Konsert RM 1 Juta Nicolas Teo

29 Jan

Oleh JESSABELL SOO


SELEPAS membina nama di Taiwan, Nicolas Teo kini dikenali di Malaysia.

KEBARANGKALIAN seorang penyanyi Cina tempatan untuk mengadakan konsert solo adalah satu perkara yang agak mustahil.

Bukan memandang rendah terhadap penyanyi kelahiran negara sendiri, tetapi industri dan permintaan terhadap penyanyi Cina tempatan kurang memberangsangkan.

Namun, ‘nasib’ seseorang penyanyi tempatan itu berubah apabila dia mula membina nama di negara asing terutamanya Taiwan. Bukan sahaja popular di negara orang, penyanyi itu juga secara langsung turut akan diminati oleh pendengar tempatan.

Senario ini bukan berlaku kepada seorang penyanyi sahaja tetapi juga ke atas tuan badan bernama Nicholas Teo. Dilahirkan menerusi program realiti terbitan Astro, Astro Talent Quest 2002, Nicholas ‘berhijrah’ ke Taiwan tiga tahun lalu.

Sudah memiliki tiga album solo dan yang terbaru, Prince, Nicholas kini bersedia untuk melakar sejarah tersendiri dengan mengadakan konsert solo pertamanya.

Memandangkan ini merupakan konsert sulungnya, figura kelahiran Kuching, Sarawak ini memilih Malaysia sebagai destinasi pertama untuk mengadakan konsertnya pada 29 Mac ini, pukul 8 malam.

Bertempat di Stadium Putra, Bukit Jalil, Kuala Lumpur, konsert anjuran syarikat rakaman Warner Music Malaysia itu dikatakan bakal menelan belanja RM 900,000 dan ini memberikan sedikit tekanan kepada Nicholas.

Mana tidaknya, jarang sekali konsert artis tempatan dianjurkan dengan kos yang menghampiri RM1 juta seperti ini.

“Memang tertekan mendengar jumlah yang dilaburkan oleh syarikat tetapi memandangkan mereka yakin dengan saya, maka saya akan lakukan yang terbaik,” jelas Nicholas pada sidang media mempromosikan konsert ini.

Meskipun konsert ini bakal berlangsung dalam masa dua bulan lagi, penyanyi berusia 27 tahun ini berhadapan turut berdepan dengan tekanan jualan tiket kerana ramai yang membandingkan dia dengan dua lagi penyanyi Malaysia, Michael Wong serta Fish Leong.

“Konsert Michael dan Fish di Malaysia berjaya dijual dengan baik. Rasanya lebih 10,000 penonton. Namun, saya optimistik kerana saya sudah lama menantikan lokasi ini. Tetapi apa yang penting sekarang bukan jualan tiket.

“Kini saya perlu berlatih dan bersedia supaya tidak menghampakan peminat saya,” tambah Nicholas yang berharap untuk mengadakan konsert seterusnya di negara China.

Konsert From Now On – Live In Malaysia bakal memberikan pelbagai kejutan kepada peminat. Bukan sahaja menampilkan imej, tarian dan kostum berlainan, peminat juga akan dihadiahkan dengan lagu tema konsert ini.

“Buat masa ini saya sedang merakamkan satu lagu khas untuk konsert kali ini. Saya bernasib baik kerana mendapat khidmat Mac Chew sebagai pengarah muzik,” jelasnya lagi.

Kepada mereka yang berminat, harga tiket dijual pada harga RM80, RM100, RM150, RM200 dan RM260. Untuk sebarang pertanyaan dan pembelian, anda boleh menghubungi talian Star Planet 03-9283 3667 dan Ticket Axcess 03-7711 5000 atau layari laman web http://www.starplanet.com.my.

Kosmo

Leave a comment