Tujuh Bulan Cari Maklumat

3 Mar

Pengarah teater Sambanthan, S.T. Bala mungkin berasa puas dengan impiannya menghasilkan pementasan ini, namun apakah cabaran getir beliau?


S.T. BALA menghadapi banyak dugaan dalam usaha mencari pelakon yang mampu membawa watak Sambanthan.

“HAMPIR dua dekad bergelumang dalam dunia teater, saya merasakan inilah teater yang terbaik pernah saya hasilkan dengan penyelidikan yang mendalam. Saya yakin apa yang saya sampaikan ini dapat dinilai oleh penonton.

“Saya rasa terharu dan bangga kerana dapat menghasilkan persembahan teater ini walaupun terpaksa berdepan dengan pelbagai cabaran,” demikian luah pengarah teater Sambanthan, S.T. Bala.

Menurut pengarah drama ini, antara ujian getir yang dihadapinya ialah mendapatkan maklumat yang tepat berhubung latar belakang negarawan ini atau nama sebenarnya Sambanthan Thirunyana Veerasamy dalam masa yang singkat.

Proses penyelidikan tersebut mengambil masa hampir tujuh bulan.

Justeru, tidak hairanlah Bala sanggup berulang-alik dari Kuala Lumpur ke Sungai Siput, Perak untuk bertemu dengan individu penting dalam hidup Sambanthan. “P. Arunasalam yang pernah berkhidmat dengan mendiang banyak memberi input.”

Selain mendapatkan maklumat sebanyak mungkin dari Arkib Negara, Bala juga menemui isteri mendiang, Toh Puan Umasundari Sambanthan, 79, dan anak tunggalnya, Deva Kunjari serta saudara-mara beliau yang terdekat.

Teater Sambanthan ditayangkan sejak 29 Februari lalu hingga 4 Mac ini mengisahkan kehidupan dan perjuangan tokoh negarawan, Tun Sambanthan demi kemerdekaan Malaysia. Teater yang berlangsung selama dua jam di Pusat Pelancongan Malaysia, Kuala Lumpur itu menggunakan 70 peratus bahasa Tamil dan selebihnya bahasa Melayu dan Inggeris.

Antara pelakon yang terlibat dalam pementasan teater itu ialah Datuk Jalaluddin Hassan, Dr. Peter Low Meng, pelakon veteran, Mano Maniam dan juga tidak ketinggalan A.Kisukumar, Balekumar Supramanian atau Anand dan ramai lagi.

Sambanthan merupakan pemimpin yang ke-5 menyandang jawatan Presiden dalam parti Kongres India Malaysia (MIC). Beliau merupakan salah seorang bapa Malaysia yang membawa khabar baik berhubung pencapaian kemerdekaan Tanah Melayu.

Selain terkenal dengan sifatnya yang berjiwa rakyat, beliau sentiasa mengambil tahu hal ehwal masyarakat dari akar umbi. Seperti yang diketahui, Sambanthan juga satu-satunya ahli kabinet yang memakai dhoti atau kain sarung putih semasa menghadiri mesyuarat kerajaan.

“Itulah identiti beliau dan dalam sorotan persembahan ini, kita paparkan era permulaan beliau mengenakan pakaian tradisional tersebut,” kata Bala.

Selain Malaysia, Bala juga pernah mementaskan beberapa teater di bawah arahannya di India. Salah satu pementasan tersebut, Iruvar telah mengangkat namanya.


DALAM sesi latihan, A. Kisukumar (kiri) yang membawa salah satu watak Sambanthan menerangkan sesuatu kepada penduduk Sungai Siput.

Menurut aktivis seni ini, untuk mencari bakat-bakat besar dan lelaki yang mempunyai ketinggian lebih enam kaki juga satu kesukaran. Nasib menyebelahi dirinya apabila A. Kisukumar terpilih. Bukan sahaja tinggi lampai tetapi berbakat dalam menghidupkan watak Sambanthan dengan baik dari segi ekspresi sekalipun bahasa badan.

Di pihak Mano Maniam pula, wujud sedikit masalah. “Pada awalnya, saya mempelawa Mano Maniam untuk membawa salah satu watak penting dalam pementasan ini, bagaimanapun beliau menolaknya. Saya tidak putus asa memujuknya supaya melihat skrip terlebih dahulu, tetapi beliau tetap enggan kerana tempoh yang agak singkat.”

Bala tidak menafikan watak yang perlu dilakonkan oleh Mano agak berat iaitu antara empat hingga lima babak. Namun, setelah berkali-kali dipujuk, akhirnya Mano bersetuju dengan syarat beliau melakonkan antara dua hingga tiga babak.

“Saya akui bukan mudah menjiwai watak tokoh besar negara, Sambanthan. Malah, ketiga-tiga pelakon yang memegang watak beliau pada usia yang berbeza, perlu berlatih bersungguh-sungguh,” kata Bala yang sudah menghasilkan 18 kali pementasan teater sebelum ini.

Bagaimana pula dengana pelakon yang membawa watak isteri mendiang? “Ia juga sesuatu yang paling sukar kerana untuk mendapatkan wanita yang benar-benar menepati ciri-ciri Toh Puan Uma bukan satu tugas senang”.

Apakah yang mengagumkan Bala mengenai Sambanthan hingga beliau sanggup melakukan pementasan teater tokoh negarawan ini? “Saya percaya tidak mungkin ada pemimpin sehebat Sambanthan kerana beliau seorang yang berpendidikan, dinamik, berdisiplin, berani dan dididik dengan sempurna sekali.”

Faktor yang menyebabkan Bala memilih Sambanthan dan bukan tokoh-tokoh lain? “Dia seorang lelaki yang sejati yang sanggup berkorban untuk negara.”

“Jika tiada aral, saya akan mementaskan teater mengenai tokoh-tokoh negara lain Malaysia pada masa akan datang,” ujar lelaki yang pernah mendapat pengiktirafan rekod First Tamil Two Cast Theatre Play untuk Iruvar dari Malaysia Book of Records. – SUBASHINI RAJANDRA

Powered by Kosmo

Leave a Reply

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: