Hans Akui Kelemahan Cuci

18 Mar

MESKIPUN Cuci merupakan filem pertama terbitan Tall Order Productions, tetapi ia memperlihatkan sambutan yang menggalakkan daripada para peminat filem Melayu baru-baru ini.

Dengan kos pembikinan RM1.5 juta, filem pertama arahan aktor Hans Isaac itu berjaya mengaut kutipan tiket sekitar RM2.2 juta selepas hampir sebulan ia ditayangkan di pawagam-pawagam tempatan.

Kejayaan tersebut bukan setakat melegakan pengarah berusia 37 tahun itu, tetapi beliau juga optimis untuk meraih pencapaian yang lebih besar dalam bidang perfileman pada masa depan.

Menurut Hans, dia dan penulis skrip Cuci, Harith Iskander turut mempunyai impian untuk melihat filem-filem hasil karya mereka dicalonkan di Anugerah Academy pada suatu hari nanti.

Jelasnya, dia dan rakan-rakannya dalam Tall Order Production akan bekerja keras bagi menghasilkan filem-filem yang mampu untuk menerjah pencalonan pada anugerah perfileman yang paling berprestij di Amerika Syarikat (AS) itu.

“Harith pernah berkata kepada saya bahawa dia mengimpikan untuk menjadi rakyat Malaysia pertama yang filemnya berjaya dicalonkan dalam Anugerah Academy bagi kategori pencalonan filem dari luar negara.

“Saya fikir tidak salah atau patut berasa malu kalau saya dan Harith mempunyai impian yang sebegitu besar. Ini kerana, semua orang mempunyai impian mereka masing-masing.

“Terpulanglah kepada kita, sama ada sanggup atau pun tidak untuk merealisasikan impian tersebut,” katanya pada sesi Diskusi Filem Tempatan – Cuci di Pawagam Mini P. Ramlee, Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas), Hulu Kelang, Selangor baru-baru ini.

Tambah Hans, dia akan mempelajari segala kesilapan yang dilakukannya dalam Cuci dan menganggapnya sebagai pengajaran bagi memperbaiki lagi mutu filem-filem arahannya pada masa-masa akan datang.

Malah, beliau mengaku dan bersedia menerima kritikan-kritikan yang membina daripada semua pihak termasuklah pengkritik filem bagi memastikan peningkatan mutu dalam filem-filem arahannya kelak.

“Saya sudahpun mengenal pasti 60 kesilapan yang telah saya lakukan dalam Cuci. Saya juga sudahpun menulis kesemua kesalahan saya itu untuk tujuan semak semula.

“Saya akui kelemahan saya itu kerana sebelum ini saya tidak mempunyai pendidikan formal atau pengalaman dalam bidang pengarahan filem. Hari ini saya sendiri tidak menyangka akan menjadi pengarah filem kerana cita-cita asal saya mahu menjadi ahli perniagaan,” ujarnya.

Selain para pelajar dari institusi pengajian tinggi awam (IPTA) tempatan sesi diskusi anjuran Finas itu turut dihadiri para penggiat filem tanah air.

Pada sesi yang dikendalikan oleh pengarah filem tersohor, U-Wei Saari itu, ramai di antara pelajar terbabit tidak ketinggalan memberikan komen mereka sejurus pratonton filem itu diadakan.

Pengarah filem Paloh, Adman Salleh contohnya, turut melontarkan pandangannya tentang jalan cerita serta situasi yang digambarkan dalam Cuci kurang menyerlah di mana secara kasarnya ia belum mampu untuk menyakinkan para penonton.

“Saya dapati Cuci kurang menampilkan teknik-teknik tertentu yang boleh menghidupkan situasi dalam beberapa adegan yang dipaparkan dalam filem ini.

“Misalnya, ketika adegan pertandingan mencuci bangunan diadakan. Sebagai sebuah pertandingan yang besar, Cuci sepatutnya menggambarkan suasana persaingan yang sengit dan juga kemeriahan yang lebih menonjol dalam adegan seperti itu,” katanya yang menyifatkan Cuci mempunyai sedikit persamaan dengan filem Hollywood, Ghost Busters.

Selaku penerbit dan pengarah baru, Hans tidak menafikan tentang kritikan-kritikan berhubung kelemahan-kelemahan yang terdapat dalam filem sulung arahannya itu.

Sambil menjelaskan soal bajet yang merupakan antara faktor yang membataskan peningkatan mutu dan pembikinan Cuci, Hans berkata:

“Saya berasa bangga apabila Abang Adman menonton dan mengkritik filem saya. Saya akui dan sanggup menerima 100 peratus keburukan (kesilapan) yang telah saya lakukan dalam filem ini.

“Selain faktor kewangan, masalah masa pembikinan yang terhad dan soal keselamatan para pelakon juga menjadi halangan.

“Saya telah cuba untuk menggunakan sebuah helikopter ketika penggambaran filem ini dijalankan di bangunan-bangunan tinggi tetapi ia terhalang kerana hujan yang kerap turun.

“Selain itu, saya juga selalu ‘naik angin’ apabila banyak perkara yang saya mahukan dalam filem ini tidak tercapai. Hinggakan empat walkie talkie rosak kerana saya baling ke dinding. Semuanya gara-gara tidak dapat menahan perasaan,” katanya.

Sungguhpun begitu, Hans bersyukur kerana Cuci bukan sahaja mendapat pulangan modal tetapi dia juga berpeluang mengarahkan filem terbaru arahannya berjudul Minah yang sudahpun tamat penggambarannya baru-baru ini.

Selain Hans Isaac, Harith Iskander dan U-Wei Saari, panel diskusi tersebut juga disertai penerbit Cuci, Gavin Singh serta wartawan Sastera dan Budaya Utusan Malaysia, Abd. Aziz Itar.

Powered by Utusan Malaysia

One Response to “Hans Akui Kelemahan Cuci”

  1. mustang March 20, 2008 at 10:55 pm #

    gua minat giler dgn ceta cuci ni. gua balik malaysia je esok terus pegi tgk cuci kat klcc. komen gua dlm cuci ni cuma 2 je. best dan ada point tersendiri. syabas gua ucapkan pada bro hans isac. juga pada pelakon2 dlm cuci. tanpa mereka juga cuci pasti kureng menyengat….

Leave a Reply

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: