Aspirasi Trio MJAzz

21 Feb

MEMIMPIN sebuah kumpulan orkestra yang berusia lebih 40 tahun memahat nama Datuk Mokhzani Ismail sebagai antara karyawan muzik yang disegani ramai.

Meneruskan tradisi kegemilangan Orkestra RTM daripada seniman-seniman besar seperti pengasasnya, Datuk Ahmad Merican, mendiang Alfonso Soliano, Datuk Ahmad Nawab dan Datuk Johari Salleh mempunyai aspirasi yang sangat besar untuk memasyhurkan kumpulan muzik itu.

Biarpun sibuk dengan tugasnya sebagai Pengarah Muzik RTM, Mokhzani masih sempat menghasilkan album jazz trio pertama di Malaysia yang berteraskan orkestra.

Album MJAzz Trio – The Touch of Jazz dalam versi bahasa Inggeris ini masih lagi dalam proses pembikinan dan diterbitkan oleh komposer terkenal Johari Teh.

Kalau ada yang tertanya-tanya apakah maksud MJA, ia merupakan singkatan kepada nama beliau Mokhzani selaku pemain piano dan dua rakan karibnya, Jimmy (pemain bass) dan Acun (pemain drum).

Mokhzani, Jimmy dan Acun merupakan rakan karib dan berpengalaman mengadakan persembahan selama enam tahun di sebuah kelab jazz di ibu negara.

Menurut Mokhzani, penghasilan album ini dibuat selepas menyedari usaha mendidik dan meningkatkan apresiasi masyarakat terhadap muzik yang diklasifikasikan sebagai ilmiah perlu ditingkatkan.

“Kita sedia maklum pengaruh muzik sebegini agak kurang kalau dibandingkan dengan lagu-lagu pop yang lebih mendapat tempat biarpun hakikatnya muzik jazz tidak lagi terbatas kepada golongan masyarakat elit.

“Bahkan, melalui konsert-konsert jazz yang diadakan dari masa ke semasa di Malaysia, ada peminat-peminat yang sanggup membayar tiket yang tinggi untuk menonton persembahan jazz,” jelas Mokhzani mengenai rasional penerbitan album MJAzz Trio – The Touch of Jazz.

Meskipun tokoh muzik ini mendapatkan pendidikan khusus dalam jurusan klasik dan jazz dari Berklee College of Music di Boston, Amerika Syarikat, namun kasih dan cinta Mokhzani terhadap semua genre muzik sangat mendalam.

Kemahirannya bukan hanya terserlah ketika memimpin Orkestra RTM yang mula disertainya pada tahun 1990, sebaliknya, anak seni kelahiran Perlis ini juga pernah menghasilkan beberapa lagu komersial seperti Sepi Sekali nyanyian Saleem, Tsunami Kasih (Azharina) dan Selingkuh Kasih (Adibah Noor).

Tidak ketinggalan, Mokhzani merupakan orang penting di sebalik album Orkestra RTM Bersama Bintang yang merupakan koleksi eksklusif dengan juara-juara Bintang RTM, overture klasik seperti Overture Tuah Jebat, Simfoni Putrajaya dan Simfoni Gemilang.

Album MJAzz Trio merupakan sebuah album yang memiliki pelbagai keistimewaan termasuk menyingkap kebolehan pemuzik-pemuzik terbaik Malaysia yang diundang seperti Razak Rahman (Tenor Sax) dan Yap Yen (violin)dan serta MJA Orkestra.

Antara lagu-lagu yang dimuatkan dalam album ini ialah All The Things You Are, But Not For Me, Czardas,In As Sentimental Mood dan lain-lain yang bakal menyuntik satu dimensi baru di dalam dunia muzik tempatan.

Powered by Utusan Malaysia

Leave a Reply

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: