih kalau tak ada kekuatan,’’ ujarnya.

Sudah lali dengan kritikan orang, Julia hanya meletakkan kesabaran di dalam hati. Hendak menangis sudah tidak berupaya, hendak ketawa kadang kala tiada bermaya.

Tetapi dia gembira kerana selama berkahwin dengan penyanyi itu, Saleem sudah banyak berubah hasil kerja keras dan usahanya untuk membawa perubahan kepada seorang bekas penagih dadah.

Cuma satu yang Julia minta, bagilah peluang untuk Saleem melalui kehidupan seperti orang biasa dan janganlah terus menghina mengenai kehidupan silamnya.

Powered by Utusan Malaysia

Leave a Reply

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: