Tiada Virus Cinta

5 Feb

Oleh FAIZAL SAHARUNI


TIDAK mahu bakat lakonan dibuang ke tandas.

PERNAH meletup gara-gara ucapan penuh kontroversi sempena kemenangannya pada Festival Filem Malaysia ke-18 (FFM18), Sharifah Amani Syed Zainal Rashid belum pernah menjadi mangsa gosip cinta.

Sehinggalah, sejak akhir-akhir ini ‘hubungan’ intimnya bersama aktor muda berbakat besar, Que Haidar yang terserlah pada mata umum menyebabkan mereka dikatakan pasangan bercinta.

Amani dan Que ibarat belangkas. Barangkali itulah ayat yang dapat menterjemahkan kisah romantis dua figura terkenal ini yang mewarnai pentas seni tanah air.

Anak kelahiran Petaling Jaya, Selangor yang sebelum ini cukup tebal mengusung gelaran anak didik pembikin filem popular, Yasmin Ahmad bagaimanapun pantas menafikan ceritera cinta ini.

Kecil-kecil cili padi, Amani atau lebih mudah disapa sebagai Nani tidak mudah diperkotak-katikkan apatah lagi sesiapa yang ingin menjolok kisah cintanya yang dianggap terlalu peribadi.

Cukup sekadar dirinya, si dia dan keluarga yang mengetahui segala-galanya. Prinsipnya satu – tidak sesekali menjaja sana-sini perkara remeh-temeh dalam menyandang gelaran anak wayang.

“Saya seboleh-bolehnya tidak mahu orang ramai mengetahui soal peribadi. Kalau boleh saya nak peminat hargai bakat saya berbanding kisah yang tidak penting itu.

“Saya melibatkan diri dalam industri ini untuk bekerja, malah saya sentiasa cuba buat yang terbaik untuk memuaskan diri.

“Kalau terlampau banyak cerita personal diberitahu kepada umum, lebih baik saya buang bakat yang dimiliki di tandas,” ujarnya semasa majlis beramah mesra dengan pelakon drama bersiri Sindarela di Damansara, Petaling Jaya baru-baru ini.

Beritahu anak kedua dari empat beradik ini lagi, dia lebih senang mengutamakan karier seninya supaya kelak, dia bakal menjadi pelakon berjaya.

“Saya selalu ingat pesan ibu. Dia selalu menasihati saya dan adik-beradik lain untuk mendahului bidang lakonan berbanding mengejar glamor.

“Kalau masuk dalam dunia lakonan semata-mata hanya nak kejar populariti, lupakan saja niat kita itu awal-awal lagi,” jawabnya lembut tetapi ada sedikit ketegasan.

Akui ada cinta

Enggan menyerah kalah menyelongkar setiap sisi Nani yang penuh dengan sifat kematangan itu, dia terus diterjah dengan pertanyaan bunga-bunga cintanya dengan Que.

“Saya memang suka Que,” celahnya ringkas tanpa menyembunyikan naluri kewanitaannya.

Barangkali masih belum berpuas hati membutir kata tentang teman baiknya, Nani berkata, dia dan Que selalu keluar dan lepak bersama.

“Sudah lama sebenarnya saya rapat dengan Que. Kalau tidak salah persahabatan ini sudah memasuki tahun kelima,” ujar Nani sambil mencongak dan mengimbas semula momen perkenalannya dengan Que.

Nani mengakui dia berkenalan dengan Que melalui kakak kesayangannya, Sharifah Aleya. “Tiada sebarang perasaan cinta sesama kami,” ujarnya seolah dapat menebak apa yang bakal terpacul dari mulut penulis.

Enggan membuatkan peminat terus tertanya-tanya apa yang berlaku, Nani menjelaskan, gosipnya bersama Que mulai bertiup bak angin kencang setelah mereka terlibat dalam penggambaran filem Selamat Pagi Cinta.

Dalam filem terbitan MIG Productions yang ke-26 itu, Nani yang memegang peranan sebagai Suci, anak orang berada dan dia dicintai rakan kolejnya, Azam lakonan Que Haidar.

Tidak hairanlah apabila ada suara nakal yang mengaitkan Nani dan Que ‘terperangkap’ dalam cinta lokasi yang biasa terjadi pada mana-mana pelakon yang bergandingan dalam sesebuah drama atau filem.

“Kami tiada apa-apa. Cuma saya cukup bertuah kerana dapat peluang ‘bercinta’ dengan Que dalam filem ini.

“Ramai wanita di luar sana yang mahu rapat dengan Que, tapi saya yang dapat dulu,” selorohnya sambil ketawa berdekah-dekah.

Begitu pun, kata pelakon Gubra ini lagi, tiada sebarang perasaan dalaman yang membawa virus cinta antara Nani dan Que yang dianggapnya umpama teman rapat.

“Kami saling mengagumi antara satu dengan lain. Saya suka lihat hasil kerja Que, malah dia sendiri meminati lakonan saya.

“Dia (Que) menapak melalui bidang seni teater, manakala saya juga datang dari latar belakang teater.

“Justeru, persefahaman antara kami sudah ada. Masing-masing boleh bertukar-tukar idea demi meningkatkan mutu lakonan sendiri,” akuinya tanpa berselindung.

Sempat bercerita tentang kehidupannya, Nani menjelaskan dia tidak mempunyai kehidupan sosial berbanding orang lain.

“Bayangkan, selepas balik dari penggambaran, saya terus balik rumah, mandi, melayari internet sambil periksa e-mail.

“Kalau belum mengantuk, saya akan membaca buku dan kemudian terus tidur. Jadi anda nampak sendiri diri saya seolah-olah tiada kehidupan kan? soalnya.

Dalam nada sedikit kesal, Nani memberitahu: “Tidak tahulah kenapa orang suka membesar-besarkan cerita cinta saya dengan Que.

“Agaknya saya sudah berumur 22 tahun. Tambah-tambah lagi Leya (gelaran kakak kesayangan Nani) sudah mendirikan rumah tangga baru-baru ini.

“Sebab itulah ramai yang mahu tahu tentang percintaan saya,” tebak Nani sendiri.

Selesa jadi tomboi?

Malas untuk berfikir soal cinta yang selalu dijaja umum, Nani mengambil keputusan untuk merobah dirinya – dari seorang wanita sejati ke peribadi yang lebih cenderung ke arah kelakian.

Namun, itu hanyalah gimik yang dilakukan Nani melalui drama bersiri terbarunya, Sindarela yang bakal menemui khalayak setiap Selasa, mulai 5 Februari ini pada pukul 9 malam di TV3.

Drama 26 episod ini mengisahkan dua plot cerita berbeza mengenai kehidupan rakyat biasa bernama Zoela dan kerabat pemerintah kerajaan Indaputra.

Zoela lakonan Nani, seorang gadis tomboi yang menuntut jurusan grafik di sebuah kolej mempunyai kawan baik, Naema (Nurkhiriah).

Mereka sering berkongsi masalah di antara satu sama lain, namun sikap agresif dan kasar Zoela menimbulkan pelbagai kisah lucu dan menarik.


PELAKON-PELAKON drama bersiri Sindarela.

Kali kedua bekerja di bawah arahan pengarah generasi baru, Sharul Ezad Mohamadin, Nani tidak dapat menyembunyikan perasaan girangnya dapat berlakon bersama produksi Radius One Sdn. Bhd.

“Saya rasa gembira bekerja dengan Ezad. Rasanya tidak sukar membawakan karakter tomboi kerana stail saya di luar set pun sempoi, gila-gila dan biasa saja.

“Saya sukakan karakter ini. Seorang gadis yang agresif dan sanggup lakukan apa saja yang dia mahu. Sedikit-sebanyak memang ada persamaan watak ini dengan diri saya yang sebenar.

“Untuk imej gothic-funky yang ditonjolkan ini, saya banyak dibantu oleh Ezad, jurusolek dan seluruh team produksi ini.

“Gaya dan solekan saya paling senang untuk dilakukan, malah saya selalu jadi orang terakhir untuk disiapkan berbanding rakan lain.

“Adakalanya saya tertanya sendirian, bila agaknya saya akan dapat watak sebagai wanita yang ala-ala ayu,” ujarnya sambil tertawa comel.

Powered by Kosmo

Leave a Reply

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: