Konsert Pancaindera Jengah Ke Johor

2 Mar

Oleh: NIEZAM ABDULLAH

MELANGKAH ke tahun 2008, akhbar Mingguan Malaysia meneruskan kesinambungan mengadakan beberapa siri penjelajahan melaksanakan konsert bagi memperkukuhkan lagi akhbar itu.

Kejayaan dalam siri konsert yang lalu, membuktikan betapa komitmen berterusan Mingguan Malaysia untuk mendekatkan hubungan dengan para pembaca.

Ini terbukti apabila dalam setiap konsert promosi yang diadakan sebelum ini, penonton tentunya mendapat persembahan hiburan secara percuma seperti yang mereka inginkan.

Konsert Pancaindera membuka tirai sempena sambutan tahun baru 2007 di Port Dickson, Negeri Sembilan yang mendapat sambutan luar jangkaan.

Sangkaan awalnya mungkin tiada sesiapa yang datang menyaksikan konsert itu kerana ia merupakan usaha pertama Pancaindera mendekatkan diri dengan pembaca. Tetapi sangkaan itu meleset sama sekali kerana lain yang dijangka tetapi lain yang menjadi.

Ketika itu lebih 20,000 penonton membanjiri Dataran Teluk Kemang untuk menyaksikan artis-artis membuat persembahan. Tidak cukup dengan itu, konsert seterusnya dianjurkan di Bukit Merah Lake Town Resort, Taiping, Perak.

Sambutannya cukup luar biasa kerana penonton yang berkunjung sanggup datang dari negeri berhampiran seperti Perlis, Kedah dan Pulau Pinang.

Dengan memikirkan pembaca adalah aset utama kami, konsert serupa diteruskan di Bera, Pahang dengan jumlah penontonnya melebihi 20,000 orang. Tidak kiralah Orang Asli, masyarakat Felda dan juga penduduk setempat, mereka memberikan komitmen yang padu terhadap konsert itu.

“Tak sangka konsert ini cukup meriah dengan penonton membawa tikar bantal untuk menyaksikan artis,” kata Saleem ketika itu.

Komitmen serupa diteruskan apabila siri konsert berikutnya dilakukan di taman Tasik Titiwangsa Kuala Lumpur dan Uptown Shah Alam, Selangor.

Ia bagaimanapun tidak terhenti setakat itu sebaliknya diteruskan lagi dengan memilih selatan tanah air sebagai destinasi keenam penganjuran konsert berkenaan.

Dan seperti yang dijangka, penduduk Johor Bahru tentunya terhibur apabila barisan artis ternama dibawa membuat persembahan untuk mereka secara percuma.

Bertempat di Danga Bay, Johor Bahru pada 24 Februari lalu, persembahan yang berjaya menarik hampir 10,000 penonton itu dilaksanakan dengan meriah. Barisan para artis memulakan acara kira-kira pukul 9 malam dengan menampilkan Roslan Shah dan Haiza sebagai pengacara.

Haiza yang tentunya tidak asing lagi dengan Pancaindera mempersembahkan lagu Ketahuan yang dipopularkan oleh Kumpulan Matta. Ia dinyanyikan dalam versi dangdut dan bahasa Jawa.

Menyedari Johor tentunya ramai orang Jawa, lagu itu mendapat sambutan yang luar biasa. Kehebatan dan kehangatan konsert digamatkan lagi apabila Roslan Shah yang dianggap sebagai pengacara nombor dua popular selepas Aznil Nawawi itu muncul dengan lagu Horey Horey.

Dengan aksi bersahaja, Roslan turut menjemput peminatnya untuk sama-sama menari. Gelagat itu dianggap paling melucukan kerana peminat yang diundang mampu membuat penonton ketawa melihat aksinya.

Kali kedua bersama Pancaindera selepas di Shah Alam, Fazli Zainal tentunya tidak melepaskan peluang menyampaikan lagu Mentera sakti dan Harapan.

Begitu juga Farhan yang muncul dengan lagu Still Got The Blues dan Kelmarin menghilangkan kerinduan terhadap bekas pelajar Akademi Fantasia Keempat (AF4) itu.

Lama tidak bersama Pancaindera, kali ini Nabil muncul mendendangkan lagunya Hati Ini dan Bukan Untukku. Kemunculan Nabil tentunya dapat mengubat rindu peminat remaja untuk menyaksikan persembahannya yang dinanti-nantikan selama ini.

Orang lama yang tetap muda, siapa lagi kalau bukan Nassier Wahab menunjukkan kelunakan suaranya dengan lagu Gadis Bermata Biru dan Memori Cinta Luka.

Walaupun jarang sekali muncul, kehadiran Nassier juga mendapat reaksi positif penonton yang seusia dengannya.

Hazama yang mungkin tidak sepopular bintang lain tetapi ramai yang terkejut melihat aksinya mempersembahkan lagu Zakiah yang pernah didendangkan semasa konsert prelude AF4 lalu.

Merasakan ia satu peluang untuk membuat promosi, Hazama turut mempersembahkan single terbarunya Sampai Bila.

Tidak adil sekiranya penyanyi rock tidak dibawa memanaskan suasana, Ali (M’pire) turut diberi ruang untuk mempersembahkan Bunga Angkasa.

Menutup acara, konsert diteruskan apabila Haiza dan Roslan Shah muncul bersama barisan para artis hebat mendendangkan lagu Memori Daun Pisang beramai-ramai.

“Kami yakin acara seperti ini bukan sahaja dapat menambahkan lagi bilangan pembaca Mingguan Malaysia sebaliknya memberi ruang kepada artis untuk mempromosikan lagu masing-masing,” kata Haiza mewakili rakan-rakan artisnya.

Tanpa kerjasama tentunya konsert sempena penutup Sukan Antarabangsa Danga Bay ini tidak akan berjaya.

Tentulah sekalung tahniah kepada penaja utama iaitu That’s Life Sdn. Bhd., Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan Johor, Abdul Aziz Karpawi dan restoran terkenal di Johor Bahru iaitu Singgah Selalu yang menaja makan malam.

Tidak ketinggalan syarikat jualan langsung CNI yang menyediakan pengangkutan bas untuk membawa rombongan dari Kuala Lumpur ke Johor Bahru.

Ramai yang tertanya-tanya selepas Johor ke mana destinasi kami berikutnya? Tentulah beberapa kawasan lain akan kami jelajah. Itupun dengan syarat anda mesti melanggan Mingguan Malaysia setiap minggu.

Powered by Utusan Malaysia

Leave a Reply

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: