Menoleh 2007: Suka Bersulam Duka

30 Dec

Oleh: NIEZAM ABDULLAH

SEHARI lagi tahun 2007 akan mengucapkan selamat tinggal dan 2008 pula menanti untuk membuka tirainya. Benarlah bak kata orang, sesungguhnya masa itu ibarat emas. Malah dalam surah al-Asr juga turut diperjelaskan tentang betapa pentingnya masa.

Sedar tak sedar masa yang berlalu sudah membawa kita ke hujung tahun. Walaupun terasa bagaikan semalam 1 Januari 2007 disambut tetapi rupa-rupanya kita sudah melalui tempoh 12 bulan dengan singkat.

Pancaindera mengimbas beberapa peristiwa penting yang menjadi kenangan sepanjang 12 bulan berlalu itu. Mudah-mudahan lembaran 2008 membawa satu sinar dan kejernihan baru dalam dunia hiburan nanti.

Tahun 2007 menyaksikan lebih daripada 10 artis mendirikan rumah tangga. Apa yang diharapkan agar mahligai bahagia yang dibina itu akan berkekalan buat selama-lamanya. Kalau boleh imbasan tahun depan, mereka yang mengecapi bahagia sebagai pasangan suami isteri tahun ini tidak ada kisah yang sebaliknya.

BAHAGIA YANG BERTANDANG

*NADIA MUSTAFAR

Tirai tahun 2007 dibuka dengan perkahwinan pelakon drama Nadia Mustafar dengan pasangannya Hazil Izham Ismail. Mereka bernikah pada 30 Mac 2007 selepas setahun melayari bahtera cinta.

*EIZLAN YUSOF

Dengan hantaran sebanyak RM77,777.77 pelakon Eizlan Yusof, 36, memilih Vie Shantie Haroon Khan, 21, sebagai pasangan hidupnya. Kedua -dua mereka diijabkabulkan di Taman Ujana, King Fisher, Kota Kinabalu, Sabah pada 7 Julai 2007. Vie Shantie bekerja sebagai juruukur bahan di sebuah firma seni bina terkemuka.

*INA NAIM

Melalui detik kecewa apabila pertunangannya dengan Mawi putus di tengah jalan, akhirnya jodoh Nordiana Md. Naim, 23, jatuh kepada penyanyi nasyid, Suhaimi Saad, 27. Kedua-dua mereka selamat dinikahkan pada 12 Ogos 2007 di Masjid Jamek, Felcra Sungai Ara, Kota Tinggi Johor. Hantaran sebanyak RM10,000. Mereka bertunang pada 6 Jun 2007 dalam satu majlis sederhana yang dihadiri keluarga terdekat kedua-dua belah pihak.

*AZIZAH ARIFFIN

Personaliti TV3, Azizah Ariffin, 38, yang sekian lama hidup menjanda memilih jejaka kacak, Mohd. Khafairil Mohd. Khalil, 28, sebagai suami. Mereka bernikah pada 18 Ogos 2007 di Kuala Lumpur. Lebih bermakna anak-anak Azizah dengan perkahwinan terdahulu iaitu Danial Afiq, 12, Haikal Afiq, 9, dan Ashriel Afiq, 6, turut merestui perkahwinan ibu mereka. Dalam majlis itu Azizah menerima mas kahwin sebanyak RM555 dan juga cek bernilai RM18,807 bersempena tarikh istimewa pernikahan mereka.

*HAIZA

Setelah enam tahun menjalinkan hubungan, penyanyi dangdut Haiza atau namanya Rohaizah Nordin, 27, akhirnya diijabkabulkan sebagai isteri kepada Norhanafpe Omar pada 24 Ogos 2007. Mereka bernikah di Benut, Pontian Johor. Apa yang diharapkan Haiza, perkahwinannya itu yang pertama dan terakhir untuk mereka.

*LIS DAWATI

Kalau tiada kontroversi, janganlah sebut Lisdawati. Walaupun melalui kehidupan penuh dengan kisah sensasi, pelakon Lisdawati atau Nisdawati Nazaruddin, 28, bernikah dengan seorang duda, pelakon Fauzi Nawawi, 34, di Setapak, Kuala Lumpur pada 9 September 2007. Pada majlis pernikahan itu pihak lelaki memberi hantaran sebanyak RM21,111.11.

*ERRA FAZIRA

Perkahwinan paling sensasi pada tahun ini jatuh kepada pelakon Erra Fazira, 33. Setelah hampir setahun berpisah dengan pelakon Yusry, Erra akhirnya mendapat seorang pengganti iaitu Ketua Pegawai Operasi Suria FM, Engku Emran Zainal Abidin, 32.

Mereka bernikah pada malam Jumaat, 25 Oktober 2007 di Restoran Puteri, Taman Tun. Dr. Ismail, Kuala Lumpur. Berbeza dengan perkahwinan lain, pengantin perempuan hanya meminta senaskhah al-Quran sebagai ganti wang hantaran.

Sebelum perkahwinan tersebut Erra Fazira melalui detik kontroversi apabila Hans Isaac mendakwa Erra adalah kekasihnya. Bagaimanapun Erra menafikan mempunyai hubungan cinta sehinggalah hubungan mereka menjadi tegang.

*SHARIFAH ALEYA

Hanya dengan sekali lafaz, penyampai radio Hot FM yang juga seorang pelakon, Sharifah Aleya Syed Zainal Abidin, 24, sah bergelar isteri kepada Muhammad Ashraf Aasimudin, 27, seorang pemuzik bebas. Mereka bernikah pada 8 Disember 2007 dengan mas kahwin sebanyak RM101.

Aleya yang juga anak kepada aktivis teater Fatimah Abu Bakar itu menerima wang hantaran sebanyak RM10,101.

MEREKA DITAKDIRKAN BERPISAH

Harapkan panas hingga ke petang ruparupanya hujan di tengah hari. Tiada sesiapa pun di dunia ini yang mahukan perpisahan itu berlaku. Namun jika ia sudah dikatakan takdir, tiada siapa yang mampu mengelaknya. Perpisahan sebenarnya mengajar manusia nilai sebuah pertemuan.

*NURUL DAN AJAI

Lagu Serasi Bersama yang mereka dendangkan rupanya-rupanya tidak lagi serasi. Rumah tangga yang dibina selama 10 tahun akhirnya menemui noktah apabila Nurul dan Ajai berpisah. Ajai atau nama sebenarnya Mohd. Faizal Maas, 32, dan Nurul atau Noorul Huda Abdul Wahab, 30, sah bercerai talak satu pada 28 Februari lalu di Mahkamah Rendah Syariah, Petaling Jaya.

Dalam perjanjian bersama yang ditandatangani pada 8 November 2006, Ajai bersetuju untuk membayar nafkah edah kepada Nurul sebanyak RM1,200 sebulan selama tiga bulan dan juga membayar mutaah sebanyak RM6,000 bagi membolehkan Nurul menunaikan umrah pada bila-bila masa.

Sementara perbelanjaan makan minum, tempat tinggal, persekolahan dan lain-lain keperluan bagi anak mereka, Ayu Nazirah, 10, dan seorang anak angkat, Mohd. Fairul Ihsan, 8, akan ditanggung oleh Ajai.

*AZIZ M. OSMAN

Tiada siapa menyangka, dalam diam-diam rupa-rupanya rumah tangga pengarah Aziz M. Osman, 45, dengan Nur Aliah Lee Abdullah, 33, tidak setenang yang disangka. Mereka berdua berpisah selepas 15 tahun hidup bersama.

Perkahwinan mereka dikurniakan empat orang anak iaitu Puteri Asyikin, 14, Putera Nur Iman, 12, Puteri Nur Aisya, 9, dan Puteri Nur Ain, 6. Sebelum perkahwinan tersebut Aziz juga pernah berkahwin dan dikurniakan anak iaitu Puteri Nurul Fatehah, 19.

*JAMAL ABDILLAH

Penyanyi yang mendapat julukan raja pop – Jamal Abdillah, 48, gagal mempertahankan perkahwinannya ketiganya dengan Fatimatuzahra Samat, 24. Perkahwinan mereka pada bulan Disember 2005 tidak dapat diselamatkan apabila dan mereka mengambil keputusan untuk berpisah.

Punca perpisahan itu apabila Jamal didakwa sering memukul isterinya. Hasil perkahwinan itu mereka dikurniakan seorang anak lelaki Ahmad Zaki Yamani.

*NASH

Hanya 10 bulan melayari bahagia, perkahwinan bekas penyanyi kumpulan Lefthanded, Nash atau Jamaludin Elias, 48, dengan usahawan kosmetik, Sosilawati Lawiya, 44, mengalami keretakan. Pada 24 Oktober lalu Sosilawati membuat permohonan untuk bercerai dengan Nash di Mahkamah Rendah Syariah, Gombak Timur. Kes mereka masih lagi dibicarakan di mahkamah.

PERGI BUAT SELAMA-LAMANYA

Bak kata pepatah harimau mati meninggalkan belang, manusia mati meninggalkan nama. Hakikatnya mereka yang pergi meninggalkan kita buat selama-lamanya turut meninggalkan jasa yang tidak ternilai besarnya. Moga Allah mencucuri rahmat kepada insan seni yang telah pergi itu dan sama-samalah kita hadiahkan al-Fatihah buat mereka.

*KASMA BOOTY

Pada usia 75 tahun, pelakon yang seangkatan dengan Allahyarham Tan Sri P. Ramlee – Kasma Booty menghembuskan nafas terakhirnya di Hospital Ampang akibat menghidap paru-paru berair pada 1 Jun 2007. Jenazah Allahyarham yang nama sebenarnya Kahsmah Abdullah dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Klang Gate, Kuala Lumpur.

*LOGANATHAN

Penyanyi kumpulan Alleycats, Loganathan Arumugam, 55, meninggal dunia di hospital Mount Miriam Pulau Pinang pada 4 Jun 2007 akibat barah paru-paru. Mendiang meninggalkan seorang balu, Susan, 50, dan dua orang anak iaitu Vigneswaran, 24, dan Priyadashini, 20.

*TONY KASSIM

Pelakon veteran Tony Kassim, 72, atau nama sebenarnya Wan Abd. Rahman Wan Ahmad Tajuddin meninggal dunia pada 12 Ogos 2007. Allahyarham yang pernah membintangi filem Melayu antaranya Anak Dara dan Wan Perkasa yang diterbitkan pada tahun 1960-an menghembuskan nafas terakhir ketika sedang sujud sembahyang tahajud di rumahnya di Pelabuhan Klang, kira-kira pukul 1 pagi.

*IZI YAHYA

Watak antagonis memang sinonim dengan pelakon Izi Yahya. Pada 25 Jun lalu, dunia hiburan dikejutkan dengan pemergian Izi yang berusia 45 tahun akibat mengalami darah beku di kepala ketika sedang menjalani penggambaran drama.

Allahyarham meninggal dunia di Hospital Sultanah Aminah Johor Bahru pada pukul 10.30 pagi. Allahyarham meninggalkan seorang balu, Suraya Abdullah, 39, dan anak tunggalnya Mohd. Zizi, 8.

PANAS DAN KONTROVERSI

*LINDA ONN

Juruhebah Radio Era, Linda Onn dipilih mengendalikan program Live From The Red Carpet sempena Anugerah Academy ke-79 di Los Angeles, Amerika Syarikat pada 26 Februari lalu mencetuskan kontroversi. Linda tidak mahu muncul dalam program itu sebaik tiba di sana atas alasan ‘pihak tertentu’ melarangnya memakai pakaian rekaan Jovian Mandagie. Apabila pulang, Linda berkata, dia mempertahankan haknya dengan melakukan tindakan itu.

*ROSNAH MAT ARIS

Gara-gara mulut berapi, pelakon Rosnah Mat Aris menerima akibatnya. Pada 16 Februari lalu Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia mengarahkan TV3 menghentikan siaran rancangan Sensasi selepas pelakon itu mengeluarkan kenyataan sensitif mengenai Nabi Muhammad. Rosnah juga menerima hukuman apabila beliau tidak dibenarkan muncul di mana-mana program RTM selama setahun.

*CATRIONA ROSS

Malang tidak berbau apabila pelakon Catriona Ross cedera parah selepas terlibat dalam kemalangan jalan raya di Rembau, Negeri Sembilan pada 14 April lalu ketika dalam perjalanan pulang dari Johor. Semasa kemalangan, beliau bersama rakannya Jennifer Grovia. Kemalangan itu menyebabkan Catriona patah kedua belah kakinya.

*ASHRAF SINCLAIR

Pengacara dan pelakon Ashraf Sinclair membuat permohonan maaf secara terbuka apabila gambarnya dengan bintang Indonesia, Bunga Cinta Lestari sedang bercium di pantai Bali ketika bercuti pada Ogos lalu tersebar di Internet. Akibat penyebaran gambar itu, Ashraf membuat sidang media untuk memohon maaf. Dia dan Bunga tidak menafikan sedang bercinta.

Powered by Utusan Malaysia

Leave a Reply

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: